Home Novelet Islamik Rahsia yang tersimpan
Rahsia yang tersimpan
Nik Zah
9/6/2024 15:28:08
6,830
Kategori: Novelet
Genre: Islamik
Bab1-ii

Isya serba salah untuk menjawab kerana ketika itu mereka baru sahaja bersemuka malah mereka masing-masing masih belum memperkenalkan diri.

“Kalau ada lagi saya boleh tolong angkatkan.” Tanpa menunggu jawapan Isya, Tini terus sahaja menghulurkan bantuan.

“Er..ada ada,” jawab Isya tergagap-gagap.

Sebenarnya Isya agak segan apabila mendapat pertolongan seperti itu tetapi dalam masa yang sama dia juga sudah kepenatan lebih-lebih lagi dari pagi dia hanya bersarapan dengan sekeping roti dan segelas air masak sahaja. Perutnya juga sudah pedih minta diisi tetapi dia perlu selesaikan tugasnya mengangkat beg pakaiannya terlebih dahulu sebelum dia meneruskan misinya mencari makanan.

Akhirnya kesemua beg milik Isya sudah pun berada di dalam bilik. Isya dan Tini menarik nafas lega. Tini mula berasa dahaga tetapi dia terlupa pula untuk membeli sebotol air untuk menghilangkan dahaganya.

“Nah, minum.” Bagai mengetahui isi hati Isya ketika itu terus sahaja Tini menghulurkan sebotol air yang masih sejuk kepada Isya yang sememangnya sedang kehausan.

“Terima kasih.”

“Sama-sama. Saya tahu awak penat. Sejak tadi saya tengok awak sorang-sorang je. Mestilah penat kan. Mana keluarga awak yang lain?” tanya Tini dengan senyuman manisnya.

Isya terdiam. Pertanyaan Tini dibiarkan berlalu sahaja. Isya cuba mengalihkan perhatiannya dengan menyusun beg-beg pakaiannya supaya kelihatan lebih kemas.

By the way, saya Hartini. Panggil Tini saja.” Hartini menghulurkan tangan kepada Isya sebagai tanda perkenalan mereka.

Isya menyambut salam Tini dengan senyuman yang sedikit kelat.

“Isya.” Ringkas sahaja jawapan Isya.

“Nama penuh?”

“Batrisya,” jawab Isya acuh-tak acuh.

Tini mengangguk kemudian dia menuju ke arah meja belajarnya yang terdapat beberapa bungkusan plastik. Isya mengerling Tini dengan ekor mata. Isya sedikit lega kerana Tini sudah tidak bertanya soalan-soalan lain yang membuatkan dia mula berasa kurang senang untuk menjawabnya.

Tini membuka salah satu plastik berwarna merah yang ada di atas mejanya. Sebaik sahaja dibuka aroma nasi lemak mula menusuk-nusuk hidung. Isya menelan air liur lebih-lebih lagi memang perutnya sudah semakin kuat berkeroncong sejak tadi.

“Awak mesti lapar kan?”  Tini duduk bersila mengadap Isya yang masih lagi duduk di birai katil.

Isya mengangguk. Memang ketika ini dia tidak mampu lagi menyorokkan rasa laparnya.

“Jomlah makan sama-sama. Saya memang ada bawa nasi lemak lebih. Ibu saya yang masakkan. tupun kalau awak sudi makan lah.” Pelawa Tini membuatkan Isya terus sahaja bangun lalu duduk mengadap Tini yang sudah pun mula memasukkan nasi lemak ke dalam mulut.

“Terima kasih sekali lagi.” Segan pula Isya apabila menerima pemberian Tini sekali lagi.

Mereka berdua mula menjamu selera dan ketika itu Tini mula perasan tentang wajah Isya yang kurang ceria tetapi Tini tidak mahu bertanya apa-apa kerana tidak mahu menghilangkan selera makan teman barunya itu.

Isya menyuap nasi lemak dengan perlahan-lahan. Sambil itu dia mula terkenang sarapannya pagi tadi. Hanya sekeping roti dan air masak. Itu pun dia sekadar mengambilnya sekadar untuk alas perut. Kedua ibu bapanya masing-masing dengan hal sendiri. Tiada khabar untuk dirinya yang ketika itu sedang bersiap-siap untuk memulakan hidup baru sebagai pelajar kampus. Hanya sebelum dia berangkat dengan menaiki grab, dia dihulurkan dengan sejumlah wang di tangan pemberian kedua ibu bapanya.

Tidak semena-mena air mata Isya menitis. Tini menyedari keadaan Isya ketika itu yang cuba menghalang air matanya daripada menitis. Isya tidak mahu Tini bertanyakan apa-apa tentang keadaan dirinya ketika itu. Isya segera mengesat matanya lalu keluar menuju ke tandas. Biarlah dia mengubat hatinya sendiri. Dia hanya inginkan kedamaian. Kedamaian dalam diri. 

****

“Helo, helo!” Syikin melambai-lambaikan tangan di hadapan wajah Isya membuatkan Isya terus sahaja terpinga-pinga dan kenangan pertemuan pertamanya dengan Tini terus sahaja terpadam.

“Kau ni sejak tadi banyak termenung. Kau okey tak sebenarnya ni?” Syikin cuba bertanya khabar Isya yang nampaknya lebih banyak membisu.

“Aku okey,” Isya cuba menyembunyikan perasaannya.

“Tipu, kalau okey kenapa sejak tadi aku tengok kau lebih banyak termenung? Movie tadi tak menarik ke?” tanya Syikin lagi yang seolah-olah cuba mengorek isi hati Isya ketika itu.

“Aku baik-baik saja. Kan aku dah cakap yang aku okey!” Isya meninggikan sedikit suaranya. Sudahlah sebelum keluar dia sudah cukup rimas dengan pertanyaan Tini, kini Syikin pula yang  seolah-olah ingin menggantikan tempat Tini.

“Yelah, aku tahu kau mesti tengah fikir tentang roommate kau tu kan. Kau kan dah banyak kali bagitahu yang kau rimas dengan dia. Betul tak?” Ain yang duduk di sebelah Syikin pula mula menyampuk.

Isya diam. Dia tidak menyangka bahawa tekaan Ain itu tepat pula mengenai perasaannya ketika itu.

“Tengok air muka kau pun aku dah tahu.” Ain seolah-olah tersenyum bangga kerana berjaya meneka dengan tepat.

“Apa yang kau dah tahu?” duga Isya.

“Pasal roommate kau tulah. Aku lagi kenal dia lama daripada kau. Jadi aku tahulah,” jawab Ain dengan muka bersahaja.

“Apa yang kau tahu pasal dia?” Isya seakan tertarik dengan apa yang ingin disampaikan oleh Ain ketika ini.

“Betul kau nak tahu?” Ain sengaja menduga Isya ketika ini.

Isya mengangguk laju-laju. Ain senyum sinis. Syikin juga nampaknya tidak sabar untuk mendengar cerita Ain yang sememangnya kuat bercerita itu.

Previous: Bab 1
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.