Home Novelet Islamik Rahsia yang tersimpan
Rahsia yang tersimpan
Nik Zah
9/6/2024 15:28:08
12,230
Kategori: Novelet
Genre: Islamik
Bab 3

Isya terpaksa memberitahu Ain dan Syikin bahawa dia sudah kenyang sebelum berlalu meninggalkan meja sebentar tadi. Sebenarnya dia sendiri berasa rimas dan kurang selesa apabila melihat pemuda benama Izwan itu seperti memerhatikan gerak lakunya. Terus seleranya terbantut sama sekali walaupun pada hakikatnya perutnya masih berbunyi-bunyi minta diisi.

‘Orang nak makan nasi, dia pula asyik pandang-pandang. Mana tak rimas. Cocok mata dengan garfu baru tahu!’ Rungut Isya tidak berpuas hati.Mulutnya masih mengomel.

Tanpa memikirkan apa-apa Isya berjalan masuk ke dewan makan kampus untuk mencari sesuatu untuk di makan.

‘Mi sup pun sedap ni.’

Tanpa membuang masa Isya mengambil semangkuk mi sup yang masih panas lalu mencari-cari ruang yang sedikit tersorok untuk dia menjamu selera. Isya tidak mahukan gangguan ketika ini.

Nasib Isya baik kerana memang ada ruang kosong yang kedudukan mejanya di bahagian sedikit ke belakang berdekatan dengan sinki. Perlahan-lahan langkahnya diatur sambil memegang semangkuk mi.

‘Janganlah ada yang berani nak sergah aku waktu ni.’ Sempat Isya berdoa di dalam hati sambil langkahnya diatur penuh dengan berhati-hati agar sup daripada mi itu tidak tumpah.

Setelah membetulkan duduk, Isya terus sahaja menyuapkan mi ke dalam mulut. Sesekali bayangan peristiwa tadi melintas di fikirannya.

‘Kalau bukan sebab hal tadi, tak adalah aku kat sini sambung makan. Tapi tak apalah, mi ni pun sedap juga.’ Sempat Isya merungut sambil mulutnya rancak mengunyah.

“Eh, Isya. Makan sorang je ke?”

Isya mengangkat muka memandang seseorang yang sedang menegurnya. Kini wajah Tini di hadapan mata sambil menguntum senyuman manis. Terserlah keayuan Tini dengan busana baju kurung hijau lembut dan bertudung hitam. Kelihatan beberapa buah buku di tangan Tini.

“Oh Tini. Nak makan sekali ke?” tegur Isya sambil mulutnya masih lagi mengacau-ngacau kuah mi sup yang sudah hampir habis.

“Tak. Tadi saya nampak awak dengan kawan-kawan awak kat medan selera sana tu.”

Isya menepuk meja dan membuatkan Tini sedikit terkejut.

“Kenapa tak tegur aku masa tu? Memang aku tengah pening tadi fikir cara nak balik waktu tu.” Isya berterus-terang.

“Kenapa pula nak balik? Saya nampak tadi bukan main meriah lagi dengan bunyi ketawa.”

Tini mengambil tempat duduk di hadapan Isya yang sememangnya kosong.

“Itu mereka. Bukannya aku.” Isya sudah pun berhenti mengunyah. Mangkuk mi sudah ditolak ke tepi.

“Aku kurang selesa tadi dengan budak nama Izwan tu. Aku rasa ni mesti rancangan Ain dengan Syikin yang nak kenalkan aku dengan dia. But I’m not interested. Bukan itu ketenangan hati yang aku cari.”

“Siapa? Izwan?” Tini meminta kepastian.

“Ya, nama  budak tu Izwan sama bidang dengan kau. Mesti sekelas dengan kau kan?” duga Isya membuatkan Tini sedikit terkejut. “Kenapa muka kau terkejut macam tu?”

“Tak ada apa-apalah. Eh, tu macam kawan-kawan awak tu.” Tini sudah bersedia untuk bangun dari situ.

Isya kelihatan serba salah. Isya memandang ke arah belakang dan memang kelihatan Ain dan Syikin sedang berjalan sambil berbual-bual. Tidak jauh dengan mereka juga tiga orang pemuda yang sama-sama semeja di medan selera tadi juga ada di situ.

Isya tidak mahu lama-lama lagi di situ kerana sebolehnya dia tidak mahu bertembung dengan mereka lebih-lebih lagi dengan Izwan.

“Sekejap, sekejap. Aku ikut balik sekali.”

Isya cepat-cepat bangun dari kerusi dan langkahnya diatur laju meninggalkan Tini yang terpinga-pinga jauh terkebelakang. Sesekali wajahnya berpaling ke belakang dan kelihatan rakan-rakannya itu masih rancak berbual sambil ketawa. Isya bersyukur kerana sempat melarikan diri dari situ.

Ya, dia perlu cepat tiba di bilik.

Previous: Bab2-ii
Next: Bab3-ii

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.