“ Ijat, oo Ijat!” laung Temah yang
baru pulang dari kebun.Temah menyeka peluh di wajahnya dengan tuala kecil putih
good morning yang disangkut di bahu. Tuala kecil itu yang asalnya
berwarna putih sudah pun bertukar warna kepada kekuning-kuningan dan kelihatan
lusuh.
“Mana kau ni Ijat?
Alahai, membuta lagi ke?”Temah mula berasa geram dengan anaknya itu. Sudahla
tidak bekerja, malah suka membuta pula. Membutanya mengalahkan orang yang
bekerja shift. Mana Temah tak geram!
“Ye mak.” Ijat menenyeh
mata sambil tangan sebelah lagi menutup mulut yang sedang menguap. Kini Ijat
sudah berdiri di hadapan Temah.
“Kau baru lepas bersenam
ke ni Ijat? Letih sangat mak tengok kau ni padahal kerja apa pun tak buat. Nak
masuk tengahari baru nak bangun.” Marah Temah. Dia kini sudah pun menyinsing
lengan baju untuk memulakan kerja di dapur pula.
“Kalau macam ni la,
memang tak kahwin sampai ke tua la kau ni Ijat. Anak-anak dara pun takut nak
terima pinangan kau agaknya.” Sambung Temah.
Ijat tidak membalas
kata-kata ibunya. Ijat sudah kenal benar dengan sikap ibunya tetapi Ijat tahu
ibunya itu tetap mengambil berat pada dirinya. Ijat berjalan perlahan-lahan
menghampiri meja makan lalu membuka tudung saji. Terdapat sebungkus nasi lemak.
Tanpa melengahkan masa, Ijat mengambil nasi lemak dan menyuapkan ke mulutnya.
Sebenarnya sejak tadi lagi perut Ijat sudah berkeroncong minta diisi.
“Lepas ni kau tolong
parut kelapa. Mak nak buat gulai ayam. Cepat tau, nanti abah balik bising pulak
dia.” Arah Temah sempat mengerling sebentar ke arah Ijat yang kelihatannya
berselera benar menikmati nasi lemak.
“Ala mak. Beli je la mak
santan kat kedai. Susah-susah nak parut buat apa.” Balas Ijat sambil mengunyah
nasi lemak.
“Beli? Amboi, banyaknya
duit kau. Suruh buat kerja sikit, ada je alasan kan, Dah, lepas makan tu cepat
pergi parut kelapa. Tinggal parut je pun. Kau ni orang lain makan tengahari kau
baru nak makan pagi, ni la jadinya.” Temah bercekak pinggang sambil menjegilkan
matanya yang sedia bulat itu.
“Ye lah, ye lah.” Balas Ijat
lalu terus menuju ke singki untuk membasuh tangan.
“Aik? Dah habis makan?”
“Dah kenyang.” Balas Ijat
pendek. Ijat sebenarnya malas untuk mendengar bebelan ibunya yang jika semakin
dilayan semakin berjela-jela pula jadinya.
Tanpa melengahkan masa,
Ijat segera melakukan apa yang disuruh oleh ibunya dan selesai tugas tersebut
dia terus mencapai basikal tua milik ayahnya dan mengayuh secara perlahan-lahan
agar tidak didengari oleh ibunya.
“Ijat!!”
Terdengar sahaja laungan
ibunya, Ijat lantas mengayuh laju-laju basikal tersebut lalu meninggalkan
pekarangan rumah.
*****
Ijat menggaru kepalanya yang tidak
gatal. Entah mengapa sehingga kini dia masih tidak mendapat sebarang pekerjaan.
Malu juga dia dengan kawan-kawan sekampungnya yang rata-ratanya sudah pun
berhijrah dan mendapat pekerjaan. Ijat
juga sebenarnya mahu juga keluar dari kampung dan memegang jawatan yang bagus.
Lagipun dia juga mempunyai kelayakan yang melayakkan dia untuk memegang jawatan
yang bagus seperti rakan-rakannya yang lain juga tetapi sehingga kini rezeki
masih belum berpihak kepadanya.
“Kau
buat bisnes jual nasi lemak je la Ijat.” Cadang Din yang merupakan rakan
sekampung Ijat.
Mereka berkawan baik
sejak di bangku sekolah rendah lagi. Kini Din melakukan kerja sendiri dengan
menjual burger. Din sendiri membuat keputusan untuk terus tinggal di kampung dan
membuat apa sahaja jenis pekerjaan asalkan halal.
“Aku
tak minat la kerja masak-masak ni. Ni kerja orang perempuan tau.” Balas Ijat
lantas menggeleng kepala.
“Kau
ni ada pulak fikir macam tu. Sebab tu lah otak kau tak berkembang. Kau cuba je
dulu buat bisnes kecil-kecilan macam jual nasi lemak, mi goreng ke. Kau nak
tumpang warung aku pun boleh. Aku tak kisah.” Din nampaknya serius dengan
kata-katanya.
“Tak
mahu la. Nanti hilang la kehenseman aku kalau jual nasi lemak.” Ijat tetap
berkeras. Din sekadar mampu menggeleng.
*****
“Assalamualaikum bang.”
Ijat
terpinga-pinga apabila disapa oleh suara kanak-kanak memberi salam. Dialihkan
wajahnya ke sebelah kanan. Seorang budak lelaki berbaju T-shirt putih dan berseluar track hitam memandangnya sambil
tersengih.
‘Ish,
dah berapa lama aku termenung kat sini. Kalau mak tahu ni, habis aku.’ Ijat
mula risau apabila teringatkan wajah ibunya.
“Waalaikumussalam.”
Jawab Ijat setelah mengambil masa beberapa saat untuk mengenali kanak-kanak
tersebut.
Kanak-kanak itu sering
kali dilihat menjual pelbagai jenis kerepek dari rumah ke rumah. Ijat tahu
kanak-kanak itu hidup susah, dan kesusahan itu dapat dilihat terus daripada
pakaiannya yang lusuh. Ijat juga perasan ibunya ada juga membeli beberapa kali
kerepek dengan kanak-kanak tersebut walaupun pada hakikatnya ibunya sendiri
tidak meminati kerepek. Kesudahannya, Ijat yang menghabiskan kerepek-kerepek
tersebut jika tidak, mungkin kerepek itu
terbiar dan berkulat. Rugi.
Kanak-kanak itu memegang sebuah
bakul lalu menunjukkan isi yang terkandung di dalam bakul tersebut satu persatu
kepada Ijat.
“Bang,
ni ada macam-macam jenis kerepek ni bang. Ada kerepek pisang tanduk. Kerepek
ubi pun ada bang. Abang nak beli tak? Murah je bang. RM1 je satu bang.” Bagai bertih
jagung kanak-kanak tersebut mempromosikan barangan jualannya.
Ijat
memandang kosong ke arah kerepek-kerepek yang masih dipegang kanak-kanak
tersebut.
“Adik
tak pergi sekolah ke?” tiba-tiba terpacul soalan yang tidak diduga dari mulut
Ijat.
“Saya
hidup susah bang. Tak ada duit nak bayar yuran.” Jawab kanak-kanak itu berterus
terang.
Tiba-tiba
ada satu perasaan sayu hinggap di hati Ijat tatkala melihat kanak-kanak
tersebut yang tidak lekang dengan
senyuman itu.
“Err,
berapa ye?” Tanya Ijat lagi.
“RM
1 je bang.” Ulang kanak-kanak tersebut masih juga tersenyum.
Ijat
meraba poket seluarnya, mana la tahu jika ada duit terselit. Ijat memandang
lagi kanak-kanak tersebut.
“Minta
maaf dik, abang tak ada duit.” Jawab Ijat dan dia tahu jawapan itu pasti akan
mengecewakan kanak-kanak tersebut.
“Tak
apa bang.” Balas kanak-kanak itu dan mula untuk beredar dari situ.
“Dik,
sekejap dik.” Panggil Ijat semula lantas kanak-kanak itu berpaling semula
memandang Ijat.
“Nanti
abang ambil duit sekejap. Adik tunggu kat sini ye.”
Ijat
lantas mengayuh basikal tua dalam keadaan tergesa-gesa. Jelas dapat dilihat
wajah kanak-kanak itu yang terpancar kegembiraan. Dalam perjalanan pulang ke
rumah, bermacam perkara yang Ijat fikirkan. Kesungguhan kanak-kanak tersebut
mencari rezeki walaupun di usia yang masih muda cukup menginsafkan Ijat.
Kesempitan hidup yang dilalui membuatkan kanak-kanak itu tekad mencari rezeki
walaupun terpaksa mengorbankan masa depan sendiri. Berbeza benar dengan
dirinya.
*****
“Wah,
makin maju jualan popia kau ni Ijat. Kalah burger aku.” Puji Din melihatkan
kesungguhan Ijat membungkus popia.
“Sikit-sikit
je Din. Modal ni pun aku pinjam dengan mak abah aku tau.” Ijat ketawa mengekek.
Ijat
masih teringat bagaimana dia berusaha untuk meyakinkan ibu dan bapanya bahawa
dia bersungguh-sungguh ingin membuat bisnes.
“
Betul ke ni Ijat? Entah-entah barang apa la yang kau nak beli.” Kata Temah
penuh perasaan curiga. Bukannya Temah tidak mempercayai anaknya itu tetapi
Temah sedikit pelik dengan sikap Ijat yang tiba-tiba meminta duit.
Kini
walaupun bisnesnya masih terlalu baru, tetapi Ijat tekad untuk berusaha.
Kesungguhan kanak-kanak penjual kerepek yang dijumpai sebelum ini benar-benar membakar
semangat Ijat.
Kini
Ijat mula dikenali sebagai ‘jejaka popia’ di kampungnya.