Home Cerpen Umum Nilai sebuah hantaran
Nilai sebuah hantaran
Nik Zah
7/12/2017 22:09:48
3,557
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

"Kamu tak rasa malu ke Hani?"

            Aku menunduk. Aku sudah dapat menjangkakan butir bicara yang akan terkeluar dari mulut mama lagi. Mesti perkara yang sama, dan ianya akan tetap diperbincangkan entah bila akan berakhir.

            Aku tidak terfikir bahawa isu ini akan reda beberapa detik waktu lagi, malah apa yang aku jangkakan ialah sebaliknya malah pasti semakin marak lebih-lebih lagi apabila melibatkan saudara mara termasuk  jiran sebelah menyebelah.

            "Tu lah, dulu kononnya kata nak tunggu yang sepadan. Sanggup tunggu bertahun-tahun sampai jadi anak dara tua," bebel mama. Aku cuba pekakkan telinga kerana sedar jika aku membalas, mama pasti akan terus berleter. Aku juga masih menghormati mama yang telah banyak berjasa kepadaku sejak aku kecil sehingga kini. Aku sebenarnya sudah terlalu biasa mendengarkan ungkapan anak dara tua daripada bebelan ibuku.Ini gara-gara kerana usiaku sudahpun menginjak 'dewasa' atau istilah lain memang sudah patut berkahwin tetapi masih tidak berumahtangga sedangkan adik-adikku sudahpun mempunyai kehidupan sendiri. Nasib baik adik-adikkku tidak pernah menyoal tentang hal itu dihadapanku. Mungkin mereka risau jika aku terasa hati atau mungkin mereka risau jika aku melakukan perang ‘mogok’ dengan mereka. Jika aku sudah melancarkan perang, jangan harap mereka dapat meminjam duit denganku lagi. Jahat kan aku.


Jiran-jiranku juga tidak berhenti bertanya tentang kehidupanku. Mereka juga hairan mengapa aku masih tidak berumahtangga sedangkan jika dilihat dari luaran tiada cacat celanya aku. Aku juga mempunyai kelayakan dan kerjaya yang boleh dibanggakan,dan disebabkan itu juga terdengar desas desus yang mengatakan aku terlalu memilih yang sama kelayakan denganku ataupun memilih orang yang berada.Memang nak kena cili mulut tak dipasang insurans seperti itu, hanya tahu membuat andaian sendiri tanpa mengetahui hal sebenar.

            Disebabkan tanggapan itu juga, ada beberapa duda  yang jauh berusia daripadaku  telah datang merisik menanyakan tentangku. Mereka sememangnya berusia tetapi mempunyai harta yang banyak. Mungkin mereka sekadar mencuba nasib tetapi aku segera menolak. Aku tidak mahu menerima seseorang tanpa usul periksa. Bagiku biarlah aku lewat berkahwin asalkan jangan sampai tersalah pilih! Nanti aku yang merana sampai ke tua.

            Jika diikutkan dari segi faktor zaman kini, usia sepertiku bukanlah dikira terlalu  lewat untuk berumahtangga kerana beberapa orang kenalanku juga masih belum berumahtangga. Walaupunbegitu, mereka  tidak memikirkan itu sebagai satu masalah yang besar kerana keluarga mereka juga tidak mendesak.Mungkin nasibku agak berlainan daripada mereka. Dalam hal ini, mereka boleh dikatakan agak beruntung jika dibandingkan denganku. Pernah aku diketawakan oleh mereka apabila aku memberitahu masalah ku ini apabila sering dilihat kelihatan gelisah.Mana tidaknya, hampir sahaja aku ditunangkan dengan pak cik yang sebaya dengan ayahku sendiri. Nasib baik salah seorang adik lelaki ku cuba memujuk mama untuk tidak meneruskan rancangan itu. Kata mama, orang tua itu baik orangnya, selalu ke masjid. Oh no! Kalau mama berkenan kenapa bukan mama sahaja yang berkahwin dengannya?  Agaknya mahu kena hempuk dengan lesung batu kalau aku bercakap seperti itu di hadapan mama.

Kadang-kadang aku terfikir mahu sahaja tinggal seorang diri di Kutub Utara daripada asyik perlu mengadap pertanyaan yang tidak berkesudahan ini. Mana la tahu yang sebenarnya jodohku dengan beruang kutub! Haha..

            Aku pernah memberikan tempoh dua tahun lagi daripada ibuku untuk menamatkan zaman bujang. Aku memerlukan masa untuk mencari pasangan hidup, dan bukannya bersikap hentam keromo sahaja.Malangnya tempoh dua tahun itu sudahpun berlalu dan kini aku masih keseorangan.Mama semakin runsing dengan keadaanku.

            "Jom pergi rumah Mak Esah," ajak mama pada suatu hari.

            "Buat apa?" tanyaku terpinga-pinga.

            "Mandi bunga," jawab ibuku bersahaja.

            Terlopong sebentar mulutku mendengarkan kata-kata mama. Aku sudah dapat menangkap apa maksud sebenar mama.Kali ini sudah dua kali ibu memberi saranan kepadaku untuk mandi bunga. Memang mama nampaknya tak sabar-sabar lagi mahu anaknya seorang ini diambil orang.

            "Mama. apa ni mama," aku menolak. Aku tidak mahu menuruti ibuku. Apa kena mengenanya mandi bunga dengan keadaanku sekarang. Seperti yang telah dijangkakan, mama terus membebel kepadaku. Walaupun begitu, aku mengambil langkah yang selamat, berdiam diri.

****

Pada suatu hari, aku melihat wajah mama tidak sekeruh seperti sebelumnya. Waktu itu aku baru pulang dari kerja. Memang aku masih tinggal dengan kedua ibu bapaku sehingga kini. Aku dapat merasakan ada khabar gembira yang ingin mama sampaikan kepadaku.

            "Baru balik?" tanya mama di muka pintu. Seperti biasa aku bersalam dengan mama dan mencium tangannya.

            "Mama senyum-senyum ni mesti ada apa-apa yang mama sorok kan," teka ku apabila melihat wajah mama.Kebiasaannya mama suka mempamerkan secara ekspresi muka tentang perasaannya samada marah, gembira atau sedih. Semuanya jelas terlukis di wajah mama.

            Mama menepuk pahaku sebaik sahaja duduk di kerusi sebelahku.

            "Tadi ada yang datang nak tengok kamu," jelas mama. Aku terdiam. Siapa pula kali ini? Duda tua lagi?Aku pejamkan mata dan mengeleng-geleng kepala berharap ianya bukanlah satu kenyataan.

            "Hei, mama belum habis cakap lagi kamu dah tergeleng-geleng kepala. Dengar dulu!" marah mama apabila melihat reaksiku. Segera aku membuka mata.

            "Ye mama, Hani dengar,"aku  mula mengambil perhatian tentang apa yang ingin dibicarakan oleh mama walaupun perasaan berdebar semakin kuat melanda diriku.

            "Haji Yakub dengan isterinya datang. Katanya nak jodohkan kamu dengan anaknya," jawab mama.

            Haji Yakub? Tidak pernah pula aku mendengar nama itu.


"Mereka tu kawan lama ayah kamu. Tak percaya, nanti cuba tanya ayah kamu sendiri.Datang tadi katanya nak ziarah tapi tersasul pula sebut pasal hal ni. Kebetulan anak mereka juga masih bujang," terang mama panjang lebar supaya aku dapat memahami kedudukan sebenar.

            Aku mula berasa tidak sedap hati.Mama nampaknya begitu bersungguh-sungguh menceritakan hal itu sedangkan fikiranku sudahpun melayang ke perkara lain.

            "Kamu terima tak?" cuit mama dengan senyum lebar. Terkejut aku dengan pertanyaan mama. Apa jawapan yang paling sesuai hendak aku berikan kali ini? Aku tidak mengenali mereka malah anaknya juga, aku teragak-agak untuk menjawab.

            "Biarla Hani  fikir dulu kalau ye pun," muncul ayah tiba-tiba sekaligus menerbitkan perasaan lega dihatiku. Nampaknya ayah lebih memahami. Aku lihat muka ibu masam.

            "Mereka pun tak pernah kenal,macamana Hani  nak terima macam tu je?" sambung ayah mengerling ke arahku.

            "Tadi pun mereka ada cerita serba sedikit pasal anaknya. Katanya anaknya peguam" balas mama. Nada suara mama kedengaran ada sedikit terselit perasaan bangga.

            "Memang la anaknya peguam,tetapi perangai anak mereka pun  kita tak tahu. Kenal pun tidak dengan anaknya tu," ayah seolah-olah membelaku. Akumenarik nafas lega.


"Apa susahnya. Kita kenalkan mereka, lambat laun mereka serasi la," mama nampaknya tidak mahu mengalah dengan ayah.

            “Hani tak berminat. Muktamad.” Tanpa sedar aku membuat keputusan drastik dengan muka yang bersahaja.

            Sebelum keadaan menjadi semakin tidak terkawal, aku melangkah perlahan-lahan masuk ke dalam bilik. Aku dapat mendengar suara tidak puas hati mama kerana aku menolak mentah-mentah saranannya.

****

            Sejak aku membuat keputusan untuk menolak saranan mama untuk menerima anak Haji Yakub, mama tidak lagi berbincang mengenai hal jodoh denganku. Mungkin mama sudah berjauh hati dengan sikapku ataupun mama sendiri sudah bosan menunggu jodoh anaknya seorang ini yang masih belum sampai. Sedikit sebanyak aku lega kerana aku tidak perlu lagi pening kepala dengan hal itu. Bagiku urusan jodohku, biarlah ia datang sendiri.

            Setelah sekian lama berlalu,akhirnya pintu hatiku terbuka kepada seorang pemuda yang kelihatannya ikhlas menerimaku. Mempunyai paras rupa dan tahap pengajian yang sederhana, hal itu tidak membawa masalah kepadaku. Tidak mengambil masa yang lama untuk berkenalan, pemuda itu mengambil keputusan untuk berjumpa mama dan ayah.

            "Dah lama kenal Hani?"tanya mama. Aku yang berada di dalam bilik cuba mendengar perbualan mereka.


"Baru beberapa bulan" jawab Iman, iaitu pemuda yang berjaya membuka hatiku.

Aku tidak mendengar apa-apa perbualan lagi selepas itu. Aku mula resah.

            "Kamu kerja apa?"kedengaran suara mama memecah kesunyian.

            "Kerja biasa-biasa je makcik.Ni pun belum tetap lagi,"

            Aku mula berdebar. Apakah reaksi mama tatkala mendengar jawapan Iman sebentar tadi? Aku cuba mengintai disebalik ruang yang sedikit terbuka. Kelihatan mama menjeling ayah. Ayah pula seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.

            "Betul kamu sukakan Hani?"kali ini giliran ayah pula yang bertanya.

            Iman kelihatan malu-malu untuk mengiakan pertanyaan ayah.

            "Kalau betul, kamu bawalah mak ayah kamu ke sini bila-bila senang," jawab ayah bersahaja. Aku lihat mama seperti tidak berpuas hati. Iman pula tersenyum lebar. Tidak lama kemudian mereka bersalaman selepas Iman meminta izin untuk pulang.

            Selang tidak berapa lama kemudian,keluarga Iman datang ke rumahku dengan kedatangan berhajat. Ayah menerima kedatangan mereka dengan senyum lebar, berbeza pula dengan mama. Aku cuma mampu berdoa semoga semuanya berjalan dengan lancar.

****

            "Sudah-sudah la tu, sebelum ni beria benar awak nak Hani tu naik pelamin. Sekarang ni bila Hani dah jumpa jodoh dia, awak masih bising-bising lagi. Apa lagi yang tak kena ni?"

            Hairan ayah dengan kelakuan mama. Ada sahaja yang tidak kena di mata mama. Begitulah keadaan mama semenjak kedatangan keluarga Iman. Aku mengetahui apa sebenarnya yang mama fikirkan. Mama sebenarnya malu namun apa yang hendak ku katakan jika itu sememangnya rezeki aku. Setiap orang mempunyai rezeki masing-masing termasuk juga aku tetapi mama seolah-olah tidak dapat menerimanya.

            "Itulah padahnya kalau lama sangat membujang.Ini la jadinya,saya dah agak," mama masih tidak berhenti membincangkan hal itu. Aku pula tidak mampu berkata apa-apa. Mama terus-terusan menyalahkan aku akan hal ini.

            Berita kedatangan keluarga Iman ke rumahku sudah mula tersebar di kalangan jiran-jiran di taman perumahanku.Seperti biasa, mereka cuba mengorek rahsia daripadaku seolah-olah aku dalam penyiasatan polis. Terpinga-pinga aku ingin menjawab soalan mereka. Mereka juga bukanlah orang asing denganku, sebilangan daripada mereka merupakan sanak-saudaraku juga. Tetapi aku tidak suka dengan ragam mereka itu yang suka mensensasikan sesuatu berita.

            "Tu dia dah balik, cuba lah tanya dia sendiri," aku terdengar suara mama dari jauh ketika aku keluar dari perut kereta Kelisa milikku. Serentak aku melihat pandangan jiran-jiranyang sudah biasa ku kenali menerjah kepadaku.

            Mungkin mereka juga hairan kerana tempoh perkenalan yang singkat, terus membawa ke jinjang pelamin dan tiada majlis pertunangan bakal diadakan. Segalanya serba pantas. Ini semua juga salah satu cadangan ayah. Hanya ayah yang lebih tahu atas tindakannya itu. Aku pula hanya menerima keputusan ayah dan tidak membantah.

           Bagiku,keputusan ayah itu sememangnya untuk kebaikan ku juga. Adik-adikku juga ada yang membantah dengan tindakan ayah yang dikatakan agak terburu-buru.

            Namun, aku tahu di sebalik itu,masih ada satu perkara yang membuatkan mama terkilan. Aku tahu mama inginkan yang terbaik untukku namun apa yang mama runsingkan itu bukanlah pengukur tahap kebahagiaanku. Mama juga mahu aku setanding dengan adik-adikku yang lain termasuk anak-anak jiranku yang lain. Semua itu pernah mama memberitahuku ketika leterannya masih panjang.

            " Anak Kak Lin si Tina tu pun bakal dapat duit hantaran berpuluh ribu. Apa kurangnya kamu dengan dia? " mama cuba membandingkan diriku dengan anak jiranku yang melangsungkan majlis pertunangan  pada minggu lepas. Mengenai anak jiranku itu, aku juga turut terdengar tentang hal itu. Sekalipun jika hal itu benar , ia tidak pula menjadi masalah bagiku. Itu sudah rezekinya, mengapa perlu diperbandingkan dengan orang lain.

            "Kalau nak di ukur dari segi pengajian pun, kamu lagi tinggi daripada dia. Itulah, mama dah agak. Ini lahjadinya kalau cerewet  sangat memilih.Memilih bukan main lama lagi,tengok apa yang kamu dapat" marah mama yang masih tidak reda.

            Termenung pula aku memikirkan perlakuan mama. Sebelum ini, mama agak marah-marah apabila aku lewat bertemu jodoh, kali ini ketika giliran jodohku sudah hampir tiba, mama masih juga marah-marah. Aku lihat reaksi ayah yang bersahaja, mungkin ayah juga tidak mahu memanjangkan hal ini.


"Kalau zaman mama muda-muda dulu sesuai la jumlah macam ni. Ni sekarang zaman dah berpuluh tahun dah berlalu,"mama membandingkan pula nilai hantaran mengikut zaman.

            “Tak apa lah mak.Tu dah rezeki dia.Rezeki Hani kemudian hari kita tak tahu. Mana tahu lebih baik kan.” Aku cuba memujuk mama dengan harapan mama tidak lagi bising-bising tentang hal ini.

            “Huh! Kerja pun terumbang ambing.”Kedengaran sinis kata-kata mama yang sememangnya membuatkan hatiku cukup lirih.Akutahu kata-kata itu ditujukan kepada Iman.

            Ingin sahaja aku menutup telinga mendengar bebelan mama namun aku masih menghormati mama sebagai ibu kandungku.Terkadang sayu juga hatiku memikirkan hal ini, namun aku cuba berfikiran positif dan menganggap ia akan membawa hikmah yang baik pada satu hari nanti.Mungkin dari segi luaran, Iman bukanlah seorang yang diselimuti kemewahan,ditambah pula kerjayanya juga masih tidak stabil. Namun keikhlasannya menerimaku di tambah dengan budi bahasanya membuatkan aku juga ikhlas menerimanya. Kadangkala aku juga takut jika ianya hanya indah khabar dari rupa,namun aku serahkan segalanya kepada Ilahi kerana Dia penentu segalanya.

            Tina sudah pun berkahwin. Aku juga turut menghadiri majlis perkahwinanya. Tidak lupa ku kirimkan hadiah untuknya.Aku tidak pasti samaada Tina sudi menerima hadiahku atau tidak tetapi biarlah keikhlasan hatiku ini hanya Tuhan yang tahu. Ku ukirkan senyuman buat Tina tetapi nampaknya Tina membalas senyumanku seperti dipaksa-paksa. Aku lihat majlis Tina sungguh gah dengan pelamin yang memukau pandangan. Baju pengantinTina juga bukan calang-calang. Biarlah, itu sudah rezekinya.

6bulan kemudian

 Benarlah bahawa manusia hanya mampu merancang,namun Tuhanlah yang menentukan segalanya. Sejak kebelakangan ini, mula terdengar desas desus yang tidak berapa enak didengar mengenai anak jirankuyang bernama Tina itu. Tidak dapat dipastikan kebenarannya, cuma apa yang tersebar ialah mengenai identiti sebenar suaminya yang sudah pun beristeri terbongkar. Dan apa yang lebih mengejutkan ialah suaminya itu salah seorang pengedar dadah. Aku cuma mampu beristighfar.Aku tidak tahu apa nasibku cuma aku mampu berdoa semoga kebaikan mengiringi perjalanan hidupku dan juga keluargaku.

Tamat..



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.