Home Novelet Islamik Rahsia yang tersimpan
Rahsia yang tersimpan
Nik Zah
9/6/2024 15:28:08
12,279
Kategori: Novelet
Genre: Islamik
Bab 8

Syikin bagitahu yang kau sakit. Kau sakit apa Ain?

Isya menghantar mesej WhatsApp kepada Ain yang nampaknya tidak berbalas. Sepanjang kelas Isya teringat apa yang dikatakan oleh Syikin tentang Ain. Katanya hari ini tanpa angin tanpa ribut Ain jadi marah-marah ketika baru pulang ke bilik. Entah apa yang membuatkan Ain marah juga tidak diketahui puncanya. Kata Syikin lagi Ain tidak mahu diganggu. Pelik pula perangai Ain hari ini.

Seingat Isya ketika kelas pagi tadi keadaan Ain baik-baik sahaja dan ceria seperti biasa. Selepas itu Ain tiba-tiba jadi marah-marah. Isya juga teringat bahawa Tini ada menyebut dia ternampak Ain di perpustakaan bersama Izwan. Mungkin Izwan ada membuat sesuatu yang membuatkan Ain marah-marah.

“Kau menung apa lagi tu Isya? Tak nak balik ke?”

“Eh kelas dah habis ke?”

Syikin menggeleng-geleng kepala. Hari ini sahaja kedua-dua rakannya nampak pelik sahaja perangainya. Ain dengan perangai marah-marah, Isya pula dalam keadaan termenung sepanjang kelas.

“Kau teman aku makan boleh?” pinta Syikin sebaik sahaja mereka berdua keluar dari kelas.

“Kau tak makan lagi?”

Syikin terus menggeleng.

“ Ain pun macam malas nak keluar makan tadi, jadi aku pun malas lah.”

“Adui, boleh pula makan nak ikut kawan. Boleh kebulur la kalau macam tu kan. Yelah, jom aku teman kau makan tapi kau kena belanja aku ABC la.” Isya sekadar berseloroh.

“Boleh saja,” Terus Syikin bersetuju menerima permintaan Isya yang sudah pun tersengih.

Dari kejauhan sayu-sayup kedengaran azan asar berkumandang.

*****

Isya tiba ke bilik ketika sudah lewat petang. Apabila dia membuka pintu bilik, dilihatnya Tini sedang membelek-belek buku yang sederhana tebal. Isya tertarik untuk mengetahui buku apa yang dibaca oleh Tini kerana beberapa kali juga Isya melihat Tini membaca buku yang sama.

“Buku tentang puasa. Tak lama lagi kita dah nak puasa. Ada beberapa perkara yang kadangkalanya boleh terlupa juga jika tidak diamalkan selalu.”

“Rajinnya. Semoga aku juga boleh jadi rajin macam kau.” Isya memuji Tini yang bersungguh-sungguh menceritakan perihal buku yang dibacanya.

“Selain daripada buku, boleh juga kita tambah ilmu dengan dengar ceramah dalam majlis ilmu. Awak biasa pergi tak sebelum ni?” Tini memandang tepat wajah Isya dan dia sudah pun menutup buku yang dibacanya tadi.

Kini perhatiannya diberikan kepada Isya.

“Pernahlah juga tapi entahlah, aku pun dah lupa waktu bila.” Isya agak segan juga untuk menjawab pertanyaan Tini lagipun siapa yang akan menemaninya untuk mendengar ceramah. Ain? Syikin?

“Kalau macam tu apa kata kalau minggu depan kita dengar ceramah sama-sama. Awak ada terpandang tak papan kenyataan kat bawah blok kita ni? Macam menarik juga tajuknya tentang mencari cinta sejati.”

Isya segera mengangguk dan Tini nampaknya gembira melihat Isya memberi reaksi seperti itu.

“Awak setuju nak dengar  ceramah tu?”

“Eh? Tak tahu lagi.”

“Tadi yang awak angguk tu?”

“Aku angguk sebab memang ada tengok kat board tu tapi hmm.apa tajuk ceramah tu?.” Isya meminta kepastian.

“Mencari cinta sejati.” Tini mengulang semula tajuk yang sudah disebut sebentar tadi.

“Kau pernah bercinta?” Tidak semena-mena soalan itu keluar daripada mulut Isya.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.