Home Novelet Islamik Rahsia yang tersimpan
Rahsia yang tersimpan
Nik Zah
9/6/2024 15:28:08
12,228
Kategori: Novelet
Genre: Islamik
Bab3-ii

Isya tiba terlebih dahulu di hadapan biliknya meninggalkan Tini yang jauh ke belakang. Mana tidaknya, gaya Isya berlari seperti ternampak hantu sehingga hampir terlanggar orang-orang sekeliling. Setibanya dia di hadapan pintu Isya menggagau begnya berkali-kali. Mukanya mula gelabah. Setiap zip beg dibuka namun kunci yang dicari tidak ditemui. Isya mendengus. Mesti tertinggal lagi. Antara mahu dengan tidak, akhirnya Isya terpaksa menunggu Tini pulang ke bilik untuk membuka pintu.

“Lama pulak Tini ni nak sampai ke bilik. Atau dia sebenarnya pergi singgah mana-mana dulu ni?”

 Isya meninjau-ninjau sekeliling untuk melibat bayang Tini yang masih tidak kelihatan. Timbul rasa menyesal kerana terus meninggalkan Tini tanpa sempat bertanya apa-apa.

“Nampaknya terpaksa la aku jadi tugu kat tangga ni dulu sementara tunggu Tini sampai.”

Berkali-kali Isya mendail nombor Tini tetapi gagal. Beberapa minit menunggu  akhirnya Tini muncul dalam keadaan sedang menjawab panggilan telefon daripada seseorang. Wajah Tini kelihatan ceria.

Melihatkan wajah Isya yang masam mencuka membuatkan Tini terus mengeluarkan kunci yang berada di dalam begnya. Setelah menjumpai kunci yang dicari, Tini segera memulas daun pintu kerana tidak mahu Isya menunggu lebih lama. Isya masih lagi memerhatikan tingkah laku Tini yang nampaknya dalam keadaan gembira walaupun sudah menamatkan perbualan di talian.  

“Kau singgah mana-mana ke tadi? Bukan ke kau kat belakang aku ke tadi?” Isya bertanya dengan nada tidak puas hati. Sengaja dia berpeluk tubuh menampakkan dia dalam keadaan serius.

“Oh, tadi saya singgah koperasi dulu. Lepas tu telefon ni berbunyi. Jawab call dulu kat bawah baru la naik ke bilik.” Tini menjawab pertanyaan Isya dengan jujur lagipun tiada apa yang perlu dirahsiakan.

“Patutlah lama. Berbual dengan buah hati rupanya.” Teka Isya namun segera disanggah oleh Tini.

“Eh, bukan. Ibu call tadi. Katanya nak datang petang ni. Saja datang melawat.”

“Saya ingat teman istimewa kau yang call sebab nampak ceria sangat tu.” Isya sekadar berseloroh. 

“Isy, tak adalah. Saya mana ada teman istimewa.” Sangkal Tini membuatkan Isya tersenyum sumbing.

“Ye ke?”

“Betul. Lagipun siapalah yang tak gembira kan bila parents nak datang melawat kan?” Bersungguh-sungguh Tini meyakinkan Isya.

Isya mengangguk namun tiba-tiba hatinya sayu. Dalam masa yang sama hati Isya sedikit cemburu apabila mendengarkan tentang ibu bapa Tini yang sering melawat Tini.

“Maaf kalau saya tanya, awak masih ada mak ayah kan?” Tini nampaknya berhati-hati untuk bertanya soalan itu.

“Mestilah ada tapi mungkin saja mereka tak perlukan aku,” jawab Isya dengan suara yang sayu.

“Kenapa pula cakap macam tu?”

“Entahlah, aku ni tak beruntung macam kau. Itu saja.” Isya seolah-olah malas untuk meneruskan perbualan.

“Cubalah hubungi mereka. Mana tahu mereka sebenarnya rindu.”

Isya ketawa mendengarkan kata-kata Tini. Rindu? Agak lucu bunyinya.

“Tak pun cubalah bagi apa-apa hadiah buat mereka misalnya?” Tini masih cuba memberikan cadangan tetapi disambut dengan gelengan oleh Isya.

“Mereka dah ada segalanya. Tak perlu hadiah lagi.Hmm, tak payahlah kau nak bagi apa-apa cadangan lagi ye. Aku lebih kenal mereka.” Isya segera menamatkan perbualan.

Dicapai telefonnya untuk melihat sebarang mesej masuk. Rupa-rupanya ada satu mesej yang tidak dibaca yang datangnya daripada Syikin.

‘Jom keluar petang ni. Ain berbesar hati nak belanja kita. Kat tempat biasa lah’

Belanja? Isya tersenyum lebar. Ada-ada saja rancangan Syikin. Entah ya atau tidak dia pun tak tahu yang penting dia ada aktiviti yang boleh dibuat dan tidak hanya terperuk di bilik ataupun setidak-tidaknya dia tidak akan melihat babak manis antara Tini dengan kedua ibu bapanya.

Tiba-tiba Isya teringat sesuatu dan membuatkan senyumnya mati. Mungkin saja Syikin dan Ain ada merancang sesuatu seperti sebelum ini. Hatinya tiba-tiba tawar untuk menuruti ajakan Syikin kali ini.


*****

“Aku rasa dia tak datanglah.” Syikin melihat mesej yang dihantar kepada Isya sebelumnya itu tidak berjawab.

Ain memandang Izwan yang nampaknya dalam keadaan tenang-tenang sahaja. Mungkin sahaja Izwan tidak mendengar ayat yang dilontarkan oleh Syikin tadi atau Izwan buat-buat tidak dengar.

“Izwan, kau okey?” tanya Syikin sekadar mahu melihat reaksi Izwan.

“Okey je. Lagipun aku kan ada kau semua. Small matter.” Izwan menjawab dengan tenang.

“Kau tak kisah kalau Isya tak datang?” Syikin bertanya sekali lagi untuk meminta kepastian.

“Betul. Tak kisah pun. Lagipun masa masih panjang.”

“Apa maksud kau?”

“Banyak pula soalan kau kali ni Syikin. Maksud dia, dia tak kisah kalau Isya tak datang hari ni sebab nanti-nanti pun boleh cuba lagi.” Ain cuba menjawab bagi pihak Izwan.

You are brilliant.” Puji Izwan membuatkan Ain tersenyum bangga.

Isya memandang jam di telefon bimbitnya. Nampaknya Syikin dan Ain tidak putus-putus bertanya soalan mengapa dia tidak mengikut ajakan mereka untuk keluar.

‘Mesti mereka sedang bergembira sekarang ni.’ Teka Isya lalu tangannya segera membuka laman sosial miliknya untuk melihat perkongsian rakan-rakannya di alam maya.

‘Kan aku dah cakap.’

Isya terpandang gambar Ain, Syikin, Izwan serta Khairul dan Hafiz yang baru sahaja dimuatnaik ke dalam media sosial masing-masing. Melihatkan wajah Izwan yang ada diantara mereka membuatkan Isya mula berfikir sesuatu. Isya mesti mencari satu kepastian dan tidak mahu berteka-teki lagi tentang kewujudan Izwan yang tiba-tiba ini. Adakah ini memang suratan atau sesuatu yang dirancang? Isya mula berteka-teki sendiri.


Previous: Bab 3
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.