Home Novelet Cinta Dia Bukan Arissa 'Raya'
Dia Bukan Arissa 'Raya'
Syaida Ilmuna Ismail
18/7/2014 22:10:11
48,119
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
PART 4

4

“MAK JAH, oh Mak Jah!”

Adam yang laju menuruni tangga ke tingkat bawah menjengah ke dapur. Kelibat Mak Jah dicari-carinya ke pelosok dapur. Tak ada! Mana pulak Mak Jah ni pergi pagi-pagi kelam ni?

“Mak Jah!” jerit Adam lagi.

“Encik Adam…” Mak Jah yang baru masuk ke dalam ruangan dapur tersentak melihat keberadaan Adam Farhan mencari-carinya. Ada apa hal pula ni? Puan Arlisa dah beritahu apa-apa mengenai hal semalam ke?

“Haa… Mak Jah! Saya ingat Mak Jah ke pasar beli barang untuk masak berbuka. Saya nak tanya ni…” Adam mengerutkan dahinya dan mula memperlahankan nada suara. “Semalam isteri saya tidur seorang ke? Anak-anak semua tidur dengan Mak Jah?”

“Ya, encik…” Tangan Mak Jah sudah terketar-ketar. Kalau Encik Adam tanya lebih-lebih, memang aku akan beritahu hal sebenar!

“Lisa… dia tidur tak bangun-bangun tau. Saya cuba gerak dia tapi dia cakap dia nak rehat lagi… Saya risaulah, kut-kut dia merajuk dengan saya ke. Makan pagi pun tak nak,” ucap Adam berhati-hati. Bimbang mamanya mencuri-curi dengar dari belakang. Nanti mama persalahkan dia pula sebab pulang lewat semalam.

“Err… umm…” Wajah Mak Jah mulai pucat lesi. Habislah! Habislah kalau Encik Adam tahu yang mereka mendiamkan saja mengenai perihal semalam tanpa memberitahunya sepatahpun!

“Mak Jah? Kenapa sebenarnya ni? Lisa marah dengan saya ke?”

“Bukan! Bukan tu sebenarnya…”

Bunyi suara Anissa yang merengek nangis menangguhkan bicara Mak Jah. “Encik Adam, Mak Jah tengokkan Anissa sekejap ya.”

Mak Jah menikus pergi tanpa mengakhiri kata-katanya. Adam pula hanya mampu terdiam sambil merenung kelibat orang tua menghilang dari pandangan. Ada yang tidak kena di mana-mana ni!

***

ARLISA mendodoi-dodoikan Anissa di buai. Rambut nipis anaknya itu dibelai. Ya ALLAH, lindungilah Anissa dari sebarang bahaya. Anaknya tidak bersalah! Yang bersalahnya dia. Dialah pembawa segala masalah yang bukan-bukan ke dalam keluarga ini.

“Arlisa?” Mak Jah terkejut melihat keberadaan Arlisa di kamar Ameera. “Dah bangun? Nak sarapan tak Mak Jah buatkan?”

“Tak apalah Mak Jah… saya tak berselera.” Arlisa mengeluh halus. Pandangannya menunduk ke lantai. Peristiwa semalam masih menghantuinya.

“La… kenapa? Masih teringat-ingat lagi tentang hal tu? Lisa, Mak Jah rasa baik Lisa beritahu aje Adam tentang masalah ni. Kalau berdiam begini, masalah tak selesai. Tadi Adam baru bertanya Mak Jah… kenapa Lisa diam dengan dia? Bangun tak mahu. Makan tak mahu. Dia ingat Lisa merajuk dengan dia,” luah Mak Jah.

Arlisa menggeleng-gelengkan kepalanya. Matanya mula berkaca. “Tak tahulah Mak Jah. Saya ni tak ada kekuatan lagi nak beritahu dia pasal hal semalam.”

“Hal apa ni, Lisa?”

Arlisa dan Mak Jah berkalih ke pintu kamar yang renggang. Puan Murni menjengah ke kamar Ameera dengan wajah yang curiga.

“Hal apa yang Lisa risaukan sampai tak makan, tak nak bangun dari tidur?” soal Puan Murni lagi.

Arlisa menelan air liurnya. Pandangannya beralih pada Mak Jah yang sudah sedia menggigil.

“Jah? Kenapa diam? Apa masalahnya ni? Cuba cerita dengan saya!” Puan Murni tidak tahan dengan kebungkaman Arlisa dan Mak Jah. Dah macam orang bisu mereka berdua ni.

“Puan… sebenarnya…”

Arlisa menggeleng-geleng pada Mak Jah. Air matanya sudah menitis lebat.

“Astaghfirullah! Lisa?” Puan Murni memeluk tubuh kurus Arlisa erat. Belakang menantunya itu diusap-usap perlahan. “Beritahu mama, apa yang terjadi?”

Dalam sedu-sedan Arlisa melepaskan rangkulannya dari Puan Murni. Tangan wanita itu digenggamnya erat. “Kamal datang ugut Lisa semalam.”

“Hah? Kamal mana ni?” Puan Murni kaget mendengar nama tersebut. Nama itu pernah meniti di bibirnya namun dia lupa atas sebab apa.

“Kamal yang peras ugut Encik Adam dan Arman tulah, puan!” celah Mak Jah yang tidak tahan untuk meluahkan segala isi cerita.

“Astaghfirullah… Kamal yang ugut dua juta tu ke? Dia nak apa? Kenapa tak beritahu kami semalam? Ya ALLAH, Mak Jah telefon aje si Adam tu. Biar dia report polis! Masukkan si Kamal tu ke dalam jel. Dia apa-apakan Lisa dan Mak Jah tak? Cucu-cucu saya macam mana?” kata Puan Murni emosi.

“Itulah puan. Memang saya nak telefon tapi Lisa ni menegah. Nasib baiklah dia tak buat apa-apa pada cucu-cucu puan. Tapi dia berkasar dengan Lisa dan dia juga ikat saya dan Siti kat dapur!” cerita Mak Jah beriya-iya.

Arlisa hanya mampu menangis dan tidak lagi punya kekuatan untuk berbicara. Kata-katanya bagai ditenggelami air mata yang jatuh mencurah-curah.

“Lisa! Kenapa Lisa buat macam ni sayang? Beritahulah mama, Adam… Fida dan suami dia pun ada semalam… kenapa nak diam macam ni? Ya ALLAH, nasib baik tak ada apa-apa terjadi kepada Lisa dan anak-anak,” kesal Puan Murni. Kepala Arlisa yang bersanggul tinggi itu dielus lembut. Masih terkejut agaknya si Arlisa ni.

“Lisa tak nak peningkan kepala Adam…” ucap Arlisa tersedu-sedan. “Lisa ni banyak menyusahkan mama dan Adam. Kami adik beradik ni memang tak pernah buat mama dan Adam hidup senang!”

“Ya ALLAH!” Puan Murni menggeleng-geleng. “Antara Lisa dan Arissa tu banyak bezanya tau! Tak payah nak samakan Lisa dan arwah. Yang penting sekarang ni kita kena cakapkan hal ini dengan Adam. Ini masalah kita sekeluarga. Bukan masalah Lisa seorang saja.”

“Puan baik cepat-cepat! Si Kamal tu cakap dia beri masa tiga hari aje untuk dapatkan RM 1 juta untuk dia. Kalau lambat… dia nak culik Anissa lepas tu jual cucu puan untuk dapatkan duit,” kata Mak Jah.

Hampir nak tercabut jantung Puan Murni mendengarnya. “Gila si Kamal tu! Nak jual cucu aku? Sebelum dia buat benda-benda tak elok… baik mama cakap dengan Adam dan Arman tentang hal ni. Nanti bila Adam dah balik kerja, awak beritahu saya ye Jah.”

Mak Jah mengangguk laju. Manakala Arlisa pula hanya menurut kata Puan Murni. Dia sudah tiada daya nak berbuat apa-apa. Tambahan pula dengan keadaannya yang tak mampu nak bergerak jauh. Nak keluar rumah pun tak boleh! Apatah lagi nak ke pejabat dan bincangkan hal ini dengan Adam secepat yang mungkin.

***

SOFEA menguak buka pintu kamar pejabat Adam. Kosong? Takkan tak sampai pejabat lagi? Sambil mengeluh berat, Sofea melangkah masuk ke kamar lelaki yang menjadi pujaan hatinya itu tanpa segan. Biarlah dia menanti Adam sekejap di sini. Nanti boleh mereka berbual-bual kosong masa untuk mengisi waktu makan tengahari nanti. Untung juga Arlisa berpantang di bulan Ramadan. Bolehlah dia ambil masa ini untuk masuk jarum ke hati Adam.

Sedang Sofea leka berimaginasi akan dirinya dan Adam, Vivian masuk ke dalam kamar pejabat tersebut. Pembantu peribadi Adam itu meletakkan sepucuk surat berwarna putih ke atas meja dan meninggalkan Sofea sendirian semula.

Surat tersebut dicapai Sofea. Tiada nama pengirim dinyatakan di atas surat tersebut. Kemungkinan besar ini surat peribadi. Tulisan tangan yang tertera di atas surat itu pula tampak seperti tergesa-gesa. Hmm, tak salah kut kalau tengok sikit aje? Nafsu jahat Sofea berbisik.

Sofea mengoyak surat tersebut buka. Isinya diluahkan di dalam hati.

Encik Adam,

Masih ingat lagi akan saya? Bekas kekasih isteri Encik Adam, Arlisa. Saya yakin Encik Adam takkan dapat lupakan saya bukan? Sejuta ringgit duit Encik Adam melayang demi menyelamatkan maruah keluarga Encik Adam kerana skandal adik beradik kembar tu.

Kali ini saya kembali lagi. Saya mahukan RM 1 juta yang Encik Adam tipu saya tu. No negotiation! Jumpa lagi tiga hari. Apa-apa nanti saya akan contact isteri Encik Adam yang cantik menawan tu.

Jangan ingkari arahan saya! Kalau tak, anak Encik Adam yang baru lahir tu akan saya culik dan jualnya dengan harga yang amat lumayan. See you in the next three days starting from today.

Sofea menekup mulutnya rapat. Kamal? Kamal ada di Malaysia selepas hampir dua tahun menghilang? Bekas kekasihnya itu kini memeras ugut Adam Farhan sebanyak RM 1 juta lagi! Gila. Mamat ni memang sengkek dan pemalas!

Namun tiba-tiba suatu idea datang menerjah ke minda Sofea. Perancangan yang dia rasa amat sesuai untuk menangguk di air yang keruh demi memuaskan kehendak hatinya. Tanpa berfikir panjang, Sofea memasukkan surat yang dikirim Kamal tadi ke dalam beg tangannya. Dia kemudian keluar dari kamar pejabat Adam dan terus menuju ke lif.

Arlisa oh Arlisa! Jodoh kau dan Adam takkan lama.

***

Previous: PART 3
Next: PART 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaida Ilmuna Ismail