2
MAJLIS
berbuka puasa di kediaman Datuk Zahari dan Datin Halimah, ibu dan bapa kepada
Sofea berjalan dengan lancar. Pelbagai juadah yang menyelerakan disediakan di
majlis tersebut sehingga ada di antara tetamu yang hadir mula terasa culas
untuk mendirikan solat maghrib setelah menikmati makanan yang berat.
Namun perkara ini tidak berjangkit kepada
Adam Farhan dan Dr. Zufri. Masing-masing hanya memilih untuk berbuka dengan
sebiji tamar dan air kosong segelas. Sesudah itu mereka pantas mengerjakan
solat secara berjemaah bersama seorang ustaz yang telah dijemput khas untuk
menyempurnakan majlis berbuka dan tahlil arwah di kediaman tersebut.
Fida dan Puan Murni juga turut serta
bersama Adam Farhan dan Dr. Zufri. Mereka tidak mahu menjadi salah satu jemaah
kolestrol yang makan sampai tak ingat dunia. Setelah selesai solat maghrib,
mereka menjamu selera semula.
Sofea yang manis berjubah biru
terintai-intai Adam Farhan sekeluarga menjamu selera di bawah khemah kuning
hadapan rumahnya. Arlisa tiada! Sah rancangannya untuk bermesra-mesraan bersama
Adam Farhan pada malam ini bakal berjalan lancar. Abaikanlah Fida dan Puan
Murni. Apa yang mereka boleh katakan kepadanya di hadapan abah dan mama? Dia
orang berkedudukan kalau nak dibandingkan dengan Puan Murni yang tidak
berpangkat itu.
“Hai Adam!” Sofea memberanikan diri
menegur Adam Farhan yang sedang khusyuk menikmati nasi kerabunya.
Puan Murni dan Fida mendongakkan
kepala. Tak sangka betul, desis hati mereka. Berani pula si Sofea ni buat
perangai depan mereka. Mentang-mentanglah Arlisa tak ada!
“Hmm…” Adam buat-buat tak endah.
Pandangannya menjurus kepada nasi kerabu yang hampir separuh habis.
“Dah nak habis makan ke? Puan Murni,
Fida and… doctor? Sedap makanan catering
ni? My parents order dengan catering terbaik kat KL ni tau…” bicara
Sofea sambil tangannya menggeletis ke bahu dan tengkuk Adam.
Puan Murni mula menunjukkan
protesnya. Wajahnya masam kelat dan dia langsung tidak mahu memandang tepat ke
wajah Sofea. Manakala Fida pula hanya mampu menelan air liur. Sabar… sabar!
Kalau dialah Arlisa, dah lama dah dia berguling-guling tarik rambut si Sofea
ni.
“You
all tambahlah lagi. Kalau nak apa-apa beritahu I okay?” Wajah Sofea memerah
menahan malu. Puan Murni dan Fida mahupun Dr. Zufri langsung tidak memberi
sebarang respon kepadanya. Sayang sangat kau orang dengan si Arlisa tu ya!
“Tak apalah Sofea… I nak balik ni.
Tak boleh nak tinggal Lisa lama-lama kat rumah. Dia tengah pantang lagi tu. Anyway dia kirim salam dengan you.” Adam
pantas bangun dari kerusinya. Dah makin geli pula lehernya diusap-usap begitu.
“Oh
really?Waalaikumussalam…” Sofea
mencemikkan muka. Ish! Tak habis-habis dengan Arlisa. Dulu Arissa, sekarang
adik kembar dia pulak. Menyampah! “You nak balik awal sangatlah… duduk-duduk
sembang dulu dengan my abah. Dia
cakap dia teringin nak kenal-kenal dengan you dan cakap pasal bisnes.”
Puan Murni memberi isyarat mata pada
Adam. ‘Abaikan! Balik tengok isteri dan anak yang baru lahir tu,’ gerutu
hatinya.
Adam jadi serba salah. Hatinya
teringat kepada Arlisa dan Anissa. Namun dari kejauhan dia terlihat kelibat
Datuk Zahari melambai-lambai ke arahnya. Mahu tidak mahu terpaksalah dia
menurut kata Sofea dan mengingkari kata mama.
***
SUARA
lembut Arlisa kedengaran mendayu-dayu mendodoikan Anissa dengan berselawat ke
atas Nabi Muhammad SAW. Ameera yang berada di sisinya pun ikut terlelap sama.
Komen Ameera sebelum tidur tadi katanya suara mama macam Dato’ Siti Nurhaliza!
Arlisa terasa sedikit lega melihat
kedua-dua orang puterinya lena dibuai mimpi. Dalam kepayahan, Arlisa bangun dan
berjalan perlahan-lahan mendekati jendela kamarnya. Langsir kuning cair itu
ditarik lembut menutupi cermin jendela. Malam sudah semakin kelam tetapi Adam kesayangannya
masih belum pulang.
Dia tidak mahu terus-terusan
memikirkan keadaan Adam di luar sana bersama Sofea. Apa yang Arlisa yakin ialah
Puan Murni, ibu mentuanya ada bersama. Jadi tak mungkinlah Sofea nak jadi ulat
bulu buat yang tak senonoh pada Adam. Walau bagaimanapun, jauh di sudut hatinya
Arlisa masih lagi bimbang.
Teringat lagi dia pada tragedi dua bulan lepas
saat dia masih lagi sarat mengandungkan Anissa. Sofea dengan selambanya boleh
mengajak Adam Farhan keluar makan tengahari bersama tanpa mengendahkan
keberadaan dia di dalam pejabat Adam! Nasib baiklah Adam itu setia orangnya. Ajakan
Sofea tidak diendahkan.
Arlisa kembali berjalan ke katil.
Badannya perlahan-lahan dibaringkan. Matanya pula dilelapkan sekejap untuk
merehatkan lelah sepanjang hari.
Bam!
Arlisa membuka matanya kembali.
Badannya perlahan-lahan dibangunkan semula. Arlisa menjenguk ke luar pintu
kamar.
“Mak Jah? Siti?” panggil Arlisa
curiga. Jantungnya berdetak kencang. Ada sesuatu yang tidak kena. Bunyi
tersebut seakan-akan ada yang menceroboh ke dalam rumah.
Arlisa mengambil keputusan untuk
menapak keluar dari kamarnya dan turun dengan berhati-hati ke tingkat bawah.
Saat dia menjejakkkan kaki ke dapur, alangkah terkejutnya Arlisa melihat tubuh
Mak Jah dan Siti diikat bersama di sudut ruangan tersebut. Mulut mereka berdua
juga digam pelekat hitam.
“Ya ALLAH… Mak Jah!” jerit Arlisa.
Mak Jah dan Siti kedua-duanya
menggeleng-geleng laju terhadap Arlisa yang sedang mendekati mereka. Ia
bagaikan suatu amaran untuk jangan terus mendekat. Ia adalah perangkap!
“Lisa! Oh Lisa!”
Tubuh tegap seorang lelaki yang
menghalangi langkah Arlisa dari mendekati pembantu rumahnya itu menolak badan
Arlisa ke dinding dapur. Wajahnya yang sedikit berserabut akibat ditumbuhi
anak-anak rambut itu menyeringai garang. Pipi lembut Arlisa dicekaknya kasar!
“Kau…” Arlisa menarik nafasnya
tinggi. Bagaikan tidak percaya Arlisa melihat wajah lelaki yang berada di
hadapannya ini. Setelah sekian lama, akhirnya dia muncul kembali!
“Iya Lisa… awak ingat lagi tak nama
saya?” bicara lelaki itu lembut. Pipi Arlisa yang dicengkamnya itu dilepaskan.
Arlisa menelan air liurnya perit.
“Kamal? Kenapa kau datang sini? Apa yang kau nak lagi?!”
***
“I
memang suka anak muda yang bijak macam you ni, Adam!” seloroh Datuk Zahari yang
tersandar selesa di salah satu kerusi berdekatan dengan meja makan.
Lelaki yang berusia 60an ini
mengeluarkan kotak rokok dari koceknya. Sebatang rokok dikeluarkan dan
selebihnya dihulurkan ke Adam Farhan. Namun dengan sopannya Adam menolak
pelawaan Datuk Zahari.
“So you dah lamalah kenal Sofea? I heard yang Sofea memang rapat dengan
you dulu.” Datuk Zahari mula mengorek rahsia diri Adam. Sofea tiap-tiap hari
merengek kepadanya dengan mengatakan yang dia memang gila akan Adam yang sudah
beristeri itu.
Adam tersentak mendengar pertanyaan
Datuk Zahari. Tadi cakap pasal bisnes. Tup-tup sekarang cakap pasal Sofea?
Mesti ada udang di sebalik batu ni!
“Ah ya, dulu ajelah… sekarang kami
kawan. Lagipun saya dah ‘kahwin’ kan…” Sengaja Adam menekankan perkataan kahwin
kepada Datuk Zahari. Dia tidak mahu terjebak dalam masalah cinta tiga segi. Kan
sudah terang lagi bersuluh, dia suami orang. Apa yang si Sofea ni nak lagi?
“Oh… Sofea ada beritahu, isteri you
baru bersalin minggu lepas. Baby girl is
it?”
Adam mengulum senyuman. Terbayang
wajah Anissa dan Arlisa di rumah. “Yes, a
girl. Anissa.”
Datuk Zahari mengetap bibirnya kuat.
Memang anaknya Sofea gila bayang dan bertepuk sebelah tangan. Sah-sah Adam amat
menyayangi isteri dan anaknya. Takkanlah dia nak bersubahat meruntuhkan rumah
tangga orang.
“Tahniah Adam! Kirim salam pada
isteri you. Is your mom here too? I
teringin nak berjumpa dengan dia. Dulu-dulu masa Fashionista baru naik, I kagum
tengok karisma dia dan bapa you uruskan syarikat.” Datuk Zahari pantas mengubah
topik perbualan. Matanya tertinjau-tinjau ke halaman rumah mencari batang tubuh
Puan Murni.
“Thanks datuk… Sure, boleh. Dia ada di luar. Mari saya bawakan datuk berjumpa
dengan dia,” ajak Adam Farhan. Huh, lega hatinya. Nasib baiklah Datuk Zahari
faham akan situasi dia sebagai suami orang.
***