10
SEPANJANG
perjalanan pulang ke rumah, hati Adam tidak senang memikirkan keadaan Arlisa.
Terluka banyakkah dia? Sakit sungguhkah hatinya? Mampukah aku ubati semua
kedukaan di hatinya? Ya ALLAH, terlalu banyak salahku. Dia bukan Arissa. Dia
adalah dia. Dia Arlisa. Dan aku harus berhenti melabel dia sebagai Arissa dan
mempunyai sikap seperti arwah isteriku itu.
Kaki
Adam berlari tak cukup tanah masuk ke dalam rumah setelah memakir kenderaannya
di hadapan pagar rumah. Kelibat Arlisa dicarinya di ruang tamu. Namun apa yang
dia temui adalah sesuatu yang memeranjatkan. Mak Cik Sue dan Nida datang tanpa
memberitahunya terlebih dahulu! Atas hal apa Mak Cik Sue dan Nida datang secara
mengejut begini?
“Adam…” tegur Mak Cik Sue ramah.
Nida yang berada di sebelahnya hanya tersenyum manis.
“Mak Cik Sue? Kenapa datang tak
beritahu Adam?” Adam pantas menyalami Mak Cik Sue yang sudah dianggap ibu
baginya.
“Eh…” Mak Cik Sue mengerling ke arah
Nida. “Takkan Adam tak tahu yang mak cik nak datang. Lisa yang panggilkan mak
cik datang ke sini. Katanya dia rindu mak cik dan Nida. Dia cakap… dia nak
balik beraya di Penang.”
“Haa?” Berpeluh-peluh sekejap
tengkuk Adam mendengarnya. Balik Pulau Pinang? Apa yang Lisa sedang fikirkan
ni?
“Mak Sue, Lisa dah siapkan barang-barang…”
Suara Arlisa membuatkan Adam
berpaling seraya mata mereka saling bertentangan. Arlisa tidak tahu bagaimana
dia harus berhadapan dengan Adam pada saat ini. Anissa yang berada di
pangkuannya pula tiba-tiba saja mulai merengek apabila terlihat keberadaan Adam
di ruang tamu itu.
“You nak ke mana ni?” Adam datang
mendekati Arlisa. Anissa diambil dari pegangan Arlisa.
Arlisa menundukkan wajah. Hatinya
terseksa. Pedih perasaannya untuk menyatakan sesuatu yang dia tahu Adam pasti
tidak akan menyetujuinya.
“Lisa?” Adam menolak dagu Arlisa ke
atas. Mata mereka sekali lagi bertautan. Kali ini mata Arlisa sudah berkaca.
“I nak… nak balik Penang. You
izinkan kan?” kata Arlisa dengan berat hati.
Sebak hati Adam mendengarkan
keputusan Arlisa. Arlisa jauh hati dengannya. Dia tahu! Oleh sebab itulah
Arlisa mengambil keputusan sedrastik itu.
“Jom ikut I…” Tangan Arlisa ditarik Adam
lembut. Dia membawa Arlisa ke patio yang berhadapan dengan kolam renang.
Anissa yang berada di pangkuan Adam
sudah diam dari tangisan. Kini, Adam pula yang sebak tidak tertahan air
matanya. Jejari Arlisa digenggamnya erat.
“Maafkan I. Tolong jangan tinggalkan
I, Lisa. I cintakan you…” kata Adam dengan penuh ketulusan. Hatinya terasa
bagai nak luruh menahan perasaan bersalah yang teramat.
“Kenapa? Kenapa you tiba-tiba… minta
maaf ni?” Arlisa juga sebak melihat Adam yang sudah berlinangan air mata. Apa
sebenarnya telah terjadi? Bukankah Adam membencinya?
“I dah tahu perkara sebenar.
Semuanya Kamal punya angkara. Tadi dia dah diberkas polis. Thanks to Fida and Zufri…”
Arlisa tersenyum lega.
Alhamdulillah! Ya ALLAH, akhirnya kebenaran terbukti. “Syukurlah… Adam… maafkan
I juga ya. I pun bersalah dengan you.”
“Dahlah… kita sama-sama bersalah. I
terlalu ikut sangat perasaan ego dan amarah ni. Sebenarnya I tak bermaksud pun
nak cakap benda-benda tu semua pada you, Lisa. I cintakan you. I tak boleh… tak
boleh hidup tanpa you dan anak-anak,” ucap Adam sambil mengucup jejari Arlisa.
TUHAN, betapa dia tidak sanggup kehilangan Arlisa. Betapa bodohnya dia mengabaikan
Arlisa sebelum ini.
“Ya… I pun cintakan you,” kata
Arlisa sambil memeluk tubuh Adam erat. Air matanya semakin berderai laju.
Dugaan terberat yang pernah dia lalui sepanjang Ramadan ini. Ya ALLAH,
jadikanlah dugaan yang mereka lalui ini sebagai kekuatan yang menguatkan cinta
mereka.
“Lisa…” Adam meleraikan pelukan
mereka. Wajah Arlisa diangkat menatap ke wajahnya. “I was wrong about the angel thing. Actually there is an angel in this
earth. That angel is actually… you!”
“Adam!” Arlisa menepuk dada
suaminya. Oh Adam, Adam, Adam! Pandai dia memujuk hati Arlisa yang sedang
dilanda duka ini.
“And… you’re my prince charming!”
bisik Arlisa ke telinga Adam manja.
***
Hari
ini tamatlah 30 hari berpuasa. Keesokkannya, mereka akan menyambut lebaran yang
dinanti-nanti terutamanya bagi Adam dan Arlisa. Kali pertama beraya bersama
sebagai suami dan isteri. Kali pertama juga bagi Arlisa beraya bersama anaknya,
Anissa.
Pada malam raya ini, Puan Murni
telah mengadakan sedikit jamuan buat ahli masjid yang bertandang dari rumah ke
rumah untuk bertakbir. Antara juadah istimewa yang disediakan ialah sate dan
kuah kacang khas dari restoran Sate Haji Samuri. Jiran tetangga juga turut
dijemput hadir untuk memeriahkan malam raya tersebut.
Mak Cik Sue dan Nida sudah lima hari
di rumah Puan Murni. Perancangan asalnya adalah untuk datang sehari dan bawa
pulang Arlisa ke Pulau Pinang. Namun setelah Arlisa berbaik-baik semula dengan
Adam, perancangan itu hanya tinggal perancangan. Puan Murni mempelawa Mak Cik
Sue dan Nida untuk tinggal di rumahnya dan beraya di Kuala Lumpur. Nanti pada
raya ketiga atau keempat, Puan Murni sekeluarga termasuklah Fida dan Dr Zufri bercadangan
nak bercuti di Pulau Pinang. Bolehlah mereka tumpang di banglo baru Mak Cik Sue
nanti. Almaklumlah, Mak Cik Sue kini tauke kedai kek terkenal di Pulau Pinang!
Arlisa yang mengenakan jubah moden
berwarna coklat sibuk menguruskan Ameera dan Anissa di kamarnya. Manakala Adam
pula mengenakan jubah sedondon warnanya dengan Arlisa berada di tingkat bawah
melayani tetamu-tetamu yang hadir. Sedang Adam sibuk bersembang dengan salah
seorang tetamu, bahunya terasa dicuit. Adam seraya berpaling dan kelihatan
Sofea tersengih-sengih manja di belakang.
“Sofea? Buat apa datang sini?”
Hairan. Adam tidak pula menjemput Sofea ke majlis pada malam ini. Macam mana
dia boleh tahu yang mama buat majlis makan-makan pada malam raya? Walhal mereka
berdua sudah lima hari tidak ketemu kerana Adam tidak ke tempat kerja.
“Kenapa? I memang tak boleh datang
ke?” tanya Sofea lugu.
Adam dihambat perasaan bersalah.
Antara perasaan benci dengan kehadiran Sofea pada malam itu dan sikap
memuliakan tetamu, Adam terpaksa beralah. Dia perlu melayani Sofea walaupun
hanya beberapa minit saja demi memastikan Sofea tidak terasa.
“Boleh… datang dengan siapa?”
“Seorang aje. Mana Lisa? Mana anak
you tu? I teringin nak jumpa dia orang,” luah Sofea dengan mata bercahaya.
Kali
ini Sofea tampak jujur pada pandangan mata Adam. Mungkin dia sudah mengerti
yang Adam tidak mungkin akan bersama dengannya. Syukurlah!
“Oh
kejap ya… you tunggu sini, Sofea. I panggilkan Lisa dan suruh dia bawa Anissa
turun sekali,” kata Adam gembira. Dia seterusnya bergegas naik ke atas kamarnya
untuk memanggil si isteri.
Sofea
tersenyum melihat gelagat Adam. Bersungguh-sungguh dia jikalau bab mengenai
Arlisa dan anaknya. Tetapi… apa akan terjadi jikalau dia kehilangan salah satu
darinya? Bibir Sofea menyeringai sinis. Di dalam kepalanya hanya ada satu misi.
Adam harus dimilikinya!
***
“LISA…”
Adam menguak kamarnya buka. Arlisa yang sedang sibuk mendandan rambut Ameera
didekatinya.
“You dah selesai uruskan budak-budak
ni ke? Kalau dah jom ikut I ke bawah kejap. Bawa Anissa sekali,” ajak Adam.
Arlisa menghabiskan ikatan rambut
Ameera. Setelah itu baju kurung Ameera yang sedikit terperonyok itu
dibetulkannya supaya kelihatan kemas.
“Kenapa? Ada yang nak jumpa I ke?
Mama tak bagi I turun. Dia suruh I berehat kat bilik je.” Arlisa mengalihkan
pandangannya ke Adam. Tangan suaminya digenggam erat.
“Oh…” Adam melepaskan keluhan kecil.
“Kejap pun tak boleh?” pujuknya.
“Boleh kut… mama tak marahlah.
Kenapa? You nampak serius je.”
“Sofea datang. Dia cakap nak jumpa
dengan you dan Anissa. Dia nak tengok Anissa,” jawab Adam beriya-iya. Memang
dia mahu hubungan Arlisa dan Sofea baik dan tiada jurang dendam atau cemburu
menyelubungi mereka berdua. Sofea sudah dianggap kawan rapat dan Arlisa pula
isterinya. Mereka harus saling menerima satu sama lain.
Arlisa mengetap bibirnya kuat.
Sofea? Adam nak temukan dia dengan Sofea? “Emm… kenapa dia tiba-tiba datang? I
tak kisah Adam. As long as dia faham
batas-batas dia dengan you dan jangan buat hati I ni cemburu.”
“Tak adalah! I janji… kalau dia
melebih-lebih, I suruh dia balik jam-jam tu jugak. Tapi kali ini I rasa lain…
dia nak berbaik-baik dengan you,” kata Adam menyebelahi Sofea.
Perasaan Arlisa terasa berat sekali
kali ini. Entah mengapa. Selalunya dia mudah redha dengan sesuatu hal tetapi
kali ini dia terasa seperti perilaku Sofea terlalu berbeza dari kebiasaan. Tak
pernah selalu nak datang berkunjung ke rumah, ini tiba-tiba pula datang tak
diundang. Walhal dia tahu benar yang mama memang benci teramat dengannya.
“Iyalah, kalau you dah cakap macam
tu… I turun,” turut Arlisa akan kata-kata Adam.
***
SOFEA
mengambil dua gelas minuman sirap dari meja katering di hadapan perkarangan
rumah. Minuman tersebut dibawa ke meja tetamu yang terceruk sekali, iaitu di
hujung perkarangan rumah.
Gelas-gelas itu diletakkan ke atas
meja. Beg tangannya yang tersauk di bahu digeledah. Sebuah botol kecil yang
berisi cecair berwarna kuning dibawa keluar. Dia menitiskan cecair dari botol
itu beberapa titik ke salah satu gelas minuman tersebut. Manakala gelas minuman
yang tidak tercemar dijarakkan dari gelas tadi.
Sofea menyimpan semula botol kecil
itu. Bibirnya mengulum senyuman penuh pengharapan. Biar malam ini jadi saksi
pengakhiran hidup Arlisa. Adam akan dia dapatkan juga dalam apa cara sekalipun.
Setelah selesai urusannya, kedua-dua
gelas itu dibawa masuk ke ruang tamu rumah. Dari kejauhan Sofea terlihat
kelibat Adam dan Arlisa saling jalan beriringan turun ke tingkat bawah bersama
anak mereka, Anissa.
Sofea meletakkan gelas-gelas minuman
itu di ats meja kopi berhampiran. Tangannya pantas menggamit ke arah Adam dan
Arlisa. “Adam! Lisa! Sini!” panggilnya.
Adam dan Arlisa berjalan masuk ke
ruang tamu yang sudah dipenuhi beberapa orang tetamu. Mereka mendekati Sofea
yang sedang menyandarkan tubuhnya ke meja kopi bersebelahan dengan sofa.
“Assalamualaikum Sofea! Apa khabar?”
ucap Arlisa sambil bersalam semut dengan Sofea.
“Waalaikumussalam. Baik-baik aje. Hey is this your baby? Comelnya…” Sofea
pantas menghulurkan tangannya ke Adam yang sedang mendukungi Anissa. Anissa
bertukar tangan ke Sofea. Rambut anak kecil itu diusap-usapnya lembut walaupun
di dalam hatinya mahu saja dia tonyoh-tonyoh kepala budak itu ke lantai.
“Anissa nama dia. So you datang seorang, Sofea?” tanya
Arlisa. Dia cuba memainkan lakonan diri untuk bertenang walaupun di hatinya dia
terasa resah. Arlisa tidak tahu apa sebabnya yang membuatkan dia berfikiran
yang Sofea hanya berpura-pura dengan pertemuan ini.
“Yes…”
Anissa mulai merengek. Budak kecil itu tidak selesa di pangkuan Sofea. Oleh
kerana Sofea juga tidak begitu selesa dengan Anissa, dia pantas menyerahkan
kanak-kanak itu ke Arlisa.
“Dia tak suka I,” kata Sofea lagi.
Hatinya kembali berbisik. Kalau aku jadi mak tiri kau… dah lama dah aku buang
kau kat tepi jalan!
“Dia tak biasa dengan orang baru,”
celah Adam. “You guys bersembanglah…
I nak ke luar rumah kejap tengok tetamu,” sambung Adam untuk meminta diri.
Sebelum pergi dia sempat mencium dahi Arlisa dan Anissa.
Perlakuan Adam membuatkan hati Sofea
bertambah parah. Senang saja mereka bermesra-mesraan di hadapannya! Macam dia
ini patung yang tidak bernyawa! Tak apa Adam… ambillah masa ini puas-puas untuk
bermesra dan berkucup bagai dengan isteri kau tu. Esok-esok dia dah tak ada!
“Emm Sofea… you dah makan ke?” soal
Arlisa lagi untuk meneruskan perbualan mereka yang terhenti tadi.
“Oh belum. Anyway…” Sofea berpaling. Gelas-gelas minuman yang diambilnya tadi
diangkat. Salah satu darinya diserahkan ke Arlisa. “Minumlah. I ambil untuk
you.”
Tangan Arlisa yang penuh akibat
mendukung Anissa jadi teragak-agak untuk mengambil minuman tersebut dari tangan
Sofea. Namun akibat tidak mahu mengecewakan gadis itu, Arlisa menerima pelawaan
Sofea dengan sopan. Tak baik pula menolak silaturrahim. Orang nak berbaik-baik,
takkanlah kita menghalang niat murninya.
“Minumlah.” Sofea meneguk airnya
rakus. Matanya memicing tajam ke arah minuman yang berada di tangan
Arlisa.
Arlisa tersenyum hambar.
“Bismillahirahmanirahim…” ucapnya berbisik. Air sirap itu diteguk sekali.
Kemudian kali kedua dan kali ketiga sehingga habis.
Sofea tersenyum lega. Diteguk airnya
juga sehingga habis. Puas hatinya. Sekarang ini dia hanya harus menunggu detik
kematian Arlisa. Air yang dicampur racun tikus itu dapat mematikan seseorang
dengan serta merta!
“I harap… kita dah takkan bermusuh
lagi selepas ni,” ujar Sofea berkias. Bibirnya tersenyum sinis pada Arlisa.
“I pun Sofea. I nak minta maaf pada
hari baik, bulan baik ni… kalau I ada terkasar bahasa ataupun buat hati you
terluka sepanjang perkenalan kita. Hopefully
you akan berjumpa dengan seorang lelaki yang betul-betul menyayangi you dan
dapat menjagai you dengan baik nanti,” kata Arlisa pula.
“Ya… I dah berjumpa pun dengan lelaki
tu.” Sekali lagi Sofea tersenyum sinis. Matanya menilik tubuh Arlisa dari atas
hingga ke bawah. Asalnya perempuan ini gadis kampungan. Datang sini terus bergaya macam Arissa. Apalah yang
Adam nampak pada Arlisa? Bukankah dia lagi cantik dan menawan dari wanita ini?!
“Alhamdulillah…” Arlisa tersenyum.
Akhirnya Sofea takkan ganggu lagi hidup dia dan Adam. “Emm Sofea, Lisa kena
naik atas dulu ni. Mama tak bagi Lisa duduk lama-lama kat bawah ni. Lagipun,
Anissa dah merengek ni.”
“Oh okay… silakanlah. I pun nak
pergi menjamu selera ni.”
Arlisa berjalan perlahan-lahan
keluar dari ruang tamu menuju ke tangga utama. Kepalanya tak semena-mena terasa
berpinar-pinar. Kaki Arlisa tak jadi nak mendaki naik ke anak tangga. Arlisa
menahan tangannya ke rel tangga. Pegangannya terhadap Anissa diperkemaskan.
Takut-takut tangannya terlepas dari memegang anaknya.
Nida yang pelik melihat tingkah laku
Arlisa mendekati sahabatnya. “Lisa? Kau okay tak ni? Kenapa aku tengok kau
macam nak tumbang je?”
Arlisa menekan-nekan kepalanya yang
sakit. “Tak tahulah. Aku pening sangat ni. Kau tolong pegangkan Nisa kat aku
kejap.”
Nida menyambut Anissa dari tangan
Arlisa. Pada masa yang sama tangannya erat memegang tangan Arlisa juga. Bimbang
rakannya tumbang ke lantai.
“Ya ALLAH… peningnya.” Arlisa
menekup bahagian dahi dan matanya. Pandangannya jadi berpusing-pusing.
Seakan-akan keadaan sekeliling berada di awang-awangan. Kemudian, keadaan jadi
gelap dan sekejap-sekejap jadi putih.
“Eh Lisa… kau nak pitam ni! Kejap
aku panggil Adamlah,” putus Nida yang sudah kerisauan. Namun tak sempat kakinya
melangkah, Arlisa tumbang dahulu ke lantai.
“Lisa!” Nida terjerit kecil.
Adam
yang kebetulan berada di hadapan pintu rumah terdengar akan jeritan itu. Dia
pantas berlari mendapatkan Nida dan kemudian memangku tubuh Arlisa yang
kelihatan pucat tidak berdarah.
“Kenapa
ni Nida? Kenapa dengan Lisa ni?” soal Adam cemas.
“I
tak tahu Adam. Lisa mengadu dia pening, lepas tu dia suruh Nida pegangkan
Anissa. Tiba-tiba dah pengsan,” jelas Nida ringkas.
Jantung Adam berdetak kencang.
Arlisa! Ya ALLAH, isterinya… Perasaan Adam jadi tak menentu seketika. Bimbang
jikalau ada perkara yang buruk menimpa si isteri.
“Adam, kenapa ni?” tegur Dr. Zufri.
Arman, Fida dan juga Paty datang mendekat. Mak Cik Sue dan Puan Murni pula
terkocoh-kocoh turun dari tangga tingkat atas.
“Tak tahu… you tolong tengokkan
Zuf,” kata Adam.
Dr. Zufri pantas mengambil tangan
kiri Arlisa untuk diperiksa. Nadi Arlisa berdetak lebih lemah dari kebiasaan.
Dia tidak dapat membuat sebarang diagnosis melainkan Arlisa perlu dibawa ke
hospital dengan secepat yang mungkin.
“Fida, call ambulans sekarang,” arah Dr Zufri.
***
SEBAIK
sahaja ambulans tiba, Arlisa yang masih tidak sedarkan dibawa naik ke kenderaan
tersebut dengan kadar yang segera.
Puan Murni dan Mak Cik Sue
masing-masing dalam keadaan terkejut dan berharap tiada apa-apa yang buruk
berlaku ke atas Arlisa. Itulah satu-satunya permata hati mereka. Tanpa Arlisa,
lebaran tahun ini pasti tidak akan bermakna!
Dalam pada itu, Sofea yang asyik
memerhati drama keluarga besar Puan Murni dari ruang tamu rumah hanya mampu
ketawa di dalam hati. Itu dia penamat cerita yang paling baik. Pastinya Ramadan
dan Aidilfitri kali ini akan menjadi sebuah titik hitam di dalam hidup keluarga
ini.
Namun begitu, tanpa Sofea sedari
badannya tiba-tiba terasa lemah. Tekaknya pula terasa perit dari biasa setelah
meneguk air sirap tadi. Entah mengapa bibirnya terasa kering dan kini kepalanya
pula yang berpinar-pinar. Apa yang sedang terjadi kepada dirinya? Entah-entah…
Buk! Sofea pula tumbang. Arman yang
kebetulan berdiri berdekatan dengan Sofea mendukung wanita itu naik ke atas
ambulans bersama Arlisa.
Melihatkan satu persatu perkara yang
menimpa, Puan Murni terasa sesak dada. Tangan Mak Cik Sue digenggamnya erat.
“Sue, apa yang sebenarnya terjadi ni?”
“Kita doa ajelah yang baik-baik ya,
Puan Murni,” kata Mak Cik Sue sambil mengusap-ngusap belakang Puan Murni.
***