Home Novelet Cinta Dia Bukan Arissa 'Raya'
Dia Bukan Arissa 'Raya'
Syaida Ilmuna Ismail
18/7/2014 22:10:11
48,115
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
PART 3

3

“WOW Lisa… tak sangka awak masih ingat saya lagi kan?”

Kamal mundar-mandir di hadapan Arlisa yang kini terduduk di meja makan. Manakala Mak Jah dan Siti pula masih lagi berikat di dapur.

“Takkanlah aku boleh lupa dengan kau… orang yang dah lukakan hati aku. Lepas tu kau kebas duit suami aku. Hari ni kau datang nak apa pulak?” marah Arlisa dalam nada rendah. Kebimbangannya memuncak apabila mengingatkan Ameera dan Anissa di kamar atas.

“Suami?” Terbeliak mata Kamal mendengarkan perkataan tersebut keluar dari mulut Arlisa. Dia tersengih gatal. “Macam mana mamat tu boleh kahwin dengan kau ya? Kalau nak dibandingkan kau dengan Arissalah kan… Arissa tu lagi cantik dan menawan!”

Kamal sengaja membakar api di hati Arlisa walhal dia sendiri tahu Arlisa lebih layak berdamping di sisi Adam berbanding Arissa. Namun disebabkan cemburu akan kehidupan mewah Arlisa, Kamal terpaksa berkata demikian. Jauh di sudut hatinya, Kamal menyesal meninggalkan Arlisa dahulu. Sikap tamaknya tidak membawa sebarang hasil malah menjebakkannya ke dalam pelbagai masalah.

“Sudahlah… jangan nak cakap pasal arwah kakak aku lagi. Dia dah lama meninggal. Lagipun apa kepentingannya mengungkit hal lepas? Kau datang sini sebab nak cemuh aku aje ke, Kamal? Kalau itu tujuan kau, baik kau balik dan lepaskan pembantu rumah aku tu…” bicara Arlisa tenang. Dia tidak mahu menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menyebabkan nyawa-nyawa di dalam rumah ini terancam.

Nope. Itu bukan tujuan aku Lisa. I’m here for something. Sebelum tu… aku nak ucap tahniahlah sebab kau baru bersalin kan… dapat anak perempuan pulak tu. Hopefully perangai dia macam perangai kaulah. Jangan pula jadi macam Arissa,” sindir Kamal.

Arlisa menahan amarah yang kian membakar hatinya. Tak ada benda yang lebih baik ke dia nak cakap dengan aku? Apa masalah dia sebenarnya ni?

“Kau nak apa ni? Cuba berterus terang!” Arlisa meninggikan suaranya. Kesabarannya teruji.

“Okay Lisa… bawa bertenang. Bukan main action kau sekarang ya? Aku ni dah merantau ke London, Paris dengan duit yang suami kau bagi tu. Tapi seperti yang kau tahu… dia bagi aku satu juta ringgit aje. Sepatutnya dua juta… tapi dia tak bagi pun! Jadi aku nak tuntutlah duit tu… duit yang dia hutang dengan aku tu,” ujar Kamal sambil meletakkan tangannya ke kerusi yang diduduki Arlisa.

Arlisa mengucap panjang. Ya ALLAH! Dia nak duit? Takkanlah tak ada pekerjaan halal lain yang dia boleh buat selain memeras ugut orang?

“Kau sedar tak yang kau sedang peras ugut suami aku?” soal Arlisa lantang.

“Kenapa? Aku cuma nak minta duit yang dia tak bagi aku tu. Tu aje! Lagipun polis tengah buru aku ni. Aku nak balik London balik…” jawab Kamal selamba.

No. Aku dan suami aku takkan beri kau apa-apa!” tegas Arlisa. Kali ini dia sudah tekad. Makin lama makin menjadi-jadi pula si Kamal ni. Kalau Adam beri dia duit lagi, tak mustahillah dia akan minta lagi pada waktu yang lain!

“Berani kau ya?” Kamal mencengkam lengan Arlisa kuat. Wanita itu dibangunkan secara paksa.

“Ahh! Kamal… sakitlah!”

“Kau jangan ingat aku ni lembut hati dengan kau tau, Lisa. Yang penting sekarang ni duit! Aku dah kering tak berduit. Job-job aku yang lepas tu semua tak boleh pakai. Ada yang hire aku jadi penyiasat tapi sampai sekarang tak langsaikan bayaran! Jadi sekarang ni aku perlukan duit. Dan aku takkan teragak-agak untuk buat benda yang bukan-bukan kepada anak kau yang comel tu… faham?” ugut Kamal. Arlisa dilepaskan dan tubuh wanita itu ditolak ke meja.

Arlisa menelan air liurnya perit. Anissa! Ya ALLAH kenapa aku tak turutkan aje dari awal permintaan dia? Kenapa aku berani sangat tadi?

“Astaghfirullah Kamal! Kau ni tak reti nak bertaubat lagi ke? Aku boleh beri kau duit tu… tapi aku tak nak kau datang lagi ugut kami sekeluarga. Please! Kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Jangan kacau family aku…” rintih Arlisa.

Kamal tersenyum hingga ke telinga. Kan aku dah agak dari awal! Gertak sikit je pasal anak dia, gerenti Arlisa menggelupur takut!

“Baik…” Kamal menarik tubuh Arlisa perlahan-lahan untuk duduk semula ke kerusi. “Aku beri kau tempoh tiga hari untuk berbincang dengan Adam tentang hal ini. After three days… aku contact kau. Kita jumpa kat tempat yang tertutup sikit. Tapi kalau kau ingkari janji ni, berhati-hatilah! Anak kau yang comel tu akan jadi galang gantinya. Kalau jual dia pun dapat harga yang lumayan tau!”

Tersirap darah Arlisa mendengar bicara Kamal. Jual? Dia nak jual anak aku? Penat-penat aku mengandung dan melahirkan Anissa… mudah saja dia cakap nak jual anak aku!

“Okay, aku terpaksa pergi. Nanti kalau suami kau balik, payah pulakkan… Jumpa kau lagi tiga hari, Lisa!” ucap Kamal. Dia seterusnya berjalan laju menuju ke pintu dapur yang tidak berkunci.

Arlisa yang masih terkejut dengan apa yang terjadi, berjalan dengan berhati-hati mendekati Mak Jah dan Siti yang telah diikat. Ikatan kedua-dua pembantu rumahnya itu dileraikan. Sesudah itu, Arlisa menangis semahu-mahunya di bahu Mak Jah.

“Lisa… Ya ALLAH, bersabar sayang… sekarang ni Mak Jah rasa baik Lisa telefon Adam atau Puan Murni,” kata Mak Jah sambil mengusap-ngusap belakang Arlisa.

“Jangan! Jangan beritahu mereka lagi… saya tak nak peningkan kepala Adam lagi dengan masalah ni. Ni semua salah Lisa, Mak Jah… kalau Lisa tak kahwin dengan Adam mesti perkara ni takkan berlaku kan?” bicara Arlisa tersedu-sedan. Kali ini dia terasa amat bersalah! Dialah punca segala masalah dan perkara buruk yang menimpa keluarga Adam Farhan.

“Ya ALLAH, Puan Arlisa!” Siti mencekakkan pinggangnya. Boleh pulak puan ni fikir macam tu! Tak logik langsung!

“Tapi Lisa… benda ni kes berat. Kalau tak diberitahu, esok lusa kalau dia culik Anissa macam mana?” tegas Mak Jah. Pening dia dibuatnya dengan sikap Arlisa yang terlampau baik.

“Tak… saya…”Arlisa tidak dapat menahan air matanya dari turun mencurah-curah. Kata-katanya hanya tersekat di hujung rengkung.

“Sudah… sudah… jangan menangis. Tak baik perempuan tengah berpantang menangis macam ni. Nanti kena penyakit meroyan tu lagi susah. Jom Mak Jah bawa masuk bilik. Esok kita cakapkan hal ni dengan Puan Murni dan Encik Adam. Biar Lisa bertenang dulu ya malam ni…” Mak Jah dan Siti memapah Arlisa naik ke atas kamarnya. Setelah Arlisa dilihat sedikit bertenang dan mula melelapkan mata, Mak Jah dan Siti tinggalkan Arlisa sendirian tidur di kamarnya. Manakala Anissa dan Ameera dibawa ke bilik lain. Biar Arlisa merehatkan diri sepuas-puasnya.

***

Previous: PART 2
Next: PART 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaida Ilmuna Ismail