7
ADAM
memeriksa beberapa kertas kerja yang tersusun rapi di atas meja. Salah satu
darinya adalah fail perjanjian kerjasama bersama AA Design milik Puan Jelita
dan Encik Asfahan Redza. Perancangannya adalah untuk membawa pakaian-pakaian
hasil rekaan Fashionista ke antarabangsa dengan bantuan syarikat besar seperti
AA Design. Seperti yang Adam sedia maklum, pasangan suami isteri itu sudahpun
memiliki sebuah anak syarikat yang bernama Empressive Design di sana. Oleh itu,
Adam merasakan syarikat ini sudah cukup berpengalaman dalam menguruskan
syarikat fashion di luar negara.
Sedang Adam sibuk memeriksa
fail-failnya yang bertimbun, Vivian masuk membawa sekeping envelop A4 coklat
buatnya. Tanpa memikirkan apa isi dalaman envelop tersebut, Adam dengan pantas
mengoyakkannya dan isinya diburaikan.
Empat keping gambar bersaiz 4R
keluar dari envelop tersebut. Salah satu gambarnya jelas menunjukkan Kamal
sedang menyentuh lengan Arlisa erat di bawah tiang lampu belakang rumahnya.
Gambar tersebut diangkat Adam terketar-ketar. Pandangannya tiba-tiba jadi
nanar. Jantungnya pula berdegup kencang daripada biasa.
Adam terduduk di kerusi malasnya
bingung sambil menatap gambar itu tak berkedip. Beberapa gambar lagi yang
menunjukkan Kamal menyentuh kepala Arlisa dan bahu Arlisa juga ditatapnya. Mata
Adam mula berkaca. Arlisa? Hatinya bagai tidak percaya. Arlisakah itu? Benarkah
Arlisa berkelakuan begitu?
“Ya ALLAH…” lirih Adam. Sakit
dadanya melihat gambar-gambar tersebut. Ngilu hatinya melihat isteri yang
tersayang tergamak mendustainya! Baru semalam mereka berbicara mengenai janji
dan cinta. Hari ini dia mendapat gambar-gambar sebegini rupa. Ya ALLAH apa
dugaan yang sedang menimpanya ini? Arlisa dan Arissa tiada bezanya! Mereka sama
sahaja.
Tok! Tok! Pintu pejabat Adam diketuk
kuat dari luar. Adam tergesa-gesa menyimpan gambar-gambar kotor itu semua ke
dalam laci mejanya.
“Masuk.”
Arman menjengah ke kamar pejabat.
Wajahnya seperti biasa tersenyum hingga ke telinga. Almaklumlah orang sudah
punya anak sekarang ni.
“Adam, malam ni kau tak ke
mana-manakan?” soal Arman.
Adam menggeleng-geleng. Mulutnya
bagai terkunci dari kata-kata.
“Aku ingat nak bawa Paty dan Fariz
datang berbuka… Bolehlah Paty melawat Arlisa sekali sebab dia belum lagi jumpa
dengan Lisa sejak pulang dari hospital hari tu. Lepas tu kami nak tengok jugak baby kau yang comel tu,” kata Arman
tanpa dapat mengesan sedikitpun duka di wajah Adam.
“Hmm… datanglah.”
“Okay… dalam pukul 5.30 macam kami
datang tau. Jangan beritahu mama, it’s a
surprise!” kata Arman lagi sebelum keluar dari kamar Adam.
‘It’s
a surprise huh?’ hati Adam berdesis kasar. ‘Let’s see surprise mana
lagi mengejutkan!’
***
“ALAHAI…
comelnya dia.” Perasaan berbunga-bunga di hati Arman saat dia mendukung Anissa
di ruang tamu rumah Puan Murni. Teringin pula nak anak perempuan!
“Paty… I tengok Arman tu dah seronok
sangat dah dukung Anissa tu. Petandalah tu…” usik Arlisa yang duduk di sofa
bersebelahan dengan Paty.
Paty yang bertudung hitam labuh
hanya tersenyum kecil. Wajah putihnya memerah saat dia diusik Arlisa. “Petanda
nak tambah lagi satu ya, Lisa? Fariz tu kecil lagilah…”
“Eh dia dah setahun setengah dah
kan? Okaylah tu kalau you dan Arman nak tambah anak perempuan pulak,” bicara
Arlisa.
Arman yang sibuk mengacah-ngacah
Anissa mengangkat kepalanya ke Arlisa dan Paty. Teruja pula dia nak mencelah
masuk dalam perbualan mereka berdua.
“I okay aje, Lisa. Tengok anak you
ni pun I dah rasa macam tak sabar nak anak perempuan. Paty ni aje takut kami
berdua tak dapat nak tumpukan perhatian sepenuhnya kepada Fariz. Tapi bagi I,
Fariz tu lagi seronok kalau ada adikkan?” Arman mengenyitkan matanya ke Paty.
Namun kenyitannya itu berbalas jelingan manja dari isterinya. Malulah tu!
“Yelah… kalau nak tambah anak, you
kena rajin bangun malam tau. Jangan macam dulu… tertidur sampai tak dengar
Fariz menangis. I juga yang kena bangun!” Paty mengerdip-ngerdipkan matanya ke
Arlisa. Sengaja dia ingin mengusik si suami. Berani atau tak nak bangun malam
lagi tengokkan anak menangis, buatkan susu atau tukarkan lampin?
“Amboi… mengadu kat Arlisa nampak.
Entah-entah Adam lagi teruk dari I tak?” seloroh Arman.
“No!
Adam tu baguslah Arman… Selalu berjaga malam. Cuma sesekali je bila Lisa tengok
dia penat, Lisa jagakan Anissa. Kadang-kadang kesian dengan dia sebab tak cukup
tidur…” Mengenangkan Adam membuatkan hati Arlisa rasa penuh. Ah, Adam… bertuah
sangat dia memiliki lelaki sebaik Adam. Penyayang, bertanggungjawab dan…
“Eh bercakap tentang Adam, kenapa
dia tak sampai rumah lagi ya?” tanya Arman tiba-tiba.
Pernyataan
Arman membuatkan Arlisa tersentak seketika. Ya tak ya juga. Dah pukul 6.30
petang. Mana suaminya pergi?
“Bukan dia keluar sama dengan you ke
Arman?” soal Arlisa curiga.
“Nope.
I yang balik dulu sebab takut terlambat nak sampai ke sini.”
“Apa kata you telefon dia, Lisa.
Tanya dia kat mana. Takkanlah kat office
lagi kan?” saran Paty yang juga mula rasa tidak sedap hati.
Arlisa mencapai telefon pintarnya. Nombor
telefon Adam didail pantas.
***
TELEFON
yang berada di tangan Adam berdering. Namun deringan tersebut tidak
diendahkannya. Dibiarkan ia berdering beberapa kali sehingga terhenti. Nama
Arlisa yang tertera di skrin telefon membuatkan hati Adam bertambah sakit!
“You memang tak nak angkat telefon
tu ke?” tegur Sofea yang baru mengambil tempat duduk. Bergegas dia datang dari
rumah ke Sakura Setia City Mall kerana diajak Adam untuk berbuka bersama-sama.
Ternyata perancangannya berjaya!
“Biarkan jelah. Biar dia berdering
sampai esok,” keluh Adam. Matanya kembali menilik menu makanan.
“Jawab je lain kali. Cakap dengan
isteri suci you tu, you berbuka dengan I. Kan senang. Gerenti dia tak kacau you
lagi.” Sofea perlahan-lahan memasukkan jarum-jarum benci ke hati Adam. Biar
Arlisa terseksa. Suami yang dia sayangi kini akan meninggalkan dia dan bersama
dengan aku. Dan hari ini adalah titik permulaannya.
Kring! Kring!
Adam mengangkat wajahnya.
Keningnya diangkit-angkit sebagai tanda pertanyaan kepada Sofea tentang apa
yang perlu dia lakukan. Jawab atau tidak?
“Angkatlah… say what I say to you just now!” cucuk Sofea.
Adam menekan butang hijau pada
skrinnya. “Hello!”
“Assalamualaikum, Adam… you kat
mana?” suara lembut Arlisa bergema dari corong telefon pintar.
“Waalaikumussalam. I.. I tak balik
berbuka,” jawab Adam ringkas. Suara Arlisa membuatkan dadanya sesak.
“Tak balik? You kat mana ni? You
berbuka dengan siapa?” soal Arlisa bertubi-tubi.
Adam menelan air liurnya kesat.
Matanya melirik pada Sofea yang menjegil supaya Adam pantas menamatkan
perbualan.
“I berbuka dengan Sofea. Cakap
dengan Arman, I’m sorry. Bye!” Klik!
Telefon dimatikan pantas. Adam menekur wajahnya rapat. Oh TUHAN. Kenapa perkara
harus jadi sesulit ini?
***
TERGAMAM
seketika Arlisa mendengar bicara Adam dari corong telefon. Berbuka dengan
Sofea? Kenapa tak beritahu dia dulu? Bukankah dia berjanji dengan Arman nak
berbuka bersama? Kenapa tiba-tiba…
“Arlisa, you okay ke ni?” Paty mulai
risau melihat wajah Arlisa yang berkerut dalam.
“Okay…” jawab Arlisa lemah. Matanya
beralih pada Arman yang sedang mendukungi Anissa. “Adam minta maaf dengan you,
Arman. Dia cakap…”
Arman duduk di sisi Arlisa sambil
memangku Anissa ke dada. Hatinya tiba-tiba rasa tidak selesa. Seperti ada perkara
yang telah berlaku di antara Arlisa dan Adam.
“Dia cakap apa? Dia kat mana
sekarang ni? Why isn’t he’s home yet?
Nanti mama bisinglah kalau dia tak ada,” ujar Arman prihatin.
“Dia berbuka dengan Sofea.” Mata
Arlisa dipenuhi air. Hatinya sebak menahan duka. Sampai hati Adam buat dia
begini.
“Kenapa dia keluar dengan Sofea? Kan
dia dah janji dengan I nak berbuka sama-sama kat rumah? Oh god, Adam!” rungut Arman. Saat matanya beralih ke ruang makan,
kelihatan Puan Murni sedang bercekak pinggang. Ternyata mamanya itu seorang
penyiasat yang terhebat. Mesti dari tadi mama pasang telinga mendengar bicara
dia dan Paty dengan Arlisa.
Puan
Murni menggeleng-geleng dan mendekati menantunya, Arlisa. Kalau diikutkan hati,
mahu saja dia maki hamun Adam di telefon. Namun kerana mengenangkan situasi
Arlisa yang kurang stabil, Puan Murni mengambil keputusan untuk bersabar.
Tunggu Adam balik, baru dia sembur habis-habisan!
“Lisa… sabarlah. Adam tu memang nak
kena basuh dengan mama. Nanti mama cakap dengan dia dan tanya kenapa dia buat
macam ni dengan Lisa. Jangan nangis ya, sayang?” pujuk Puan Murni sambil
mengusap-ngusap rambut Arlisa.
Arlisa mengangguk. Anissa yang
berada di pangkuan Arman diambil. Tanpa berbicara sepatahpun, Arlisa bangun dan
naik ke atas kamarnya. Arman, Paty dan Puan Murni ditinggalkan begitu sahaja.
***