Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
111,853
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 26

Ihsan terjelepok ke atas lantai. Di hadapan Mak Lela. Seluruh anggota badannya terasa terlalu lemah. Namun, kuping masih setia menadah. Setiap butir bicara yang terlontar keluar dari celahan bibir emaknya. Membongkar semua cerita, biar tiada lagi yang menjadi rahsia. Air jernih di kolam mata emaknya itu semakin melimpah. Turut mengerti dengan duka nestapa yang telah dilalui mereka. Sesekali Ihsan menoleh ke arah Azza. Insan yang banyak berkorban untuk dirinya. Azza dengan air mata tergenang mendakap kemas Iman. Satu-satu zuriat hasil daripada perkongsian hidup mereka dahulu. Masing-masing terpaku. Melayani nostalgia luka yang terpaksa mereka harungi bersama.

“Terima kasih emak…,” Ihsan memandang emaknya, kaca mata yang sudah lama basah itu ditarik perlahan. Disimpan di dalam saku baju.

Mak Lela menepuk-nepuk bahu Ihsan. Dia mengangguk-angguk, reda dengan setiap keringat yang dicurahkannya.

“Sekarang... baru Ihsan faham, mengapa Iman selalu cerita pasal mamanya,” kata Ihsan, umpama seorang penyiasat yang cuba merungkaikan sebuah misteri. Meskipun di kelopak mata masih lencun. Di bibir telah terukir sekuntum senyuman.

“Mati-mati abang sangkakan, Iman berilusi. Bila setiapkali dia cerita pasal mamanya. Abang menangis di dalam hati. Sangka abang, Azza telah buang kami... Syukur. Rupa-rupanya semua sangkaan abang tu silap. Iman bukan cerita tentang mimpinya… abang yang banyak berprasangka. Maafkan abang, Azza...” pinta Ihsan, matanya merenung ke mata Azza yang sudah berkali-kali lencun. Kemudian renungan sayangnya berkalih ke mata Iman yang di dalam pelukan Azza.

“Cerita makan pizza, cerita menidurkan Iman… semua tu benar?” Ihsan memandang Azza, minta kepastian. Air matanya gugur lagi. Namun bukan kerana berduka tetapi terlalu gembira.

Azza mengangguk-angguk, setuju.

“Tapi… kenapa Azza menyorok dari abang?” soal Ihsan, ingin tahu.

“Kalau tak menyorok, sia-sia aje pengorbanan kami,” pintas Mak Lela.

Ihsan kembali mengangguk. Betul juga apa yang dicakapkan oleh emaknya itu. Sungguh besar pengorbanan mereka. Sanggup melakukan semua itu. Demi dia. Perasaan sebak masih melekat di dadanya. Semua orang berjuang untuk dia. Di dalam diri, dia mengulangi ikrarnya lagi. ‘Aku berjanji. Aku akan berjuang untuk keluargaku. Aku akan terus berjuang, biar hati-hati yang terluka dahulu kembali sembuh. Kembali bahagia sehingga akhir hayat. Jangan ada lagi, walaupun segaris parut kesan luka itu.’

Semua teka-teki sudah terjawab. Semua misteri telah pun terungkai. Ihsan mengalih pandang ke raut wajah Azza. Di situ. Dia melihat. Ada cinta. Ada rindu. Ada sayang. Ada kesetiaan. Ada keikhlasan. Di hatinya juga masih sarat dengan cinta. Cinta untuk Azza.

“Masa abang nampak Azza pakai sebai coklat dulu...”

“Abang ada nampak Azza?” pintas Azza, kehairanan. Mata hitamnya yang bulat itu berjaya merebahkan pandangan Ihsan.

“Ya... tapi dari jauh aje. Masa tu... Azza berada di dalam bas…” Ihsan menunduk. Terangguk-angguk. Bibir ditarik seinci. Tersenyum lebar.

“Oh...! mungkin Azza dalam perjalanan ke Serdang.”

“Serdang?” ulang Ihsan dengan nada terperanjat. Dia mula mengingat tentang gambar konvokesyen Azza yang dilihatnya dahulu.

“Haah... selepas kita berpisah. Azza sambung belajar kat UPM.”

“Ooo...” Ihsan menggaru-garu kepala.

“Ihsan ingat tak?” celah Mak Lela. Kepalanya ditunduk. Pandangan ditumpahkan ke muka Ihsan yang sedang bersimpuh di atas lantai. Menghadap ke arah emaknya. Mak Lela seolah-olah telah bebas dari menjadi orang buruan. Tidak perlu bersusah-susah lagi. Menyorok-yorok apabila menerima panggilan daripada Azza.

Ihsan mendongak. Menunggu kalimah lanjut daripada emaknya. Mak Lela menarik nafas. Sekali. Kemudian dilepaskan. Serentak keluar dari paru-paru. Termengah-mengah.

“Ingat lagi tak? jubah, kopiah yang emak bagi dulu tu? semua tu hadiah daripada Azza. Emak tolong sampaikan aje. Emak tak keluar duit satu sen pun,” bongkar emaknya, jujur.

“Ooo... ya! Ihsan masih ingat emak… semua baju baru Iman tu?”

Emaknya mengangguk, setuju. Azza tunduk. Memeluk Iman erat-erat. Seolah-olah tidak mahu dilepaskannya.

“Ada satu perkara lagi…” Ihsan menegakkan tubuh. Dia memusingkan badan. Betul-betul menghadap Azza.

“Puding karamel? Ya! Puding karamel...” Ihsan kembali memandang Mak Lela. Dengan harapan emaknya itu akan mengangguk. Angguk membawa makna emaknya masih mengingat. Angguk bermakna emaknya bersetuju dengan nalurinya. Puding karamel itu Azza yang buat.

Mak Lela menggeleng-geleng. Ada segaris senyum di bibirnya. Matanya memandang ke wajah Azza. Belum pun sempat Ihsan merasa malu dengan tanggapannya itu. Tiba-tiba kedengaran komen daripada Mak Lela. Komen yang mampu mengorak kembali senyum di bibirnya.

“Memang... Ihsan dan Azza secocok. Rasa puding pun tahu bezakan…” kedengaran sedikit kekehan keluar dari bibir Mak Lela.

“Oh… ya! Ihsan ada satu... lagi soalan,” Ihsan mengangkat jari telunjuk. Macam yang selalu diangkat oleh kepimpinan Negara. Mengisyaratkan dasar yang dibawa mereka.

Semua mata memandang ke arah Ihsan. Dari bersimpuh, dia bersila. Dibetul-betulkan silanya itu. Dipandang ke muka Azza.

“Tadi… Ihsan dengar, emak cakap empat orang yang tau. Bukan? lagi dua orang tu tentu abah… ibu, ya?” Di ruang mata terbayang kedua-dua orang bekas mentuanya. Baru beberapa minggu lepas mereka bersua.

Azza hanya bungkam. Matanya merenung ke dalam mata Mak Lela. Dia seolah-olah mahu Mak Lela yang menjawabnya.

“Tak… bukan Cikgu,” nafi Mak Lela, seakan-akan memahami isyarat yang diberikan Azza sebentar tadi.

“Bukan?” Ihsan semakin kehairanan. Kepala dipusing ke arah Mak Lela. Rupa-rupa ada lagi perkara yang misteri. Bisik suara hatinya ke dalam diri.

“Haah, dua orang tu, kak long dengan kak ngah,” beritahu Mak Lela.

Ihsan terkedu. Terharu. Dirinya terasa disayangi. Dia bersyukur kerana masih di kelilingi dengan kasih sayang daripada keluarganya. Kerinduan terhadap kedua-dua kakaknya itu tiba-tiba menggamit. Dia benar-benar rindukan kak long dan kak ngahnya. Sungguhpun jarak di antara mereka jauh, namun kedua-dua orang kakaknya itu sering mengambil tahu tentangnya. Rasa sebak bertandang kembali.

“Abang,” tegur Azza, tiba-tiba. Mata Ihsan berkalih ke mata Azza yang kelihatan malu-malu hendak menentang matanya.

“Tahniah!” ucap Azza, ringkas.

“Tahniah... tapi untuk apa?” Ihsan terpinga-pinga lagi. Minta kepastian.

“Semua kejayaan abang, tahniah juga kerana berjaya sambung belajar…” kata Azza, ikhlas.

“Oh! Terima kasih…” balas Ihsan tersenyum.

“Semua tu kerana semangat dari kain kafan…” bisik Ihsan ke dalam diri.

“Apa… ?” Azza menoleh kembali, minta diulangi.

Ihsan tergamam. Tidak disangkanya Azza mampu menangkap detik hatinya itu. Dia menggeleng-geleng. Bibir pula mengukir senyum.

“Abang… minggu depan cuti sekolah. Boleh Azza bawa Iman tidur kat rumah ibu?” pinta Azza. Dia menoleh ke arah Iman.

“Imankan anak Azza juga…” kata Ihsan, membenarkan.

Azza mencium Iman. Kegembiraan jelas terpancar dari matanya yang bersinar itu. Sehari suntuk Azza di situ, dia tidak perlu bersembunyi lagi. Dia bukan lagi bayang-bayang. Hanya berbentuk tiada berupa. Dia adalah cahaya, sentiasa memberi selagi terdaya.

Previous: BAB 25
Next: BAB 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan