Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
111,860
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 29

Sudah hampir setengah jam Ihsan berada di dalam bilik kerjanya. Sungguhpun mata asyik memandang monitor komputer, ada perkara lain yang menarik perhatiannya ketika itu. Dia terperasan semacam ada sesuatu yang tidak sempurna. Canggung di matanya. Dia melilau-lilau. Kosong. Lalu dijatuhkan belakangnya ke kerusi berwarna hitam berkilat. Berpusing. Ke kanan. Ke kiri. Masih tiada yang ditemui. Badannya masih rapat bersandar di kerusi yang kurang dua inci dari kepalanya itu.

Tiba-tiba, pandangannya tertumpah ke arah penjuru bilik. Di situ terletak kerusi seti dan sebiji meja kecil. Kebiasaannya, di situlah Ihsan melayan tetamu dan pelanggan Aspalela Enterprise. Dia akan membentangkan setiap apa yang telah direncanakannya. Kemudian, pelanggannya akan mengangguk-angguk. Setuju. Atau ada ketikanya pula menggeleng-geleng. Meminta dia mengubah apa yang telah dibentangkannya itu. Namun, pada penglihatan matanya ada sesuatu yang kurang di ruang itu. Ada cacatnya di situ.

Diamati. Bebola matanya asyik memerhati. Sekeliling. Mencari-cari. Akhirnya, ditemui jua jawapan yang dicari. Di atas meja kecil itu. Kosong. Di antara kerusi seti itu. Kosong. Selalunya tidak begitu. Pada awal pagi lagi biliknya itu akan dijelajahi dengan wangian bunga-bungaan. Harum. Di atas meja kecil itu akan dihiasi dengan gubahan bunga-bungaan yang segar. Di antara kerusi seti pula diletakkan pasu bunga seramik dengan bunga-bungaan hidup yang bertangkai panjang. Semua jambangan itu bukan sahaja mengindahkan pemandangan tetapi turut menghidangkan haruman yang segar. Biar semua pelanggan selesa semasa berurusan dengan syarikat.

Ihsan menekan butang interkom. Suara Saiful kedengaran melalui pembesar suara telefon meja.

“Epul... Kak Siah mana?”

“Entahlah bos, selalunya dia yang paling awal...” beritahu Saiful, tidak membantu.

“Okey... terima kasih, Epul.”

Dia menekan lagi. Kali ini, suara Nora pula yang bergema.

“Kak Siah mana, Nora?”

“Saya tengok... awal pagi lagi dia dah turun rumah, tapi kat pejabat tak ada pulak...” beritahu Nora, jiran Kak Siah. Mereka sama-sama tinggal di Kampung Seberang Jeli.

“Okey la, terima kasih.”

Ihsan termenung. Benaknya mula diasak-asak berbagai andaian. Kak Siah, seorang ibu tunggal. Beberapa tahun lebih tua daripada usia Ihsan. Dia tinggal bersama-sama tiga orang anaknya yang masih bersekolah. Suaminya sudah setahun meninggal dunia.

Apa yang dapat Ihsan simpulkan daripada pemerhatiannya sepanjang Kak Siah bekerja di situ, wanita itu seorang yang rajin. Berdisiplin dan cekap bekerja. Dia juga pembersih orangnya. Gemar kepada suasana yang bersih dan cantik. Maka tidak hairanlah suasana di dalam Pejabat Aspalela Enterprise sentiasa kemas dan segar.

Telefon di atas meja berdering. Gagang diangkat. Beberapa kali Ihsan berisytighfar. Setelah gagang diletakkan, dia meluru keluar bilik.

“Nora, Abang Yamin ada?” Ihsan berpaling ke arah gadis bertudung pink di sebelah kirinya. Jari telunjuknya diarahkan ke bilik Yamin yang masih kosong.

“Ada... bos. Dia kat dalam setor,” beritahu Nora.

“Nanti bagitau dia, saya ke hospital kejap.”

Nora tergamam. Matanya terbuka luas. Dahi pula dikerutkan.

“Ada apa-apa yang berlaku bos?” Tanya Nora, mukanya cemas.

“Kak Siah kemalangan... Epul... ikut abang,” arah Ihsan kepada Saiful yang sedang melopong di hadapan monitor komputer.

Saiful bingkas dan terus membuntuti Ihsan yang sudah ke depan. Nora bungkam. Masih terkesima dengan berita yang baru didengar olehnya itu. Matanya terkebil-kebil memandang ke arah Ihsan dan Saiful. Kedua-dua lelaki itu terkocoh-kocoh keluar dari pejabat.

*****

Suasana di unit kecemasan itu tidaklah terlalu sesak. Namun, sikap para pelawat yang tidak sabar menunggu membingitkan sedikit keadaan pada masa itu. Ihsan meluru ke kaunter pendaftaran. Bercakap-cakap dengan petugas hospital. Kemudian, dia mengangguk-angguk.

“Kita tunggu dulu di bangku sana,” kata Ihsan sambil menuding jari ke penjuru bangunan. Saiful hanya menurut dari belakang.

Lebih kurang dua puluh minit mereka menunggu di situ, barulah kedengaran petugas memanggil waris Siti Asiah binti Muda. Ihsan bingkas dan menapak laju ke dalam ruang rawatan kecemasan. Beberapa minit kemudian, Ihsan keluar dengan menyorong Kak Siah di atas kerusi roda. Kaki kanannya bersimen putih sehingga ke paras lutut. Siku dan dahinya ditampal dengan kain pembalut putih. Kesan ubat berwarna kuning jelas kelihatan.

“Epul, tunggu Kak Siah kejap... abang pergi ambil kereta,” arah Ihsan yang mula bergegas ke tempat parkir kereta, beberapa meter sahaja dari bangunan unit kecemasan.

Kak Siah dipapah masuk ke dalam kereta. Perlahan-lahan. Honda CR-V itu dipandu Ihsan keluar menuju ke jalan besar.

“Macam mana boleh jadi begini Kak Siah?” tanya Epul yang duduk di sebelah Ihsan sambil memalingkan muka ke belakang. Ihsan yang sedang memandu sesekali mengerling ke cermin pandang belakang.

“Selepas hantar anak akak sekolah rendah tadi... motosikal akak baru bergerak masuk jalan besar,” Kak Siah membetul-betulkan letak duduk punggungnya yang kurang selesa itu seketika. Sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan.

“Entahlah... malang sungguh nasib akak tadi. Tiba-tiba saja datang motosikal dari arah belakang. Budak yang membonceng motosikal tu menyentap beg akak dari dalam raga. Telefon bimbit dalam beg akak terlekat di celah-celah besi raga... apa lagi... tersungkur akak atas jalan,” terang Kak Siah, terperit-perit.

“Dah buat repot?” Ihsan mengerling ke atas permukaan cermin pandang belakang.

“Dah... polis ambil keterangan kat hospital tadi, tapi motosikal akak...”

‘Tak apa... nanti kami pergi ambik, kuncinya?” sela Ihsan, matanya memandang ke depan.

“Nanti akak bagi....”

“Belok sebelah mana ni Kak Siah?” tanya Ihsan, apabila kereta sampai di simpang tiga.

“Lurus aje bos, lepas jambatan depan tu... terus belok kanan,” beritahu Kak Siah. Tangan kirinya diangkat-angkat.

“Ikut sini?”

“Ya... turun aje ke bawah jambatan,” arah Kak Siah.

Ihsan hanya menurut. Apabila kereta sampai di suatu selekoh patah dan pandangannya dilindungi oleh sebuah bukit kecil, Ihsan menekan hon kereta. Memberi isyarat. Agar kenderaan yang datang dari arah berlawan turut berhati-hati. Jalan kampung itu sangat sempit. Hanya muat sebuah kereta sahaja. Apabila berselisih dengan kenderaan dari arah bertentangan, sebuah kenderaan terpaksa mengalah. Perlu mencari bahu jalan yang lebar dengan kedudukan tanahnya yang kuat. Kenderaan perlu menanti di situ sehingga kenderaan yang dari arah berlawanan itu bergerak lepas ke belakang.

Tentu penduduk kampung ini penyabar dan bertolak ansur. Fikir Ihsan sendirian. Jikalau tidak, mana mungkin mereka boleh tinggal di sini bertahun-tahun. Bukankah itu sabar namanya? Soal Ihsan di dalam diri.

“Belok ke kiri bos...” kedengaran suara Kak Siah sesampai sahaja mereka di hujung jalan kampung.

Ihsan memberhentikan kereta di laman sebuah rumah papan yang sudah usang. Rumah itu bertiang setinggi paras leher. Tiada bercat. Atap zink rumah itu sudah tua, hampir semua dilitupi kesan karat. Namun, di laman rumah itu licin. Tiada sehelai pun rumput dibenarkan tumbuh. Sementara itu, di tepi sebelah kiri rumah dilingkungi dengan pagar kawat berduri. Ihsan terpegun apabila matanya terpandang berbagai spesies bunga di dalam pagar itu. Sungguh cantik. Di belakang rumah itu, melalui pintu yang sedikit ternganga, Ihsan dapat melihat sebuah perigi yang dilingkungi oleh zink-zink lama.

Kak Siah melangkah payah. Meniti dari anak tangga bongsu ke anak tangga yang paling atas. Akhirnya, dengan nafas termengah-mengah, dia sampai jua ke depan pintu kayu. Ditolaknya kedua-dua daun pintu itu. Ternganga.

“Kau dah balik Siah?” terdengar satu suara perempuan dari sebalik tabir kain yang sudah kusam. Kak Siah menapak, perlahan-lahan ke ruang tamu.

“Ya… mak,” sahut Kak Siah, bibirnya menguntum senyum. Seindah kacapiring yang tumbuh di tamannya.

“Sila bos… sila Epul,” pelawanya, tangan kiri dihalakan ke tikar mengkuang yang sudah sedia terbentang.

“Siah… siapa tu?”

Seorang perempuan tua renta menyelak tabir, meraba-raba mencari dinding. Langkahnya kian menghampiri Saiful yang bersila dengan belakang menyandar rapat ke dinding. Kurang selangkah daripada lutut Saiful, dia berhenti. Memusing badan. Melipat sendi di belakang lututnya. Dia bersimpuh betul-betul di tepi Saiful.

“Ni bos Siah… mak,” beritahu Kak Siah, yang duduk sehasta daripada emaknya.

“Ooo… dua-duanya?” terkesima Ihsan. Dia memerhati emak Kak Siah. Kedua-dua matanya buta. Namun, dia tahu, ada dua orang tetamu di dalam rumahnya.

“Yang ni… Encik Ihsan, bos Siah. Sebelah mak tu, Epul rakan kat pejabat,” terang Siah, satu persatu.

“Pergi bancuh kopi…” arah emak Siah, kemudiannya.

“Eh… eh, tak payah mak cik. Tak payah… saya dah nak balik pun ni. Saya hanya hantar Kak Siah balik,” tolak Ihsan, sopan.

“Hantar Siah? kenapa?”

“Siah jatuh motosikal tadi mak… luka sikit aje,” beritahu Siah.

Emaknya meraba-raba mencari Siah. Kak Siah berengsot-engsot, merapatkan tubuhnya ke sisi emaknya. Tangan emaknya dicapai.

“Sedikit? sampai bersimen macam ni…” omel emaknya, tangan yang sudah kecut itu menggosok-gosok ke atas simen warna putih yang membungkus kaki kanan Kak Siah.

“Nampaknya… Kak Siah kena rehatlah sampai sembuh,” kata Ihsan, simpati.

“Err… bunga yang selalu Kak Siah bawa tu…”

Kak Siah mengangguk-angguk. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh Ihsan.

“Tu la kerja dia hari-hari encik…” ujar emak Kak Siah.

“Macam ni lah... anak-anak Kak Siah kenal Nora?”

“Mahu tak kenal… sebelah surau tadi aje rumah Nora, bos,” beritahu Kak Siah, mukanya menunjukkan dia rengsa dengan kaki yang berbungkus itu.

“Baguslah kalau macam tu, nanti saya suruh Nora ambikkan anak-anak Kak Siah dari sekolah,” kata Ihsan lagi.

“Nanti Wa bancuhkan kopi…” emak Kak Siah menolak tubuhnya untuk berdiri.

“Eh… eh, tak payah mak cik… saya betul-betul dah nak beransur ni. Saya nak ambil motosikal Kak Siah...” tutur Ihsan, matanya memandang ke muka emak Kak Siah. Wanita yang sudah bongkok itu menjatuhkan kembali tubuhnya.

“Kami ni nyusahkan bos aje…” keluh Kak Siah.

“Apa susahnya... Kak Siah dah macam keluarga kami. Jadi... tu semua tanggungjawab kami,” ungkap Ihsan.

“Kalau Kak Siah kerja, mak cik tinggal sorang-sorang ke?” Ihsan yang mula mengangkat punggung memandang ke muka emak Kak Siah. Tangan kirinya menyeluk ke dalam saku seluar.

“Haah… mak cik udah biasa,” emak Kak siah tersenyum, kelopak matanya tidak berhenti-henti mengerlip.

“Emak akak ni tukang urut bos, bidan pun dia…” beritahu Kak Siah.

“Oh! Ya, ke?” ungkap Ihsan, kagum.

Sebelum Ihsan meninggalkan rumah Kak Siah, diberikan sedikit wang kepada Kak Siah. Juga kepada emak Kak Siah. Ihsan amat bersimpati dengan nasib Kak Siah sekeluarga. Dia dapat rasakan kepayahan hidup mereka. Semasa memandu keluar dari perkampungan itu, benaknya asyik berfikir. Mencari jalan bagi membantu keluarga itu. Sebagai majikan kepada Kak Siah, dia akan bantu selagi terdaya.

*****

Keesokannya. Pada waktu petang, Ihsan membawa Mak Lela melawat Kak Siah. Emak Kak Siah, yang lebih mesra disapa dengan panggilan Wa itu sangat ramah. Gerak bangunnya di dalam rumah dan di keliling laman rumahnya itu sangat lincah. Mengalahkan orang yang celik. Apabila tinggal keseorangan, Wa akan merumput di laman rumahnya.

Mak Lela dan Wa semakin rancak bersembang. Banyak perkara yang diceritakan mereka. Bermula dari zaman muda sehingga ke zaman sekarang. Zaman dahulu duit payah dicari tetapi barang murah. Zaman sekarang duit mudah tetapi barang pula mahal. Orang zaman dahulu suka tolong-menolong, tidak macam orang sekarang yang suka melelong.

Pekikan cerek air dari dapur jelas kedengaran. Panjang. Bunyinya macam wisel keretapi. Wa bangkit. Kedua-dua tangannya diangkat sehingga paras pinggang. Dia mula mengayun langkah. Mak Lela bangun hendak menolong.

“Tak apa Mak Lela...” bantah Wa, pantas.

“Mak dah biasa buat tu semua,” beritahu Kak Siah, memandang ke arah Mak Lela.

Ihsan dan Mak Lela saling berpandangan.

Sejurus kemudian, Wa muncul. Kedua-dua belah tangannya menatang sekeping dulang. Belum sempat dia meletakkan dulang dari tangannya, Mak Lela sudah menyambut.

“Silalah minum, kopi kosong aje,” pelawa Wa, tersenyum-senyum.

“Yalah,” sahut Mak Lela.

Di bawah rumah, kedengaran riuh-rendah suara anak-anak Kak Siah bermain. Iman bertenggek di atas anak tangga, memerhati.

“Tak tau la, lama mana lagi saya tersadai kat rumah ni,” keluh Kak Siah, kesal. Matanya memandang sayu ke balutan bersimen di betis.

Mak Lela dan Ihsan memandang ke muka Kak Siah. Simpati. Benak Ihsan masih lagi mencari. Sesuatu yang boleh meringankan beban keluarga ini.

“Buat masa ni, saya rasa begini dulu,” tiba-tiba Ihsan bersuara.

Kak Siah dan Mak Lela berkalih dan terus memandang Ihsan. Wa pula menadah kuping yang tajam pendengarannya itu.

“Semua bunga dalam pagar di bawah tu Kak Siah punyakan?” soal Ihsan, ingin kepastian.

Kak Siah mengangguk. Mengiakan.

“Beginilah... apa kata, setiap pagi... biar Nora datang beli untuk pejabat?”

“Tak payah beli-belilah bos, ambik aje,” sela Kak Siah.

Ihsan menggeleng-geleng. Tapak tangannya digoyang-goyang.

“Tak boleh... biar pejabat beli...” putus Ihsan, muktamad.

“Yalah Siah...” celah Mak Lela, menyokong keputusan Ihsan.

“Satu lagi yang saya nampak...” ungkap Ihsan, macam lagak seorang wakil rakyat yang sedang berucap di depan khalayak ramai.

“Kak Siah pandai mengurut?”

“Bolehlah... sikit-sikit.”

“Tak apa, Kak Siah boleh belajar sampai mahir, Wa kan boleh ajar,” kata Ihsan, mengharap.

“Tapi apa yang saya nak... bila Kak Siah dah boleh berjalan sikit-sikit nanti, Kak Siah masuk kursus pendek kat Kolej Komuniti.”

‘Kursus apa pulak bos?”

“Terpulang... tapi ikut minat Kak Siah. Kursus andaman ke... kursus solekan ke... cari aje, banyak peluang belajar di kolej tu,” beritahu Ihsan. Membuka jalan. Dia teringatkan Abang Mat dan Teori Do Re Mi. Dia mengulum senyum.

“Bos dah tak nak ambik akak kerja kat pejabat lagi?” sayu sahaja bunyi suara Kak Siah bertanya.

Ihsan ketawa. Dipandangnya ke muka Kak Siah yang pucat itu. Dia dapat rasa apa yang sedang dirasai oleh Kak Siah.

“Bukan macam tu, saya nak suruh Kak Siah berniaga.”

“Akak mana pandai niaga...”

“Saya dulu pun macam tu,” beritahu Ihsan, pandangannya dilemparkan ke muka Mak Lela yang asyik mendengar sahaja sejak dari tadi.

“Tapi akak tiada modal... nak makan pun susah,” rungut Kak Siah lagi.

“Saya yang akan keluar modal, saya nak Kak Siah uruskan... boleh?”

“Tapi niaga apa?”

“Kak Siah minat apa?” soal Ihsan sebagaimana yang pernah disoal oleh Abang Mat kepadanya dahulu.

“Bunga... urut, solek... ya, mengandam pun,” Kak Siah mula mengira-ngira.

Ihsan tersenyum.

“Tapi... bos cadang nak buka dekat mana?”

“Ni cuma cadangan saya, apa kata kita buka di rumah ni dulu?”

“Lakukah? Ada pelanggan ke?” Kak Siah masih ragu-ragu.

“Kita cuba dulu... kita buatlah promosi. Nanti kita sediakan sauna sekali,” kata Ihsan, cuba memberikan harapan.

“Sa... sana, eh suna... eh apa benda tadi tu”? Tanya Wa tergagap-gagap.

“Sauna... mandi wap untuk segarkan badan,” jelas Kak Siah, tergelak.

“Ooo... elok sangat la tu, Wa pun boleh cuba,” gurau Wa, tersengih.

Mak Lela pun turut mengekeh.

Lebih sejam Ihsan dan emaknya berborak di rumah Kak Siah. Apa yang Ihsan lakukan itu semata-mata untuk menolong. Dia turut merasai keperitan yang sedang dilalui pekerjanya itu. Keperitan itu sudah sebati di dalam darah dagingnya. Semua rezeki daripada Allah, cuma laluannya sahaja yang berbagai-bagai.

Sudah tiga minit Ihsan dan emaknya meninggalkan rumah Kak Siah. Kereta mereka sedang mendaki bukit di bawah jambatan. Kemudian membelok ke kiri. Iman hanya bungkam. Memandang ke luar tingkap kereta. Sesekali Ihsan mengerling ke luar. Di sebelah kiri mereka kini, terbentang sebatang Sungai Jeli. Airnya dalam dan keruh. Nun jauh di permukaan airnya, masih terdapat batang-batang kayu dan papan yang sudah reput. Itulah jambatan pontun, yang menghubungkan Seberang Jeli dengan Bandar Jeli dahulu. Ihsan pernah melintas menggunakan jambatan itu bersama arwah ayahnya. Bila tiba musim tengkujuh, jambatan pontun itu akan tenggelam. Putuslah jalan yang menghubung di antara kedua-dua kampung itu.

Di sebelah kanan jalan pula, terpacak sebiji bukit yang tinggi. Lerengnya telah ditarah, ditanam dengan pokok-pokok getah. Kini, di situ telah menjadi sumber pendapatan utama penduduk di sini.

“Ihsan bukan apa emak, kasihan... tengok Wa anak beranak,” beritahu Ihsan setelah lama berdiam diri.

“Sekurang-kurangnya, kita berusaha menolong,” sambung Ihsan lagi.

“Bagus la tu, Ihsan,” sokong, Mak Lela.

“Biar Kak Siah tu bekerja di rumah, boleh juga dia jaga emaknya,” kata Ihsan, cuba menjelaskan tujuan asalnya.

Ihsan teringatkan kisahnya dahulu. Penuh dengan ujian dan cabaran. ‘Ujian Allah ke atas hamba-Nya tidak sama,’ tuntas hati kecilnya. Hatinya belum betul-betul tenteram, jikalau semua yang tersimpul dahulu belum dirungkaikannya. Dia teringatkan ibu Azza.

Kereta mereka berhenti di simpang tiga. Membelok ke kiri. Menderum sehingga ke jalan besar. Kemudian, Ihsan menambahkan berat tekanan kaki kanannya ke atas pedal minyak. Kereta itu meluncur laju, mencari destinasi seterusnya.

Previous: BAB 28
Next: BAB 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan