Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
111,853
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 28

Sepagian Ihsan berada di dalam pejabat. Fail-fail di atas meja itu menunggu giliran untuk disentuh. Matanya asyik meneliti dokumen-dokumen di hadapannya. Sebatang pembaris kayu diletakkan melintang. Dijadikan penanda. Bagi memudahkan matanya untuk menyemak setiap huruf dan angka yang tertera. Pena di tangan kanannya itu akan membuat tandaan. Ditandatangani ringkas pada penghujung sebelah kanan kertas. Tanda sudah disemak.

Secara tiba-tiba, Yamin datang mengetuk pintu. Menghempapkan punggung yang lebar itu ke atas kerusi yang sudah tersedia di hadapan meja. Tercungap-cungap. Bunyi nafasnya, jelas kedengaran. Turun naik dadanya juga kelihatan jelas.

“Hah... apa pasal macam orang kena kejar ceti aje... abang ada hutang dengan along ya?” gurau Ihsan sambil mendongakkan muka. Dia yang sedikit terkesima itu turut merasa kelajuan degupan jantungnya semakin bertambah.

“Banyak... lah kau punya hutang. Yang ni... kau punya hutang. Bukan aku,” balas Yamin sambil mengekeh-ngekeh.

“Hey... San! Aku ada berita baik. Berita baik untuk kau,” Yamin masih tercungap-cungap.

Ihsan memeritkan mata. Dahi dikerutkan. Pandangannya masih dilepaskan ke atas muka Yamin. Muka yang semakin dipenuhi dengan manik-manik jernih. Menunggu Yamin menyambung ceritanya lagi.

“Semalam... aku nampak Azza la...” beritahu Yamin yang semakin tenang.

“Abang nampak Azza? Kat mana?”

“Kat sekolah. Sekolah tempat kita sedang buat kerja tu...”

“Dia buat apa kat situ?”

“Hah! ni yang aku nak bagitau kau,” kata Yamin, bersungguh-sungguh. Lagaknya sudah macam seorang detektif.

Ihsan bungkam. Muka ditunduk. Memandang ke atas helaian kerja yang masih dalam tindakannya. Pena di celah jari tangannya itu dipusing-pusing. Diletakkan ke atas meja. Muka didongak, memandang tepat ke muka Yamin. Sepupunya itu sedang memerhati reaksi spontan dari gerak lakunya.

“Kau tau tak?”

“Tau apa?” balas Ihsan terkebil-kebil.

“Rupa-rupanya... Azza mengajar kat situ,” Yamin mematikan teka-tekinya.

“Oh! Azza dah jadi cikgu ya...” keluh Ihsan. Tersenyum.

“Kau tak nak jumpa dia ke? Pukul 10.00 nanti aku nak ke sekolah tu. Ada kerja yang belum selesai lagi. Kau nak ikut tak? Jom... ikut aku ke sana,” ajak Yamin, serius sahaja bunyinya.

“Tak apa la bang, sebenarnya... kami dah jumpa,” Ihsan tersenyum sambil memandang muka Yamin.

“Hah! bila?”

“Kelmarin, kat rumah... dia datang jumpa Iman. Nantilah, kalau ada masa... aku cerita,” janji Ihsan, pena di atas meja dicapai. Gagangnya kembali terkepit di antara ibu jari dan jari telunjuk tangan kanan. Dia kembali menunduk. Menyelak-nyelak fail yang terbuka di atas meja di hadapannya.

“San!” panggilan Yamin itu mematikan tarian tangan Ihsan. Mata pena ditarik dari permukaan kertas putih itu.

Ihsan mengangkat muka lagi. Melawan pandangan Yamin. Muka Yamin yang bulat itu direnunginya. Begitulah sikap sepupunya itu. Sentiasa mengambil berat tentang dirinya. Dialah juga yang banyak memberi tunjuk ajar kepada Ihsan tentang kerja-kerja pendawaian elektrik. Jasa Yamin terlalu banyak kepada keluarga Ihsan. Aspalela Enterprise bukan sahaja melantik Yamin sebagai penolong pengurus. Malah turut memberi Yamin saham syarikat sebanyak 10 peratus. Yamin kini diamanahkan untuk mengurus bahagian operasi syarikat. Sikapnya yang mudah mesra dan ringan tulang itu memberi pulangan yang lumayan kepada syarikat.

“Kau tak teringin nak sunting Azza balik ke?” tanya Yamin, tersengih-sengih.

“Jangan lambat San... saham Azza tu tengah naik. Aku dengar ramai cikgu lelaki yang menaruh hati kat dia... jangan nanti putih mata...” Yamin mengingatkan. Walaupun dengan nada lelucon namun amat mendalam maknanya.

Ihsan bungkam. Wajah Azza menjelma di ruang mata. Dia tidak dapat menyembunyikan perasaannya lagi. Semuanya dapat dihidu oleh Yamin.

“Aku lelaki juga San, aku tahu hati lelaki… lebih-lebih lagi kau,” kata Yamin, cuba memancing.

“Apa yang abang tau?” uji Ihsan.

“Kau masih sayangkan Azza bukan?” tanya Yamin, minta kepastian.

“Aku tak pernah membenci dia…”

“Kau masih cintakan dia?”

Ihsan menghela nafas. Dipandangnya ke tubuh Yamin yang padat berisi itu. Dia tidak mampu menahan ketawanya lagi. Dia mengekeh sedikit apabila melihat keletah Yamin yang menyoalnya bertubi-tubi itu. Punggung Yamin tergolek-golek ke sana ke mari. Lagaknya pula mengalahkan polis pencen.

“Aku rasa, abang ni dah salah pilih bidang…” aju Ihsan, terbatuk-batuk.

“Apa pasal pulak?”

“Lagak macam Detektif Conan,” gurau Ihsan, tergelak.

“Kau jangan tukar tajuk pulak…” kata Yamin separuh bergurau.

“Aku tanya betul-betul ni… aku kesian kat kau,” sambung Yamin lagi.

“San, serius aku cakap… menyesal kau kalau kau terlepas perempuan macam Azza tu. Baik... cantik...” puji Yamin, bersungguh-sungguh.

“Abang… nyesal aku yang lama tu pun belum lagi terubat. Takkan aku nak tambah sesal yang baru pula,” komen Ihsan perlahan.

“Kalau macam tu, kau serah saja pada aku. Biar aku pinangkan untuk kau,” cadang Yamin,matanya mengerling ke arah jam di pergelangan tangan kiri.

“Haha… kalau ya pun, jangan gelojoh sangat. Bertahun-tahun aku boleh tunggu. Tak kan sebulan dua tak boleh sabar lagi.” Ihsan termenung seketika.

“Pengalaman banyak mengajar aku berfikir... perkahwinan adalah kesinambungan hidup kita. Macam jambatan yang menghubungkan dua tebing. Dua kampung. Kalau kedua-dua tebing tadi saling menyokong, akan teguh terbentang jambatan itu. Kali ni, aku nak… perkahwinan yang disetujui oleh kedua-dua orang tua. Biar ada keberkatan. Biar semua orang gembira. Lebih-lebih lagi ibu Azza,” terang Ihsan tentang perasaannya. Walhal, jauh di sudut hati masih ragu-ragu. Hatinya masih tidak menentu. Memang Azza selalu ke rumahnya. Namun, untuk Iman. Tiada sekelumit pun bicara yang terloncat keluar dari mulut Azza menyentuh tentang hubungan mereka. Mungkin juga Azza mahu dia yang memulakan. Azzakan seorang perempuan. Itu terdetik di hatinya.

“Kalau ibu dia tak setuju?” soal Yamin kembali.

Ihsan menggaru-garu kepala. Mata melilau memandang keluar. Menerusi dinding kaca bilik, dilihatnya Saiful sedang membuat salinan fotokopi. Madi yang melintas di belakang itu cuba menghulurkan jari telunjuk ke bahagian pinggang Saiful. Tusukan Madi itu dapat dipintas oleh tamparan pantas dari telapak tangan Saiful. Bunyi kekehan jelas kedengaran.

Semua kakitangan Aspalela Enterprise sudah menjadi satu keluarga. Setiap tahun, mereka anjurkan hari keluarga. Syarikat akan menyewa chalet atau hotel di sekitar pantai. Mereka mengadakan sukaneka. Biar semua keluarga kakitangan mereka berkenalan sesama mereka. Apabila kebajikan kakitangan dijaga, produktiviti mereka akan meningkat. Itu yang cuba dipraktikkan oleh pengurusan syarikat.

“Apa yang penting, niat kita bang. Aku hanya mampu berdoa, moga-moga Azza sudi menerima aku kembali. Begitu juga dengan ibu Azza,” suara Ihsan, mengharap.

Amin… ya Rabbi alamin,” sampuk Yamin, kedua-dua tangan disapukan ke muka.

Previous: BAB 27
Next: BAB 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan