Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
111,869
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 17

Setiap hujung minggu, ada sahaja lori kecil dan pikap keluar masuk ke kebun Ihsan. Semua datang untuk memborong pisang-pisang dan ubi kayu. Bukan pisang-pisang yang matang sahaja ada pasarannya. Pisang yang pramatang juga turut mendapat pasaran. Pisang ini akan dijual kepada pengusaha-pengusaha Industri Kecil dan Sederhana atau ringkasnya IKS. Pisang ini akan diproses untuk dijadikan kerepek, makanan ringan yang digemari dewasa ini.

Alangkah bahagianya jikalau semua kejayaan ini dapat diraikan bersama-sama orang tersayang. Itu kata hatinya. Dia masih menaruh harapan terhadap Azza. Biarlah jikalau ada orang yang menyindir. Atau mengumpamakan dirinya seperti pungguk merindukan bulan. Juga memerlinya dengan berbagai perlian yang menyakitkan kuping. Sindirlah. Perlilah. Mereka sebenarnya tiada empati. Tidak dapat menyelami hati dan perasaannya.

Sekarang, hasil pertanian dari usahanya itu mula mendapat pasaran. Dirinya juga semakin dikenali di kalangan peraih-peraih. Sebut sahaja nama ‘Ihsan Tauke Pisang’ dirinya pasti dikenali. Itulah hebatnya kuasa Allah. Tiada siapa yang dapat menduga. Mengangkat yang di bawah. Menjatuhkan yang di atas. Justeru itu, hendaklah kita sentiasa bersyukur. Sentiasa menghargai apa yang kita miliki.

Ihsan terkebil-kebil di sofa. Dia masih asyik melayan permintaan hatinya. Menuruti ke mana sahaja yang dibawa. Di awang-awangan. Dia bagaikan seorang putera raja. Diarak, diiringi oleh kaum kerabat. Melangkah gagah memasuki ke singgahsana. Busana pengantinnya sungguh indah. Halus jahitannya. Kena dengan rona krim sebagai temanya. Di pinggang pula terselit sebilah keris bersarung. Sekilas pandang, persis seorang panglima Melayu Melaka. Ya, panglima yang baru mendapat sepasang persalinan, hadiah daripada sultan.

Azza pula tampak anggun dan ayu sekali. Pakaiannya juga sedondong. Dia kelihatan lenguh kerana terpaksa menghadiahkan senyuman sepanjang hari. Meskipun dia tidak lokek dengan senyuman yang sentiasa ketara di bibir.

Rombongan pengantin semakin menghampiri pelamin. Barang-barang hantaran mula bertukar tangan. Ihsan dibawa naik dengan sopan dan penuh beradat. Didudukkan di sebelah kiri pemaisuri yang setia menanti. Azza tersenyum. Ihsan juga ikut tersenyum. Apabila ada suara mengusik-usik dengan ayat-ayat kelakar yang singgah di kuping mereka. Semua itu demi memeriahkan lagi majlis perkahwinan. Agar kedua-dua mempelai tidak gugup di atas pelamin.

“Oppss... mak kau!” nyaring, kedengaran orang melatah.

Suasana menjadi semakin bingit. Dari jauh, kelihatan kek pengantin dari sebelah pengantin lelaki terlungkup ke lantai. Bukan kerana ada hulubalang yang datang mengamuk. Semua itu tidak disengajakan. Akibat salah faham di antara dua pihak. Orang yang menghulur menyangka bekas kek itu telah bersambut. Manakala orang yang menyambut belum sedia untuk menerimanya lagi.

“Orang tua-tua kata... ni petanda tak elok,” bisik seorang wanita yang bersimpuh tidak jauh dari pelamin pengantin.

Ihsan mengerling. Begitu juga dengan Azza. Wanita itu sepupu ibu Azza. Dia juga salah seorang yang membantah keras hubungan Azza dengan Ihsan. Tidak sepadan, katanya. Dia memuncungkan bibir. Memprotes agaknya.

“Syyhh... awak ni, tak usah mengarut. Cuba doakan yang baik-baik,” marah suaminya, tidak senang hati.

Wanita itu mencebik. Biji mata hitam diangkat tinggi. Tidak setuju dengan teguran sang suaminya itu.

“Kalau dah kahwin pun tak dengan restu ikhlas dari ibu... mana nak berkat,” omelnya lagi. Mulut membebel-bebel. Kedengaran seperti orang sedang berbisik.

Suaminya mengerling. Lalu mengangkat punggung. Meninggalkan wanita itu bersama-sama kaum kerabatnya yang lain. Mungkin tidak mahu melayan kerenah isterinya itu.

Pekikan cerek air dari dapur bagai tiupan wisel penamat dalam satu perlawanan bola sepak. Mampu menggetus bunga-bungaan yang sedang mekar indah di dalam lamunan manis Ihsan. Alangkah manis jikalau majlis perkahwinan beberapa tahun yang lalu itu berulang kembali. Andai aku mampu mengubah masa seperti di dalam filem-filem Barat itu. Oh! Alangkah bahagianya. Getus hati kecilnya, masih berfantasi. Hello...! Itu cuma khayalan. Cerita rekaan semata-mata. Cerita yang tidak boleh diterima dek akal. Protes akalnya. Meminta supaya dia berpijak di bumi nyata.

Mak Lela keluar dengan secawan teh dan sepiring lepat. Diletakkan ke atas meja kecil, di hadapan Ihsan. Itulah yang menjadi kudapan pada petang ini. Perlahan-lahan dia menghampiri Iman yang sedang ralit menonton Oggy, seekor kucing dibuli oleh beberapa ekor lipas dalam filem kartun, Oggy And The Cockroaches di kaca televisyen.

“Emak... apa kata tanah bawah lembah kat kebun tu... Ihsan buat kolam ikan?” aju Ihsan, dicapai cawan berwarna putih susu. Teh yang suam-suam kuku itu dihirup. Segar.

“Larat ke Ihsan nak buat semua tu?” Mak Lela memusingkan dada, memandang ke arah Ihsan.

“Nanti kita sewa Backhoe untuk gali lubang kolam. Lain-lain tu... Ihsan uruskan kemudian,” jelas Ihsan tentang cadangannya itu.

“Kalau gitu kata Ihsan, emak turut aje. Lagi pun, Ihsan yang kerjakan. Tapi... jangan paksa-paksa diri buat yang tak mampu kita lakukan. Ingat tu. Apa yang Allah rezekikan sekarang ni pun, emak rasa dah lebih dari cukup,” nasihat Mak Lela, kembali menghadap Iman.

“Ya lah emak. Ihsan ingat tu. Tapi mungkin sebulan dua lagi kot. Ihsan kena belajar dulu. Kena betul-betul mahir dalam perternakan ikan ni. Selagi Ihsan tak faham... Ihsan tak akan buat,” beritahu Ihsan, memberi jaminan kepada emaknya.

Mak Lela hanya mendengar. Tentu setuju dengan keputusan Ihsan itu. Pernah emaknya melahirkan rasa syukur itu kepada Ihsan.

“Emak syukur sangat-sangat San... emak tengok Ihsan tekun. Kerja sungguh-sungguh. Sebab tu Allah murahkan rezeki kita. Walaupun tak kaya... tapi cukup untuk biayai hidup kita sekeluarga.”

Ihsan bukanlah tamak. Bukan dia sudah terpesona dengan helaian merah, biru dan unggu yang selalu diterimanya. Memang betul kata-kata emaknya itu. Rezeki yang Allah kurniakan kepada keluarganya sekarang lebih daripada cukup. Sekarang, dia sudah mampu menanggung semua perbelanjaan keluarga. Duit simpanan pun sudah mencecah lima angka. Cukuplah. Cuma kadangkala, dia terfikir juga dengan cadangan dan permintaan peraih-peraih yang datang menemuinya.

“San... kenapa kau tak bela ikan? Di bawah sana tu elok kau buat kolam ikan. Nanti bolehlah kami booking,” cadang seorang peraih.

Bukankah baik juga cadangan itu? Sekurang-kurangnya, aku boleh menjadi salah seorang pembekal ikan air tawar Islam. Kebersihan ikan terjamin. Halal. Mengurangkan syak wasangka dari berbagai pihak tentang kesucian ikan-ikan itu. Tentang makanan ikan keli, patin dan tilapia yang sering dipertikaikan halal haramnya. Itu yang difikirkannya. Fikir untuk orang-orang Islam. Itu pun fardu kifayah juga.

Hatinya mencadang lagi. Kolam ikan itu juga boleh membuka peluang pekerjaan kepada penduduk-penduduk kampung. Dia teringatkan satu waktu dahulu. Ramai penduduk kampung yang berlumba-lumba merebut peluang membeli saham dalam perternakan ikan keli. Ada yang sanggup berhutang untuk mencari wang. Kemudian, dilaburkan kepada projek perternakan ikan keli. Seronoknya mereka bukan kepalang. Wang yang diterima hasil dari pelaburan itu begitu lumayan. Namun, keseronokan itu tidak berpanjangan. Projek itu akhir tidak kedengaran.

Ihsan ada hala tujunya sendiri. Bukan! Tidak terlintas di hatinya untuk mengulangi apa yang telah dilalui oleh penduduk-penduduk kampung itu. Hasratnya murni. Dia mahu membantu. Biar orang-orang kampungnya juga mendapat manfaat. Dia akan membuka kolam ikan. Dia akan menggajikan penduduk-penduduk yang berminat. Dia akan membiayai semua latihan untuk memahirkan para pekerjanya nanti.

Apa yang menarik. Dia bersedia membantu setakat yang dia mampu jikalau ada di kalangan pekerjanya yang berminat untuk membuka kolam sendiri. Itu impiannya. Kolam ikan boleh juga dijadikan tempat memancing bagi kaki-kaki pancing. Itu bukan dalam perancangannya di kebun itu. Projek itu dicadangkan untuk bakal para pekerjanya yang berminat dalam perniagaan nanti.

Ihsan tersenyum sendiri. Impiannya itu masih jauh lagi. Sekurang-kurangnya, kita sudah ada niat. Kita sudah pasang niat. Kata nabi, walaupun sekadar berniat dalam membuat kebajikan. Itu sudah pun dicatat malaikat sebagai amalan yang baik. Subhanallah! Pemurahnya Allah. Bisik hatinya lagi.

Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan