Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
111,876
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 21

Teori Laksamana Do Re Mi. Ihsan tergelak sendirian. Di kotak kepalanya masih terbayang-bayang wajah Abang Mat. Ahli perniagaan itu sangat kreatif. Ihsan kagum dengan pemikiran Abang Mat. Lelaki itu bijak memanipulasikan peluang yang ada. Dalam masa yang singkat, kata-kata semangat Abang Mat begitu mendominasi pemikirannya. Abang Mat mudah mesra. Mungkin juga sikap orang berniaga. Sentiasa bergaul dengan berbagai ragam manusia. Bermula dari peringkat bawah sehingga ke peringkat atas. Atau, mungkin sikap asal Abang Mat begitu. Mungkin. Ahli perniagaan pun ada yang tidak mesra alam.

Sebagaimana seorang penyanyi baru, mesti ada jati diri. Begitu juga dengan seorang usahawan. Mesti ada stail tersendiri. Itu pesanan Abang Mat tempoh hari. Banyak ilmu baru yang Ihsan telah pelajari daripada Abang Mat. Dia ingat. Betul-betul ingat. Pesanan Abang Mat. Ilmu. Ya! Mesti berilmu.

Kad kecil yang diberikan oleh Abang Mat itu direnung. Lama. Dia menggeleng-geleng. Bibirnya mengorak senyum. Inilah yang dikatakan seperti ilmu padi kian berisi kian runduk. Bisiknya sendirian. Pandangan matanya tidak dilepaskan dari memandang ke atas kad itu. Bibirnya ditarik lagi. Semakin lebar senyumnya.

“Ihsan... senyum sorang-sorang ni, kenapa?” tegur Mak Lela yang baru berhenti dari menyapu lantai. Tangannya masih menggenggam sebatang penyapu. Ihsan yang sedang berbaring di sofa bingkas bangun. Tersengih lagi.

“Menantu Haji Rokiman tu... rupa-rupanya bukan calang-calang orang juga ya emak?” Ihsan meluahkan apa yang terbuku di hati, agar dapat dikongsi bersama-sama emaknya.

“Yang mana?” Tanya Mak Lela, minta kepastian.

“Yang bersembang dengan Ihsan masa kat masjid malam tadi tu,” jelas Ihsan. Muka dipalingkan ke muka emaknya.

“Ooo... yang tu. Suami Nisa...” beritahu Mak Lela. Jari telunjuk tangan kanannya diangkat dan dijatuhkan. Ihsan mengangguk. Malam tadi baru dia tahu, Abang Mat itu suami Kak Nisa. Sebelum ini, dia belum kenal dengan Abang Mat. Apa yang dia tahu, suami Kak Nisa itu bekerja di Kuala Lumpur. Itu sahaja. Itu pun secara tidak sengaja dia mendengar Kak long dan Kak ngahnya selalu bercerita. Setiap kali mereka berkumpul.

“Abang Mat tu, lulusan kejuruteraan dari luar negara, syarikat dia pun agak besar...” kad nama di tangan itu diangkat-angkat.

“Tapi... orangnya sopan, warak... tak sombong pun,” cerita Ihsan lagi, umpama seorang juri tetap di dalam program realiti televisyen.

“Anak menantu Haji Rokiman memang macam tu... semua baik-baik,” tokok Mak Lela, bersetuju dengan penilaian yang diberikan oleh Ihsan.

“Segan Ihsan pulak...” rungut Ihsan, emaknya hanya mengerling ke arah kertas tebal kecil yang masih di tangan anaknya itu. Walaupun emaknya tidak pandai membaca dan menulis, ada juga huruf-huruf yang dia kenal. Sebutnya pun tepat. Namun, tiga huruf sahaja. A,B,C. Setiapkali balik sekolah, dia akan menemani Iman ke kedai Kak Zainon. Membeli Air Batu Campur. Sekarang, emaknya sedang belajar menyebut satu huruf lagi. Iaitu huruf “J”. Kak Zainon memperkenalkan satu lagi produknya, iaitu A,B,J. Air Batu Jagung. Mereka ketawa mengekeh-ngekeh apabila mendengar emaknya bercerita tentang itu.

“Kenapa segan pulak?” Emaknya mula duduk di atas sofa bersebelahan dengan Ihsan. Penyapu di tangan disandarkan ke tepi sofa.

“Minggu depan, dia nak bawa Ihsan pergi daftar peniagaan,” beritahu Ihsan, muka dihadapkan ke muka emaknya.

“Dia ajak Ihsan berniaga?”

“Tak... bukan ajak, tapi dia cadangkan Ihsan berniaga. Macam-macam dia bagitau pasal niaga. Katanya... bila-bila masa dia sedia beri khidmat nasihatnya pada Ihsan,” jelas Ihsan, cuba membetulkan tanggapan emaknya.

“Ooo... betul juga tu. Mana tau ada rezeki kita di situ,” Mak Lela menopang dagu, nampak seperti bersetuju.

“Tapi... modal tu... mana kita nak cari,“ rungut Ihsan kecewa.

“Insya-Allah... dapat duit pampasan nanti, kita buat modal. Macam mana?” cadang Mak Lela, seolah-olah dapat dibaca apa yang bersarang di benak Ihsan.

“Tapi... kak long... kak ngah...”

“Ihsan jangan risau, tadi kak long dah telefon emak. Kak ngah pun sama. Emak baru aje lepas bagitau pasal tanah kebun tu... dia amanahkan Ihsan. Dia percayakan Ihsan. Kalau Ihsan nak buat berniaga pun dia benarkan. Dia suruh Ihsan guna duit pampasan bahagian dia tu.” Berita yang baru disampaikan oleh Mak Lela itu bagai hujan yang turun pada musim kemarau.

Berita itu amat menggembirakan Ihsan. Dia sudah mendapat lampu hijau daripada emak dan kakak-kakaknya. Dia mesti berusaha. Dia tidak mahu mengecewakan harapan keluarganya. Dia tidak mahu kepercayaan dan amanah yang diberikan itu dianggap sia-sia. Dia nekad. Teori Laksamana Do Re Mi, ciptaan Abang Mat itu akan direalisasikan. Biar teori itu nanti tercatat di dalam setiap buku. Biar teori itu diajar di mana-mana pusat pengajian. Mungkinkah? Dia tersenyum lagi.

“Tapi... sementara tu Abang Mat suruh Ihsan kerja dengan dia dulu. Dia nak Ihsan belajar,” beritahu Ihsan, dia merapatkan belakang ke sofa. Membetul-betulkan letak punggung.

“Kat Kuala Lumpur?” Mak Lela kelihatan ragu-ragu.

“Tak… kat Jeli aje, dia suruh Ihsan belajar sikit-sikit. Lepas tu, Ihsan kena masuk kursus.”

“Kursus apa pulak?”

“Kursus kontraktor… bila tamat semua syarat tu, baru Ihsan boleh mohon jadi kontraktor. Kontraktor... kontraktor gred G1,” beritahu Ihsan dengan wajah berseri-seri.

“Kontraktor... gi... satu tu apa?”

“G1 tu… gred paling bawah, kalau dulu dia panggil kontraktor kelas F. Kontraktor gred ni hanya boleh ambil kontrak… kalau Ihsan tak silap... kata Abang Mat tak boleh lebih 200 ribu ringgit.”

“Hish… tak apalah. Tak usah nak beritau emak. Emak bukan faham pun. Patutlah Yamin tu malas nak daftar niaga. Pening dibuatnya,”tuntas Mak Lela, memicit-micit dahi.

Mak Lela bangkit dari sofa. Dicapai batang penyapu yang berada di sisi. Ligat tangannya mengayun-ayun bulu penyapu ke atas lantai.

“Ni aje yang emak tau...” ujarnya, menyapu-nyapu sehingga ke pintu.

Ihsan hanya tersenyum

“Tapi... 200 ribu tu banyak, apa tak banyak pulak?” bantah Mak Lela kepalanya dipusing ke arah Ihsan.

Ihsan hanya memandang ke arah emaknya. Wanita ini sangat tabah. Cekal menghadapi setiap ujian Allah. Ihsan merasa sangat beruntung. Beruntung kerana dilahirkan dari perut seorang ibu seperti emaknya.

Previous: BAB 20
Next: BAB 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan