Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
111,853
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 9

Ketika Ihsan sedang membasuh motosikal di laman, Yamin datang dalam keadaan sugul. Selepas menongkat motosikal empat lejangnya, dia menapak lemah-langlai. Air mukanya lesu macam tentera Jepun patah perang. Tidak seperti selalu, setiap patah perkataan ada sahaja leluconnya. Petang itu, dia datang dengan memikul rasa terkilan.

Ihsan mengerling, tangannya terus menggenyeh-genyeh rim motosikal yang sudah dimakan karat itu. Yamin menghempapkan punggung yang padat dengan lemak itu ke pangkin. Dia masih bungkam. Dahi berkerut-kerut. Ihsan seakan-akan dapat merasakan yang sepupunya itu berdepan dengan masalah. Kalau tidak, masakan dia mempamerkan muka ketat. Ya, Yamin macam cicak berak kapur. Sudah macam muka sardin. Terdengar keluhan dilepasnya berkali-kali. Seolah-olah melepaskan bebanan yang sarat di dalam diri.

Ihsan membiarkan sahaja. Hanya melihat Yamin bersendirian di pangkin. Membiar Yamin melayan perasaan sepuas-puasnya. Ihsan terus mengelap madgad depan motosikal pusaka itu. Motosikal arwah ayahnya itu sudah banyak berjasa kepada keluarganya. Motosikal itu terabai setelah ayahnya meninggal dunia. Dahulu, dia jarang menunggang motosikal itu, tetapi setelah motosikalnya dijual kerana ketagih benda haram itu. Motosikal arwah ayahnya itu kembali digunakan. Setiap hari dia mengangkang di atas motosikal Honda 70 itu.

“Aku malulah San,” perlahan-lahan Yamin bersuara semasa Ihsan mula bertenggek di sebelahnya.

Ihsan terkebil-kebil, tidak tahu hujung pangkal. Dia sabar menunggu. Bersedia mendengar. Entah apa yang Yamin maksudkan.

“Aku janji dengan kau, hari ni aku nak bayar upah kau,” jelas Yamin tidak mahu membiarkan Ihsan berteka-teki terlalu lama.

Ihsan membiarkan Yamin meneruskan butir bicaranya. Dia tidak mahu menyampuk walaupun sebaris ayat. Dia hanya ralit memasang kuping. Yamin pula bagaikan seorang pesakit yang sedang menghadap kaunselor.

Aku kaunselor? Biar betul. Selalu, aku yang menghadap kaunselor. Ah! Apa-apa sahaja. Apa yang penting ‘pegawai parol’ aku ini ada masalah. Sekurang-kurangnya, aku boleh menjadi pendengar. Yamin pula boleh meluahkan segala kekusutannya ketika ini. Macam baldi yang ditadahkan di bawah paip bocor. Melimpah ruah airnya. Jadi, apa salahnya air yang di dalam baldi itu diagihkan ke dalam bekas yang lain. Agar tidak melimpah lagi. Bicara Ihsan di dalam hati.

“San... Maafkan aku!” pinta Yamin, tiba-tiba.

“Maaf...? kenapa pulak?” Ihsan kebingungan. Dahi dikerut seribu, minta kepastian.

“Aku dah kena ‘kencing’...” lemah sahaja suara Yamin. Pandangannya sayu. Lain benar dari selalu.

Ihsan bungkam. Matanya tidak lepas dari memandang Yamin. Mulai timbul perasaan empati di dalam dirinya.

“Kena kencing? Maksud abang?”

Yamin mengangguk-angguk perlahan. Pandangannya kembali jatuh ke tanah. Kedua-dua tangan gempal itu menopang tegak di atas pangkin. Di sisinya.

“Kontraktor yang bagi kat aku kontrak tu rupa-rupanya telah disenarai hitam. Banyak projek yang dia dapat... dia tak dapat siap. Lebih tempoh la... kualiti tak ada la...” beritahu Yamin, matanya berkaca.

Ihsan masih ternganga, belum begitu faham dengan penjelasan yang diberikan Yamin. Apa pokok persoalannya? Ceritanya? Isunya? Apa? Namun, dia membiarkan Yamin dengan caranya. Atau, terlalu sukar untuk Yamin mengeluarkan sesuatu yang terlalu dalam menikam. Macam membuang duri yang patah di dalam tapak kaki. Perlu berhati-hati. Perlu cermat.

“San, kerja-kerja yang kita buat di Kuala Krai tu... atas nama syarikat tu. Betul... aku yang keluar modal. Aku... yang beli semua perkakas letrik tu. Tapi... bayaran kerja-kerja tu tetap atas nama syarikat tu,” kata Yamin, dia berhenti seketika. Nafasnya tercungap-cungap. Menahan sebak agaknya.

“Sekarang ni... duit untuk bayar semua kerja yang kita buat tu... termasuk modalnya sekali telah disekat. Semua ni kerana syarikat kontraktor tu. Banyak sangat langgar kontrak perjanjian, tak mampu, tapi tamak. Situ nak... sini nak,” marah Yamin, butang teratas baju kemeja lengan pendek yang dipakainya itu dibuka.

“Sikit pun tak dapat?” tanya Ihsan, masih keliru.

Yamin mengangguk-angguk, mengiakan.

“Upah kau tu, aku tak risau sangat. Kalau tak dapat bayar penuh… aku bayar peringkat-peringkat,” kata Yamin, memberi jaminan.

“Apa yang aku tengah risau ni… hutang! Hutang aku kat kedai-kedai elektrik tu. Sekali kita tak tunaikan janji kita… selamanya mereka tak kan percaya kat kita. Macam mana kita nak kerja... kalau barang tak ada? kita bukan syarikat besar yang modal berjuta-juta,” rintih Yamin, sebak.

Ihsan meletakkan tangan kiri ke atas bahu Yamin. Menepuk-nepuk bahu yang besar itu. Macam menepuk tilam kekabu yang dijemur di bawah panas terik.

“Abang selesai masalah abang tu dulu, upah aku tu… abang tak payah bayar dulu. Aku faham bang,” cadang Ihsan, jujur. Dia menggoyang-goyang badan Yamin yang tembam itu.

“Eh... eh! Bukan tu tujuan aku bagitau kau ni,” bantah Yamin, biji matanya memandang tepat ke muka Ihsan.

“San... upah kau tu, aku boleh beri. Tak banyak pun sikit dulu,” kata Yamin, tangannya menyeluk kocek seluar. Empat keping not lima puluh ringgit dihulurkan kepada Ihsan.

“Abang pakai dulu… abang pakailah dulu...” tolak Ihsan, tangan Yamin ditepis.

“San, aku tau… kau mana ada lubuk duit lain. Belanja kau anak beranak macam mana? nah ambil!” paksa Yamin, wang itu dimasukkan ke dalam kocek atas baju Melayu Ihsan.

“Habis tu, kerja abang macam mana?” soal Ihsan, simpati.

“Kena berhenti dulu, mana nak cekau duit nak beli barang-barang. Bukan murah alat kelengkapan letrik ni,” keluh Yamin, dihela nafas dalam-dalam. Kemudian, dilepasnya cepat-cepat.

“Lepas tu… abang nak kerja apa?” tanya Ihsan, Yamin melemparkan pandangan ke muka Ihsan. Kemudian, dia tersengih.

“San... San... aku yang patut tanya kau… bukan kau tanya aku. Sepatutnya kau risau pasal diri kau. Kau ada anak, ada emak. Aku ada isteri, tapi isteri aku ada kerja…” omel Yamin sambil menggeleng-geleng.

“Aku boleh kerjakan tanah kebun tu bang…” balas Ihsan, tidak mahu mengalah.

“Kau ingat, tanam hari ni… esok dah boleh petik? Dah boleh jual? Dah boleh makan hasil? Hanya satu benda aje yang aku tahu, tanam sekarang... sekejap lagi dah dapat makan, tanam orang mati,” sindir Yamin, tangannya pula menepuk-nepuk belakang Ihsan. Ihsan tersengih-sengih.

“Di bumi Allah ni… rezeki ada di mana-mana bang, rajin atau malas aje,” akhirnya Ihsan keluarkan juga kata-kata keramat daripada arwah ayahnya. Kata-kata itu telah terpahat begitu lama di hatinya. Dia selalu ulang sebut kata-kata itu setiap kali dia kebuntuan, tiada kerja untuk dilakukan. Tiada sumber pendapatan.

Cuaca sekeliling semakin redup. Mentari yang tadi bersinar terang kini bersembunyi di sebalik awan. Angin galak menderu-deru, mengusik-ngusik pakaian di tali ampaian. Mana yang lemah, tidak kejat pautan pada tali ampaian terus jatuh ke tanah. Mana yang kuat pautan, tetap gagah tersidai di ampaian.

Deruan angin tadi telah berlalu. Silir-semilir kembali bertamu. Keadaan sekeliling kembali syahdu. Nikmat Ilahi kembali direguk.

Yamin yang masih berada di sebelah Ihsan meregangkan tulang belakang. Kedua-dua kakinya diangkat, terdorong badannya yang lebih isi itu ke belakang. Punggungnya masih kejat di atas pangkin. Nafasnya dihela, ditahan buat seketika. Kemudian, dilepas bebas. Kelegaan jelas terpancar pada wajahnya.

“Aku rancang... sementara tu, aku terima kerja-kerja dari orang-orang kampung kita aje. Pasang lampu. Tambah poin…” tutur Yamin, cuba meleraikan kebuntuan di hati agaknya.

“Kalau aku perlu bantuan kau, aku cari kau San,” janji Yamin, tangannya menepuk paha Ihsan.

“Kau jangan serik pula…” sambung Yamin lagi.

“Aku okey aje bang… bila-bila pun boleh,” sahut Ihsan separuh ketawa.

“Okey aje? tak patut… tak patut,” gurau Yamin yang semakin lupa dengan bebanan yang masih dihadapinya.

Ihsan ketawa. Dia sudah lali dengan perangai sepupunya itu. Yamin mana boleh diam lama-lama. Habis lama pun setengah jam. Selepas itu, dia lupa apa yang dia menungkan tadi. Meskipun masih muda, sepupunya ini kuat bekerja. Yamin rapat dengan emak Ihsan. Semasa dia kecil dahulu, Mak Lela yang menjaganya sewaktu kedua-dua ibu bapanya keluar bekerja. Semasa Ihsan di dalam CCSC, dia yang bersusah payah membawa Mak Lela ke hulu, ke hilir meminta ‘air tawar’ yang telah dibaca dengan ayat-ayat Quran atau dikenali dengan ayat-ayat Ruqyah daripada ustaz-ustaz. Dia dan Ihsan membesar bersama-sama. Sudah macam adik beradik kandung. Kadangkala, ada yang menyangka mereka saudara kembar.

“Abang daftarlah perniagaan abang tu, baru senang buat kerja,” cadang Ihsan, tangan kanannya menggaru-garu di pipi. Seekor nyamuk yang sudah boyot perut bersusah payah terbang hampir dengan juring matanya. Ditepuknya, darah yang masih panas bertempek di kedua-dua telapak tangannya.

“Aku fikir pun macam tu, San. Ni la orang kata, sudah terhantuk baru tengadah,” ungkap Yamin, kesal.

“Semua tu… ada hikmatnya bang,”

“Ya lah, ustaz…” sahut Yamin, mengekeh-ngekeh.

“Dulu, aku tak berani. Aku takut gagal San,” cerita Yamin, mukanya dikerutkan.

“Abang pernah dengar kisah King C. Gillette?” tanya Ihsan, menguji.

“Yang aku tahu nama hujung tu aje, Gillette. Tiga hari sekali aku guna untuk cukup misai,” gurau Yamin.

“Hah! Betullah tu…” sergah Ihsan, ketawa.

“Kau ni, biar betul…” ujar Yamin, terkesima dengan sergahan Ihsan itu.

King C. Gillette tu pengasas pisau pencukur Gillitte tu la, abang tau berapa lama dia boleh berjaya pasarkan pencukur dia tu?” uji Ihsan lagi.

“Hai, kau ni mengalahkan cikgu sejarah pula,” perli Yamin, terkebil-kebil.

“Hampir enam tahun dia gagal… akhirnya dia dapat kumpul dana ketengahkan hasil ciptaannya itu, abang tengok sekarang? Abang yang duduk di ceruk Kampung Ayer Lanas ni pun guna produk dia,” cerita Ihsan tergelak-gelak.

“Tak sangka aku, hebat kau San… hebat,” puji Yamin, jujur.

“Hahaha… perlilah tu,” kata Ihsan, tangannya menepuk sekali bahu Yamin yang kaya lemak itu.

“San... aku tengok kau ni belajar pandai… tapi kenapa kau tak belajar lagi?”

“Belajar, belajar ni kena duit bang… aku mana nak cekau duit. Apa yang aku tengah fikir sekarang ni… nak cari duit, nak kumpul duit untuk Iman,” kata Ihsan, bersemangat.

“Abang Min!”

“Hah!”

“Maaf ya... aku bukan nak mengajar abang… jauh sekali nak nasihat abang, tak layak. Aku sebenarnya nak ingatkan diri sendiri,” kata Ihsan, matanya merenung Yamin yang sudah mulai ceria kembali.

“Eh... apa pulak tak layak? Semua orang layak. Semua orang ada kelebihan masing-masing. Okey apa? Betul cakap kau itu San. Aku bangga dengan kau San. Biar kita sama-sama berjuang dalam hidup ni,” sokong Yamin, tersenyum.

“Ya… hidup ni perjuangan,” ujar Ihsan, berfalsafah.

“Macam pernah dengar aje bunyi ayat tu,” sapa Yamin, mengerling ke arah Ihsan.

“Biasalah… cogan kata sejagat,” jawab Ihsan, tergelak-gelak.

Yamin menepuk bahu Ihsan. Ihsan pula menepuk bahu Yamin. Mereka ketawa berdekah-dekah. Cuaca yang muram tadi kembali ceria. Sedang mereka leka dalam tepuk tampar itu, Mak Lela menjengahkan muka di tengah-tengah jendela yang terbuka luas.

“Yamin… Ihsan, mari naik, mari makan bubur kacang,” laung Mak Lela, tangan kanannya melambai-lambai.

“Jom bang…” ajak Ihsan, bibirnya masih ada sisa ketawa.

Mereka berjalan beriringan. Sesekali masih kedengaran kekehan dari kedua-dua orang muda yang baru meletakkan batu asas wawasan diri masing-masing.

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan