Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
111,851
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 24

Umpama berada di tengah-tengah lautan. Itu yang dirasakan Ihsan semasa berada di dalam Dewan Pro UiTM Machang ketika ini . Sepi. Namun, mencabar. Sesekali kedengaran derap sepatu. Para pegawas mundar-mandir. 15 minit lagi Peperiksaan Akhir Semester akan tamat. Siswa dan siswi sudah ramai yang meninggalkan Dewan Pro. Ihsan masih setia di tempat duduk. Membelek-belek kertas jawapan. Menyemak. Menyusun kertas jawapan mengikut turutan. Menyemak lagi. Puas. Semua soalan telah dijawab sebanyak yang diarahkan. Dicapai benang putih sepanjang kurang sejengkal dari atas meja. Semua kertas jawapan di tangannya itu diikat.

Usai sahaja pegawas mengutip, Ihsan melangkah keluar dewan. Dia terus mencari keretanya. Tidak seperti biasa. Dia akan berkumpul dahulu di Food Court.Berbincang-bincang. Bertukar-tukar pandangan. Namun, pada hari ini dia kelihatan terburu-buru. Memandu kereta terus keluar dari kawasan UiTM.

Sebenarnya, dia tergesa-gesa untuk menghadiri satu majlis lawatan tapak di Bachok. Mengikut apa yang tercatat di dalam surat panggilan, lawatan tapak itu dijadualkan pada pukul 2.30 petang.

Ihsan mengerling ke arah jam digital yang berada di sebelah kiri stereng. Pukul 12.30 tengah hari. Ketika keretanya mula memasuki kawasan perkampungan. Telosan. Satu kampung di dalam Jajahan Pasir Puteh. Pandangannya tersambar ke arah kelibat seorang lelaki yang sudah melewati usia 70 tahun. Lelaki itu sedang berdiri di depan bonet kereta yang ternganga. Merenung enjin kereta dengan pandangan berat.

Hati Ihsan terasa serba-salah. Berhenti untuk menolong atau meneruskan perjalanan. Masa amat terbatas. Sesekali bebola matanya mengerling ke atas cermin pandang belakang. Hati mula berbisik, ‘pak cik ni nampaknya dalam kecemasan. Mungkin dia perlukan pertolongan aku.’ Secara perlahan-lahan Ihsan membelok ke gigi jalan. Kereta digostan. Beberapa meter di hadapan kereta lelaki itu.

Assalamualaikum... boleh saya bantu?” Ihsan menghampiri lelaki warga emas itu.

Lelaki itu terbongkok-bongkok. Asyik menyentuh enjin kereta di sana-sini. Namun, kedengaran suara dari bibirnya membalas salam. Perlahan-lahan dia memalingkan badan. Menghadap Ihsan yang datang dari arah belakangnya.

Ihsan terkesima seketika. Langkah terhenti. Bibir ditarik ke tepi sehingga menampakkan gigi. Ini semua aturan Ilahi, fikirnya. Dia masih berdiri. Kaku. Menghadap lelaki yang nampak semacam kehairanan itu.

“Anak ni dari mana?” Lelaki yang tampak uzur itu memandang tepat ke muka Ihsan.

Ihsan tidak tergesa-gesa untuk menjawab. Dia dapat mengagak. Tentu lelaki di hadapannya itu tidak dapat mengecam dirinya. Cermin mata lelaki yang sudah lanjut usia itu agak tebal. Mungkin juga dengan kemampuan daya penglihatan yang semakin kurang. Atau kerana terlalu lama tidak bersua muka. Tidak mustahil dia gagal mengenali Ihsan. Semua telah berubah.

Senyuman masih terukir manis di bibir Ihsan. Lama betul dia tidak memandang wajah yang berada di hadapannya itu. Walaupun, roman muka. Cara berpakaian. Lelaki itu sudah berubah. Namun Ihsan masih dapat mengenalinya. Lelaki berbaju Melayu rona hijau muda. Berseluar hitam dengan serban putih melilit di kepala. Dia memandang sayu ke muka Ihsan. Umpama menunggu untuk dibantu. Anak matanya yang di bawah cermin mata kanta cembung itu dikecilkan sedikit.

Ihsan tidak puas-puas melemparkan senyuman. Lelaki itu memulangkan. Lelaki warga emas itu tentu tidak menyangka. Pemuda yang berjanggut sejemput tanpa kumis. Berbaju kuntum putih dan berketayap putih itu adalah bekas menantunya. Dia mengamat-amati muka Ihsan yang sudah bercermin mata itu. Ihsan menghulurkan tangan kanan. Sebaik sahaja lelaki itu begitu hampir dengannya. Ihsan tunduk. Kedua-dua tangan terus merangkul tubuh lelaki yang setinggi paras bahunya itu. Kemas-kemas. Pipi mula dihangatkan dengan lelehan air jernih. Lelaki itu semakin terpinga-pinga. Bingung diperlakukan begitu. Namun dia membiarkan sahaja badannya dipeluk.

Ihsan masih tidak dapat menahan gelora yang tiba-tiba melanda di hati. Masih kelu. Tiada tutur kata yang mampu dilontarkan dari celah-celah bibirnya. Ihsan merenggangkan pelukan setelah perasaannya kembali normal. Kedua-dua bahu lelaki itu dipegang. Bibir masih tidak henti-henti tersenyum.

“Abah tak cam...? ni Ihsan.”

Lelaki itu tersentak. Dahi dikerut seribu. Dia menarik Ihsan kembali ke dalam pelukannya. Lama-lama.

“Mata abah sudah tua... sudah tidak dapat mengecam,” jari-jari kecut digosok ke atas mata. Bergerak-gerak bingkai cermin mata yang dipakainya.

“Kau sudah banyak berubah, San…” Ditatapnya wajah Ihsan. Sendu di hatinya masih bertali.

“Badan kau pun dah semakin berisi,” kata bekas bapa mentua Ihsan lagi. Dia menggoyang-goyang kedua-dua lengan Ihsan. Bibirnya diketap rapat-rapat.

“Kenapa... ni bang?” Tiba-tiba muncul seorang perempuan tua dari belakang. Isterinya itu baru keluar dari kereta. Dia kelihatan kehairanan apabila melihat dua orang lelaki yang berbeza usia itu sedang beremosi.

“Ohhh... mari... sini, mari... sini. Cuba awak lihat siapa ni…” tutur lelaki itu, tangan kirinya menggamit ke arah isterinya itu.

Bekas ibu mentua ihsan semakin menghampiri. Ihsan diamat-amati dari atas sehingga ke bawah. Persis seorang juri dalam pertandingan fesyen. Bibirnya mengulum senyum yang belum pernah dilihat Ihsan. Mesra sekali.

“Ihsan...?” terpacul dari bibirnya.

Ihsan mengangguk-angguk. Dicapai tangan bekas ibu mentuanya itu. Dicium lama-lama. Seolah-olah memohon dimaafkan semua kesilapan yang lampau. Semasa Ihsan mengangkat muka. Dilihat ada air jernih yang turut mengalir di kedua-dua kelopak mata bekas ibu mentuanya itu.

“Oh... ya! abah nak ke mana ni?” Tiba-tiba Ihsan tersedar masa yang berbaki semakin suntuk. Wajah kedua-dua bekas mentuanya itu direnung.

“Sebenarnya... abah dari Machang tadi. Ni dalam perjalanan nak balik ke rumah la ni. Entahlah… tiba-tiba aje kereta ni meragam. Mungkin radiator bocor…” beritahu bekas bapa mentua Ihsan.

“Ihsan rasa beginilah abah. Pukul 2.30 petang karang... Ihsan kena pergi lawatan tapak kat Melawi. Biar Ihsan hantar abah dan ibu balik. Kereta abah... biar Ihsan uruskan nanti. Ihsan ada kawan kat bandar Pasir Puteh,” cadang Ihsan, bekas bapa mentuanya itu mengangguk-angguk. Setuju.

Honda CR-V 2.0 i-VTEC rona kelabu itu meluncur laju. Enjinnya menderum perlahan bila pedal minyak dipijak. Gerak naik turun omboh di dalam enjin terasa ringan sekali, begitulah perasaan Ihsan ketika ini. Kepala terasa ringan apabila bertemu dengan ibu bapa orang yang tersayang. Perasaannya tenang. Setenang jalan raya di Kuala Lumpur pada hari raya puasa. Dia seolah-olah telah ketemu dengan petunjuk jalan keluar. Petunjuk ke arah mencari sinar kebahagiaan. Kebahagiaan baginya adalah kembali bersama-sama Azza. Sepanjang perjalanan yang memakan masa hampir dua puluh minit itu. Ihsan memanfaatkan peluang. Merungkaikan kekusutan yang lalu. Berkali-kali dia memohon kemaafan. Biar bekas mentuanya itu tahu, betapa kesalnya dia. Namun, hanya satu yang dia sembunyikan. Meskipun hatinya begitu mendesak. Meronta-ronta supaya dilafazkan. Ihsan masih cintakan Azza. Di mana Azza abah... ibu? Kenapa... ? ah! Ayat-ayat itu terkunci rapat di dalam halkumnya. Terpenjara. Tidak sanggup dilafazkannya. Terkurung untuk dirinya sendiri.

*****

Lama sungguh Ihsan tidak menginjakkan kaki ke dalam rumah batu setingkat itu. Hiasan dalaman. Warna cat. Semua telah berubah. Rumah batu milik pasangan guru pencen itu banyak meninggalkan nostalgia indah di dalam hidupnya. Dia mundar-mandir seketika. Leka. Mengutip kenangan lamanya di situ. Tiba-tiba, jantungnya berdegup. Kencang. Matanya tertancap ke atas sekeping gambar Azza dengan catatan di bawah, Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM). Gambar yang berada di dalam cermin berbingkai rona keemasan itu tergantung kemas. Di dinding ruang tamu. Ihsan merenung. Lama.

“Hah! San pergi solat dulu, nanti kita makan tengah hari sama-sama,” tiba-tiba bekas bapa mentuanya muncul. Cepat-cepat Ihsan melarikan tilikan rindu yang terpanah ke atas wajah Azza itu.

Dia berpaling. Pandangan yang masih malu-malu itu tidak sanggup terlalu lama melawan mata dengan bekas mentua. Terkebil-kebil. Perlahan-lahan dijatuhkan pandangannya. Bibir terkunci rapat. Tidak memberi ruang kepadanya untuk bertanya khabar tentang Azza. Secara tiba-tiba hatinya disapa sayu. Teramat sangat. ‘Jangan-jangan… Azza sudah bersuami,’ desis hatinya.

“San... nanti lewat pula nak ke Melawi,” ujar Cikgu Malik yang sudah bersandar di sofa.

Ihsan tergamam. Diangkat lengan kiri. Jam di pergelangan tangan itu ditatap. Dia cepat-cepat melangkah. Di dalam tempurung kepalanya masih tersimpan pelan rumah itu. Jadi, tidak susah baginya mengayun langkah ke bilik air.

Usai solat zuhur. Sempat Ihsan menjamah makanan tengah hari bersama-sama Cikgu Malik. Bekas mentuanya ini macam dahulu juga. Tidak ambil kisah pasal rumah tangga anak-anaknya. Dia lebih senang membisu. Bercakap apa yang dia tahu sahaja.

Kalau hendak diikutkan hati. Mahu sahaja Ihsan bersantai lama-lama di situ. Berborak-borak dengan Cikgu Malik. Peluang sebegini tidak selalu bergolek. Untung-untung, terserempak pula dengan Azza. Mungkin baru pulang dari bekerja. Bekerja? Di mana ya? Mengapa lidah ini selalu terkunci? Terkunci macam stereng kereta. Bila sahaja otaknya menghantar soalan-soalan tentang Azza untuk dilafazkan. Lidah merajuk. Protes.

Ihsan memandu ke Melawi. Taklimat dan sesi lawatan tapak akan diberikan oleh pegawai Kementerian Kerja Raya dari Kuala Lumpur. Lebih kurang sejam Ihsan di situ. Usai sahaja majlis, dia menapak ke bawah pokok mangga. Mencari teduhan dari terikan cahaya matahari. Beberapa meter dari tempat keretanya diparkir. Telefon bimbit yang sudah di tangan ditekan-tekan.

“Hello, Adi... aku, Ihsan,” tutur Ihsan setelah menjawab salam.

“Kau ada kat mana? bengkel? okey... okey, lima minit lagi aku sampai,” janji Ihsan, dia melangkah terus ke kereta.

Seminit kemudian, keretanya meluncur laju keluar dari tapak projek menghala ke bandar Pasir Puteh. Dia memarkirkan kereta di seberang jalan yang bertentangan dengan bengkel Adi. Pada waktu sebegini, bandar Pasir Puteh terlalu sesak. Berpeluang memarkir jauh sedikit pun sudah dikira bernasib baik.

Semasa Ihsan melintas jalan, dilihat Adi melambai-lambai tangan. Dia dan Ihsan sama-sama satu sekolah semasa di sekolah menengah dahulu.

“Apa cerita?” Sepana sebesar dua batang jari yang masih digenggam Adi itu diletakkan ke lantai. Ihsan menghulurkan tangan.

“Eh... eh... tangan aku kotor,” tolak Adi. Mengekeh-ngekeh.

Ihsan menepuk-menepuk bahu Adi. Mengekeh-ngekeh. Baru mula membuka sepatah dua cerita.

“Ni... kunci kereta abah aku. Nanti kau ambik ya kat Telosan? Kereta Nissan Sentra 1.6 SG. Warna hitam. Radiator... bocor kot?” Insan menghulurkan segugus anak kunci.

“Beres bos... nanti aku tengok macam mana. Kalau ada apa-apa masalah aku telefon kau,” janji Adi sambil tangan mencapai anak kunci yang terhulur di depannya itu.

“Kalau dah siap, kau hantar kat rumah abah aku. Ni... alamatnya. Upah tu nanti aku datang bayar,” Ihsan menepuk bahu Adi, perlahan.

“Beres... beres, jom kita minum dulu,” pelawa Adi. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam tong plastik bekas minyak pelincir yang telah ditebuk kulit sisi. Minyak diesel itu dicelup. Digosok-gosok ke telapak tangan yang dilekati kotoran minyak.

“Beres bos, jom...” sampuk Ihsan, ketawa.

Mereka sama-sama mengatur langkah ke restoran yang berada di hujung lajur bengkel Adi. Lebih kurang, tiga puluh minit mereka bersembang di situ. Baharulah Ihsan meninggalkan sahabatnya itu.

Previous: BAB 23
Next: BAB 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan