Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
111,869
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 18

Diam tidak diam, sedar tidak sedar, masa terus beredar. Mana-mana yang ditinggalkan telah menjadi pengalaman hidup. Pengalaman yang akan menjadi panduan kepada setiap insan dalam meneruskan kehidupan. Pohon pulasan yang tinggi merimbun itu bagaikan telah tamat tempoh sumpahan yang disihirkan ke atasnya. Sudah mampu mengeluarkan bunga, lebat di hujung julai. Selebat bunga di hati ihsan apabila jerih perihnya sudah berbayar.

Dalam tempoh setahun Ihsan mengutip hasil kebun. Dia sudah mampu membeli sebuah kereta sekendhend. Proton Wira Sedan 1.5, warna hitam itu sudah cukup untuk membawa mereka tiga beranak ke mana yang mereka mahu. Mereka tidak perlu lagi menyusahkan Yamin seperti selalu. Sekejap minta tolong hantar ke sana. Sekejap lagi ke sini. Yamin pun ada komitmen. Ada urusan yang perlu dilunaskannya.

Iman sudah masuk prasekolah. Sudah pandai membaca secara merangkak-rangkak. Pantang jumpa buku, terus dieja. Semasa menonton televisyen bersama-sama neneknya, dia sibuk membaca sarikata. Menepuk-nepuk bahu neneknya, minta dibantu. Neneknya akan tersengih sambil menggaru-garu kepala. Buntu. Dengan lembut, neneknya itu akan memberitahu.

“Manalah nenek tahu... nenek tak pernah ke sekolah.”

“Kalau macam tu, nenek ikutlah Iman ke sekolah,” balas Iman, manja.

Mak Lela hanya ketawa. Terhibur dengan keletah cucunya itu. Ihsan pun turut mengekeh sambil menggeleng.

Masyarakat kampung seakan-akan telah diberi injunksi interim oleh mahkamah. Tiada lagi kedengaran umpatan keji yang dilemparkan kepada Ihsan. Mereka sudah boleh menerima kehadiran Ihsan. Malahan mereka telah meletakkan ke pundak Ihsan satu tanggungjawab yang amat besar. Setiap malam Selasa, Ihsan diminta mengajar mengaji al-Quran di masjid. Dia tidak lagi dianggap sebagai tompok hitam di dalam kampung. Sebaliknya, dia telah dianggap sebagai salah satu daripada urat yang berada di dalam badan.

Ihsan mengiringkan badan di atas pangkin. Bebola matanya leka mengintai-intai beberapa ekor burung candik yang sedang mencari makan di atas bunga-bunga pulasan. Meloncat-loncat dari satu dahan ke dahan yang lain.

Di sebelah luar pagar laman rumah. Kelihatan sebuah pacuan empat roda berona biru gelap diberhentikan secara mengejut. Seorang pemuda Melayu menjulurkan kepala melalui tingkap, seolah-olah mencari sesuatu. Dia meninjau-ninjau ke arah pintu masuk rumah Ihsan. Sebaik sahaja matanya terpandang Ihsan, dia melambai-lambaikan tangan kanan.

Pacuan empat roda itu dibelokkan. Dipandu masuk ke laman. Ihsan bangkit sambil memerhati pemuda tadi keluar dari kenderaan. Berdentum pemuda itu menghempaskan pintu kenderaan. Dia melangkah menuju ke arah Ihsan sambil menyapa dengan kalimah salam.

Pemuda berjaket hitam itu mematikan langkah. Berdiri menghadap Ihsan. Zip jaketnya terbuka dari bawah leher sehingga ke bahagian perut. Namun, ada kemeja biru muda di dalam. Di bawah butang baju kemeja teratasnya itu terjuntai kad pengenalan kerja. Di pundaknya tergantung tali beg kain berwarna koko. Tangan kirinya sedang menggenggam sekeping surat sebesar kertas A4 berwarna putih bersih. Dia menghulurkan tangan kanan. Tanda perkenalan.

Sambil menjawab sapaan salam, Ihsan menyambut mesra tangan yang dihulurkan kepadanya itu. Mata bertentangan. Mulut membalas senyuman. Ukhuwah dijalinkan. Pemuda yang berkumis nipis itu menggoyang-goyangkan tangan.

“Silakan duduk…” pelawa Ihsan, tangan kirinya menepuk perlahan lantai pangkin.

“Terima kasih…” ucap pemuda itu. Beg sandang kain yang melekat di pinggang kanannya itu ditarik ke depan. Talinya masih bergantung di bahu kiri. Dia berpaling memandang Ihsan. Nampak macam teragak-agak untuk menyatakan sesuatu.

“Saya minta maaf banyak-banyak bang... sebab ganggu abang sedang rehat ni,” katanya, sopan. Seolah-olah sedang membaca skrip. Bibirnya sentiasa tersenyum. Ihsan turut tersenyum, namum masih bungkam. Menunggu kata-kata seterusnya daripada pemuda yang baru berusia suku abad ini.

“Saya Farid, penghantar notis dari Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian atau ringkasnya JKPTG,” pemuda itu memperkenalkan diri. Tangannya memegang kad pengenalan kerja yang tergantung di leher.

Ihsan mengangguk-angguk, faham.

“Oh! ya, ni Pak Hamid…” kata Farid sambil menuding kepada lelaki yang baru menghampiri mereka itu.

Ihsan menghulurkan tangan kepada lelaki yang baru diperkenalkan itu. Mereka bersalaman.

“Silakan duduk Pak Hamid,” pelawa Ihsan, sambil menginjak sedikit punggung ke tepi.

“Sebenarnya bang, saya cari alamat rumah ni…” kata Farid, tangannya menghulurkan surat yang sudah lama berada di tangan itu kepada Ihsan.

“Ya... nilah rumahnya,” beritahu Ihsan, menyerah kembali surat itu.

“Encik Abdul Kadir bin Abdul Manaf… ada?” tanya Farid, minta kepastian.

“Itu ayah saya, dia dah lama meninggal dunia,” beritahu Ihsan lagi.

“Oh!... maafkan saya,” tutur Farid, simpati.

“Tak apa…”

“Kalau macam tu, apa kata kita naik ke rumah dulu, boleh?” pelawa Ihsan, ikhlas.

“Tak apalah bang, banyak tempat lagi ni kami kena pergi…” tolak Farid, sopan. Dia membuka beg. Dikeluarkan buku dari dalam beg sandang. Sepucuk surat yang masih di dalam sampul putih turut dikeluarkan.

“Begini bang, saya ni... diarah supaya sampaikan Borang E ni kepada abang,” tutur Farid, surat ditangan diletakkan ke atas pangkin.

“Borang E?” tanya Ihsan, kebingungan.

“Ya… Borang E, notis penyiasatan,” kata Farid, dia memandang ke arah Ihsan yang masih dalam kehairanan. Kemudian, dia menggaru-garu kepala.

“Oh! maaf bang...” Farid bagaikan lupa sesuatu.

“Saya lupa nak bagitau. Sebenarnya begini bang. Tanah arwah ayah abang di lot seperti jadual dalam notis tu dicadangkan terlibat dalam projek jalan raya,” beritahu Farid, mukanya masih memandang ke muka Ihsan. Jari telunjuk dihalakan ke kertas putih yang sudah bertukar tangan.

“Jadi, Borang E yang saya serahkan ni… tujuannya untuk panggil abang atau siapa-siapa yang ada kepentingan atas lot tu hadir ke pejabat tanah. Tarikh dan masa ada ditulis di dalam borang tu,” jelas Farid, panjang lebar.

Terkesima Ihsan mendengar penjelasan daripada Farid. Dia dan keluarganya baru sahaja merasa hasil dari keringat yang dicurahkannya di kebun itu. Tiba-tiba pemuda ini datang membawa perkhabaran yang mengecewakan. Dia memegang dahi yang sudah mula dihiasi dengan manik-manik putih jernih.

“Bang… saya minta maaf bang, saya jalankan tugas saya aje…” gementar suara Farid, cuak agaknya apabila melihat muka Ihsan sudah kemerahan-merahan. Dia berpaling kepada rakannya, Pak Hamid. Masing-masing seakan-akan cuba menenangkan gelora di hati.

“Eh! tak apa... tak apa, abang tau…” pintas Ihsan, dia tidak mahu kedua-dua tetamunya itu tersalah sangka terhadapnya.

“Agak-agak... berapa lama proses pengambilan tanah tu?” tanya Ihsan, ingin tahu.

“Entah la bang, tapi yang saya tau, ia bergantung kepada jumlah lot yang terlibat… mungkin setahun, atau lebih awal lagi,” beritahu Farid, mula tenang.

“Tapi... abang boleh ke pejabat, kalau ada apa-apa keraguan,” Farid memberi cadangan.

“Kalau tak ada apa-apa, saya nak minta abang tandatangan di sini dan di sini,” minta Farid, tangannya menghulurkan buku kecil dan kertas putih yang digenggamnya tadi.

“Minta tolong abang tulis nama, nombor kad pengenalan dan tarikh sekali,” Farid meletakkan jari telunjuk ke tempat yang disebutnya tadi.

Selepas kenderaan JKPTG itu keluar dari laman rumah, Ihsan memerhati sampul surat yang diserahkan oleh Farid sebentar tadi. Nama arwah ayahnya tertera di sampul surat itu. Di atasnya ada catatan ‘URUSAN SERI PADUKA BAGINDA’. Di tepi bawah, sebelah kiri terdapat cap berbentuk bulat ‘JABATAN KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN, NEGERI KELANTAN’. Belum sempat Ihsan membuka sampul itu, emaknya sudah memanggil dari jendela rumah yang ternganga itu.

*****

Wajah Mak Lela yang sedang memerhati tingkahnya itu direnung lama-lama. Emaknya kemab dengan renungannya secara tiba-tiba itu. Perlahan-lahan emaknya mengalihkan pandangan kepada Iman yang duduk di kerusi makan sebelah kanan. Ihsan tersenyum.

“Ada apa-apa yang tak kena ke, emak?” tanya Ihsan, mohon kepastian.

Emaknya kembali mengangkat muka memandang Ihsan yang duduk menghadapnya itu. Lauk-pauk yang sudah lama terhidang di atas meja makan di antara mereka itu belum terusik lagi.

“Emak risau la Ihsan,” kata-kata emaknya itu mengejutkan Ihsan. Dia kembali merenung emaknya dalam-dalam. Dadanya mula berdebar.

“Apa yang emak risaukan?” tanya Ihsan, dadanya semakin bergetar menunggu jawapan daripada emaknya.

“Emak risau tengok Ihsan asyik termenung... aje,” luah emaknya, matanya mula berkaca.

“Emak... emak,” Ihsan ketawa. Iman memandang ke arah papanya, kemudian berpaling ke arah neneknya. Hairan agaknya.

“Kenapa papa ketawakan nenek?” soal Iman.

Ihsan memandang ke muka Iman. Dia ketawa lagi. Mak Lela ikut ketawa. Iman menggaru-garu kepala, kebingungan.

“Mana ada... papa tak ketawakan nenek. Papa sayangkan nenek, papa sayangkan Iman juga,” kata Ihsan, lembut.

“Mama?” soal Iman lagi.

Ihsan tersentak. Lidahnya kelu. Nama mamanya sering sahaja disebut Iman. Mungkin dia tidak dapat lupakan mamanya. Setiap malam, ketika Ihsan bangun bertahajud, dia sering mendengar Iman mengigau. Memanggil-manggil mamanya.

“Sayang...! ya, mama pun papa sayang,” jawab Ihsan dengan penuh perasaan. Dia cuba menahan gelora yang tiba-tiba melanda di dada. Air mata luruh ke pipi. Dia menyeka dengan belakang telapak tangan.

“Kenapa papa menangis?” Bulat biji mata Iman melihatnya.

“Tak ada lah... mana papa menangis... mata papa berair aje,” Ihsan menyapu-nyapu mata.

Dia memandang ke muka emaknya. Emaknya turut menitiskan air mata.

“Maafkan Ihsan emak, Ihsan tak mahu emak risau pasal Ihsan. Ihsan cuma fikir pasal kebun kita tu,” beritahu Ihsan, meleraikan kerisauan emaknya.

“Kenapa dengan kebun tu?” tanya Mak Lela, tangannya mula mencedok gulai lemak ikan kembung yang berada di hadapannya itu. Kemudian, dituang ke nasi. Digaul-gaul, lalu disua ke mulut Iman.

“Baru sebentar tadi orang pejabat tanah hantar notis penyiasatan,” beritahu Ihsan sambil mendengus.

“Notis penyiasatan? kenapa? Ihsan tak bayar hasil tanah ke?”

“Hahaha... emak, emak... bukan begitu. Hasil tanah, tiap-tiap tahun Ihsan jelaskan.”

“Notis penyiasatan tu dihantar sebab kerajaan nak ambik tanah kebun kita tu,” jelas Ihsan, emaknya masih terpinga-pinga.

“Kerajaan nak ambik tanah kita?” ulang emaknya, suara bergetar.

“Ya... kerajaan nak buat jalan raya baru, laluan jalan baru tu terkena di atas tanah kebun kita...” terang Ihsan lagi.

“Notis... apa tu tadi?”

“Notis penyiasatan...”

“Haah, untuk apa?”

“Notis tu nak panggil kita, suruh kita hadir ke pejabat tanah. Kerajaan nak bincang tentang kerugian kita. Nak bincang pasal wang pampasan. Berapa jumlah yang kerajaan patut beri kita wang pampasan.”

“Hadir pejabat tanah? Ihsan aje la yang pergi... emak tak tahu apa-apa.”

“Kita pergi sama-sama emak...”

“Tapi... emak ni tak tau apa benda pun.”

“Tak apa la emak, Ihsan kan ada...”

“Ya lah.”

Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan