Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
109,720
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 25

Ihsan menyandarkan belakang ke kerusi. Sakit kepalanya semakin berdenyut-denyut. Dia memandang ke atas plastik ubat yang tertera nama Klinik Doktor Murugan. Doktor itu anak seorang penoreh getah dari Estet Kerilla. Di estet itu, majoriti pekerjanya adalah dari kaum India. Doktor Murugan salah seorang yang menjadi kebanggaan masyarakat estet itu. Orangnya ramah, Bahasa Melayunya fasih. Dia berkelulusan dari Universiti Sains Malaysia. Kliniknya terletak di lajuran bangunan depan pejabat Aspalela Enterprise.

Ihsan menekan-nekan butang huruf di papan kekunci komputer riba. Sakit kepalanya datang kembali. Menjadi-jadi. Dia memerit-meritkan mata. Dua biji pil bulat berwarna putih dicampak ke dalam rongga mulut yang sudah ternganga itu. Air mineral dari botol 500 mililiter yang berada di atas meja tulis itu dicapai. Tangannya terketar-ketar memilin tudung sehingga terbuka. Dia meneguk cepat-cepat. Macam bayi yang kehausan. Nafasnya kedengaran tercungap-cungap.

Dia bersandar lagi. Matanya dipejam, rapat-rapat. Kelam. Terasa dirinya berada di awang-awangan. Pusing kepalanya menyerang lagi. Doktor Murugan menasihatkan supaya dia banyak berehat. Mungkin migrain. Itu yang diberitahu kepadanya. Sekonyong-konyong, pintu bilik diketuk. Nora, kerani akaun melangkah masuk.

“Encik Ihsan, ni fail untuk bayaran gaji pekerja… encik semaklah dulu,” Nora meletakkan sekeping fail kulit keras berwarna putih ke atas meja.

Hampir setahun Nora bekerja dengan Aspalela Enterprise. Sebulan selepas Saiful. Dia anak seorang petani dari Kampung Seberang Jeli. Berkelulusan sijil perakaunan dari kolej swasta. Nora memang seorang yang cermat. Teliti dalam menjalankan tugas. Perwatakannya itu memang sesuai menjaga akaun syarikat. Itu penilaian Ihsan terhadap Nora.

Saiful pula ditugaskan sebagai kerani am. Dia membuat kerja-kerja rencam. Manakala seorang pekerja lagi, Kak Siah. Dia ditugaskan menjaga kebersihan pejabat.

“Terima kasih Nora. Err... nanti awak ambik balik atas meja saya ni ya. Kejap lagi saya rasa nak balik rumah. Entahlah... dari pagi tadi lagi kepala saya sakit... sakit sangat,” tangan Ihsan meraba-raba ke dahi. Dipicit-picit, perlahan.

“Kalau ada apa-apa, awak call saya ya...” pesan Ihsan sambil berkerut.

Nora mengangguk, akur. Sebelum dia berpaling. Membelakangi Ihsan. Dia kelihatan seperti mengingati sesuatu. Ditarik kembali langkah yang sudah diatur itu. Sambil tersenyum, dia menyapa;

“Encik boleh memandu ke? Kalau tak... saya boleh panggilkan Epul.”

Ihsan tersenyum. Diangguk-angguk, perlahan.

“Tak pe... saya boleh,”

Nora berpaling dari menghadap Ihsan. Dia kembali memasang langkah ke pintu. Melangkah keluar dari bilik Ihsan.

Ihsan menarik fail yang telah diletakkan oleh Nora tadi. Semua dokumen yang diberikan itu disemak dengan teliti. Satu. Satu. Di hujung setiap rekod yang disediakan Nora itu dicalit dengan pen hitam dakwat basah. Diturunkan tandatangan pada setiap helaian yang telah disemak.

Sudah hampir sejam Ihsan berperang dengan sakit kepala. Belum ada tanda-tanda mahu berhenti. Malah semakin menjadi-jadi. Dia mengangkat tangan kiri. Jam di tangan itu dikerling. Pukul 11.30 pagi. Komputer riba dimatikan. Dimasukkan ke dalam beg galas berwarna hitam. Langkah diatur. Satu. Satu. Menghala ke pintu. Dengan penuh berhati-hati.

*****

Ihsan tersandar di kerusi pemandu. Dahi dikerut seribu. Kelopak mata diperit-perit. Dia menghela nafas. Dibebaskan. Apabila diyakini dia boleh. Dia memandu. Berhati-hati ketika keluar dari petak parkir di hadapan pejabat. Sesekali tangan kirinya meramas-ramas kepala yang masih berdenyut-denyut. Ketika keretanya menghampiri lampu isyarat, telefon bimbit yang terletak di sisinya berdering. Berhati-hati dia memberhentikan kereta. Di bahu jalan yang menghala ke jalan utama.

“Ya... ya... saya… Yusron Ihsan,” jawabnya selepas membalas salam.

“Encik Yusron Ihsan… tahniah, encik berjaya dalam sebut harga bagi projek di Melawi tu. Encik boleh hadir minggu depan untuk tandatangan SST?” tanya pegawai itu di corong telefon.

Tiba-tiba, kembali terngiang-ngiang di kuping. ‘Allah beri apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu.’ Suara hatinya mengulang-ulangi kata-kata yang pernah didengarinya dahulu.

Ya, Aspalela Enterprise perlukan projek itu. Demi meneruskan khidmat sosialnya. Tidak semua keuntungan yang diperolehi diakaunkan ke dalam akaun syarikat. Hasil keuntungan itu juga digunakan untuk membantu fakir miskin, anak-anak yatim dan badan-badan kebajikan yang lain. Itu yang selalu dilakukannya.

Ihsan berpegang kepada kata-kata yang pernah diungkapkan oleh seorang pensyarahnya, ‘kita kena renung apa yang kita beri, bukan apa yang kita miliki.’ Apa yang kita beri, akan menolong kita di akhirat nanti, tetapi apa yang kita miliki akan ditinggalkan setelah kita meninggal dunia nanti.

Dalam keadaan kepala yang masih berdenyut, dia memanjatkan doa kepada Ilahi. Bersyukur dan bersyukur. Dia terkenangkan kata-kata arwah ayahnya. Kata-kata yang tidak pernah pudar dari dalam ingatan. Kata-kata yang keluar dari bibir seorang petani. Meskipun kata-kata itu biasa didengari di mana-mana. Kata-kata yang mungkin sudah biasa diungkapkan. Namun, baginya. Kata-kata itu adalah kata-kata keramat ayahnya. Kata-kata itu yang membangkitkannya dari lena. Menariknya dari tersungkur.

“San... ingat! Jangan lekas putus asa. Rezeki ni Allah yang punya. Jadi... kena minta pada Allah. Bukan manusia. Rezeki Allah ni... ada di mana-mana. Tapi... kena lah usaha.” Itulah ungkapan arwah ayahnya dahulu. Sewaktu dia kecewa. Walaupun memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang agak baik. Gagal memperolehi tempat di Institut pengajian Tinggi Tempatan. Akibat kecewa. Dia sanggup menolak tawaran ke tingkatan enam. Sebaliknya, dia mencari kerja.

Telefon di tangan dimatikan. Diletakkan. Ihsan menekan pedal minyak. Menyusur kereta itu sehingga ke lampu isyarat jalan utama. Lampu hijau menyala. Dia membelok kereta ke kanan. Memecut sehingga ke simpang Kampung Ayer Lanas. Tidak semena-mena dirasakan jantungnya berdebar kencang. Mungkin, tidak sabar untuk berkongsi berita gembira yang baru diterima tadi dengan emaknya.

Dia membelok lagi, memandu perlahan dan menghampiri pintu pagar rumah. Kereta diberhentikan. Bersebelahan dengan kereta Perodua Myvi Model SE1.3 berwarna emas. Sebelum keluar kereta, dia termenung. Di benaknya cuba mengingat-ingat. Ya! kereta ini pernah dilihatnya keluar dari laman rumah beberapa tahun dahulu. Tentu, pemandunya ada di dalam rumah. Dada kembali bergetar. Emak? Perempuan inilah yang emak usik aku dulu. Langkahnya dimatikan sekejap. Berfikir.

Tanpa disedari, Ihsan melangkah jua. Mendaki tangga rumah selangkah demi selangkah. Setiba di ambang pintu. Kosong. Hening. Tiada seorang pun yang berada di ruang tamu. Matanya melilau. Mencari-cari ke segenap ceruk ruang tamu. Bagai seorang pemburu. Hampa. Dia mendengus. Malas.

Dia meneruskan langkahnya. Menapak terus ke biliknya. Beg galas komputer riba diletakkan ke atas meja. Punggung dihenyakkan ke tilam. Baru sahaja dia ingin merebahkan badan. Dia teringatkan Myvi berwarna emas di laman rumah. Cepat-cepat ditarik kembali belakang yang hampir mencecah tilam. Dia kembali melangkah keluar dari biliknya. Sebaik sahaja langsir pintu diselak, langkahnya terus mati. Degupan jantungnya semakin kencang. Bagai baharu sahaja dikejar anjing garang. Sakit kepalanya tadi sudah terlerai. Ubat pelerai demamnya sudah kembali. Bibirnya terkunci. Kelu.

Ditatapnya wajah yang amat dirindui itu. Azza semakin berseri di dalam balutan tudung rona kuning air. Jubah yang membungkus tubuhnya itu disulam dengan manik-manik putih berkilat. Jelas kelihatan Azza juga tergamam dengan kemunculan Ihsan secara tiba-tiba dari sebalik langsir biliknya.

“Apa… khabar bang?” tegur Azza, sopan.

Bergetar rasa dada Ihsan. Sudah bertahun dia rindukan suara itu. Setiapkali dia membaca surat Azza, dia akan cuba bayangkan wajah Azza. Dia akan mendengar suara Azza yang membaca surat itu untuknya. Rongga telinganya terasa nyaman mendengar suara itu. Santun. Dia merasakan seolah-olah berada di dalam mimpi.

“Abang… abang marahkan Azza?” sapa Azza lagi, setelah dilihat Ihsan hanya bungkam. Berdiri macam patung bernyawa. Hanya kelopak mata yang mengerlip.

“Oh...! tidak… abang... abang sihat… sihat,” jawab Ihsan tergagap-gagap, dia masih terkesima dengan kemunculan Azza. Macam Puteri Bunian yang muncul di depan mata.

‘Mana mungkin, mana mungkin, aku marahkan orang yang aku tunggu bertahun-tahun. Tidur bertemankan surat yang sudah putus di garis lipatan,’ rungut suara hati Ihsan yang terkurung. Menunggu peluang untuk dilafazkan.

“Papa...!” Iman yang tangannya di dalam genggaman Azza cuba mencuri perhatian Ihsan.

Ihsan mengalihkan pandangan kepada Iman. Terdetik juga di hati. Bagaimana anak perempuannya itu boleh begitu mesra. Rapat. Kenal mama yang tidak pernah menjengah bertahun-tahun lamanya? Iman yang sekarang sudah berada di tahun dua kelihatan tidak mahu berpisah dengan mamanya.

“Ooo... Ihsan… cepat balik hari ni?” tegur Mak Lela yang baru muncul dari dapur. Riak wajahnya juga seakan terkejut sedikit.

“Oh...! sebenarnya... Ihsan tak sihat emak. Kepala ni dari pagi tadi asyik berdenyut aje,” Ihsan menghulurkan tangan ke dahi. Dipicit-picit perlahan.

Azza hanya tersenyum. Kemudian berlenggang sambil memimpin tangan Iman ke ruang tamu. Mak Lela mengekori dari belakang.

“Ihsan... apa yang terpacak kat situ lagi. Mungkin dah ketentuan Allah…” tutur Mak Lela, matanya memandang ke arah Ihsan yang masih kaku berdiri.

Ihsan berculang-caling seketika. Barulah dia melangkah perlahan-lahan. Dihenyak punggung ke sofa menghadap Azza. Iman pula tidak mahu berenggang dengan mamanya. Mak Lela duduk di sebelah Iman. Suasana hening seketika. Seolah-olah memberi ruang untuk mereka berfikir sejenak. Berfikir tentang masa depan yang bakal menyusul.

Mak Lela kelihatan seperti resah. Sesekali dikerling ke arah Ihsan. Kemudian dia memandang Azza. Bekas menantunya yang terus bungkam. Memek muka Mak Lela seperti ingin meluahkan sesuatu.

“Errr… Ihsan…” tiba-tiba Mak Lela mula bersuara. Pandangannya ditalakan ke muka Ihsan, penuh kasih sayang.

Ihsan berpaling. Memandang ke muka emaknya. Wajah emaknya itu sebening air di tasik. Tenang. Damai. Dia merenung emaknya lama-lama.

“Yang sebenarnya... emak ada satu rahsia… dah terlalu lama emak simpan,” beritahu emaknya, penuh berteka-teki.

“Rahsia?” soal Ihsan, kehairanan.

Mak Lela mengangguk-angguk. Redup matanya seumpama payung. Sering sahaja melindungi. Walaupun diri sendiri berpanas terik.

“Ya… emak rasa, masanya sudah sesuai untuk kami bongkarkan...” sela Mak Lela, lembut.

“Ka... mi?” Ihsan semakin kebingungan.

“Hmm... hanya kami berempat sahaja yang tau,” Mak Lela berteka-teki lagi, semakin penuh dengan misteri.

Ihsan bagaikan orang yang sudah terpukau. Bingung. Apakah aku bermimpi? Dia menggenyeh-genyeh kedua-dua mata. Situasi itu benar-benar seakan-akan di alam ilusi. Azza hanya memerhati. Tiada tanda-tanda untuk mencelah. Tangan kanannya membelai-belai kepala Iman yang dilitupi sehelai tudung biru.

“Apa sebenarnya maksud emak?” Ihsan merenung ke dalam mata emaknya. Dia benar-benar ingin tahu.

“Begini... tapi… emak harap Ihsan boleh terima. Maafkan kami kalau Ihsan rasa kami keterlaluan…” suara Mak Lela tersekat-sekat. Dia tidak dapat meneruskan kata-katanya lagi. Air mata lencun di kelopak matanya. Mencurah laju di pipi.

Azza yang berada di depan Ihsan turut terisak-isak. Ihsan pula semakin berculang-caling. Menunggu dengan penuh setia. Agar emaknya cepat-cepat merungkaikan segala misteri yang mula bersarang di hatinya.

“Semua yang kami buat ni… demi untuk kebaikan Ihsan. Kami mahu Ihsan berubah… benar-benar berubah,” Mak Lela sudah semakin tenang.

“Emak… Ihsan yang perlukan kemaafan emak, bukan emak…” celah Ihsan, penuh beremosi.

“Tapi… apa sebenarnya yang emak rahsiakan?” soal Ihsan, tidak sabar.

“Ihsan bercerai dengan Azza adalah cadangan dari emak…” bongkar Mak Lela. Matanya kembali digenangi air jernih. Nafasnya tercungap-cungap.

Ihsan menghela nafas panjang. Dadanya bergetar. Dia melepaskan nafas yang semakin bersesak di dalam paru-paru. Secara tersusun. Penuh dengan sopan santun. Dia tahu, banyak perkara yang emaknya terpaksa fikirkan. Sebelum keputusan yang amat besar itu dilakukan. Dia merasakan dirinya begitu berdosa. Tega membiarkan emaknya sendirian. Mencari jalan bagi menyelesaikan masalah yang sewajibnya diselesaikan oleh dirinya sendiri.

Ihsan bangkit. Meluru dan menyembamkan muka ke atas paha emaknya. Bahunya terjungkat-jungkit. Nafasnya kembali tercungap-cungap. Esakan semakin jelas kedengaran. Emaknya menepuk-nepuk perlahan belakangnya.

“Maafkan Ihsan emak… maafkan Ihsan,” pintanya, dia menarik kedua-dua tangan emaknya. Dicium-ciumnya.

Azza membongkok sambil tersedu-sedan. Iman yang di sisi seperti penonton. Menghayati sebuah drama tentang sebuah kehidupan. Dia memandang kosong ke arah Ihsan. Terkebil-kebil. Tiada tujuan. Pandangannya meniti-niti ke atas muka ketiga-tiga insan tersayang.

*****

Hari itu. Adalah hari yang amat payah bagi Mak Lela dan Azza. Satu keputusan mesti disepakat. Keputusan yang bakal diambil itu terlalu besar. Namun, apa lagi daya yang mereka ada. Ihsan perlu diselamatkan. Sikap Ihsan yang sering goyah itu perlu diubah . Mak Lela tahu, sikap terlalu sukar untuk diubah. Kecuali, orang itu sendiri yang mahu berubah. Tersungkur dengan ketagihan dadah begitu menyeksakan. Ketagihan itu turut melumpuhkan segala urat saraf.

Bagi Mak Lela. Dia tidak akan pasrah. Selagi ada nyawa di badan. Ihsan darah dagingnya. Dia yang menyusukan Ihsan. Dia yang bangun tengah-tengah malam buta ketika Ihsan menangis kerana demam. Terkial-kial mencari minyak angin ketika Ihsan kembung perut.

Ustaz Basyir. Ya! Ustaz itu yang membuka mindanya. Ustaz itu yang mencadangkan. Ustaz Basyir yang ditemui secara tidak sengaja itu masih bermain di fikirannya. Ketika itu, Mak Lela dalam perjalanan pulang dari CCVC. Dia dan Yamin singgah di sebuah surau untuk bersolat maghrib. Yamin ke bilik air. Mak Lela bersendirian. Menunggu. Termenung di kerusi batu. Betul-betul di hadapan surau.

Semua itu aturan Ilahi. Seorang lelaki sederhana tinggi. Berjubah putih. Janggut hitam berkilat. Lebat. Serban putih melilit di kepala. Dia baru sahaja berdiri setelah keluar dari sebuah kereta. Mak Lela mendongak. Mata mereka bertentangan. Lelaki muda itu tersenyum sambil mengangguk-angguk. Dia baru hendak menutup pintu kereta yang diletakkan bersebelahan dengan kereta Yamin. Giginya teratur dan putih bersih. Bibirnya merah bagaikan ulas delima. Mak Lela membalas.

Apabila pintu kereta ditutup, dia melangkah dan berdiri di hadapan Mak Lela. Bau minyak wangi di pakaiannya sungguh lembut. Menghilangkan bau peluh. Auranya seakan-akan cuba untuk meleraikan kesengsaraan yang bersarang di lubuk hati Mak Lela. Suaranya begitu santun ketika mengungkapkan salam.

“Mak cik tunggu siapa?” tegurnya, sungguh sopan. Sikapnya yang peka. Mengambil berat itu mungkin mendorongnya untuk menyapa Mak Lela.

“Oh...! mak cik tunggu anak saudara… dia ke bilik air…” Mak Lela mendongak. Wajah pemuda itu jernih. Tenang.

“Saya Basyir… boleh saya tahu mak cik dari mana? Saya macam pernah tengok…” tangan kirinya memeluk tubuh. Jari telunjuk dan ibu jarinya memegang dagu.

“Anak ni... dari mana?” soal Mak Lela. Dia belum bersedia untuk menjawab soalan yang diajukan itu.

“Oh...! maaf… saya dari Kuala Lumpur. Sebenarnya... saya ni mengajar kat universiti di sana. Ni… nak balik rumah ayah. Dekat pondok di Pasir Mas.” Ustaz Basyir memperkenalkan diri. Dia seolah-olah boleh membaca melalui memek muka Mak Lela. Mak Lela sebenarnya sedang berprasangka. Takut-takut. Macam-macam perkara boleh terjadi. Ada peragut. Penyamun. Pembunuh. Sudah macam sesumpah. Boleh bertukar rupa. Bila-bila masa. Ada yang menjadi ustaz. Lebai. Siak. Ahli motivasi. Tokoh korporat. Entah! Apa lagi.

“Pondok kat Pasir Mas? Lubuk Tapah?” teka Mak Lela, ragu-ragu.

Ustaz itu mengangguk, mengiakan. Bibirnya tidak lekang dari senyuman.

Bulan lepas, Mak Lela pernah ke sana. Berjumpa dengan ustaz-ustaz di sana. Minta izin untuk mengambil air kolah masjid. Air kolah yang selalu dicelup-celup oleh setiap ahli jemaah. Untuk berwuduk. Beritahu seorang ustaz, air kolah itu berkat. Mujarab untuk dibuat air penawar. Air sesama mukmin ini ada keberkatannya. Itu yang selalu terngiang-ngiang di kuping Mak Lela.

Mungkin juga di situ. Ustaz Basyir pernah melihatnya. Sikap ustaz muda ini yang mudah didekati menyebabkan Mak Lela mula terbuka untuk menceritakan. Semua. Apa yang sedang diikhtiarkan untuk Ihsan.

“Ya lah makcik. Apa-apa pun yang kita buat... jangan lalai. Sandarkan kepada sifat-sifat Allah. Semua dengan izin Allah. Beginilah... cuba cari satu benda yang dia terlalu sayang…” Ustaz Basyir memberi cadangan.

Mak Lela memandang ke muka ustaz itu tidak berkelip-kelip. Dia cuba memahami apa yang dimaksudkan oleh ustaz di depannya itu.

“Rampas... atau buat apa saja… biar dia perit. Biar dia merasa kehilangannya,” tangan kanan ustaz muda itu ditarik pantas ke arah dadanya.

“Tidakkah nanti... dia memberontak, rosakkan diri lagi…” pintas Mak Lela, masih ragu-ragu.

“Kalau dia betul-betul sayang… dia akan ikhtiar dapatkan balik. Di sinilah peranan mak cik. Bakar kembali semangat juangnya… beri kata-kata yang boleh menyembuhkannya,” jelas Ustaz Basyir tentang matlamat cadangannya itu.

“Kita hanya ikhtiar… Allah yang menentukan. Tentu mak cik tak nak dia menuju ke tiga tempat… bukan?” Ustaz tersenyum. Matanya masih memandang ke muka Mak Lela.

“Tiga tempat?” soal Mak Lela, kehairanan.

“Ya… tiga. Selalu orang kata, orang yang terlibat dengan dadah ni hanya akan ke tiga tempat sahaja. Penjara, pusat serenti dan lubang kubur. Tapi... saya rasa tidak semestinya. Setiap penyakit... ada ubatnya. Mak cik buktikan. Mak cik mampu bantu anak mak cik… bawa dia ke tempat yang keempat. Di mana? Mak cik yang tahu. Saya doakan...” Ustaz Basyir mengakhiri perbualan mereka.

Hampir seminggu Mak Lela tidak lena tidur. Cadangan Ustaz Basyir itu sering bermain di dalam tempurung kepalanya. Setiap malam dia berfikir. Dan fikir lagi sehinggalah dia memahami. Dia tahu, Ihsan terlalu sayangkan Azza. Dia juga tahu, Azza terlalu sayangkan Ihsan. Mereka saling sayang menyayangi. Begitu juga dengan Mak Lela. Dia sayangkan anak menantunya itu. Lebih daripada nyawanya sendiri.

Pagi itu begitu dingin. Sedingin perasaan Mak Lela ketika itu. Beku. Buntu. Hanya tinggal ini sahaja harapannya. Dia menghampiri Azza. Menantunya itu sedang menimbuk gulai di atas dapur gas. Setiapkali memandang Azza, air matanya laju. Meleleh. Membasahi pipi.

“Azza…” tegur Mak Lela perlahan. Kerusi makan ditarik. Dia merebahkan tubuh renta ke kerusi kayu itu.

“Ya, emak…” sahut Azza, badannya dipusing menghadap ke arah ibu mentuanya.

“Duduk sini kejap… ada satu benda emak nak cakap,” pinta Mak Lela, tangan kanan menepuk sekali ke atas lantai kerusi di sebelahnya.

Azza tidak membantah. Api dapur gas dipadamkan. Dia melangkah dan duduk di sebelah ibu mentuanya itu. Mak Lela mencapai tangan kiri menantunya itu. Digosok-gosoknya lembut. Kelopak matanya berkedip-kedip.

“Azza kena dengar cakap emak…” katanya sebak, air mata gugur lagi.

Azza terpinga-pinga. Namun, dia tidak bersuara. Dia sabar menunggu apa yang bakal diungkapkan oleh ibu mentuanya itu. Sebagaimana sabarnya dia dengan sikap suaminya, Ihsan.

“Kita kena buat satu keputusan yang besar,” beritahu Mak Lela, matanya yang asyik melihat tangan Azza di dalam genggamannya itu beralih pula ke muka menantunya.

“Apa maksud emak?” Azza masih keliru. Dia membalas genggaman tangan ibu mentuanya itu.

“Azza kena tuntut fasakh... Azza mesti tuntut...” arah Mak Lela, air liurnya ditelan. Dia betul-betul maksudkannya.

“Apa yang emak cakap ni? Azza…”

“Azza… dengar dulu cakap emak,” potong Mak Lela, dia tahu menantunya itu tentu sahaja tidak akan bersetuju.

“Emak ambil keputusan ni… bukan emak fikir hanya hari ni saja. Emak solat istikharah… mohon pedoman daripada Allah. Inilah keputusan terbaik yang perlu kita buat,” Mak Lela memegang bahu Azza yang sudah mula terhinggut-hinggut.

Berminggu-minggu Mak Lela memujuk Azza. Mak Lela juga melihat Azza bangun malam. Bertahajud dan bersolat sunat istikharah. Sehinggalah hatinya tenang. Terbuka. Boleh menerima cadangan Mak Lela. Mereka lakukan semua itu untuk kebaikan Ihsan.

Di antara mereka, tiada janji termeterai. Mereka lakukan dengan sepenuh keikhlasan. Seandainya jodoh Azza dan Ihsan berpanjangan. Cinta mereka tentu akan berputik semula. Namun, sekiranya Azza disunting jejaka pilihan, tiada tangan yang menghalang. Terbanglah. Binalah kehidupan bersama-sama jejaka yang boleh membahagiakannya.

Azza menulis surat itu dengan jiwanya. Kertas putih itu adalah hati Azza. Seputih dan sedingin salju. Tiada sekelumit pun dendam di hati terhadap suaminya. Tintanya, adalah air mata Azza. Juga merupakan harapan Azza. Agar Ihsan memahami apa yang tersirat. Di sebalik yang tersurat.

Mak Lela kagum dengan ketabahan Azza. Dia sanggup menunggu Ihsan. Meskipun belum tahu penghujung pengorbanannya. Dia habiskan penantian dengan menyibukkan diri. Dia menyambung pengajian ke UPM. Apa yang lebih menitiskan air mata Mak Lela, Azza tidak putus-putus bertanya khabar tentang Iman. Dia sanggup berpisah dengan Iman demi mencari penawar untuk orang yang dicintainya. Mak Lela terkedu, Azza sanggup terbang dari Kuala Lumpur ke Hospital demi Iman. Azza yang menjaga Iman di hospital. Azza telah lakukan semua yang perlu seorang ibu lakukan untuk anaknya.

Iman beruntung, dia lahir dari rahim seorang perempuan seperti Azza. Seorang perempuan yang pada zahirnya bertubuh kecil. Namun, jiwa dan semangatnya mampu menggegarkan dunia. Iman tidak kering kasih sayang seorang mama. Dia membesar di hadapan mamanya. Biarlah kadangkala mamanya jauh dari matanya. Namun, terlalu rapat di hatinya.

Azza juga beruntung kerana melahirkan seorang anak seperti Iman. Mak Lela lihat, Iman seorang anak yang matang melebihi usianya. Dia seakan-akan memahami keadaan papa dan mamanya. Iman dilihat Mak Lela seperti kisah dongeng Cinderella. Mempunyai dua dunia hidup yang berbeza. Siang sebagai seorang gadis miskin. Malam sebagai seorang puteri kesayangan. Dunia papa dan dunia mamanya.

Previous: BAB 24
Next: BAB 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan