Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
111,888
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 22

Tanah peninggalan arwah ayah Ihsan telah menjadi milik kerajaan. Musnah sudah impian dia di situ. Semua telah diambil demi sebatang jalan raya. Pokok manggis yang sudah berpuluh-puluh tahun menjadi penanda sempadan di situ tiada lagi. Namun, ia tetap wujud di dalam ingatan Ihsan. Tetap menjadi sebutan apabila bercerita tentang tanah warisan itu.

Kehilangan tanah kebun itu, sekurang-kurangnya terubat jua dengan kewujudan Aspalela Enterprise. Ihsan sebagai pengurus. Tanggungjawab yang menanti terlalu besar. Meskipun begitu, dirinya berkobar-kobar menunggu cabaran. Berkeyakinan untuk bersaing. Semua itu dilakukan demi amanah. Amanah emaknya. Amanah kak long. Dan amanah kak ngah. Lebih-lebih lagi amanah arwah ayahnya. Dia seolah-olah masih melihat pokok manggis tua dulu. Pokok manggis yang memberi ruang untuk dirinya berteduh. Pokok manggis yang memberi mereka buah yang manis untuk basahan tekak. Menyejukkan badan setelah kepanasan akibat memakan terlalu banyak durian.

Ihsan menoleh ke arah fail plastik di depannya. Di dalam fail itulah maruah pokok manggis, penanda lot. Maruah tanah kebun. Maruah keluarganya jua. Dia mesti membela maruah itu. Di pundaknya terletak maruah tanah kebun itu.

Dicapai fail plastik di atas meja kopi. Diselak-selak. Ditenung. Semua dokumen permohonan telah diuruskan. Semua itu dengan bantuan Abang Mat. Meskipun begitu, Ihsan dibawa sama. Menantu Haji Rokiman itu mahu Ihsan terlibat dalam setiap pendaftaran. Dia mahu Ihsan belajar. Ilmu. Ya! Ilmu juga boleh diperolehi melalui pengalaman. Dia tidak mahu Ihsan hanya menerima. Menganga, tunggu disuap. Dia mahu Ihsan menghargai setiap sesuatu yang diterima.

Ihsan kembali membelek-belek. Menyemak satu persatu. Perakuan pendaftaran dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), sijil kontraktor kerja taraf bumiputera dari Pusat Khidmat Kontraktor, perakuan pendaftaran sebagai kontraktor elektrik dari Suruhanjaya Tenaga, sijil perolehan kerja kerajaan dari CIDB dan sijil pendaftaran kod bidang dengan Kementerian Kewangan. Ya! Bangsi Ajaib telah ada. Tiba-tiba Ihsan teringatkan Teori Do Re Me. Semua dokumen ini, kata Abang Mat di peringkat ‘Bangsi Ajaib’.

Apabila bangsi ditiup, maka mintalah apa yang dihajati, pasti diperolehi. Kalau sudah ada aliran tunai maka semuanya menjadi mudah. Ihsan cuba mengingat kata-kata Abang Mat tempoh hari. Dia tersenyum.

“Apa nama syarikat yang Ihsan daftar tu? emak bukan apa... nanti kalau kak long atau kak ngah kau telefon tanya... senang emak bagitau, ” suara emaknya itu mengerakkan Ihsan dari terus berteori. Kedua-dua kakinya dihulur ke depan. Berlunjur di atas lantai sedepa dari Ihsan. Tangannya ligat melipat pakaian.

“Aspalela Enterprise...” beritahu Ihsan, tersenyum.

Tangan Mak Lela yang asyik melipat kain itu berhenti seketika. Dipandangnya muka Ihsan dengan pandangan penuh aneh. Penuh tanda tanya.

“Aspalela? macam nama emak aje...” katanya.

Ihsan tergelak, mata masih tidak berkalih dari memandang emaknya.

“Dah memang nama emak...” ujar Ihsan, mulutnya ditutup.

“Kenapa tak bubuh aje nama Ihsan?”

“Ihsan nak ambil berkat nama emak. Lagi pun ni syarikat kita. Nanti kita anak beranak sama-sama bangunkan syarikat ini,” Ihsan cuba luahkan apa yang tersirat di sebalik nama syarikat yang baru didaftarkan itu.

Mak Lela tersenyum . Mungkin dia turut berbangga dengan syarikat baru mereka itu. Juga dengan semangat yang ditunjukkan Ihsan itu. Ihsan bukan macam dahulu lagi. Banyak sangat perubahannya. Badan Ihsan juga sudah berubah. Dia sudah semakin berisi.

“Tu... komputer, Ihsan baru beli ya?” tegur Mak Lela apabila dilihat Ihsan mengeluarkan sebuah komputer riba berwarna hitam.

“Ya, emak... nilah teropong ajaib kita. Ihsan akan intai lubang-lubang kerja,” kata Ihsan mengajuk watak Re dalam filem Laksamana Do Re Mi. Emaknya menggeleng-geleng, gelihati.

“Ihsan dah daftar talian telefon, nanti ada talian internet... baru mudah nak berniaga,” beritahu Ihsan, emaknya hanya memandang. Terkebil-kebil biji matanya.

“Abang Mat cakap, sekarang ni... semua urusan untuk dapat kerja dari kerajaan melalui internet. Bayaran pun dimasukkan terus ke bank. Semua urusan dokumen mesti melalui internet,” kata Ihsan, emaknya mengangguk-angguk. Anggukan itu adalah anggukan keramat Anggukan itu yang sentiasa memberi sokongan moral kepada Ihsan.

“Orang yang nak buat kerja? tak kan Ihsan sorang...” Mak Lela melahirkan rasa bimbang.

“Dah selesai emak, Abang Yamin, Madi dan beberapa orang budak kampung kita ni,” Ihsan asyik memandang papan kekunci komputer. Kedua-dua tangan dihulur. Jari jemari kasar itu terkial-kial mencari lajur-lajur huruf. Ditekan-tekan.

“Abang Mat dah sub kan satu projek di Tanah Merah kat kita, cubaan pertama, katanya,” beritahu Ihsan, biji matanya melilau ke atas monitor komputer.

Mak Lela meninggalkan penyapu dengan tersandar di belakang daun pintu. Menapak ke ruang tamu. Merebahkan badan di sisi Iman. Iman mendongak. Memandang ke muka neneknya. Kemudian dia kembali menyambung titik-titik huruf di setiap helaian di buku aktivitinya.

Previous: BAB 21
Next: BAB 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan