Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
219,854
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 25

“Maklong nampak letih, kita berhenti minum dulu?” Zafran memberi cadangan perlahan, hanya mahu Shaza mendengar.

Shaza angguk, lagi dia menoleh Shatiah di belakang. Menung wanita itu menghibakannya.

“Emak nak singgah toilet ke? Atau beli air?”

“Boleh juga, mak rasa nak buang air.” Baru itu dia mengkhabarkannya.

Shaza mengeluh perlahan, ‘sudah ditanya baru dia beritahu. Kesian emak.’ Shaza mengerling Zafran, Zafran juga seakan mendengar suara hati Shaza. Turut mengerling dengan bucu mata.

“Nanti dah pindah duduk dengan Sha, seronoklah maklong. Tak sunyi lagi.” Zafran merenung Shatiah melalui cermin pandang belakang kereta.

Shatiah seperti terpinga-pinga jelas fikirannya tidak di situ, sudah jauh mengembara atau masih tinggal di kampung. Shatiah minta diulang.

“Nanti maklong seronok, tinggal dengan Sha di Kuala Lumpur.” Zafran menyingkatkan ayatnya tetapi kekal bermakna serupa.

Shatiah angguk, senyum dia tetapi hambar benar. “Rumah Zaf dekat ke dengan rumah Sha?”

Zafran geleng. “Jauh, rumah Sha dengan dengan rumah papanya dekat.”

“Oh.” Angguk Shatiah berkali-kali, faham.

“Tapi jangan risau, bila maklong nak saya temankan maklong pergi mana-mana call aja saya, saya akan datang cepat.”

“Tak apalah, Sha kan ada?”

“Sha selalu sibuk. Saya banyak masa free.” Zafran tetap menawarkan. Shaza senyum membiar Zafran terus memujuk hati Shatiah.

“Oh, Sha sibuk kerja ya?”

“Ha ah. Maklumlah anak kesayangan bos.”

“Hei.” Shaza mencubit paha Zafran. “Suka hati aja ya?”

Zafran bertindak balas, mengelak cubitan Shaza tetapi tetap kena.

“Memang betul apa? Kena selalu temankan papa kan? Tak pun Abang Adam….” Zafran melunakkan suaranya memberi maksud manjanya sebutan abang itu.”

Shaza menjeling dengan senyum manis. “You jealous Encik Zafran?”

“No, setakat macam Adam tu, tak ada maknanya I nak jealous.”

“Betul?” Shaza mengugut, masih manis senyumnya mengusik.

Shatiah memerhati dengan mata hati, senyum dia di dalam hati. Gembira bahagianya Shaza dan Zafran.

Zafran berkerut menoleh Shaza, ada curiga di rona wajahnya.

“Awak jangan macam-macam, Shaza Amirah. Jangan ada apa-apa dengan dia okay?” Zafran pula berbunyi ugutan tetapi masih berbau gurauan, tajam dia menjeling menghantar senyum dengan cara itu.

“Alamak, takutnya. Bila bos I marah, I jadi takut sangat.”

“Siapa bos?”

“Encik Zafran kan bos saya? Saya ditawarkan jawatan untuk membantu tugas Encik Zafran.” Shaza menceber mengajuk panggilan ke atas Zafran apabila mereka di pejabat.

Zafran tertawa perlahan, Shatiah sudah tersenyum. Puas hatinya, ‘benar kata orang ikan di laut asam di darat tetapi soal hati sukar dimengerti. Walaupun keluarga bermusuhan, tetapi cucu-cucu saling bercintaan.’ Mengeluh pula Shatiah di dalam hati, bimbang berlaku sesuatu yang buruk di penghujung laluan Zafran dan Shaza. Dia tidak mahu Shaza kecewa seperti mana dia kecewa dan tidak mahu Zafran terluka. Berdoa dia di dalam hati semoga Allah memberi yang baik-baik kepada ke dua-duanya.

“Sha, papa tahu ke Sha nak duduk dengan emak?”

“Tahu, mama pun tahu. Tapi papa bagi syarat, Sha mesti selalu balik ke rumah papa. Seminggu sekali tidur kat sana.”

Shatiah angguk, faham dia. “Tapi emak tak menyusahkan Sha ke?”

“Apa yang susahnya? Menyenangkan lagi adalah. Sha tak payah balik kampung untuk jumpa emak. Kan?”

“Amboi, dengar macam nak buang kampung aja? Dah tak sayang kampung dah, sejak dah kaya ni?” Zafran bersenda, dikerlingnya Shaza dengan senyum mengusik.

“Hee. Dia ni jahat mulut tau. Lagi-lagi kaya, lagi-lagi kaya. Yang kaya tu papa, bukan saya. Tahu tak?” lagi Shaza mahu mencubit paha Zafran, Zafran berjaya mengelak. Tidak sampai cubitan Shaza.

“Betul? Nanti jangan sampai tak nak balik kampung langsung, kasihan saya.” Dia menyudahkan ayatnya dengan rungutan perlahan, manis mengusik.

“Balik lah, orang kata tempat jatuh lagikan dikenang, kan? Inikah pulak tempat menumpang.”

Zafran terangguk-angguk, mengejek kata-kata Shaza.

“Kami menumpang aja selama ini kan? Dan sudah sampai masanya kami menyerah balik apa yang kami pinjam. Tapi jangan bimbang, kami bukan bangsa pelupa. Kami tempat ingat segala budi dan jasa.” Bunyinya seakan memujuk Zafran, tetapi jelas kedengaran hiba pula.

Zafran mengeluh perlahan. Dia teringat kata-kata neneknya berkenaan hasratnya mahu membawa Shaza ke dalam keluarga mereka.

“Nenek tak benarkan Zaf kahwin dengan cucu Piah. Berkawan pun tak boleh.” Itu keputusan neneknya mengulang ayat serupa sewaktu kali pertama Zafran menyuarakan hasrat.

Zafran berdengus, mahu menentang tetapi runduk mata ibunya merenung membuat dia kelu. ‘Sedarlah Zafran, nenek membesarkan engkau dari pra tadika hingga usia hampir menjejak dua puluh tahun. Berapa besar budi nenek?’ dibentak hati sendiri, menentang rasa mahu menentang.

Dan ibunya membujuk juga supaya dia mengambil kira perasaan orang tua dalam memilih jodoh. Mahu akurkah dia dengan mengorbankan kebahagiaan? Hah.

“Kenapa tak masuk simpang hentian?” Shaza mengejutkan dia dari lamunan panjang.

“Kata nak singgah toilet, nak beli air bagai?”

“Ala, saya terlupa, tak perasan simpang.” Kesal benar Zafran.

“Yang mana satu jawapan betul? Tak perasan simpang atau terlupa nak singgah?” Shaza mengusik, senyum. Dia tahu Zafran sedang melamun.

Zafran geleng kesal, Shatiah di belakang ditolehnya. “Maaf maklong. Saya salah.”

“Tak apa.”

“You okay Encik Zafran, ke, nak saya drive? Penat ya?” masih mahu bersenda Shaza, tidak disedarinya Zafran sudah serius.

“No, I ok.”

“Atau melamun? Ingat siapa?” lambat-lambat butir pertanyaan Shaza, sengaja mahu mengusik Zafran yang tiba-tiba seakan hanyut sendiri.

“Ingatkan awak.”

“I’am here. Tak payah nak ingat-ingat.” Masih dia mahu bersenda.

“Za, kita kahwin?”

Shaza menoleh Shatiah di belakang, mahu memastikan sama ada Shatiah mendengar atau dia juga sedang tuli seketika. Malu dia dilamar Zafran di hadapan Shatiah kerana menyangka Shatiah tidak mengetahui status perhubungan mereka.

“Sudi tak awak bersusah senang dengan saya? Saya teringin nak jaga awak.” Merah seraut wajah Zafran. Tebal sudah.

“Zaf, kita dah bincang perkara ini beberapa kali kan?”

“Ya, dan awak dah beberapa kali menolaknya. Saya cuma nak dengar sekali sama ada awak terima saya atau menolak saya.”

“Kenapa awak risau sangat? Saya tak kan ke mana-mana, saya tak akan meninggalkan negara. Percayalah.”

“Bukan itu soalan saya dan saya tak nak dengar keputusan yang itu. Tapi saya nak dengar sama ada awak bersedia menjadi isteri saya atau tidak.”

“Zafran,” lagi Shaza mengerling Shatiah.

Shatiah sudah berpura-pura tidur, terlentuk ke pintu kereta sebelah belakang Zafran.

“Saya nak jumpa papa awak, awak kata nanti awak yang bagitahu. Saya nak bagitahu maklong, awak kata nanti awak selesaikan. So macam mana? Saya bersungguh-sungguh tapi awak main-main.”

“Zafran, kenapa setiap kali balik kampung emosi awak jadi lain hah? Di office tak pulak macam ni?”

Zafran mengeluh perlahan. Shaza menunggu pertanyaannya dijawab.

“Sebab kampung selalu mengingatkan saya, awak mungkin bukan untuk saya dan besarnya penghalang cinta saya pada awak. Saya takut.”

“Awak terlalu takut pada bayang-bayang sendiri.”

“Ya, saya takut. So what? Apa masalahnya, mengapa awak sentiasa mengelak?” sudah meninggi suara Zafran.

Shaza menegak jari telunjuk di hadapan bibir memberi isyarat supaya Zafran memperlahan suara, tidak mahu mengejutkan Shatiah yang lena. Zafran mengeluh perlahan.

“Maklong.” Zafran berkeras. Shaza mengerling Zafran.

Shatiah buka mata, berpura-pura baru tersedar dari lena. “Dah sampai ke?”

“Belum.” Kucam Zafran, terus tekun memandu tidak menoleh Shatiah, tidak juga Shaza.

“Maklong izinkan tak saya berkahwin dengan anak maklong?”

Shatiah terpinga-pinga, dia beralih duduk di tengah-tengah kereta. Zafran dan Shaza direnungnya silih berganti dari belakang.

“Saya nak melamar anak maklong, saya nak jadi menantu maklong yang paling setia.” Terlalu luhur ayat Zafran, Shaza kelu sendiri. Tidak disangkanya Zafran mampu mengungkap dialog maut itu terus kepada Shatiah.

‘Macam skrip drama, macam ayat novel.’ berkerut kening Shaza merenung Zafran yang serius.

“Maklong terima siapa sahaja pilihan Sha.”

Zafran angguk, berpuas hati gayanya tetapi masih serius dan bersungguh-sungguh. “Maklong tolong tanya anak maklong, hendak atau tidak dia kahwin dengan saya? Sudi atau tidak dia jadi isteri saya?” soalan Zafran seakan terlalu keanak-anakan, Shatiah tersenyum.

Shaza sedar ada ukiran sindiran di bibir Shatiah, dia menoleh Shatiah di belakang. Hairan.

“Zaf, apa sebenarnya yang membuat kamu jadi macam ni? Setahu maklong, hanya lelaki yang jiwanya sedang disakitkan sahaja yang hilang rasa malu berterus-terang macam ni. Cerita dengan maklong.”

Zafran menghela nafas panjang, dalam.

“Cemburu pada Sha? Apa yang Sha buat?” dia mahu memarahi Shaza jika mendapati Shaza menduakan Zafran.

“Tak ada apa. Awak tak pernah cemburukan saya kan?”

“Nenek dengan ayah tak suka saya kawan dengan Sha. Nenek dah risikkan anak kawan dia untuk saya.”

“Owh.” Angguk Shatiah berkali-kali.

Shaza merenung Zafran lama. “So, awak tak nak kahwin dengan perempuan pilihan nenek maka kerana itu awak melamar saya?”

“No, saya tak nak kahwin dengan perempuan lain kecuali awak.” Kembali keras suaranya, sudah marah kerana Shaza tidak memahami dia.

“Baik, emak terima lamaran Zafran untuk mengahwini Shaza. Tapi mesti dengan restu orang tua Zaf.”

Zafran berpuas hati, angguk dia berkali-kali. “Kahwinkan kami secepat mungkin.” Tegas perintahnya. Shatiah tersenyum lagi.

“Ya Allah, mengapalah awak jadi macam ini Zaf. Cuba bertenang.”

“Saya dah tak boleh tunggu lagi. Tolonglah faham.” Dari keras, sudah jatuh merayu dia, mendayu benar.

Hiba pula perasaan Shaza, Shatiah turut terharu. Sudah dijangkanya pasti ada rintangan perhubungan Shaza dan Zafran dan bentuk rintangan itu sangat menakutkan. Takut benar Shatiah untuk menghadapinya kerana dia sendiri tekat, dia hanya membenar Zafran mengahwini Shaza sekiranya ke dua-dua mereka mendapat restu dari keluarga masing-masing. Itu prinsibnya. Dia tidak akan merestui jika orang tua Zafran atau papa Shaza menentang.

“Kita berdoa ya? Setiap yang baik itu pasti Allah bukakan jalannya, yang penting jangan sesekali membelakangkan orang tua, emak dan ayah adalah yang pertama wajib dihormati.

“Saya hormat orang tua saya, tapi mereka sentiasa mendesak saya. Saya tak boleh buat keputusan sendiri walaupun sudah setua ini.”

Shatiah angguk. “Tidak ada emak dan ayah yang suka anak mereka sengsara. Sabar ya? Nanti kita fikirkannya.”

Zafran diam, tidak angguk bersetuju, menelingkah juga tidak lagi. Dia hanyut ke dalam dirinya sendiri.

“Sungguh awak sanggup bersusah dengan saya?” lagi dia mengulang soalan serupa. Tidak berpuas hati dia selagi Shaza tidak menjawab.

Shaza mengeluh, bosan sudah dia.

“Sha, Zafran cuma nak dengar dari mulut Sha sendiri. Susah sangat ke nak jawabnya?” Shatiah juga sudah bosan menunggu, simpati dia pada kesungguhan Zafran.

“Emak, malulah Sha.” Tersipu Shaza melempar wajah ke kiri, menyembunyi cara itu.

Shatiah senyum, puas dia tetapi Zafran masih tidak berpuas hati, tetap juga mahu jawapan yang pasti.

“Saya lagi malu, terhegeh-hegeh. Dah macam hidung tak mancung, pipi yang tersorong-sorong. Saya sedar siapa saya berbanding awak, tapi saya cintakan awak dari dulu. Dari awak bukan siapa-siapa sampailah awak sudah menjadi Cinderella berkasut cantik.” Zafran sudah membuat Shatiah hampir tersedak. Sudah tenggelam malunya, terlupa mungkin, bersama mereka ada ibu angkat Shaza yang turut dipanggilnya maklong sejak zaman kanak-kanak.

“Zaf, tolonglah. Saya geli dengar dialog awak tu.”

“Awak tak suka saya kan?”

“Ya Allah, susahnya nak cakap dengan awak ni, kenapa?” Shaza sudah kian tertekan.

“Susah nak cakap, tulis. Teknologi sekarang bukan macam zaman emak dulu-dulu.” Shatiah juga sudah semakin bosan, sudah banyak dia mencampuri sandiwara pasangan sejoli itu.

Zafran masih kucam, focus memandu. Turun naik nafasnya menunjuk rupa dia sesungguhnya tidak tenteram. Shatiah kembali beralih ke tepi, menyandar bahu pada pintu kereta, bersiap untuk pejam semula namun mahu terus mengintip.

Telefon Zafran bernada panggilan, dia mengerling melihat nombor yang tertera di skrin telefon. Mengeluh dia perlahan tetapi dijawabnya juga mengguna alat bebas pegang. Dia mengucap salam, sopan. Lama pula dia hanya mendengar ucap panjang dari pemanggil, rona wajahnya sudah berubah gelap, tampak tidak senang dan marah juga disimpan ketat. Shaza merenung tajam.

“Abang tolong aja. Maklong kan nak pindah KL?”

Shaza sudah berkerut, sudah terbau dia siapa menghubungi Zafran. Cuak juga hatinya, bukan kerana takut dimaki hamun orang itu seperti di zaman kanak-kanaknya tetapi kesal membuat Zafran tersepit. Dia tidak mahu Zafran menjadi anak derhaka dan tidak sama sekali mahu menjadi duri dalam keluarga Zafran.

“Bukan abang tak nak bagitahu tadi, tapi kalau abang bagitahu emak izinkankah?” dia menyambung selepas lama diam, hanya mendengar.

Tahulah Shaza, Zafran sedang bicara bersama Acik Salmah.

“Emak tolonglah terangkan pada ayah dengan nenek.” Bosan rupanya Zafran, lusuh dan tertekan benar.

Shaza tidak bertanya walaupun Zafran sudah menambatkan perbualan, Shatiah juga diam. Hanya memahami apa yang mereka sudah fahami, tidak mahu menambah keresahan Zafran.

Previous: BAB 24
Next: BAB 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.