Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
219,844
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 4

NEK SIAH menyelimutkan, dielus ubun-ubunnya. Terasa benar kasih sayang wanita itu, jelas tidak pernah berkurang. Dia selesa di bawah penjagaan nenek tua itu, ibu tunggal sejak hamilkan anak ke dua. Payah jerih Nek Piah sendiri membesarkan anak-anak dengan status gantung tidak bertali sampai mati membuat Shaza sangat menghormatinya. Shaza tidak pernah mengenali datuknya. Katanya kepada Sharifah dan Shatiah kasihnya tercurah, apabila anak kesayangan itu pula dijumput Allah semuda usia 20 an, kasih Nek Piah tumpah kepada cucu satu-satunya. Shaza. Demi tidak mahu Shaza senasib dengannya maka dia dirampas dari penjagaan bapa dan ibu tiri.

“Nenek sayang Sha, nenek tak akan membenar sesiapa menyakiti Sha.”

“Nenek, kenapa papa Sha tak pernah lagi datang sini?”

“Sebab dia dah ada keluarga baru, dia dah ada isteri muda, dah ada anak-anak sana. Dia lebih seronok jaga anak-anak isteri barunya dari jaga anak sendiri. Mungkin juga Sha dah ada adik baru, sapa tahu?” Nek Piah memaksudkan mungkin isteri baru Rusman sudah melahirkan zuriat mereka bersama.

“Tapi papa kata, papa sayang Sha juga.”

“Itu bohong. Sha mesti ingat, apabila lelaki sanggup menukar isterinya dengan isteri yang baru, itu bererti dia dah melupakan isteri pertamanya. Bererti juga dia dah tak sayang anaknya.”

“Tapi makcik nampak macam baik.”

“Mana ada ibu tiri yang baik? Baru-baru ini nenek dengar ada ibu tiri sembelih anak tiri, dimasak gulai, dihidang kepada bapak anak itu.”

“Jahatnya ibu tiri kan nek?”

“Memang jahat, Sha tak usah percaya ibu tiri, dia mesti ada muslihat. Mana ada perempuan baik sanggup ambik suami orang? Rampas kasih sayang lelaki yang sayang anaknya.”

Hanya itu gurindam Nek Piah saban hari, sebelum dia tidur dan sebagun tidur. Sebelum ke sekolah dan sepulang dari sekolah. Apabila papanya datang melawat, Nek Piah akan menyuruhnya bersembunyi. Alasannya bimbang Rusman menculik Shaza lalu dilarikan dibawa ke bandar. Kepada Rusman Nek Piah berbohong mengatakan Shaza tiada di rumah. Shatiah juga sering bercerita yang serupa malah katanya, jika dia menjadi ibu tiri Shaza, akan diberinya kasih sayang penuh. Tidak akan dibawa tinggal di bandar, mereka akan tinggal di rumah Nek Piah, menjaga Nek Piah.

“Kenapa emak tak kahwin dengan papa?”

“Sebab Makcik Nadia dah goda papa Sha sejak ibu Sha masih hidup lagi.”

“Hish jahatnya dia?”

“Memang perempuan bandar jahat.”

Ketukan di pintu bilik merentap ingatan Shaza, dia mengeluh perlahan menyimpan momen pahit semalam jauh ke dalam kotak hati. Dia membuka pintu meski orang di luar boleh sahaja masuk kerana pintu tidak dikunci.

“Ya, ada apa?” Shaza menyapa Nadia dengan soalan, tidak terus mempersilakan masuk.

“Sha buat apa seorang-seorang dalam bilik?”

“Tak ada apa.” Masih juga mereka berdiri di tapak masing-masing. Nadia di bahagian luar dan Shaza di dalam bilik, pintu bilik ternganga luas.

“Boleh mama masuk? Mama rasa nak berbual tapi tak ada orang.”

“Oh, masuklah. Sha pun tak buat apa-apa.”

Nadia senyum, masuk terus duduk di birai katil. Shaza menutup pintu, perlahan.

“Papa mana?”

“Keluar. Abang Adam dah balik kondo dia.”

Shaza senyum, angguk faham. “Papa pergi mana?”

“Melawat kawan, sakit.”

Shaza angguk turut duduk di atas katil, tidak begitu dekat jarak mereka.

“Sha buat apa tadi?”

“Tak ada apa cuma teringat nenek.”

“Rindu nenek?”

Shaza senyum, tunduk seraya mengeluh perlahan. “Sejak umur setahun lebih Sha dah duduk dengan nenek. Kepada nenek Sha menumpang kasih, bermanja. Kehilangan mendadak ini susah untuk Sha terima.”

“Ya, tempat jatuh lagikan dirindu inikan pulak tempat bermanja.” Nadia beriaksi simpati. “Mama pun tak pernah merasa kasih sayang ibu.” Berkaca dalam matanya namun tetap senyum.

“Meninggal macam ibu jugak?”

Nadia tidak menjawab, berusaha dia lari dari perasaan sendiri namun Shaza terus menunggu. Nadia renung Shaza lama, akhirnya menghela nafas dalam.

“Mama yatim piatu, dibesarkan di rumah anak-anak yatim. Tapi mama gigih berusaha, dapat juga masuk university. Di situ mama kenal ibu Sha.” Dia merenung gambar Sharifah.

“Ibu Sha baik sangat, lembut orangnya. Sentiasa menghiburkan. Walaupun dia bukanlah dari keluarga kaya tetapi ibu Sha lebih beruntung dari mama, ibu Sha ada emak, ada kakak, ada kampung halaman. Bila cuti sem, mama akan ikut ibu Sha balik kampung nenek.” Senyum terlukis tetapi mata berkaca hiba. Disekanya air mata yang semakin banyak di dalam, tidak mahu ianya tumpah.

“Oh, ertinya makcik kenal nenek dan emak? Owh, Maklong Tiah?” Shaza membetulkan sebutan Shatiah dari emak kepada maklong, bimbang Nadia tidak faham.

Nadia angguk bersungguh-sungguh, beranak air lagi dalam matanya. Lagi diseka perlahan namun masih terlukis senyum.

“Oh ya, Sha usah ambil hati pada Abang Adam ya? Dia memang straight tambah-tambah kalau pasal kerja dan yang melibatkan keluarganya. Tapi kalau dah lama kenal, dia akan percaya habis kat orang tu.”

Shaza diam, keluhan sakit hati disimpan dalam-dalam. Dia tidak berminat mendengar cerita Adam, biarlah ‘Si Luncai terjun dengan labu-labunya’, tetapi kisah perhubungan rapat arwah ibunya dengan ibu tiri itu yang ingin diketahui. Dia mahu Nadia terus berkisah tetapi wanita itu seakan tidak bersedia memunggah nostalgia.

“Sha buat macam biasa, papa dah lantik Sha untuk jawatan tu, Abang Adam tak boleh buat apa-apa. Papa berkuasa dalam syarikat.”

“Sha tak nak kerana Sha keluarga ini bercelagah, lagipun selama 25 tahun Sha boleh hidup sendiri.”

“Mama akan memihak Sha dalam apa juga keadaan.”

“Kenapa?”

“Sebab Sha memang ada hak malah ada kuasa dalam keluarga ini. Mama, Ell dan Abang Adam hanya menumpang, sayang.” Dielos rambut Shaza lembut.

“Mama, jangan cakap macam tu.” Baru itu lembut lidahnya menyebut ganti nama diri Nadia seperti yang diarahkan Rusman dan ibu tiri itu.

Nadia tampak terharu, berkolah lagi dalam matanya namun manis juga senyumnya.

“Sha tak pernah ada mama, membesar dengan nenek, emak saudara yang Sha panggil emak, pastinya tak sama dengan kasih mama. Sha yang nak menumpang dengan mama.” Sudah kian bijak dia membeli perasaan Nadia, sejak kapan dan mengapa sudah semakin kuat rasa kasihnya tidak disedari. Yang pasti, dia berasa nyaman diteduhan kasih wanita seusia arwah ibunya itu. Mengembirakan sahabat karib ibunya sama juga seperti mengembirakan ibu sendiri.

“Alhamdulillah terima kasih Allah,” Nadia mengelus mula seperti sehabis berdoa bersyukuran. Diraih bahu Shaza, ditarik merapat. Mereka sudah berhimpit.

“Ibu Sha mesti gembira. Terima kasih Sha.” Nadia memeluk Shaza dalam detik sedikit lama. Semakin senak tangis Nadia, semakin erat dakapannya.

Nadia mendongak, merenung bingkai gambar Shaza bersama Rusman dan Sharifah. Senyum dia dalam lelehan air mata gembira.

Rusman menjenguk sementelah pintu tidak ditutup rapat, hanya disendeng renggang. “Boleh papa masuk?”

Nadia dan Shaza melerai sesama sendiri. Sama-sama menoleh Rusman.

“Masuklah.” Shaza mengesat air mata.

Nadia dan Shaza sudah merenggang, mengalu-alukan Rusman. Rusman menarik kerusi di meja komputer mendekat ke katil, duduk dia menghadap Nadia dan Shaza. Dia melihat mata Nadia yang masih merah selepas menangis.

“Bila abang balik?”

“Baru aja. Tak sedar ya?”

Nadia senyum, tertawa juga perlahan. “Abang nak air ke?”

“Tak payah, abang dah minum dengan Abang Abu tadi.”

“Kawan abang macam mana?”

“Dah sedar dah.”

“Alhamdulillah. Abang pun jaga kesihatan ya? Jangan sampai sakit macam Razak tu.”

Rusman angguk, senyum dia.

“Sha dah ada depan kita, kalau abang mati pun puas dah.”

“Abang. Apa cakap macam tu?” Nadia pantas memegang tangan Rusman, ditarik ke atas ribanya. Mata galak memandang Rusman, marah. Ditolak-tolak rambut Rusman ke belakang seakan memujuk kanak-kanak lelaki merajuk.

Shaza hanya diam, memerhati kasih sayang suami isteri itu.

“Tak kan kita hidup menongkat langit, satu hari kita pergi juga. Itu hukum alam, janji kita pada Allah.” Rusman mentarbiah Nadia yang ternyata sangat bimbang.

“Tapi apa saya nak jawab pada arwah Ipah?”

“Nak jawab apa? Bukan dia yang menyoal awak di akhirat, tapi Allah. Allah akan menghisap amalan jahat dan baik kita.”

“Tapi saya dah janji pada arwah, akan jaga abang dengan Sha sampai akhir hayat saya. Biar saya yang mati dulu.”

“Itu janji awak sesama manusia dan manusia itu juga hamba Allah. Terima kasih sebab menghormati janji awak pada arwah Ipah, tapi kita kan sudah berjanji pada Allah?” Rusman terus membujuk Nadia.

Shaza terus memerhati, terkedu dia sendiri. Kuat benar pengaruh ibu dalam diri mama? Ditelan rasa hiba.

“Dah, dah. Saya belum mati lagi, sakit pun belum awak dah sedih macam ni. Macam mana nak jaga saya dengan anak-anak kalau mamanya tak tabah?” Rusman menepuk-nepuk pipi Nadia, bersenda.

Nadia tertawa perlahan seraya menyeka air mata.

“Ha, Sha. Ada masalah tinggal di sini?” Rusman beralih kepada Shaza.

Shaza geleng, senyum mulus.

“Selesa?”

“Okay, tak ada apa-apa masalah.”

“Alhamdulillah. Di pejabat?”

Shaza tertawa perlahan. “Belum mula apa-apa mana tahu apa masalah ada, pengurus projek pun tak jumpa lagi.”

Rusman angguk faham. “Pengurus tu out station, esok dia masuk kerja. Sha berbincanglah dengan dia. Sebarang masalah yang tak boleh selesai dengan dia, Sha bincang dengan papa. Abang Adam pun okay walaupun dia tu keras sikit.” Rusman menoleh Nadia apabila Adam diberi komen.

Shaza angguk faham.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.