Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
222,076
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 17

“Sha, boleh tumpangkan abang ke office?”

“Oh, sure.”

“Kereta abang belum siap, nak bawak kereta mama, rasa macam tak biasa. Lagipun kaki kanan tak boleh pijak minyak.”

Shaza angguk, memahami.

“Panggil Pak Abu lah tolong.” Nadia memberi saranan.

“Pak Abu bukan cuti ke?”

“Boleh panggil untuk hantar dan ambik Adam kut? Katanya hari tu dia bukan ke mana-mana cuma cuti untuk berehat aja.”

“Tak apa ma, pergi sekali dengan Sha aja. Kasihan Pak Abu.” Shaza memberi tawaran langsung.

Thanks.” Adam pandang Shaza, redup matanya menangkap senyum dan angguk Shaza.

“Dah? Jom.” Shaza sudah bangun.

Adam terkial-kial bangun, tidak mahu Shaza menunggunya lama. Shaza menoleh Adam yang tampak sukar berjalan, takut-takut untuk memijak.

“Boleh ke?”

“Boleh.” Yakin menjawab.

Nadia membawakan beg Adam, Shaza segera mengambil dari tangan Nadia, tidak mahu wanita itu dibebani beg anak yang agak berat. Nadia mahu juga membantu tetapi Shaza berkeras.

“Tak apa, mama boleh bawak.”

“Tak apa ma, berat beg tu. Biar Sha yang bawak.”

“Iyalah, kenapa berat sangat beg Adam ni?” beg Adam sudah bertukar tangan.

“Dia bawak batu.” Ada-ada sahaja nakal gurau Shaza membuat hati Adam tergeletek geli walaupun tujuan Shaza untuk menyakitkan hati Adam. Adam pula rasa terhibur, Nadia juga tertawa perlahan.

“Batu geliga mama?” Adam menambah. “Nak jampi anak papa supaya tak garang sangat.”

Nadia menyambung tawa, tidak faham senda Adam dan Shaza.

“Anak papa tu garang ke? Bukan anak mama ke yang garang? Tiap-tiap hari cari pasal, nak cari gaduh?” Shaza bersahaja. Adam sudah diam terasa disindir oleh sindiran tajam Shaza.

Shaza terus meninggalkan Adam dan Nadia, dia menghidup enjin kereta dan menyimpan beg Adam, kembali semula untuk bersalam dengan Nadia seperti kebiasaannya. Adam terkial-kial mengenakan kasut pada kakinya yang masih sakit. Awalnya Shaza tidak mempeduli, tetapi setelah dilihatnya Nadia sudah mencangkung di hadapan Adam yang duduk di kerusi mahu memakaikan sarung kaki anak lelakinya, Shaza rasa bersalah. Dia mengambil sarung kaki daripada Nadia, langsung memakaikan. Menyeringai Adam menahan kesakitan tetapi tidak berani mengadu sakit, merengek jauh sekali, takut Shaza membahasakannya, mengata dia seperti kanak-kanak pra tadika.

“Sha rasa you kena pergi fisiolah. Dah dekat seminggu tapi tak boleh berjalan lagi, nanti urat jadi keras.”

Adam tampak bimbang benar. Shaza membiarkan dia dalam ketakutan, tidak diterangkan maksudnya, dibujuk juga tidak. Biar, bisik hatinya sendiri.

Menurut Nadia Adam memang jenis takut pada kesakitan, mabuk melihat darah dan mudah panic. Itu diceritakan Nadia sejurus Adam tidur selepas kemalangan. Shaza mahu sahaja mentertawakan, melihat kepada susuk tubuh yang sasa, ego dan sombongnya dia, mana mungkin dia jenis lemah dan penakut begitu.

Dalam kereta tidak banyak yang dibualkan, Shaza focus pada pemanduan, radio kereta memutarkan lagu demi lagu diselangi celoteh penyampai yang menghiburkan sementara Adam berasa janggal mahu berlembut dan berbual santai dengan Shaza yang sudah semakin jelita di matanya. Hidung, mata, pipi dan bibir gadis itu tidak jemu dipandang lebih-lebih lagi lesung pipit yang sesekali membentuk manis kan lagi senyum dan tawanya. Semua itu dahulunya langsung tidak kelihatan di mata Adam, kini terasa ingin benar dia memujinya.

“Sha, abang minta maaf.”

“Maaf? Kenapa?”

“Abang banyak sakitkan hati Sha, dulu abang garang dan sombong sangat pada Sha.”

“Ohw, abang nak minta maaf banyak kali dah. Sha dah maafkan pun. Sha pun salah jugak, sama naik bengkengnya dengan abang. Sha minta maaf ya? Kira kita kosong-kosong.”

Adam angguk, senyum meleret. Dia mengambil peluang itu merenung lama Shaza, menghitung betapa jelitanya Shaza. Langsung tiada kekurangan di mana-mana. Shaza menoleh seimbas, berkerut melihat Adam merenungnya mendalam. Dia tersenyum malu.

“Jangan pandang saya macam tu.”

“Kenapa?”

“Bagi lelaki, syarat memandang wanita tiga kali saja. Sekali itu harus, dua kali sunat dan tiga kali takutnya jadi haram.”

“Abang pandang sekali aja, tak alih ke tempat lain.”

“Kena pandang dalam kiraan tiga. Masuk sebutan ke empat, dah tak boleh pandang lagi dah.”

Adam senyum, dialih pandangannya ke kiri melihat kiri jalan. Shaza terus ke hadapan kereta, tekun memandu.

“Sha bukan saja cantik, tapi pandai ambil hati.”

“Oh ya? Hati siapa yang Sha ambil tu?”

Adam senyum lagi, tidak terkata, geleng perlahan.

KELUAR lif, pekerja di bahagian meja penyambut tetamu sudah bangun memberi hormat, ucapan selamat pagi dan salam sejahtera juga. Adam tidak kucam menunjuk sombong, tegas juga tidak lagi sebaliknya mengukir senyum semanisnya, angguk serta menjawab ucapan kakitangan yang sentiasa menghormati. Semua teruja keberadaan bos ke dua mereka di situ, sudah kembali bertugas dia. Senyum pula menyamput ucap hormat. Shaza seperti biasa murah senyum, ramah menyahut sapaan dan bergaul dengan seluruh kakitangan tidak mengira lapisan. Dalam masa yang singkat dia sudah mengenali sehingga ke golongan pembersih pejabat. Pernah juga makan di pantry pejabat bersama cleaner wanita.

Berlainan penerimaan mereka ke atas Adam, meski dia tidak mesra, tampak garang dan tegas namun ketampanan dan karismanya membuat semua menggemari, tertoleh-toleh dan mencari peluang untuk bercakap dengannya. Shaza teringat perbualan santainya bersama Lisa sewaktu Adam bercuti sakit.

“Encik Adam lalu aja, semua teruja. Belum ditegurnya lagi.” Itu komen Lisa pada Shaza sambil dia tertawa lucu.

“Tak ada ke mana-mana staff di sini yang menarik minat Encik Adam?”

Lisa geleng seraya mencebik. “Encik Adam tak ada selera pada staff sini. Anak bos, selera mestilah tinggi. Lainlah Encik Zafran, sangat mesra alam tapi kami hormat dia. Antara mereka berdua, semua akan mengutamakan Encik Zafran.”

Shaza masih tersenyum-senyum teringat perbualannya dengan Lisa, terus juga dia mendahului Adam untuk menghantar beg lelaki itu sampai ke meja setiausahanya. Membiar Adam berjalan perlahan di belakangnya berteman tongkat satu. Tampak sukar benar dia melangkah namun, Shaza membiarkan juga. Kepada setiausaha Adam dibisikkan agar tidak terlalu membantu ketuanya bergerak, sebaliknya perhatikan keselamatannya dan bantu dalam urusan kerja seperti biasa. Gadis itu faham dan bersedia menurut aturan Shaza.

“Boleh ke?” tegurnya sewaktu berselisih dengan Adam untuk ke biliknya.

Sure. Thanks Sha.” Tetap tersenyum meski nampak sukar berjalan betul.

“Ok.” Shaza meninggalkan Adam, terus dia ke biliknya.

“Assalamualaikum.” Shaza disapa Zafran.

Shaza menjawab salam, menoleh juga. Tersenyum manis.

“Dari mana ni?”

“Hantar Adam ke biliknya.”

“Oh, Adam masuk office? Kaki dia dah ok ke?”

“Sepatutnya dah ok, tapi penakut sangat. Saya rasa dia kena pergi fisioterapi. Berlatih berjalan.”

Zafran angguk-angguk berfikir teruk gayanya.

“Atau pun daftar saikatrik.” Senyum bersenda.

Berkerut kening Zafran, mencari erti senda Shaza. “Abang awak tu, jangan terlampau sangat menuduh.” Manis senyum Zafran mengusik Shaza.

Shaza tertawa sedikit panjang. Sampai mereka di bilik Shaza, Zafran turut masuk.

“Za dah breakfast?”

Shaza angguk, meja dibersihkan, komputer riba dibuka dan dipasang suiz, langsir penutup tingkap cermin disebak sedikit kiri dan kanan, muzik instrumental dimainkan perlahan, gemersik. Shaza menggemari muzik, sepanjang berada di biliknya pasti dihidang dengan alunan instrumental dari pelbagai genre muzik dalam dan luar negara. Perlahan mendayu, menyegarkan.

“Temankan saya breakfast?”

“Tak minum kat rumah tadi?”

“Saya jarang minum di rumah, tak boleh makan pagi-pagi. Kan dah biasa minum pukul sepuluh?”

“Itu zaman sekolah, rehat pukul sepuluh.”

“Sekolah kan mendidik? Saya terdidik sampai sekarang.”

Shaza senyum mengerling senda Zafran.

“Nak air tak? Saya ada air kosong dalam laci.”

Zafran geleng. “Saya nak makan pulut serunding.”

Shaza terkedu, itulah makanan kegemarannya sejak zaman kanak-kanak. Zafran sering membelinya dari Makcik Besah, penjual nasi lemak di hadapan sekolah mereka. Dimakan Shaza bersama air susu dalam kotak. Kuih pulut serunding tiga ketul seringgit dikongsi mereka berdua, kadang-kadang bersama Enna juga.

“Dah lama saya tak makan pulut serunding macam dulu.” Sendu Shaza mengenangnya, tiba-tiba dia rindu benar.

“Saya selalu makan. Bila rindu awak, saya akan cari kuih tu.”

“Sekarang nak rindu apa lagi? Saya dah tercongok di sini, kenapa teringin nak makan?” Shaza tidak mempercayai kata-kata Zafran bila merinduinya pulut serinding jadi penawar.

“Sekarang tak rindu lagi, tapi saya nak ianya come back.

Shaza mengeluh perlahan, direnung Zafran lama. Zafran menampan hanya seketika, tewas lalu bangun meninggalkan bilik Shaza. Shaza membiar, bernafas dalam dilepaskan perlahan. Berusaha tidak mengenang masa lalu tetapi itu juga yang terkenang dan dikenang Zafran. Berusaha tidak lagi menyimpannya di dalam hati namun, tidak pernah dia keluar meski sedetik. Zafran juga akui itu, berbilang tahun berlalu, gadisnya kekal di situ katanya. Shaza rimas benar dengan perasaan sendiri, benci benar punya momen silam bersama Zafran. Dikuatkan hati, mahu melupa semua. Bingkas dia dengan semangat pagi mahu menumpu kepada kerja, kerja dan kerja. Dia membuka emel, mencari-cari emel kiriman Rusman.

Sudah tiga hari papanya ke Singapura membawa proposal yang dilakar dan diolah bersama Zafran, mereka sudah berusaha disamping berdoa, selebihnya terserah Tuhan, itu kata Rusman sebelum berangkat. Berbanding Zafran, Shaza lebih berharapkan kejayaan di sana kerana itu usaha pertamanya sejak menyertai Creative Advertising. Itu juga berupa idea dan kerja kerasnya.

Emel Rusman dibuka, tetap juga cerita semalam. Pembentangan sudah dilakukan sebaik mungkin, penal penilai masih mengkaji dari pelbagai sudut. Supuluh syarikat berentap mendapatkan satu projek besar itu. Kesemuanya punya harapan tinggi kerana semuanya berprestasi bagus sejak bertahun-tahun, sebut harga juga seakan-akan tiada beda, yang akan dipilih mereka kini adalah kelainan idea dan relevannya dengan produk juga masa kini. Shaza disuruh berdoa terus dan pasrah dengan sebarang kemungkinan.

Lagi Shaza menghela nafas panjang dan dalam, sesak sungguh.

Kalau aku gagal kali ni, Adam akan terus-terusan memandang rengah aku. Dia pasti mengulang ayat lamanya, “kalau hanya bersandarkan anak papa tapi tak mampu menggalas tanggungjawab dan tidak mampu buktikan kebolehan, Creative Advertising akan berasa semak kehadiran you.” Pedas dan panas sungguh ugutan Adam, sangat mencederakan perasaan. Shaza berdendam pada setiap kata-kata Adam, dan demi dendam itu dia mahu membuktikan dia mampu.

Bagaimana kalau papa pulang membawa berita kosong? Hah! Shaza bungkam terus.

Aku bukan sahaja memburukkan reputasi aku di mata Adam tetapi juga akan mengecewakan papa, mama dan… Dia menoleh ke arah bilik Zafran. Tidak kelihatan lelaki itu kerana sesendeng plastic di dinding cerminnya masih bertutup rapat.

Kegagalan papa juga akan mencemar nama aku di hati Zafran. Itu yang paling ditakutinya.

Tetapi mengapa aku harus takut pada dia? Bukankah aku tidak mahu bersaing dengan Elsa, Zafran sudah dia punya tetapi mengapa aku masih mahu menunjuk yang baik-baik, yang bagus-bagus pada Zafran? Mengapa Shaza? Shaza menongkat dahi dengan dua tangan, siku ditekan di meja. Jika ada yang melihat dia, pasti percaya dia sedang dalam keadaan sangat tertekan.

Subhanallah, ya Allah. Tenangkan hati hambaMu ini, tabahkan aku. Aku mahu setabah dahulu, di zaman kanak-kanak di sisi nenek. Berdoa dia di dalam hati. Sedar kebodohon sendiri melayan tekanan dengan cara itu, Shaza bingkas. Berdoa ada caranya, bentaknya sendiri seraya pergi.

Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.