Sudah lebih satu
jam Zafran di bilik Shaza, berbincang projek baru mereka. Dia tidak memanggil Shaza ke biliknya kerana
dia berasa bersalah terhadap Shaza dan merancang mahu memujuk. Sambil berbincang,
Zafran tidak habis-habis mencuri riak suka duka wajah Shaza. Gadis itu bersahaja tanpa reaksi cemburu,
benci, marah atau gembira berita yang baru didengarnya.
“Za, cakaplah
sesuatu pasal semalam.”
“Pasal apa?”
Zafran mengeluh
perlahan.
“Sebenarnya pertunangan
kami dirancang papa awak, demi menjaga maruah keluarga.” Tanpa menutup fail yang masih terbuka di
atas meja Shaza, Zafran sudah tidak sabar.
“Sebelum ini Ell
nakal. Malas belajar dan gemar menghabis
masa bersama rakan sebaya.”
“Ohw.” Shaza angguk-angguk, tidak langsung menunjuk
rupa ingin tahu selanjurnya. Seakan
cukup apa yang dicerita Zafran.
“Saya kawan baik
Adam, Adam bawa saya masuk ke company
ni. Saya dilayan baik keluarga awak, selalu
ke rumah orang tua awak, selalu juga temankan Ell untuk ke mana-mana.”
Shaza angguk
lagi, sambil menyemak-nyemak dokumen dalam fail dia mendengar teliti meski
kurang berminat penjelasan Zafran.
“Asalnya saya
nak bantu mama papa awak sebab nak balas budi, tapi akhirnya…” Zafran seakan kehilangan ayat akhir,
tercari-cari perkataan sesuai gayanya.
Shaza senyum
hampir tertawa. “Dan, akhirnya awak
jatuh cinta pulak?” dia menyambung
sambil tertawa.
“No, bukan macam tu. Awak tak faham Za.”
“Zafran, tak ada
kepentingannya sama ada saya faham atau tidak.
Hal itu tak ada kaitan dengan saya kan?”
“Ada.” Zafran angguk bersungguh-sungguh dan
bersungguh-sungguh mahu Shaza mencampuri.
“Ada.”
“Ada?” Shaza senyum, berkerut juga dia dalam usaha
menyembunyi rasa cemburu yang sudah tumbuh.
“Saya sayang
awak, Za.” Serius benar dia. “Dulu, kini dan akan selamanya sama.” Lancar disudahkan hanya dengan satu nafas
seakan sudah dilatih lama lidahnya.
Shaza tertawa
besar, mata bersinar panas merenik membasah.
Disembunyikannya.
“Hai, busy ke?” tanpa dijangka Elsa muncul di pejabat
Shaza. Hanya sekali ketuk serentak
ditolak dari luar, Elsa sudah terkedek-kedek masuk. Manja dan menggoda. Memang begitu sikapnya, boleh atau tidak
menyemak dia tidak mahu tahu. Nadia
sudah puas bernasihat supaya bersopan dan hormati privacy orang lain. Dia faham dan mahu
menurut tetapi di setengah-setengah waktu, dilanggarnya juga lebih-lebih lagi
jika yang melibatkan Zafran.
Zafran menoleh
Elsa, Shaza mengambil kesempatan mengering matanya. Senyum dia manis menyambut.
“Hai sis.”
“Hai.” Shaza berpura-pura ramah menjawab sapaan
Elsa. “Dari mana?”
“Rumah.”
Shaza hanya
angguk, tidak ada lagi yang mahu ditanyakan.
Segalanya masih janggal, kekok benar.
“Abang, makan
jom?” Elsa sudah memegang bahu Zafran
yang masih duduk di kerusi asalnya.
Shaza sekali
lagi berpura-pura berkemas meja, tidak mahu melihat rupa Zafran dalam keadaan
malu diperlakukan semesra itu oleh Elsa.
Zafran pula pantas membaca waktu.
“Belum sampai
waktu makan.”
“Ala, Ell
lapar.”
“Dari rumah,
tapi datang sini mengadu lapar? Kat rumah tak makan ke?”
“Ah, mama masak
pedas.”
Zafran pandang
Shaza, Shaza senyum angkat kening.
“Abang sibuk,
belum habis discuss dengan kakak.”
“Oh ya?” Elsa menjengah-jengah di atas meja Shaza yang
berselerak fail-fail dan kertas-kertas. Shaza dan Zafran membiarkan. Dia angguk-angguk faham.
“Akak, boleh tak
abang keluar makan sekarang?”
“Your darling is my boss. Terserah dia.”
Elsa renung
Zafran yang berpura-pura sibuk melakar dan menulis. Elsa cuit bahu Zafran, Zafran mendongak. Elsa memberi isyarat bisu mengguna kepala dan
mata, meminta Zafran menemaninya.
“Abang sibuk
lagi, tak siap kerja nanti papa awak marah. So
kalau lapar sangat, Ell keluar makan apa-apa dulu untuk alas perut, siap kerja
nanti abang dengan kakak temankan Ell. Ok?”
manis dia memujuk, Shaza tidak mempeduli. Terus tekun dengan kerjanya,
menjaga juga rentak hati yang kian berdegup sakit. Ngilu benar melihat kemesraan pasangan
bertunang itu dan pedih benar melihat layanan istimewa Zafran ke atas adik
tirinya.
“Ok. Ell
jalan-jalan dulu and booking meja.”
Zafran angguk
bersungguh-sungguh. Elsa tidak menunggu lama, terus keluar meninggalkan Zafran
dalam kebingungan.
“Abang.” Shaza mengejek perlahan tersenyum mengusik. Tidak berniat bersenda, mengusik Zafran juga
tidak tetapi entah kenapa ringan benar lidahnya. Benci.
Zafran tidak
mempeduli, berpura-pura tidak mendengar.
Shaza masih merenung Zafran, berusaha senyum semanis mungkin tetapi dia
sendiri merasa getarannya, lenguh senyum dalam keadaan memaksa diri. Zafran sedar dia sedang dimamah Shaza,
berhenti dengan kerjanya lalu menampan renungannya. Shaza semakin memanis senyum.
“Kenapa?”
“Tak ada apa. Saja nak senyum, tak boleh?”
“Bukan tak
boleh, tapi senyum awak tu macam ada yang tak kena.”
Shaza terus
tertawa perlahan, tertunduk-tunduk dia menghenjut-henjut penyandar kerusi.
“Sebenarnya
banyak yang awak tak tahu, Za.” Sendu
bunyinya diiringi keluhan berat.
“Macam yang saya
katakan tadi, tak ada kepentingannya sama ada saya tahu atau tak tahu.”
“Macam juga yang
saya katakan tadi, awak memang kena tahu sebab saya sayang awak. Walaupun awak membuang saya, tapi dalam hati
saya tetap ada awak.”
“Saya tak pernah
membuang awak, Zaf. Bukankah awak yang
nak sangat tinggalkan saya sebab saya tak ada apa-apa. Saya tak layak untuk awak, kalau kita
teruskan perhubungan kita awak akan terus mundur, gagal dalam kehidupan.”
Zafran terlopong
mendengar luahan Shaza, tidak faham nota terakhir apa yang dimaksudkan Shaza
namun, Shaza tidak mahu memperpanjangkannya sebab katanya dia faham, bercinta
diusia semuda mereka memang banyak keburukan dari kebaikan. Kerana itu dia pasrah, redha ketentuan
Allah.
“Memang berpisah
lebih baik dari terus bercinta-citaan.
Selepas putus cinta baru saya sedar betapa pentingnya pelajaran
sebab saya nak buktikan pada awak, saya tak tewas. Saya juga mampu hidup tanpa awak. Waktu bercinta dengan awak, saya berlajar
sebab nenek suruh belajar, sebab nak bersama awak buat ulang kaji. Tak ada langsung semangat untuk berjaya. Syukur kita bertindak bijak dengan memutuskan
perhubungan bodoh kita.” Puas rupanya
Shaza dengan keputusan mereka.
“Ya, itu benar. Kita tersilap, mentah sangat berangan-angan
membina mahligai di bulan sedangkan rumput pun kita tak habis hitung lagi. Tapi saya tak pernah menghina awak Za. Tak pernah.”
“Sudahlah Zaf,
semua tu dah berlalu dah. Tak penting
lagi untuk kita kenang.”
Zafran angguk
bersungguh-sungguh. “Yang penting adalah
sekarang dan akan datang. I still love you. Itu yang penting.”
“Eh, awak tak
takut ke kut-kut Tuan Rusman awak pasang cc tv di sini? Awak sudah menduakan
anaknya.” Berbisik bersenda.
“Awaklah anaknya
yang sah.”
“Oh, kerana saya
anak bos awak yang sah, maka awak nak berpaling tadah? Nak tinggalkan anak
tirinya dan menggoda anak kandungnya?”
“Za!” Zafran sudah tidak terkawal emosi. Dia memegang kemas tangan Shaza yang
berlunjur di atas meja.
“Hei! Jaga
sikit.” Shaza menarik tangannya,
keras. Kerusi juga ditolak dengan kaki
menjauh dari meja.
Zafran kesal,
angkat tangan berupa bersalah dan mengalah.
Memohon maaf berkali-kali.
“Jangan anggap
saya sehina itu, saya cintakan awak sebelum tahu siapa awak dan cinta saya tak
pernah mati.”
“Okay, okay. Saya percaya dan saya faham. Baik kita jangan membincangkan soal hati dan
perasaan di pejabat ini okay? Di sini
tempat untuk berkerja, kita dibayar gaji untuk berkerja bukan untuk berpuisi
cinta.” Shaza senyum mengusik Zafran
yang tampak tegang, serius dengan perasaannya.
Zafran bingkas,
hanya satu fail sempat diambil, dibawa bersama.
Tanpa berkata apa-apa dia meninggalkan bilik Shaza dalam keadaan
terguris dan kecewa benar, rajuk lelaki membuah kesal di hati wanita. Shaza terhenyak, kesal mencederakan
Zafran. Dia sedar kata-katanya mungkin
melukakan tetapi niatnya hanya untuk bersenda.
Tidak langsung mahu menghina.
Tepat jam satu
tengah hari Rusman muncul di bilik Shaza, mempelawanya keluar makan bersama.
Shaza tidak menolak kerana mahu mengelak dari keluar makan bersama Zafran dan
Elsa yang sudah dijanjikan. Tergesa-gesa
dia mencapai beg tangan dan menarik Rusman pergi. Rusman terpinga-pinga, Shaza
memberi alasan dia terlalu lapar.
KEBETULAN Shaza
dan Rusman juga memilih tempat makan sama dengan Elsa dan Zafran. Hanya berselang satu meja, Elsa menempah
untuk dia dan Zafran. Apabila ternampak
Shaza dan Rusman sudah bersedia di meja mereka, Elsa membuat keputusan untuk
berkongsi meja sahaja. Zafran terpaksa akur.
“Ell dari
mana?” lembut gaya Rusman menyoal.
Shaza memerhati
gaya manja Elsa dan cara Rusman memanjakan anak tirinya.
“Dari rumah,
mama masa pedas. Ell tak ada selera.”
“Kenapa tak
cakap dengan mama, nak makan apa? Ni keluar ke sini ni mama tahu tak?”
Elsa angguk,
manja benar dia pada Rusman. Zafran
hanya diam, terus menjamu seleranya yang langsung tidak bernafsu tengah hari
itu.
“Lain kali
jangan ganggu orang berkerja. Lepas
waktu pejabat atau hari cuti boleh jumpa Abang Zaf. Hari kerja tak boleh.”
“Ini kan lunchtime
apa salahnya?”
“Kadang-kadang lunchtime
pun staff papa sibuk. Dari pukul lapan pagi sampai lima petang
mereka dibayar gaji. Jadi, waktu itu commitment mereka kena sepenuhnya.”
Elsa mencebik
benci, diam tidak membantah. Makan dan
minum tanpa mempeduli Shaza di sisi Rusman.
Sesekali dia meletak makanannya ke dalam pinggan Zafran dan sesekali
mengambil dari pinggan Zafran langsung tidak menunjukkan silu. Zafran membiar,
sesekali dia mengerling Shaza dan sesekali tersenyum kepada Rusman.
“Sha macam mana
kerja? Okay?” Rusman beralih kepada Shaza.
“Okay.”
“Tak ada
masalah?”
Shaza geleng,
senyum memandang Rusman di sebelah.
Rusman angguk, gembira.
“Perhubungan
dengan Abang Adam?”
“Okay, Abang
Adam baik, sedia bagi tunjuk ajar.”
Sewaktu menuturkannya, dia mengerling Zafran. Kelihatan Zafran tidak mencampuri.
“Kalau ada
apa-apa masalah jangan simpan, kita boleh bincang. Abang Adam memang keras sikit, tapi hatinya
baik. Kalau Sha tak selesa dengan abang,
berbincang aja dengan papa atau Zaf.”
Shaza angguk
faham.
“Zafran, tolong
tunjuk-tunjukkan Sha ya?”
Zafran angguk,
perlahan menyebut insyaallah.
“Ell pulak bila
nak mula kerja?”
Elsa kaget, dari
tidak mahu mencampuri namanya disebut pula dan tiga pasang mata menempat di
wajahnya.
“Bila nak stat
tunjuk kebolehan? Belajar dah tamat dah.”
“Ala,
nantilah. Penat berlajar pun tak hilang
lagi.”
“Lagi berehat
lagi penat, lebih baik terus pergunakan ilmu yang dipelajari.”
Elsa mencebir,
terus melayan selera. “Mama upah papa
cakap macam tu ya?”
“Tak.” Rusman geleng, sudu dan garfu sudah diletak
di dalam pinggan. Hanya merenung Elsa.
“Ayat papa
dengan mama sama aja, cuma iramanya saja tak serupa.”
“Mama dengan
papa kan sehati sejiwa dan kami mahu yang terbaik untuk anak-anak.”
Elsa diam, hanya
dengusan nafas sedikit keras kedengaran.
Shaza tidak mencampuri, Zafran juga membiar.
“Papa dah
sediakan tempat untuk Ell, bila-bila Ell rasa bersedia, terus beritahu papa.”
Angguk Elsa,
puding pencuci mulut disudunya mengguna sudu kecil lalu dihulur ke mulut
Zafran. Zafran mengelak, menggeleng perlahan.
Malu dia diperlakukan begitu di hadapan Shaza dan Rusman. Shaza tidak
mempeduli mesti sakit sudah sekeping hatinya, Rusman pula memerhati dengan mata
hati.
“Tak nak?” Elsa tidak berpuas hati.
Zafran geleng.
“Kenapa?
Bukankah abang suka puding ais krim ni?”
“Kenyang sangat
dah.” Zafran beralasan.
“Owh, okay.”
Cara Elsa seakan
sengaja mahu Shaza tahu selalunya Zafran tidak menolak disuap, Shaza faham.
Mahu saat itu Zafran ditujah dengan garfu yang dipegangnya tetapi ditahan. Dia sekadar benci sendiri.