Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
220,004
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 11

KALI ke dua dia ke situ selepas 5 tahun ditinggalkan. Masih sama, itu komennya sebaik jejak di tanah perkuburan Islam, destinasi pertama sebaik sampai. Tidak sukar mencari pusara Nek Piah, duduk dia di situ lebih setengah jam membaca surah yassin dan berdoa. Mohon Allah memelihara roh arwah dan meletaknya di kalangan hamba-hambaNya yang terpilih. Dia tidak menyalahkan Nek Piah memisahkan dia dengan Rusman, dia menganggap itu adalah takdir. Pemikiran orang lama sering menganggap ibu tiri terlalu jahat, isteri ke dua merenggut kasih sayang ayah dan anak. Dalam masyarakat, suami yang sepantasnya menukar pusara isteri dengan isteri baharu dianggap tidak setia, tidak sabar dan beralih kasih. Nek Piah beranggapan begitu dan menyangka perhubungan Nadia Rusman sejak Sharifah dalam keadaan sakit. Shaza faham dan menyokong kebimbangan Nek Piah, yang mungkin silap adalah Rusman kerana tidak berterus terang mengapa dia mesti mengahwini Nadia sebaik isteri meninggal dan Shatiah menangguk di air yang keruh. Sementelah tidak berzuriat kerana tidak berkahwin, dia memonopoli anak saudara dijadikan anak sendiri.

Tapi kasihan juga emak, kekal anak dara sampai tua, gara-gara menunggu papa. Tapi mengapa harus ditunggu papa sedangkan papa sudah berkeputusan berkahwin dengan mama. Mengapa juga emak menyukai sangat papa sedangkan papa adalah bekas suami adiknya. Banyak yang difikirkan Shaza sehingga tidak sedar kaki sudah jejak di bawah pohon buah bidara. Senyum dia mendongak, merenung teduhan yang merimbun. Di situ mereka berjanji setia memeterai janji cinta monyetan bersama. Berpantun dia di dalam hati.

‘Nasi lemak buah bidara,

sayang selasih hamba lurutkan,

tinggal emak tinggal saudara,

kerana kasih hamba turutkan.’

Tersenyum Shaza menghambiskan serangkap pantun itu. Jelek dengan ungkapan hanya kerana kekasih maka emak dan saudara ditinggalkan. Siapa mencipta patun begini? Mendongak lagi Shaza merenung celah-celah dahan pokok. Sudah lama tidak dilihat buah pokok itu yang pernah melebat dan ranum menjadi hidangan burung-burung. Shaza juga gemarkannya, sambil makan bersama Zafran mereka akan berpantun.

Tapi saya tidak meninggalkan emak dan saudara saya hanya kerana kekasih. Teringat dia perbualan mereka lama dahulu. Dan Zafran bersetuju.

Saya juga tidak akan meninggalkan keluarga saya hanya kerana kekasih saya, sebaliknya saya akan mempengaruhi mereka menyukai apa yang saya suka. Saya akan bawa mereka sekali bersama awak.

Hampir tertawa Shaza sendiri mengenang janji si budak muda itu. Muda usianya tetapi matang akalnya tetapi tidakkah berasa janggal mengalun irama cinta di usia semuda belasan tahun? Shaza menggeleng perlahan, manis senyumnya.

Dulu aku tak terasa janggal, tak terasa muda benar untuk bercakap fasal cinta, berjanji setia, membina angan-angan bersama. Bodohnya aku dan dia. Bodoh benar. Senyum lagi dia mentertawakan kebodohan diri di zaman remaja. Dia mencari ukiran nama yang dipahat bersama.

ZAF / ZA

Semuda 14 tahun dah bijak menyebut kata-kata cinta? Melakar pelangi, impikan mendiri rumah tangga di tapak kasih sayang berdua. Tanpa sedar tertawa dia perlahan. Lama bibirnya beranak senyum.

Bodoh betul Shaza. Menggeleng dia perlahan, masih tersenyum.

Apa itu cinta? Sayang? Sebab aku hanya ada Zafran sebagai sahabat karib, bersedia bersenang susah bersama aku. Melindungi aku sewaktu aku dihina, si miskin cucu dagang merempat. Mengeluh dia, serius pula lagi marah pada diri sendiri. Titis air matanya mengenang jerih Nek Piah mengendung nasib diri, mengharung kepayahan menyara dua anak dan kemudian cucu. ‘Hah, nenek….’

“Malukah jadi manja nenek? Jadi anak angkat emak saudara pun malu?” sendiri bertanya sendiri menuduh diri bodoh, dia masih menghadap tulisan di batang pokok. Sedikit mendogak dia, pahatan nama sudah semakin meninggi.

“Assalamualaikum.”

Sepantasnya Shaza menoleh, terbang semangatnya kaget benar disapa satu suara lelaki dari arah belakang. Dada digosok perlahan, berdebar dia.

“Maaf membuat awak terperanjat. Tekejut ke? Sorry.” Berkali-kali dia memohon.

Shaza senyum mengurut dada lagi. “Mujur tak kena heart attack.” Tertawa perlahan.

“Ingat siapa? Hantu?”

Shaza tertawa lagi, dia sudah membelakangkan batang pokok, bersandar.

“Bila balik?”

“Baru aja, tak sampai rumah lagi. Selepas ke pusara nenek, saya ke sini ambil angin.”

Zafran angguk, sudah duduk di atas batang pokok tumbang berhampiran pokok buah bidara.

“Tempat ini masih sama walaupun sawah dah jadi kebun rumput, lalang. Dah tak ada orang nak usahakan sawah padi.”

“Orang tak makan nasi dah?” masih mahu bersenda.

“Dah ditukar kepada makanan lebih berkhasiat. Tu, ternakan kambing.” Zafran menunjuk padang ragut berhampiran mereka dengan memuncung. Sawah padi sudah ditukar menjadi tempat kambing ternakan meragut makanan.

“Ternak kambing, jual. Beli beras, masak nasi, sembelih kambing untuk makan sekampung. Kan untung?” Shaza pula berpendapat.

Zafran angguk. “Balik berapa hari? Za tak aply cuti pun?”

“Memang tak cuti dan tak bercadang nak balik. Tiba-tiba subuh tadi rasa rindu emak, teringat dekat nenek.”

“Bukan rindu tempat ni?” Zafran menduga, tersenyum dia mengerling Shaza.

“Tempat jatuh lagi dikenang inikan pulak tempat saya dimanjakan. Kampung ini kekal di hati. Sejak usia 2 tahun saya di sini, dibesarkan dengan kasih sayang.” Sendu pula dia, Zafran memerhati.

“Pokok ni tak rindu?” Dia mendongak, merenung ukiran nama. Senyum. Shaza mengikut panahan Zafran, turut senyum.

“Dah tinggi.” Zafran tidak menunggu pertanyaannya dijawab, membiarkan tergantung.

Shaza angguk, senyum juga. “Kita pun dah besar, dah tua, tak kan pokok tak tinggi-tinggi.”

“Pokok terus membesar makin berubah tetapi Za macam dulu jugak.”

“Pembesaran manusia tak macam pokok.” Tertawa lagi dia.

Perbalahan semalam sudah dikuburkan, mereka sudah berjanji untuk melupakan kisah silam, biar masa menentukan sama ada mereka berjodohan atau sebaliknya. Pada dasarnya Zafran akur, berserah dia kepada takdir Allah asalkan Shaza tidak menolak dan membuangnya, dia selesa menjadi rakan sekerja dan saling memahami.

“Kalau ikut pembesaran pokok, gayat pulak tengok kaki, kan?” Zafran berlawak bodoh membuat Shaza tertawa besar. Dia menutup mulutnya tersedar tawa melantun kuat.

“Saya sentiasa berdoa agar Za saya tidak meninggi lagi walaupun kini dah jelas dia anak usahawan yang kaya raya. Saya pulak berkerja di pejabat bapanya.”

“Usah bimbang, tidak akan mungkin kita menyentuh awan walaupun hidung tinggi mendongak. Saya tetap berpinjak di bumi yang sama.”

“Alhamdulillah, mudah-mudahan. Eh, balik hari ni jugakah?”

“Esok.”

“Samalah, saya pun balik esok tengah hari.” Zafran mengeluar telefon bimbit dari poket seluar, dibelek mungkin ada pesanan ringkas penting yang terlepas pandang, disimpan semula.

“Kita balik sekali?”

Shaza berkerut “kereta saya nak letak atas bumbung kereta awak?”

Zafran turut tertawa. “Konvoilah.” Dikerlingnya Shaza, sudah semakin mesra mereka sejak akhir-akhir itu dan semakin gemar usik mengusik, persis lama dahulu.

“O, okay. Konvoi.” Shaza angguk-angguk.

“Lain kali kalau nak balik sini, kita gerak bersama, satu kereta. Dapat jimat duit minyak dan tol.”

“Ell tak cemburu ke?”

Berkerut kening Zafran, lama Shaza direnungnya. Shaza pula kesal menyebut nama itu sedang mereka berbual bukan berkenaannya.

“Mengapa awak menyangka Ell akan cemburu? Saya dan Ell tak ada apa-apa yang istimewa. Dia adik awak, kan?”

Shaza tertawa. Angguk lagi berpura-pura. “Sorry, marah?”

Zafran geleng, tampak kesal disangka bercinta dengan Elsa.

“Awak balik seorang ke dengan parent?” Shaza mahu mengubah perbualan.

“Seorang. Orang tua saya mana ada masa nak balik kampung. Tapi selepas bersara nanti abah dengan emak akan menetap di sini. Nenek tu dah rindu nak duduk dekat sini semula, siang malam merengek.”

“Oh ya? Dah lama tak jumpa nenek.”

“Nanti datanglah melawat nenek dekat rumah saya. Nenek pun selalu sebut nama awak, tanya awak di mana, macam mana wak sekarang.”

“Oh ya? Macam cerita rekaan aja?” Shaza senyum menyindir.

Zafran mengerling, marah dianggap berbohong. Shaza senyum juga, angguk dia perlahan berpura-pura percaya omong Zafran.

“Nenek sihat?”

“Alhamdulillah, sihat orang tua-tua.”

Shaza angguk lagi, terkenang nostalgia lama memang memedihkan, sakit benar namun berdendam tidak sekali-kali. Berharap dia agar satu hari yang keruh akan jernih, bukan untuk menyambung perhubungan dia dan cucu nenek itu tetapi sekadar saudara sekampung dan orang yang pernah berbudi kepada dan keluarga meski tiada keikhlasan.

“Saya minta maaf bagi pihak orang tua saya. Maafkan mereka Za.”

“Zaf, kita kan kawan? Nenek sudah saya anggap macam nenek saya.”

“Betul?”

Angguk Shaza meski sendu, menyembunyi benci dan sedih juga.

Zafran mengeluh perlahan, sedikit keruh wajahnya. “Awak dan saya dah macam langit dengan bumi.”

“Zaf, hei. Apa melalut ni? Saya macam dulu jugaklah.” Dia mencapai ranting kering berhampirannya lalu dibaling kepada Zafran, mengena bawah telinga Zafran.

Zafran tersentak sakit. Dipegang tempat balingan Shaza, tempat balingan menerbit luka yang tidak dalam, hanya calar di kulit tetapi merenik darah. Meski tidak parah, dik putihnya kulit Zafran, tampak berkesan benar. Shaza panic. Menyesal melakukan kekasaran yang tidak disengajakan.

“Zaf sorry.” Tergesa-gesa dia mengeluar tisu dari dalam poket sisi dress, dihulur kepada Zafran.

Sorry ya?”

“Dulu awak tak pernah sakiti saya…” dia berpura-pura sedih perbuatan Shaza ke atasnya. Berdrama, sudah lama tidak mengusik gadis itu.

“Zafran, saya tak sengaja.” Shaza kesal keterlanjurannya. Sudah duduk dia di sisi Zafran, hampir.

Zafran gelisah, berasa janggal berhampiran. Tertawa dia seraya bangun, masih menekan tisu pada kesan calar di bawah telinga. “Sikit aja, saya saja main-main.”

Sorry ya? Tangan saya jahat.” Shaza masih menunjuk rupa kesal.

“Tak apa, inilah tanda mesra.” Zafran sudah meramas-ramas tisu lalu dibuang. “Dulu hati saya terluka, darahnya tak nampak. Biarlah sekarang awak nampak darah yang sikit ni.”

Shaza berkerut, tidak faham bentuk falsafah Zafran. Zafran pula membiar Shaza berfikir teruk.

“Bila saya melukakan awak? Bukan awak ke yang menghina saya, mintak putus?”

Zafran mengeluh, tidak mahu suasana gembira itu bertukar tegang.

“Jom, dah petang ni. Dengar cerita tempat ni dah berhantu.”

Shaza tertawa perlahan, nakal Zafran masih sama, bisiknya sendiri. Masih juga dia merenung calar di bawah telinga Zafran. “Awak tidur dekat mana malam ni?”

“Rumah nenek.”

“Tak ada orang?”

“Saya bukan orang?”

Shaza berlecit, mengerling marah dipermainkan. Zafran tertawa perlahan.

“Saya selalu balik, Sabtu dan Ahad. Kadang-kadang bawa nenek sekali, jadi rumah tu tidaklah usang. Rumah yang tinggal dalam seminggu ke dua minggu, hantu tak duduk.”

Shaza tertawa lagi.

“Saya tak pernah tinggalkan terus kampung ini dan setiap kali balik sini, saya mesti jengah pokok ni.” Sendu intonasinya diiringi keluhan longgar. “Saya jaga jangan diapa-apakan.”

“Enna kat mana sekarang?”

Zafran berdebar sendiri sebaik mendengar nama itu disebut. Dia menjungkit bahu memberi maksud tidak tahu di mana gadis itu. Dia tidak mahu Shaza tahu perhubungan mereka dahulu dan kini.

“Saya rindu perhubungan kita macam dulu.”

Zafran diam terus, mengerling cuma. Memerhati wajah kusam Shaza.

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.