Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
220,017
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 30

“Encik Adam saya nampak dia keluar pukul sebelas tadi, ada appointment kut. Encik Zafran dah keluar lunch.”

Lunch?”

Lisa angguk yakin benar. “Saya dengar dia bercakap di hand phonenya tadi sewaktu masuk lif. Ada janji dengan kawan kut.”

“Oh ya ke?” Shaza berpura-pura puas hati jawapan Lisa, angguk dan berundur.

“Cik Sha tak nak lunch ke?”

No,”

“Nak kirim?”

“I puasa.” Tiba-tiba dia berasa kecil hati diabaikan Zafran, diketepikan untuk hari yang ke dua itu. Sudah kembali dia ke kerusinya, lampu bilik sudah digelapkan sama seperti lampu di luar bilik, sesendeng yang menabiri dinding cermin ditutup rapat. Dia mahukan privacy untuk waktu itu, tidak mahu dilihat sesiapa.

Shaza bersandar kemas, kepala turut disandar pada penyandar kerusi, dipusing membelakangkan pintu masuk. Kaki dilunjur ke atas tong sampah yang bertutup, dipejamkan matanya. Untuk beberapa detik dia nyaman begitu, tenang dan aman namun, tiba-tiba berasa hiba pula. ‘Kenapa? Apa salah aku?’ hah…. Dia memusing kerusinya, frame gambar di atas meja dicapai, direnung lama akhirnya dibawa berpusing sama. Dia kembali kepada kedudukan sebelumnya, melunjur kaki ke atas tong sampah, dipeluk frame gambar dia bersama orang tuanya.

‘Sha rindu ibu.’ Dari rasa dipinggir Zafran dia terpanggil merindu Sharifah. Rapat mata dipejam, dibiar air suam merenik lalu membolos kelopak mata. Meski rapat namun, menitis juga beranak sungai di pipi. Tidak dipedulinya, biar. Dia mahu sepuasnya melayan perasaan.

Terasa ada hujung jari dingin menyentuh pipi yang basah, hanya satu jari terasa, dibiarnya, masih belum puas melamun membayangkan diri sedang dibujuk ibu. Dalam angannya Sharifah sedang memujuk dengan kelembutan keibuan dan kasih sayang, kepingin melentuk menumpang di dada ibu, mendengar degum jantung yang pasti mendendang irama puisi senandung kasih ibu tetapi mengapa bau wangian ibu macam…

Shaza membuka mata, mendongak dia. “Hah!” pantas kaki yang berlunjur dijatuhkan, ditolak kerusinya menjauh, laju kerusi meluncur ke belakang.

“Bila you masuk?” kaget benar dia, seakan mahu memarahi dikejutkan begitu.

Sorry, Lisa kata awak puasa. Jadi saya syak awak tidur di sini. Sengaja saya tak nak kejutkan awak.”

Shaza membetulkan duduknya, air mata dikesat keras berkali-kali, frame gambar diletak di atas meja. Zafran menghulur tisu yang dicabut dari kotak di sudut bilik. Lampu turut dipasang, terang seluruh bilik menampakkan mata Shaza yang masih basah dan pipi yang memerah.

“Kenapa Za?” kedengaran merdu benar.

Shaza menggeleng, semakin ditanya dia semakin sebak, sudah tidak tertahan, berpusing dia mengelak dari renungan Zafran. Zafran mengambil kotak tisu, dihulur kepada Shaza. Shaza mencabut banyak tisu, dikeromot-keromot, ditekap ke mata. Zafran membiar. Setelah puas, dia mengayuh kerusinya menghampir tong sampah, Zafran membantu memijak paddle tong bagi membolehkan penutup tong sampah terbuka. Shaza membuang gumpalan tisu yang separuh basah. Tisu lain dicabut dari kotak, dikesat baki air mata yang masih bersisa di bulu-bulu mata dan pipi. Zafran membiat juga. Shaza menyedut cairan hidung, puas sudah menangis. Dikesat lagi dengan tisu lain, dibuang lagi. Dia mendongak, merenung Zafran yang setia berdiri di sisi. Tersenyum dia, kotak tisu diletak di atas meja. Zafran turut senyum, angguk.

“Puas dah?”

Shaza senyum lagi, basah lagi dalam matanya. Tertawa dia perlahan bagi mengawal tangisan lain, Zafran mencabut banyak tisu dihulur kepada Shaza. Shaza menyambut tanpa merenung Zafran, berasa malu gagal mengawal tangisan demi tangisan.

“Za, kalau awak rasa nak menangis, menangislah puas-puas. Selagi ditahan, lagi akan berasa sakitnya.”

Shaza sudah tersedan, tersedu-sedu di sebalik gumpalan tisu yang ditekop ke muka. Dibiarkan Zafran lagi beberapa detik, akhirnya Shaza benar-benar puas sudah. Dengan gaya marah dia mencampak gumpalan tisu ke dalam tong sampah. Panjang nafas ditarik, dihembus juga keras. Sudahnya dia senyum semanisnya.

“Awak pergi mana?”

Zafran sudah duduk di kerusi hadapan meja Shaza. Tepat matanya merenung Shaza.

“Jumpa kawan. Sebab itukah awak menangis teruk macam ni?” berkerut Zafran, lama direnungnya Shaza.

“Tak lah.”

“Lisa kata awak puasa, tapi pagi tadi saya nampak awak minum di sini.”

‘Hah. Bila dia mengintip aku?’ Shaza malu sendiri namun, terus keras.

“Bila masa saya minum? Saya puasalah.”

Zafran senyum, bekas air mineral yang penutupnya masih ditusuk straw tegap di atas meja, belakang labtop ditunjuk dengan memuncung.

“Puasa makan aja? Minum boleh?”

Shaza tertawa perlahan, diambil cawan air mineral lalu dibuang ke dalam tong sampah.

“Apa awak peduli saya nak puasa makan ke, puasa minum ke.” Keras tetapi sayu bunyinya.

“Merajuk?”

“Tak ada masa saya nak merajuk.” Shaza tertawa perlahan tiada nada gembira, hanya lagu tanpa irama.

“Tak rindu ke?”

Shaza berkerut merenung Zafran, tidak faham dia.

“Mana Shaza boleh rindu Zafran kan? Siapalah saya. Pungguk macam nak mati merindu bulan, bulan tertawa megah kan?”

Shaza mengeluh, berpura-pura mentertawakan peribahasa Zafran. “Sejak bila jiwang sangat ni? Bukan awak gangster ke?”

“Gangster tak ada perasaan ke? Perasaan gangster di pajak gantung?”

Shaza tertawa lagi.

“Ke mana dua hari ni, sibuk sangat ke?”

Zafran pula senyum, manis menguja.

“Dua hari ya?”

“Iyalah, dua hari awak menghilang. Sibuk benar ke? Kenapa saya tak sibuk?”

Zafran pula mengeluh, perlahan keluhannya, bersandar lelah gayanya.

“Kita keluar petang ni? Saya hantar awak balik.”

“Kereta saya?”

Zafran mencari idea. “Tinggalkan di sini.”

“Esok nak datang kerja jalan kaki?”

Zafran berdengus, menjeling nakal. “Esok nak pergi kerja saya singgah ambil awak.”

“Nak bagi alasan apa kat papa? Ingat mama tak tanya mengapa?”

“Okay, sekejap lagi saya mintak kawan pomen saya datang ambil kereta awak, bawak ke bengkel. Konon-konon kereta awak rosak.”

“Rosak apa?”

“Tak kan rosak apa pun kena repot kat mama awak kut?”

“Iyalah, tak boleh stat ke, tayar bocor ke, bateri habis ke.”

Zafran mengerling lagi.

“Jangan lupa, awak tu bakal adik tiri saya.”

“Za, cakap aja awak tak sudi keluar dengan saya. Habis cerita. Tak payah nak corner sana nak corner sini cari alasan.” Zafran sudah bangun, keras. Marah benar gayanya meninggalkan bilik Shaza.

Shaza termangu sendiri. Mengapa tiba-tiba Zafran jadi emosi.

‘Aku yang sedih diabaikan dua hari, dia pulak yang merajuk. Apa sebenarnya masalah dia?’

Shaza tidak mahu lagi mempeduli, satu persatu dokumen disediakan Lisa dibaca, disemak teliti dan ditandatangani.

Previous: BAB 29
Next: BAB 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.