Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
219,886
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 18

Bertasbih lagi dia sepuluh kali memuji kesucian dan kebesaran Allah. ‘Maha suci Allah dan segala pujian bagi Allah dan tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung sebanyak bilangan ciptaan Allah dan selama kekalnya kekuasaan Allah.’ Terangguk-angguk, tekun, khusyuk sehingga titis air suam dari tubir matanya, ikhlas memuji dan memohon, memohon dan berharap mendapat keberkatan dhuha Allah.

Sehabis bertasbih dan berzikir, beroda pula dia. Lama ditadah, bercucuran lagi air matanya. Sudah sekian lama dia tidak meninggalkan solat sunat di waktu dhuha itu malah sudah dijadikan rutin harian dia sejak di alam persekolahan. Sedang rakan seangkatan riang di kantin dan di pagar sekolah menghabis masa rehat, dia akan ke surau kecil sekolah memuji kesucian dhuha, mengharap redha Allah. Dan, seringnya dia akan terjumpa Zafran masuk atau keluar dari pintu surau lelaki dalam keadaan basah anggota wudhuknya. Bersyukur dia, dipertemu lelaki penenang jiwa itu.

Kini sudah lama meninggalkan zaman remaja dia berharap Zafran kekal seperti dahulu santunnya menemui dhuha dan dia juga mahu kekal sentiasa mencintai waktu Allah itu berserta waktu-waktu solat yang lain.

Subhanallah, mengapa masih ada nama dia dalam hati aku saat aku menghadap waktu dhuha bersama Allah? Berdengus dia sendiri, berdoa juga agar Allah membantunya melupai lelaki yang bukan jodohnya.

‘Aku mohon Engkau pertemukan aku dengan jodohku, Ya Allah. Sesungguhnya Engkau memegang kunci segala rezeki di langit mahupun di bumi dan Engkau juga penentu jodoh kami. Dengan itu, pertemukan aku dengan jodohku ya Allah.’ Diperpanjangkan doanya, berharap sehingga air mata deras jatuh.

Sehabis berdoa setelah puas memohon dan meminta, memuji dan memuja Kekasihnya, puas dia. Tiada lagi yang terbuku, berbuku juga sudah semakin terurai. Semakin pasrah tiada debaran kebimbangan lagi. Ditinggalkan kamar surau pejabat yang sepi itu, diwaktu-waktu itu memang kurang pengunjung.

Sewaktu menyarung kasut di luar surau, hah. Bertembung dia seperti lama dahulu bersama lelaki itu juga yang sentiasa basah anggota wudhuk apabila keluar dari ruang solat. Zafran lagi? Desis hatinya. Bibir mengukir senyum, dalam hati berdarah lagi.

“Assalamualaikum.” Sapanya lembut.

Shaza hanya menjawab perlahan, angguk senyum. Zafran juga tersenyum, menunggu dia selesai memakai kasut. Tenang benar seraut wajah lelaki itu, sejuk juga mata memandang.

“Sunyikan? Waktu-waktu begini?” komennya bersaing Zafran ke pejabat semula.

“Waktu dhuha panjang, so tidaklah berebut-rebut semua staff. Siapa free dan siapa mahu merebut dhuha Allah, boleh ke sini. Tuan Rusman juga sering mengingatkan kakitangannya supaya tidak melupakan waktu penting ini.”

“Oh ya ke? Alhamdulillah.”

“Awak bertuah dapat papa macam Tuan Rusman, sangat prihatin bab-bab ibadah.”

Bersyukur lagi Shaza dalam hati. Dia sungguh tidak mengetahui keperibadian papanya namun sering juga berdoa agar Rusman sentiasa seorang muslimin sejati. Tidak hanya pada nama dan status di kad pengenalan semata-mata.

“Saya tak banyak tahu tentang papa. Tapi saya berharap yang baik-baik sahaja.”

“Selain papa awak memang baik, sempurna sebagai bapa, suami dan ketua, Tuan Rusman juga muslimin sejati. Mungkin itu berkat doa anak tunggalnya juga.” Manis kerlingan Zafran mengiringi senyum yang sama seperti dahulu.

Shaza sering memuji senyum Zafran, wajah yang sedia manis, terlalu murah senyuman. Subhanallah, itu juga sebuah kurniaan untuknya. Bukan dia sahaja memuji begitu tetapi juga rakan sebaya lain, Enna juga sering memuji begitu.

“Eh, lama benar tak dengar berita Enna, awak pernah jumpa dia?”

Berkerut Zafran, lambat benar dia menggeleng, teragak-agak. Terus juga mereka melangkah seiring meninggalkan kamar solat.

“Awak balik kampung pun tak jumpa dia?”

Geleng lagi Zafran. Shaza terus singgah di biliknya, Zafran terus ke bilik sendiri. Hairan juga Shaza mengapa dia tidak singgah juga atau mengajaknya sekali lagi pergi bersarapan seperti rancangannya seawal pagi.

Merajuk barangkali. Desis hati Shaza sendiri, tidak dipedulikannya malah bersyukur Zafran tidak mengulang permintaannya kerana dia seboleh mungkin mahu merenggang dengan tunang Elsa itu. Bukan sahaja untuk menjaga perasaan adik tirinya dan pandangan orang lain tetapi juga untuk menjaga perasaannya juga. Semakin dia rapat dengan Zafran semakin pula dekat hatinya dengan lelaki itu, semakin menakutkan.

Sebaik duduk dikerusinya, terpandang dia bungkusan kuih pulut serunding berserta air susu kotak di atas meja. Tanpa sebarang pesanan tercatat di mana-mana dia membelek tiga ketul kuih itu. Senyum dia sendiri, seakan dibawa rentasan waktu menjejak momen silam. Begitu bekalan selalunya dari Zafran untuk juadah sarapannya. Tiga biji bebola pulut serunding bersama sekotak air susu sejuk. Pecah sudah selesa Shaza, terliur keenakannya. Telefon bimbit bernada panggilan, dilihat nama pemanggil. ‘Adam.’ Dia meletak semula bungkusan pulut serunding dan air susu kotak untuk menjawab panggilan. Berkerut mendengar aduan lelaki itu, angguk-angguk dan bangun terus. Kuih dan air kotak hanya beralih tempat, rancangan untuk makan dan minum di situ dibatalkan.

SUDAH mencangkung dia. Kasut dan sarung kaki Adam ditanggalkan perlahan, kaki seluar juga dilipat tinggi. Adam kekal bersandar kerusinya, mengerang kesakitan.

“You jatuh lagi ke apa ni?”

Adam geleng, Shaza mendongak melihat jawapan bisunya.

“Habis tu kenapa boleh jadi bengkak macam ni?”

“Tersepak pintu.” Adunya keanak-anakan.

Shaza berusaha menahan tawa namun tersenyum juga dia dalam tunduknya. Mahu sahaja dia mengejek lelaki gagah itu. Ego dan sombongnya entah di mana disimpan, yang jelas dia sudah seperti kanak-kanak manja yang sangat mengharap bantuan dan kasih sayang.

“Sha, abang takut.”

“Takut apa?” terus juga Shaza menyapu minyak angin di pergelangan kaki Adam yang membengkak merah.

“Entah-entah patah tak?”

Shaza sekali lagi mahu mentertawakan tetapi juga dikawal rasa itu. Dia mengerah Adam menggerak-gerakkan jari-jari kaki yang bengkak.

“Boleh gerak. Kalau patah, tak boleh gerak langsung.” Shaza memberi diagnosisnya sendiri, berlagak seperti doktor orthopaedic. Masih juga duduk di lantai di hadapan Adam yang bersandar sakit.

Pintu Adam ditolak perlahan selepas diketuk juga perlahan dari luar. Shaza tidak mempeduli, mengurut kaki Adam lebih penting dari melihat tetamu Adam yang muncul.

“Hai bro, Dora kata kaki engkau bengkak?” Zafran sudah terpacak di belakang Shaza yang duduk di lantai. Zafran tidak mengetahui Shaza ada di situ dan Shaza tidak menyangka Zafran yang masuk sehinggalah mendengar suara Zafran menyapa Adam.

“Oh, ada doktor Ortho kat sini rupanya.” Zafran sudah menarik sebuah kerusi lain, duduk di sebelah Adam, sama-sama melihat Shaza melakukan urutan perlahan.

Shaza senyum, tunjuk muka mengejek Adam yang serius ketakutan.

“Dia kata kakinya patah. Kang kalau ke hospital, kena potong ni.”

Zafran berkerut mendengar penerangan Shaza, dikerlingnya Adam yang masih serius ketakutan dalam menahan sakit. Zafran tidak berpuas hati, turun dia turut duduk di bawah. Bersama Shaza dia membelek-belek kaki Adam.

“Awak rasa betul ke patah?” berbisik dia kepada Shaza, tidak mahu Adam mendengar.

“Tak lah. Kalau patah mana boleh gerak jari-jari dia. Tadi saya suruh gerak jari, boleh. Pergelangan kaki pun boleh gerak, cuma jalan je tak boleh. Katanya dia tersepak pintu.” Shaza turut berbisik.

“Kenapa engkau sepak pintu bro? Marah siapa? Shaza?” dia mendongak merenung Adam.

“Mana pulak marah siapa-siapa. Aku nak jalan keluar, tertarik pintu laju-laju terlanggar kaki.” Adunya perlahan, kesal benar.

“Nak keluar pergi mana? Duduk baik-baik kat bilik tak boleh? Nak apa-apa panggil Dora hantarkan.”

“Nak pergi pantry.”

Shaza tertawa perlahan. “Tak habis-habis dengan pantry, kenapa papa tak buat pantry tu dalam bilik ini aja? Kan senang?” sindir Shaza terus juga menggosok kaki Adam.

Adam berlecit tidak gemar Shaza menyindirnya. Shaza tertawa lagi seraya memohon maaf dalam Bahasa Inggeris perlahan. Zafran mengerling Shaza, melarang Shaza terus mempermainkan abangnya. Dora muncul membawa air coklat panas dalam mug, diletak di atas meja. Bungkusan air batu yang dipesan Shaza, dihulur kepada Shaza.

“Apa tu?” Adam bertanya Shaza.

“Ketul ais, nak tuam.”

Adam angguk perlahan, wajah kekal keruh menahan kesakitan.

Thanks Dora.” Hanya Shaza mengucapkan, Adam terlalu berat mulut.

Dora angguk, turut melihat kaki Adam. “I rasa bukan sebab terlanggar pintu aja kaki Encik Adam bengkak teruk.”

“Habis?” Adam semakin bimbang.

“Sebab tergantung gitu. Kaki yang terseliuh kena digerak-gerakkan perlahan, exercise.”

“Tak, I terlanggar pintu tu.” Dia menunjuk pintu biliknya. “Lepas tu sakit sangat. Sebelum ni tak bengkak macam ni, kan Sha?” dia merenung Shaza.

“Pagi tadi bengkak macam ni ke?” dia tidak berpuas hati.

Shaza diam, mencari akal gayanya. “Beginilah, kita pergi hospital buat X-ray.”

“Ah. Tak naklah.” Adam menarik kakinya yang dipegang Shaza, menjerit pula dia kesakitan bertindak deras, kasar ke atas kaki yang sakit.

“Aduihhhh.” Menyeringai sakit benar dia.

“Tak bolehlah macam ni. Memang kena pergi hospital juga bro. Kalau tak nak X-ray tak apa, mintak ubah sudah.” Zafran memujuk pula.

“Cucuk tak?”

“Eh, boleh tak jangan macam budak-budak? Merengek sakit, meraung mintak ditolong tapi semua takut. X-ray takut, inject takut. Hah!” Shaza sudah berang, sudah bangun dia tangan dipinggang, bergerak mahu meninggalkan Adam.

Adam pantas menyambar tangan Shaza, tidak membenar dia ditinggalkan di situ.

“Tunggu, I tanya aja, kena inject ke?” merendah suaranya, takut garangnya Shaza.

“Tak, tapi dia akan potong lidah you kalau you meraung sakit.” Lagi Shaza meninggi suara.

Zafran sudah tersenyum-senyum, disembunyikan senyumnya tidak mahu Adam melihat. Dora sudah meninggalkan mereka bertiga, dia ada mensyuarat setiausaha katanya.

So macam mana? You nak di sini menahan sakit atau ke hospital ambil rawatan?”

Beberapa minit Adam berfikir, Zafran menunggu, duduk di kerusinya di sisi Adam. Shaza turut menunggu keputasan, bercekak pinggang berpura-pura marah.

“Sha ada kerja lain ni. After lunch ada appointment.”

“Temankan aku ya?” dia memohon Zafran.

Zafran angguk bersungguh-sungguh, paha Adam ditepuknya perlahan. Bersedia membantu memapah keluar. Shaza sudah ke biliknya mahu mengambil beg tangan dan kunci kereta, telefon bimbit juga.

Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.