Hari
ini Faris menunggu lagi di tepi pintu pagar sekolah. Dia ingin memberi sesuatu kepada
Irdina. Dia berharap benar pemberiannya ini dapat memberi suntikan motivasi
pada Irdina.
‘Mana
pulak Mawar ni? SPM dah dekat, takkan hari ni dia tak datang sekolah?’
Faris melilau di bangsal, mencari basikal Irdina. Dia tersenyum
bila terpandang basikal itu berada di tepi tiang bangsal.
‘Basikalnya
ada di sini, dah tentu tuannya masih belum pulang lagi.’
Namun melihat lampu basikal yang sudah pecah itu, timbul rasa belas
di hati. Bingkas saja mindanya memikirkan sesuatu diikuti dengan tindakan
nekad.
‘Yess.
Aku mesti lakukannya.’
Sepuluh minit kemudian, Faris tersenyum puas lantaran apa yang
diusahakan itu berhasil.
‘Mawar
Irdina! Hari ni saya bagi lampu basikal saya pada awak. Manalah tahu, esok-esok
saya bagi hati saya pula pada awak.’
Baru dia berkira-kira mahu pulang, muncul Irdina yang baru keluar
dari kantin. Ada beberapa bekas kuih juga yang diletakkan ke dalam raga
basikalnya. Irdina masih belum perasan kelainan yang terdapat pada basikalnya
itu. Dia mahu bergegas. Dua lagi bekas kuih perlu diambil di warung Mak Leha
dan Pak Diman. Irdina menjeling jam di pergelangan tangan.
‘Masih
ada lagi tiga puluh minit. Kalau lewat lagi, teruk la aku kena marah lagi
dengan mama.’
Melihat Irdina sendirian berbasikal, Faris mengayuh basikal
beriringan dengan Irdina.
“Assalamualaikum Mawar,” ucap Faris.
Terkejut dengan sapaan Faris, terus saja Irdina melajukan kayuhan.
Tapi pantas pula Faris memintasnya. Spontan Irdina membrek.
“Mawar, tunggulah saya,” laung Faris sudah tercungap-cungap.
“Awak nak apa lagi? Janganlah ganggu saya lagi. Kalau awak tak nak
susahkan saya, saya harap awak jangan ganggu saya lagi.” Kata-kata Irdina itu
membuatkan Faris terkedu.
“Hmm… Nama saya Indra Faris. Maafkan saya sebab dah susahkan awak.
Saya nak bagi barang ni pada awak. Ambillah dan saya harap lampu basikal saya
tu sesuai dengan basikal awak,” kata Faris tersenyum nipis.
Kali ini Irdina pula yang terkedu. Dia mengambil bungkusan itu.
Serentak itu anak matanya tertancap pada basikalnya yang sudah berlampu dan
basikal Faris yang sudah tiada lampu. Baru saja dia mengangkat wajah, Faris
sudah pun mengayuh basikalnya jauh meninggalkannya.
‘Indra
Faris. Maafkan saya. Saya tak boleh. Tak boleh terima awak walau hanya sebagai
kawan. Awak, maafkan saya.’
Irdina
yang sedang membaca buku menutup telinga tatkala berdesing lagi pergaduhan
Rosmah dan Haron Kebelakangan ini, rumah tangga Rosmah dan Haron retak menunggu
belah lantaran muncul orang ketiga. Iryani pula buat tidak peduli aje. Malah
dipekakkan saja telinganya mendengar lagu menerusi walkman. Sudah jelak
dia dengan situasi sebegitu.
Iryani mencebik melihat Irdina. Dia memang tidak sebulu dengan
kakaknya sungguhpun mereka kembar tidak seiras. Irdina tekun belajar, manakala
Iryani malas. Tetapi Iryanilah anak kesayangan Rosmah dan Haron. Namun Iryani
tetap mencemburui Irdina. Irdina berkulit putih dan bermata bundar. Sepasang
lesung pipit di pipi kanan Irdina dan ulas delimanya yang merkah kemerahan
tambah membuatkan wajah Irdina ayu sungguh. Anak matanya yang hazel kehijauan
tambah melengkapkan pakej cun pada wajah itu. Tidak hairanlah jika ramai
pelajar lelaki di sekolah menaruh minat pada Irdina. Cuma, Iryani pelik
sendiri, wajah Irdina tidak pula menyerupai wajah mama atau papa mereka. Jauh
sekali dengan wajahnya.
Suara garang Haron menarik tumpuan. Kedua-duanya terdiam sambil
memasang telinga. Kali ini meledak lagi tangisan Rosmah. Dah tentu Rosmah dan
Haron bertekak lagi.
“Ros, tanda tangan aje la borang ni, habis cerita. Apa yang susah
sangat awak nak tanda tangan? Saya minta izin kahwin lagi sorang, kenapa awak
ni berkeras sangat tak nak ikut cakap suami? Tak bau syurga awak nanti,” tengking
Haron.
Sebatang pen melayang ke lantai. Rosmah yang terperok di sisi katil
mengelak dari terkena pen. Sambil teresak, dia menyeka air matanya dengan
hujung lengan baju kedahnya.
“Abang, kenapa abang nak nikah lagi?” soal Rosmah.
“Abang nak anak lagi. Ros dah tak boleh mengandung. Ros dah tak
boleh layan abang sempurna macam isteri orang lain. Puas hati?” bentak Haron.
Sewaktu bercinta semuanya manis. Habis madu sepah dibuang. Ketika
masih suasana honeymoon dulu, mesra isteri dipanggil sayang. Namun
setelah jemu, nada sayang bertukar garang. Ada pula pen yang melayang. Pen yang
jatuh bergolek di kaki Rosmah dipandang hening.
Mendengar kata-kata itu, berjuraian air mata Rosmah mengalir. Sejak
melahirkan Iryani, Rosmah disahkan mengidap kanser serviks. Setelah menjalani
pembedahan, Rosmah sudah tidak mampu melahirkan anak lagi. Namun hal itu hanya
alasan Haron, agar Rosmah terdesak menandatangani borang kebenaran bernikah
lagi. Siang malam, hanya wajah Mariah yang menghiasi hatinya. Ditambah lagi
desakan janda beranak dua itu agar mereka cepat bernikah, akhirnya Haron
mengambil jalan memaksa Rosmah menandatangani borang keizinan bernikah itu.
Namun, Rosmah masih nak pertahankan nasib diri dan anaknya.
“Abang, tak cukupkah kita sudah ada Irdina dan Iryani?” soal Rosmah
lagi.
“Iryani seorang aje anak kita. Irdina bukan anak kita. Dia anak
pungut. Patutnya kau tak payah ambik bela budak tu. Biar aje rumah kebajikan
yang bela dia. Sampai sekarang aku tak suka dengan budak tu. Halau aje pergi
berambus. Duduk rumah ni bukannya boleh dibuat untung. Asyik sakit, sakit,
sakit aje. Buang duit aku aje. Hah! Cepatlah kau tandatangan borang tu. Lagi
cepat kau tandatangan, lagi cepat aku boleh kahwin!” bentak Haron lagi.
Mendengar pekik lolong Haron, Iryani bingkas bangun. Pandangannya
menyinga ke wajah Irdina yang sudah pucat lesi. Itukah hakikat gerangan
dirinya?
‘Aku? Anak pungut?’
“Oh, rupanya kau anak pungut. Patutlah tak pernah sebulu dengan
aku. Aku pun tak nak kakak macam kaulah. Kau dengar tak apa papa aku cakap? Kau
tu anak pungut. Lebih baik kau keluar dari rumah ni. Aku pun dah menyampah
tengok muka kau,” pekik Iryani sambil merampas buku yang dibaca Irdina dan
mencampakkannya ke lantai.
Irdina kelu, juga keliru dengan apa yang baru saja dikatakan Haron.
‘Benarkah aku anak pungut? Bukankah selama ini mama dan papa cakap
aku kakak kembar Iryani? Ahh…macam mana lagi aku nak hidup dalam keluarga yang
penuh huru-hara ini?’
“Woii…tunggu apa lagi? Blah la dari rumah aku. Kau dah pekak ke?
Tak dengar apa kata papa aku tadi? Kau tu anak pungut! Entah anak siapa yang
dibuang ditepi jalan. Kau tak layak duduk satu rumah dengan kami. Baik kau berambus
dari rumah ni lagi bagus. Kembar konon, huh,” bentak Iryani lagi.
Air jernih mula merelung di tubir mata Irdina. Dia mahukan
kepastian. Namun memikirkan kasih sayang Rosmah dan Haron yang sering tumpah
pada Iryani dan nasib dirinya yang sering diberikan layanan buruk, memberikannya
jawapan yang pasti, dia bukan anak mereka. Irdina beranikan diri menapak ke
luar bilik. Dia mahu berdepan dengan Rosmah dan
Haron.
Kelihatan Haron tersenyum sambil mencium borang nikah itu
berkali-kali. Rosmah akhirnya menurunkan juga tandatangannya pada borang nikah
itu.
“Macam tulah sayang. Lain kali ikut cakap suami, mesti masuk syurga
nanti. Dapat payung emas lagi, tau,” kata Haron sambil tersenyum hingga ke
telinga.
Namun Haron kembali menyinga bila terpandangkan Irdina.
“Hoii… Kan aku suruh kau duduk diam-diam dalam bilik tu. Kenapa kau
datang sini? Kau nak makan penampar aku ke,” ujar Haron garang.
Air mata Irdina merembes. Rosmah turut menyinga wajah ke arahnya.
“Dina, kan mama cakap jangan keluar dari bilik? Kenapa tercegat kat
sini? Kenapa menangis pulak ni? Kau nak kena lagi dengan aku?” marah Rosmah
pula.
“Papa… Mama… Betulkah Dina bukan anak mama dan papa? Betulkah Dina
hanya anak pungut?” soal Irdina dengan nafas tersekat-sekat.
Rosmah dan Haron saling memandang.
“Memang kau anak pungut. Bukan boleh dibuat untung. Tiap bulan
asyik keluar masuk klinik aje. Menyusahkan oranglah kau ni. Kalau aku tahu kau
ni menyusahkan aku, aku tak bela kaulah! Entah anak luar nikah siapa, huh!”
bentak Haron lagi.
Setelah itu Haron terus keluar meninggalkan rumah. Irdina
terjelepok ke lantai. Tangisannya menderu-deru. Rosmah bingkas menapak ke arah
Irdina. Ditariknya telinga Irdina dan direnyuk-renyuk rambut Irdina penuh
benci. Memang selama ini, tubuh Irdina menjadi tempat dia melepaskan segala
amarah. Tak hairanlah tubuh mungil gadis itu seringkali penuh dengan
lebam-lebam.
“Ahh... Mama, sakit mama..Sakitt!” ucap Irdina teresak-esak.
“Siapa mama kau? Kau pekak ke? Sedarlah diri yang kau tu anak
pungut! Mulai hari ni kau tak payah pergi sekolah. Kau jadi orang gaji aku
seumur hidup pun belum tentu kau dapat bayar balik duit aku. Selama ni aku yang
tanggung kau, tau tak,” pekik Rosmah sambil menolak kasar dahi Irdina dengan
jari telunjuknya.
Iryani tersenyum sinis. Dia menghampiri mamanya.
“Ma, halau aje dia dari rumah ni. Buat semak aje. Menyampah Yani
tengok muka dia,” ujar Iryani.
“Dari aku halau kau, lebih baik kau jadi orang gaji aku. Aku pun
tak payah keluar duit nak bayar kau. Cukuplah aku dah bagi kau berteduh kat
rumah aku ni. Faham Dina?” bentak Rosmah lagi lantas dia terus berlalu ke
biliknya.
Iryani mencekak pinggang sambil memandang wajah Irdina dengan
senyum sinis. Kepala Irdina ditujal beberapa kali dengan jari telunjuknya.
“Hey Dina, aku harap kau boleh berambus dari bilik aku hari ini
jugak. Tak nak aku duduk sebilik dengan anak pungut yang bukan darah daging
aku. Jijik aku dengan kau, tau tak. Entah anak bohsia mana yang mama dan papa
aku kutip buat anak, hish…,” kata Iryani lagi.
Habis barang-barang Irdina dicampak keluar dari bilik mereka. Cepat-cepat
Irdina mengutip satu persatu buku dan barang-barangnya yang sudah bertaburan di
tangga. Semuanya dipindahkan ke bilik stor yang lebih kecil di tingkat bawah.
Air matanya dibiarkan mengalir di pipi.
Sedang dia berkemas, dia terpandangkan bungkusan pemberian Faris.
Tangannya cermat membuka bungkusan itu. Sebuah kaset. Kebetulan dalam bilik
stor itu terdapat sebuah radio buruk yang masih boleh digunakan. Irdina
memasang kaset itu. Sebuah lagu berkumandang…
Berkali-kali
cuba kuhampiri
Garisan penamat usaha merintang di depan mata
Bertali arus langkahku tak terus
Garisan kurasa kan halus tak bisa kutembus
Pemisahnya cuma aku dan doa pada diri-MU
Antara putus asa sia-sia atau terus mara membara
Hoo..
Ya Rabbi Ya.. Bantulah hamba-MU
Ya Rabbi Ya.. Luruskan hatiku
Ya Rabbi Ya.. Ku pinta hidayah-MU meneruskan
sisa usiaku
Ya Rabbi Ya.. Hanya kepada-MU
Ya Rabbi Ya.. Tempatku mengadu
Ya Rabbi Ya.. Ku pinta rahmat-MU melimpahi kehidupanku
Hidup dan matiku
Semua hanyalah untuk-MU
ALLAH Tuhan ku yang Satu
Air mata Irdina menitis tidak terbendung lagi bila menghayati lirik
lagu itu. Memang dia terkesan dengan motivasi yang terdapat dalam lirik lagu
itu. Segera dia teringatkan segala keperitan yang ditanggung selama ini. Benar.
Sebagai hamba, dia hanya mampu berserah pada Allah, Tuhan yang Satu. Moga Allah
terus kuatkan kesabarannya dalam merintangi segala ujian-Nya.
‘Ya ALLAH, andai segala ujian yang Kau timpakan ini terbaik untukku,
aku terima dengan redha. Kupohon Kau kuatkanlah aku. Walau siapapun ibu dan
bapaku, cukuplah aku tahu, aku adalah hamba-Mu yang bernafas di muka bumi ini.
Maka, kuatkanlah kesabaranku ya ALLAH. Amin…’
‘Indra Faris. Terima kasih.’
Sejak itu semakin bertambah kerja rumah yang perlu dibereskan
Irdina. Malah sudah lebih dua minggu dia tidak ke sekolah. Namun Irdina tetap
juga belajar. Adakalanya dia curi-curi keluar rumah bertemu Hilda ketika Rosmah
dan Iryani tiada di rumah. Dengan Hildalah dia bertanyakan pelajaran terbaru.
Segala kerja sekolah turut dikirimkan pada Hilda untuk diserahkan pada gurunya.
Apabila guru-guru bertanya tentang Irdina kepada Hilda, Irdina meminta Hilda
memberitahu mereka yang dia tidak sihat. Sungguhpun Irdina sering berkongsi
dengan Hilda tentang sikap buruk Rosmah dan Iryani terhadapnya, Hilda hanya menyimpan
semua itu sebagai rahsia. Yang penting Irdina tetap mahu terus belajar dan mengambil
peperiksaan SPM pada hujung tahun itu. Dia sangat sayangkan pelajarannnya.
Tambahan pula dia merupakan salah seorang pelajar yang ditarget pihak sekolah
untuk menempa kejayaan cemerlang dalam SPM.
Iryani gelisah di meja belajarnya. Berkali-kali juga dia menggaru
kepalanya sambil menjeling kelibat Irdina yang sedang mengangkat pakaian di
ampaian. Sejak Irdina tidak ke sekolah, Iryani semakin terbeban dengan kerja
sekolah. Selama ini, Irdina yang menyiapkan kerja sekolahnya. Bila mendapat
pujian guru, dia turut mendapat pujian dan hadiah lumayan dari mamanya. Sebaliknya
Irdina pula yang menerima sumpah seranah mereka dua beranak.
Melihat Irdina masuk, cepat-cepat Iryani menarik lengan Irdina
masuk ke dalam biliknya. Tubuh Irdina dihempaskan ke meja tulis. Irdina mengaduh
sakit sambil menggosok lengannya yang sudah kemerahan. Buku sekolah Iryani yang
bertimbun di situ direnung sekilas.
“Aduhh… Baju Yani kakak dah basuh, dah angkatkan, tunggu nak
lipatkan aje. Apa lagi yang Yani nak ni?” soal Irdina kelelahan. Pasti ada
suruhan lagi. Memang hidupnya di rumah batu dua tingkat itu tidak ubah seperti
budak suruhan aje.
“Dina, kau tak nampak ke sebumbun buku-buku aku kat atas meja tu?”
soal Iryani.
Memang itu yang diduga Irdina. Kebijaksanaannya mendahului. Dia
mendapat akal.
“Hmm…kenapa pulak dengan buku-buku ni Yani? Bukan ke semuanya kakak
dah balutkan? Apa lagi yang tak kena?” soal Irdina lagi buat-buat tak faham.
Iryani mencebik sambil menyilang tangan ke tubuh.
“Aku nak kau siapkan kerja sekolah aku sebelum pagi esok. Semuanya
aku dah tanda muka suratnya. Selagi tak siap, selagi tulah kau tak boleh tidur
malam ni. Aku kena hantar kerja-kerja tu semua esok,” ujar Iryani dengan lagak
sombong.
Irdina tergelak. Kakinya disilakan di atas kerusi.
“Yani… Yanii… Yani dah lupa ke yang kakak ni dah dua minggu tak
pergi sekolah. Satu habuk pun kakak tak belajar tau. Manalah kakak reti nak
siapkan kerja sekolah Yani tu. Yani siapkanlah sendiri. Nanti Yani juga yang
nak SPM kan? Dalam SPM nanti tak ada siapa yang dapat tolong Yani,” ujar Irdina
lagi.
Iryani cuak juga. Dia tahu Irdina pelajar pandai. Terus Iryani duduk
di sebelah Irdina. Nada suara kasar sudah bertukar lunak.
“Alaa…Dina, kalau kau tak tolong aku siapkan kerja sekolah ni,
teruklah aku kena denda dengan cikgu esok. Lepas tu kena marah dengan mama
lagi. Tolonglah aku Dina. Kau kan pandai. Aku tahu kau boleh siapkan kerja
sekolah aku tu. Tolonglah aku Dina.” Kali ini Iryani merayu sambil menggoncang
lengan Irdina.
Tak pernah Iryani merayu sebegitu padanya. Irdina tersenyum.
“Ok… Ok… Kalau Yani nak kakak siapkan kerja sekolah Yani tu, boleh
tapi dengan satu syarat,” ujar Irdina lagi.
“Hmm…ya la. Kau cakaplah apa kau nak. Asalkan kau siapkan kerja
sekolah aku yang bertimbun tu,” ujar Iryani lagi.
Serentak itu Irdina tersenyum lebar. Anak matanya bersinar-sinar.
Dalam mindanya, dia terbayangkan sekolah yang amat dirinduinya. Seronoknya.
Nampaknya dia akan dapat kembali ke sekolah semula.
Note : Untuk makluman para pembaca
yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada
bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…