Home Novel Umum Mawar Putih Buatmu (Adaptasi dari tajuk asal "Mawar Irdina")
Mawar Putih Buatmu (Bab 15)

Irdina meneliti senarai pada menu makanan tengahari itu.

“Ada lagi yang belum kita sediakan, Cindralela?” soal Mak Siti sambil tangannya mencedok ayam masak merah ke dalam dua bekas mangkuk.

“Alhamdulillah. Semuanya dah beres, Mak Siti. Tinggal kita nak hidang aje. Anak angkat Tuan dan Puan tu dah on the way ke belum, Mak Siti?” soal Irdina pula sambil menyusun mangkuk-mangkuk puding.

Puding jagung itu resepi persendirian Irdina. Kerana mahu siapkan puding itu, hingga malam tadi dia tidak tidur malam setelah pulang dari kampus. Namun yang sebenarnya puding itu disediakan khas untuk Faris, suaminya.

‘Faris, puding ni khas untukmu. Apa yang kau rasa tatkala makan puding ni, itulah perasaanku padamu..’

Tersenyum pula Irdina melayan kata hatinya. Belumpun sempat Mak Siti bersuara, terpacul Sarah di muka pintu dapur.

“Mak Siti, Cinderella.. Anak angkat saya dan keluarganya dah sampai. Bolehlah terus hidangkan semua hidangan ni di meja makan sementara kami bersembang. Oh ya, Mak Siti dan Cinderella, pakailah baju cantik sikit. Biar Nampak kemas ya,” ujar Sarah.

Irdina mengangguk sambil tersenyum pada Sarah. Hari ini angin Sarah baik sungguh. Terserlah kegembiraan di wajahnya. Setelah berpesan, Sarah pun kembali ke ruang tamu.

“Gembira betul Puan Sarah hari ni. Senyum sampai ke telinga,” ujar Irdina.

“Cik Puan memang begitu. Kalau ada tetamu nak datang rumah, memang Cik Puan gembira sungguh. Ya la. Rumah besar tapi hatinya sunyi. Dengar kata, dulu-dulu anak angkat Cik Puan tu la yang jadi pengubat hatinya. Cik Puan kan tak ada rezeki nak ada anak sendiri. Anak angkatnya tu anak pada jiran sebelah rumah Tuan dan Cik Puan,” ujar Mak Siti.

“Oh, patutlah Puan Sarah seronok sungguh,” ujar Irdina lagi.

Setelah bersiap-siap, Irdina dan Mak Siti keluar ke meja makan menghidang makanan. Tiba waktu mahu mereka berdua mahu menuang air, tetamu pun dijemput mengambil tempat di meja makan. Ruziah mama Haziq duduk di sebelah papa Haziq, Hisyam.

“Eh, Irdina! Rupanya awak kerja kat sini.”

Sapaan itu membuatkan semua mata memandang ke wajah Irdina.

Serta-merta wajah Irdina merona kemerahan. Perlahan dia mengangkat wajah pada lelaki itu. Sinar mata lelaki itu begitu menyerlahkan perasaan terujanya. Semua orang yang melihat juga menyedari hal itu.

“Kalau Irdina dah lupakan saya, saya nak kenalkan diri saya semula. Saya Haziq. Daniel Haziq,” ujar Haziq.

Irdina tidak mampu berkata apa. Hanya dia menganggukkan kepala saja. Sinar mata Haziq begitu menakutkan hatinya. Segera dia mencari-cari sekeping wajah itu. Masih tiada. Belum pulang.

‘Janganlah Faris balik waktu ni. Kalau tak apa aku nak cakap kalau dia tanya apa-apa tentang aku dan Haziq? Aduyai…’

“Ruziah, Hisyam, kenalkan, ini pembantu rumah kami. Ini Mak Siti dan ini pula, Cinderella. Di sini kami panggil dia Cinderella. Macam mana Haziq boleh kenal dengan Cinderella?” soal Rizman.

“Cinderella? So sweet! Cantik nama tu. Sesuai dengan awak, Irdina. Uncle, kali pertama saya pernah jumpa Cinderella ni dalam feri waktu di Langkawi. Waktu tu dia sorang-sorang aje. Dia cakap dia nak balik rumah majikannya. Kali kedua saya jumpa dia waktu dia pulang dari hospital. Katanya dia mengambil ubat untuk keluarga majikannya. Saya hairan juga. Macam mana gadis secantik ni boleh jadi orang gaji? Tak sangka pulak dia bekerja di sini dengan uncle dan untie.” Meletus ketawa Haziq saat itu.

Irdina hanya mematungkan diri. Sarah mengerling pada Irdina dan Mak Siti. Menyedari isyarat itu, segera Mak Siti dan Irdina meminta diri berlalu ke dapur.

“Asyik bersembang saja. Marilah makan. Ni semua, Mak Siti dan Cinderella yang masakkan. Sedapnya hingga rasa nak tambah berkali-kali, hehe..,” ujar Rizman ramah.

Sarah menarik muka masam. Tak puas hati. Sikit-sikit Irdina juga yang jadi pokok cerita.

“Wah, sedap sungguh masakan Mak Siti dan Cinderella. Kalau macam ni, tiap-tiap hari pun saya sanggup datang makan di sini. Puding ni sedap sungguh. Enak. Lazat. Entah la apa lagi tapi yang nyatanya puding ni sangat sedap. Rasa macam nak tapaw bawa balik aje,hehe..”

Berderai ketawa Haziq dan Rizman.

“You bawa balik puding tak apa Haziq, jangan bawa balik Cinderella uncle pulak. Kempunan uncle nak makan masakan dia lagi nanti,” sempat lagi Rizman bergurau.

‘Cinderella uncle? Dah melampau orang tua ni, hish…’

Sarah mencebik muka masam. Geram sungguh dia. Asyik-asyik Irdina juga yang jadi topik bualan Rizman dan Haziq.

“I dah pernah rasa semua masakan Melayu. Tapi I akui kata-kata Haziq, masakan pembantu rumah you berdua ni sangat sedap. Sedap sungguh kan papa,” ujar Ruziah.

“Hai mama.. Mama ni dah berkenan dengan masakan Cinderella atau dah berkenan dengan Cinderella? Papa memang suka masakan dan orang yang masak tu sekali, hehe,” ujar Hisyam pula.

Tersenyum Ruziah. “Well papa, I ok aje kalau Daniel Haziq dah suka. I tak kisah. Why not? Cinderella pun cantik sungguh. Siapa mak bapak dia? Dia berasal dari mana?” soal Ruziah teruja nak tahu.

Sarah menjeling Rizman agar membetulkan keadaan. Tiba-tiba pula kunjungan Haziq dan keluarganya bagai bertukar menjadi seperti rombongan merisik pula.

“Oh, sebenarnya Cinderella ni tak ada keluarga. Mak ayahnya pun dia tak kenal. Memang dari kecil dia tinggal dengan keluarga angkat. Tapi keluarga angkatnya dah tak pedulikan dia hingga dia bawa diri. Kami pun dah anggap dia macam keluarga sendiri aje. Lagipun dia sebaya dengan Faris. Mereka pernah satu sekolah dulu. Faris yang bawa dia ke sini agar dia dapat kerja di sini,” terang Rizman lagi.

“Oh, kesiannya dia. Saya betul-betul simpati,” ujar Haziq pula.

“Simpati aje ke? Ke anak mama ni dah jatuh hati dengan Cinderella?” usik Ruziah.

“Entah la.. Tapi saya memang suka Cinderella,” akui Haziq, jujur.

“Eh, you sebut nama Faris, mana dia? How along to see. Mesti dah besar panjang kan. Dulu-dulu kat rumah kita, waktu malam-malam, budak-budak bertiga ni suka betul berkumpul tengok bintang.” Sengaja Hisyam mahu mengalih topik.

“Is kirim salam. Dia ada mesyuarat di Mawar Putih Resort. Dia minta maaf tak dapat turut serta,” ujar Sarah.

“Wah, dah ada resort sendiri. Dah jadi pengurus juga. Bagusnya,” puji Ruziah.

“Alang-alang kita dah ke sini, apa kata kita panjangkan aje hasrat hati kat sini aje, mama,” ujar Hisyam tiba-tiba.

Kesemua mata saling berpandangan. Rizman dan Sarah berdebar-debar.

“Apa pula berhasrat-hasrat pulak ni Hisyam, Ruziah?” soal Sarah. Hatinya gelisah. Bimbang jika mereka mahu terus merisikkan Irdina untuk Haziq.

“Begini, kami sebenarnya datang sini nak merisik jugak. Indra Faris dah berpunya ke belum?” soal Hisyam.

“Aii..Indra Faris memang belum berpunya, tapi you all nak risikkan bagi pihak siapa pulak ni?” soal Rizman pula.

“Bagi pihak Mimi Syarmila, anak perempuan kami, adik Haziq. Dia sekarang masih menuntut di Turki. Medic jugak,” ujar Ruziah tersenyum-senyum.

Sarah sudah tidak keruan. Batang hidung Faris diharap muncul, agar Faris sendiri dapat menjawab soalan itu. Rupanya kunjungan mereka sekeluarga memang berhasrat merisik anaknya. Terbalik pula. Tapi Sarah memang tak kisah. Ternyata dia memang suka mahu berbesan dengan Hisyam dan Ruziah. Namun dia sendiri bimbang dengan kesediaan Faris. Walaupun sudah berkali-kali didesak menamatkan zaman bujangnya, namun Faris selalu saja memberi berbagai alasan.

“Ya. Baru untie ingat, nama adik Haziq tu Mimi. Ada bawa gambar Mimi tak? Dah besar panjang, mesti Mimi sangat cantik kan? Bagusnya dia. Ikut jejak abangnya jugak ya.” soal Sarah lagi.

“Ya, Mimi pun minat dengan medic. Ha..Ni gambarnya. Latest pic sebelum kami bertolak pulang ke Malaysia sebulan lalu,” ujar Ruziah lagi.

Telefon bimbit milik Ruziah dihulur kepada Rizman dan Sarah. Terpegun seketika mereka bila melihat gambar adik perempuan Haziq. Memang cantik sungguh. Bagai gadis kacukan Inggeris dan India. Namun pada Rizman, Cinderella lebih cantik. Hatinya merasakan ada sesuatu antara Faris dan Cinderella. Bapa mana yang tak faham anak.

“Beginilah Hisyam, Ruziah. Pandangan saya memang Mimi dan Faris secocok jika digandingkan, tapi belum tentu Faris akan setuju. Jadi apa kata korang kirimkan gambar ni ke telefon bimbit saya, nanti kami akan tunjukkan pada Faris. Mungkin Faris ada pendapatnya sendiri,” ujar Rizman lagi.

“Ok, I tak kisah. Yang penting hubungan kita kekal seperti bersaudara. Well Haziq, Cinderella pula macam mana? Mama rasa Haziq dah berkenan dengan Cinderella kan?” soal Ruziah tiba-tiba.

Sekali lagi Sarah merasa tidak keruan. Haziq tersipu-sipu. Memang dia tidak pandai menyembunyikan perasaan sendiri.

“Tak apalah mama, papa. Haziq rasa dalam hal Haziq dan Cinderella ni, kita tak perlu tergesa-gesa. Untie, uncle.. Kalau diizinkan, bolehkah saya mahu berkawan dulu dengan Cinderella? Nak kenal-kenal dulu,” ujar Haziq lagi sambil tersenyum malu-malu.

“Oh, boleh sangat. Kami takkan halang kalau Haziq nak berkawan dengan Cinderella. Lagipun kami kenal Haziq macam mana orangnya,” ujar Rizman.

“Selalulah datang lagi ke sini. Next time boleh kenal-kenal dengan Faris. Mesti ada something yang you all bertiga boleh share,” ujar Sarah lagi.

“Insya-ALLAH untie, uncle. Hm… Uncle, untie, boleh saya jumpa Cinderella kejap?” soal Haziq meminta izin.

Sarah mengangguk dengan hati yang nanar. Segera dia ke dapur memanggil Irdina

“Cinderella, Haziq nak jumpa awak. Cinderella, dengar sini. Haziq tu dah berkenan dengan awak. Awak jangan layan dia lebih-lebih kalau nak terus tinggal dan kerja di sini. Faham Cinderella?” soal Sarah dengan nada tegas.

Cepat-cepat Irdina mengangguk. Dia sendiri sedar status dirinya sebagai isteri orang sungguhpun bukan dalam bentuk rumah tangga sebenar. Dia membuntuti Sarah bertemu Haziq yang sudah menunggunya di taman mawar putih. Belum sempat Cinderella berkata-kata, Haziq terlebih dahulu mempersilakan Cinderella duduk di kerusi batu taman itu. Cinderella hanya mengikut.

“Irdina, bersyukurnya saya dapat jumpa awak lagi. Selepas pertemuan dengan awak hari tu, saya asyik teringatkan awak. Saya tak tahu di mana nak cari awak. Mujurlah awak bekerja dengan ibu angkat saya di sini. Betul-betul saya rasa seperti kita sudah berjodoh. Dan hari ini saya ditemukan dengan awak di sini. Awak apa khabar?” soal Haziq.

Tidak lepas-lepas dia memandang wajah Irdina. Irdina pula hanya menundukkan wajah.

“Alhamdulillah, saya sihat. Encik Haziq… Err…’

“Not encik! Kan saya dah kata hari tu. Juz call me Haziq. Hm..Dah tentu Dina nak tanya saya tentang kesihatan mak cik Rosmah kan?”

Mendengar sekeping nama itu, Irdina mengangguk laju. Memang dia teruja nak tahu bagaimana keadaan kesihatan Rosmah.

“Alhamdulillah, mak cik Rosmah dah sihat. Dia selamat menjalani pembedahan. Cuma sebelah kakinya perlu dipotong kesan dari penyakit kencing manis yang dihidapi.”

“Sekarang mak cik Rosmah berada di mana?”

“Sekarang mak cik Rosmah ditempatkan di sebuah rumah kebajikan orang tua-tua di sekitar Alor Setar. Dina tak rasa mahu pergi melawat mak cik Rosmah? Kalau Dina mahu, saya boleh tolong bawakan Dina ke sana.”

Sengaja Haziq mempelawa. Mahu mencari peluang lagi untuk bertemu Irdina.

“Err… Tak apa. Saya tak mahu menganggu mak cik Rosmah. Baguslah mak cik Rosmah selamat dan hidup dengan baik. Terima kasih Haziq.”

“No problem. Itu memang tanggungjawab kita sesama Muslim kan. Nanti kalau Dina mahu pergi melawat mak cik Rosmah, beritahulah saya. insya-Allah saya boleh bawakan Dina ke sana.”

Irdina hanya mengangguk. Tidak lupa senyuman nipis di bibir turut dihulurkan.

‘Ish, apa kena pulak dengan Haziq ni. Pandang aku macam nak telan aku hidup-hidup aje ni. Ikut hati, nak aje aku cepat-cepat lari masuk rumah. Apa lagilah yang dia nak cakap dengan aku ni? Sudah-sudahlah. Naik rimas pulak. Buatnya Faris balik tiba-tiba macam mana? Aduyai…’

Lama pula Haziq merenung wajah Irdina. Irdina pula lebih suka mendiamkan diri.

“Dina, terus terang, saya suka awak. Boleh kita berkawan?” soal Haziq lagi dengan penuh harapan.

Serta-merta Irdina mengangkat wajah. Kelu. Namun dia menghembus nafas penuh debaran bila BMW hitam milik Faris membelok masuk ke perkarangan villa itu. Segera Sarah menghampiri mereka.

“Haziq, Faris dah balik tu. Jom, untie bawa Haziq jumpa Faris,” ujar Sarah.

“Ok untie. Ok Cinderella, saya tunggu jawapan awak. Kita jumpa nanti ya,” ujar Haziq lagi.

Mengangguk tidak. Menggeleng pun tidak. Hanya Irdina menghantar pandangan pada kelibat Sarah dan Haziq yang pergi mendapatkan Faris. Namun hatinya jadi makin tidak senang bila melihat rupa Faris. Sarah dan Rizman juga kelihatan terkejut.

“Kenapa dahi bertampal plaster dan lengan beranduh ni Is? Is kemalangan ke?” soal Sarah risau.

Faris tunjuk muka bersahaja. Sejak dari dalam kereta tadi, dia asyik meneliti kelibat Haziq dan Irdina berbual di taman mawar putih.

‘Macam mana dia ni boleh datang rumah aku pulak ni?’

“Is terjatuh aje mama, jangan risau,” ujar Faris lagi.

“Wah, ini Faris ya. Dah besar panjang rupanya,” ujar Ruziah.

“Oh, kenalkan Is. Inilah Daniel Haziq, anak angkat mama dan papa dulu. Is masih ingat tak? Dulu-dulu Haziq dan Mimi selalu main sama-sama dengan Is kan? Ini pula mama dan papa Haziq, pak cik Hisyam dan mak cik Ruziah. Mujur sempat jumpa. Mereka dah nak pulang,” ujar Sarah.

“Eh, saya rasa kita macam pernah jumpa kan. Tapi tak ingat pulak kat mana,” ujar Haziq ingat-ingat lupa.

“Muka macam saya ni banyak aje kat hospital kot.”

Faris senyum sumbing. Sengaja dia mahu mengelak. Padahal mereka memang pernah berjumpa ketika mereka sama-sama menaiki feri dahulu. Haziq pula hanya membalas senyuman Faris dengan anggukan kecil. Dah besar-besar begini, mereka berdua macam kekok pula. Namun bila teringatkan pesanan Mimi, Haziq menghampir dekat dengan telinga Faris. Ada sesuatu dia mahu bisikkkan. Faris pelik sendiri.

“Is, Mimi kirim salam.”

Mendengar bisikan itu, Faris terkedu. Sekeping wajah kanak-kanak perempuan berambut perang itu terlakar di minda. Mimi Syarmila! Tiba-tiba saja Faris dihujani rasa bersalah. Faris mengangguk. Haziq senyum nipis. Pandangannya dihala ke arah Rizman, Sarah dan Cinderella.

“Baiklah uncle, untie, Faris, Cinderella. Kami minta diri dulu. Jangan lupa sampaikan hasrat kami buat Faris. Faris, Mimi teringin sangat nak jumpa kau. Ok, kami balik dulu ya. Cinderella, jaga diri. Ada masa saya mahu lebih kenal awak,” ujar Haziq lagi.

Serta-merta pandangan Irdina berlaga dengan anak mata tirus Faris. Mimi? Siapa pula Mimi? Cepat-cepat Irdina menundukkan wajah. Namun dari ekor mata Faris, Irdina dapat membaca. Ada sesuatu yang tidak kena dengan Faris pada hari itu.

‘Kenapa lain benar muka dia hari ni? Macam moody aje? Hmm…’

Note : Untuk makluman para pembaca yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…


~ Annur Iman ~

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.