Home Novel Umum Mawar Putih Buatmu (Adaptasi dari tajuk asal "Mawar Irdina")
Mawar Putih Buatmu (Bab 21)

Bab 21

Sebuah perahu didayung Pak Dolah mendekat ke tepi Sungai Chepir. Perahu itu perahu pusaka peninggalan arwah ayah Mak Siti dan Pak Dolah. Walaupun perahu itu tampak uzur, namun masih kukuh dan boleh digunakan lagi hingga ke hari ini. Faris terus melangkahkan kaki masuk ke dalamnya.

Seawal jam 8 pagi lagi Faris sudahpun keluar meninjau di sekitar sungai itu. Memang dia tidak sabar mahu mengikut Pak Dolah menyelusuri sungai itu. Keinginannya makin menggunung setelah habis empat pinggan nasi dihabiskan ketika makan malam di rumah Pak Dolah malam tadi. Tidak henti-henti dia memuji masakan Mak Indah. Gulai masak lemak ikan sungai itu memang julung-julung kali dimakan. Apatah lagi ditambah dengan hidangan udang galah masak sambal tumis. Memang berselera Faris menambah nasi. Hilang terus segala sakit-sakit di badan.

“Kita nak ke mana ni Pak Dolah?” soal Faris.

“Kita akan pergi tengok pukat ikan dan bubu udang galah yang Pak Dolah pasang. Manalah tau ada lagi rezeki, dapatlah Tuan Muda makan lagi,” ujar Pak Dolah dengan senyum sumbing.

“Oh, biasanya segala hasil sungai ni, Pak Dolah buat makan atau buat jual?” soal Faris lagi.

“Kalau hasilnya banyak dan besar-besar, biasanya Pak Dolah jualkan di pasar tani. Kalau hasilnya biasa saja, Pak Dolah bagi aje pada Mak Indah untuk dibuat lauk,” ujar Pak Dolah lagi.

“Oo…,” ujar Faris lagi.

Sementara Pak Dolah mendayung perahu ke tengah sungai, Faris mengambil beberapa keping gambar sungai sebagai kenangan. Gambar burung, tupai dan monyet juga turut diambil. Tiba mereka melalui satu kawasan, Faris terpandangkan sekuntum bunga telipok berwarna putih. Segera dia terbayangkan bunga mawar putih. Dan di situ, muncul sekeping wajah itu di mindanya. Mawar Irdina.

‘Seronoknya kalau dia dapat ikut. Taklah aku berseorangan begini.’

Sejak pagi tadi lagi Irdina sudahpun melangkah keluar rumah. Dia mahu menghirup udara segar waktu pagi. Sejuk dan nyaman. Nikmat Allah untuk hamba-hamba-Nya. Irdina memandang ke sungai. Melihat air sungai mengalir, membuatkan hatinya tenang.

‘Ya Allah, pinjamkanlah kekuatan padaku sepertimana kau pinjamkan kekuatan pada air sungai ini untuk mengalir walau apa jua halangan menghalang. Walaupun laluannya berbatu, berkerikil dan bersarap, tetap juga ia mengalir. Walau apa pun ujian dan dugaan yang merintangi jalanku, Kau teruslah pinjamkan kekuatan padaku. Moga aku mampu untuk merintangi semuanya dengan sabar.. Amin..’

Irdina menghampiri ke tebing sungai. Lama sungai itu dia renung. Segera dia teringatkan perbualannya dengan Faris malam tadi.

“Esok pagi, abang nak jalan-jalan kat sungai dengan Pak Dolah. Kalau awak sudi, ikutlah kami, temankan abang,”

Saat itu dia tidak memberi sebarang jawapan. Menggeleng pun tidak. Mengangguk pun tidak. Cuma dia sebenarnya merasa sedikit kekok bila Faris membahasakan dirinya ‘abang’. Tapi dalam hati, mahu saja dia ikut mereka ke sungai. Bukan senang dapat bersiar-siar di sungai dengan menaiki perahu.

Sedang dia ralit melihat-lihat di tebing sungai, tatkala itu dia terpandangkan bunga telipok berwarna putih. Dia mahu mencapai bunga itu, namun tiba-tiba terasa seperti ada kilat menyambar. Dia memandang ke dada langit. Pelik. Tiada pula tanda-tanda mahu hujan. Akhirnya wajah hairannya bertukar menjadi senyuman tatkala dia terpandangkan kamera di tangan Faris yang sedang berada di atas perahu bersama Pak Dolah.

Slashh.. Gambar diambil. Faris melihat ke dalam gambar.

‘Eh, betul ke gambar dia yang aku ambil ni?’

Faris melihat ke tebing sungai. Teruja hatinya bila anak matanya menyambut senyuman Irdina.

“Eh, Pak Dolah singgah ke sana sekejap,” pinta Faris.

Dari jauh, kelihatan Irdina melambai-lambaikan tangan, mengisyaratkan agar Pak Dolah mengambilnya.

“Pak Dolah, saya nak ikut,” laung Cinderella.

“Pak Dolah, ambilkan Cinderella,” ujar Faris lagi dengan jiwa berbunga.

Sebenarnya memang dia mengharap Irdina turut bersama-sama mereka menyelusuri sungai itu. Melihat Irdina melangkah masuk ke dalam perahu, hati Faris terus merasa kembang. Dia segera mengisyaratkan agar Irdina duduk di sebelahnya.

“Pak Dolah, boleh ambilkan gambar kami sekejap?” Faris segera menghulurkan kamera pada Pak Dolah dengan jiwa yang berbunga.

“Oh, boleh, boleh..,”

Segera Pak Dolah mengambil gambar mereka berdua. Seterusnya, Pak Dolah mendayung perahu. Mereka menuju ke tempat pukat dan bubu dipasang.

“Subhanallah, cantik betul pemandangan di sekitar sungai ni. Terujanya saya Pak Dolah,” ujar Irdina.

“Alhamdulillah, sungai ni masih tak tercemar. Agaknya sebab jauh dari pusat bandar. Sebab tu penduduk di sini masih boleh mencari rezeki di sungai ni. Malah sungai ni pun jadi jalan untuk penduduk kampung nak ke mana-mana. Pak Dolah kalau nak mencari hasil hutan di kaki bukit, Pak Dolah memang akan melalui sungai ni,” ujar Pak Dolah lagi.

“Biasanya, hasil hutan apa yang Pak Dolah cari di kaki bukit tu?” soal Faris yang diam sejak tadi.

“Kat kaki bukit sana, ada akar-akar kayu yang boleh dibuat ubat dan minyak. Selebihnya pokok yang boleh dibuat ulam-ulaman untuk kesihatan dan awek muda. Pokok pakurawan, paku pakis, mengkudu, manjakani dan lain-lain lagi,” terang Pak Dolah lagi.

“Ooo… Ni la bagusnya duduk kat kampung kan Pak Dolah,”celah Irdina pula.

“Memang beruntung pun duduk di kampung. Ikan, boleh aje menjala di sungai. Sayur dan ulam-ulaman tak payah beli. Petik aje kat belakang rumah, haha…,” ujar Pak Dolah bangga.

“Patutlah orang kampung semuanya awet muda belaka ya Pak Dolah,” celah Faris pula.

“Ha, betul tu. Meh, kita tengok pukat Pak Dolah, kena ikan ke tidak. Kalau ada, rezeki untuk makan tengahari kita lah,” ujar Pak Dolah lagi.

Pak Dolah mendayung sampan perlahan ke tepi sungai. Sudah kelihatan kayu-kayu pukat yang dipacakkan Pak Dolah di tebing sungai. Perlahan-lahan Pak Dolah mengangkat pukat dan bubunya.

“Wah, banyaknya ikan yang sangkut di pukat. Udang pun ada dalam bubu. Ikan apa tu Pak Dolah? Besarnya!” jerit Irdina.

“Alhamdulillah, rezeki kita. Ikan yang warna putih dan banyak sisik ni ikan lampam. Ikan yang besar tu namanya ikan kelah. Yang lain-lain ni ikan puyu. Hah, ada pulak ikan haruan dua ekor ni. Memang rezeki kamu. Jarang-jarang ikan haruan boleh lekat di pukat di sungai. Sebab ikan haruan ni biasanya tempatnya di bendang dan paya,” ujar Pak Dolah lagi.

“Alhamdulillah, banyak ikan dan udang kita dapat hari ni. Seronoklah Mak Indah dan Mak Siti memasak nanti kan Pak Dolah. Buat gulai pun sodap, hehe,” ujar Faris lagi.

Setelah hampir sepagi Pak Dolah membawa mereka bersiar-siar di sekitar sungai dan kaki bukit, mereka pun bertolak pulang. Namun ketika Irdina mahu mengalih tempat duduknya mahu melangkah ke tebing pelantar, tiba-tiba dia tergelincir. Dia tidak mampu mengawal keseimbangan tubuh lalu terjatuh ke dalam sungai.

“Allahhu Akbar…,”

“Ya Allah, Mawarr…,”

Terus Faris terjun ke dalam sungai dan menyelamatkan Irdina. Irdina segera dibawa pulang ke rumah Mak Siti.

“Macam mana keadaan Cinderella, Mak Siti?” soal Faris setelah Mak Siti keluar dari bilik Irdina.

“Syukur, Irdina tak apa-apa. Cuma dia tertelan banyak air. Jadi penyakit semputnya datang. Biarlah dia berehat dulu ya,” ujar Mak Siti lagi.

Faris mengangguk faham. Tengahmalam itu, setelah semua orang sudah masuk tidur, Faris menyelinap masuk ke dalam bilik Irdina. Hatinya merasa tidak senang. Dia begitu risaukan Irdina. Dia mahu menjaga Irdina hingga isterinya itu pulih.

Rizman termenung saja di jendela. Hari ini tiada on call di hospital, jadi elok benar dia berehat saja di rumah, menghirup udara segar di taman mawar putih. Entah kenapa seminggu ini jiwanya terasa kosong. Hidupnya rasa sunyi pula. Lainlah kalau sebelum ini ada rama-rama yang menyerikan villa ini. Ya. Cinderella bagai rama-rama yang hadir merencahkan warna-warni dalam villa itu. Dalam hidupnya juga. Entah kenapa anak gadis itu terasa begitu istimewa di hatinya. Begitu menggamit kasih seorang bapa pada anaknya. Hadirnya Cinderella dalam hidupnya kini bagai menggantikan rindunya pada anak perempuannya yang masih belum dapat dikesan.

Sejenak itu anak matanya melirik hening pada kuntuman mawar putih yang setiap hari berkembang. Ingatannya singgah pada seraut wajah itu.

‘Haryati.. Di mana lagi harus abang mencarimu? Ya Allah, aku hanya mampu berdoa, mudah-mudahan sebelum aku menutup mata, Kau temukan aku dengan Haryati, isteriku. Kalaupun dia sudah tidak bernafas di muka bumi ini, jika dia sudah kembali kepada-Mu, biarlah aku dapat melihat kuburnya.’

Setitis air matanya menitis. Hiba.

“Abang, marilah sarapan. Saya masakkan nasi lemak dan sambal tumis ikan bilis kesukaan abang ni,” ujar Sarah.

Tidak terkutik Rizman dengan pelawaan Sarah. Dia masih melayan rasa galau itu di hati. Kehilangan Haryati seolah-olah hilang seluruh cahaya dalam hidupnya.

“Apa yang abang menungkan tu? Mesti abang rindukan budak Cinderella tu kan?” Sarah mula hilang sabar.

Sejak seminggu ketiadaan Cinderella, memang lain benar sikap Rizman. Rizman lebih suka bersendiri dan termenung panjang. Telahannya pasti Rizman terkenangkan Cinderella. Padahal sejak gadis itu bekerja di villa itu, Rizmanlah orang yang paling ceria.

“Abang, abang dengar tak apa saya cakap? Abang janganlah buat saya macam tunggul dalam rumah ni. Saya ni isteri abang. Kalaupun abang tak cintakan saya, saya harap abang hargailah saya sebagai isteri di sisi abang,” ujar Sarah.

Rintik-rintik tangis Sarah mula pecah. Sudah lama Sarah memendam perasaan itu. Akhirnya hari ini air mata itu mengalir juga. Sabarnya juga ada hadnya. Mendengar suara Sarah yang sudah bertukar menjadi esakan kecil, Rizman berpaling ke arah Sarah yang memalingkan tubuh membelakanginya. Bahunya terenjut-enjut berseli dengan esakan kecil. Sarah menangis bagaikan anak kecil.

Rizman bangun mendapatkan Sarah. Dipeluk pinggang isterinya. Dibelai jemari halus Sarah.

“Sarah, maafkan abang kalau tingkah laku abang menyakitkan hati Sarah. Siapa kata abang tidak cintakan Sarah? Abang cintakan Sarah. Abang sayangkan Sarah. Sarah, terima kasih kerana menjadi isteri yang setia pada abang. Cuma…,”

Bicaranya terhenti. Sarah meleraikan tangan Rizman yang melingkari pinggangnya.

“Cuma apa abang? Cuma hati abang masih ada kak Haryati kan? Dialah yang pertama di hati abang. Dan kini, hati abang mula ada nama Cinderella kan? Habis, Sarah ni abang letakkan nombor berapa dalam hati abang?” Esak Sarah pecah lagi.

Rizman memeluk tubuh dan merengus nafas kasar. Sememangnya dia punyai perasaan istimewa pada Cinderella. Itu memang dia tidak nafikan. Namun perasaan itu tidak lain hanyalah perasaan kasih seorang bapa pada anak. Dia hanya menganggap Cinderella seperti anak sendiri.

“Sarah, awak boleh tak kalau buangkan cemburu awak tu? Kalau awak biarkan cemburu tu terus bersarang dalam hati awak, saya risau awak akan kehilangan diri awak. Sarah, saya cuma mahu awak tahu, awak isteri paling baik di hati saya,” tuntas Rizman.

Sejurus itu, Rizman terus saja berlalu masuk ke dalam villa. Mendengar kata-kata Rizman, Sarah hanya menarik nafas. Dia tahu Rizman hanya sekadar mahu mengambil hatinya saja. Sejak kehadiran Cinderella di villa itu, memang hubungan mereka berdua agak renggang kerana Rizman lebih banyak meluangkan masa bersama Cinderella. Kalau dulu, dialah tempat Rizman bercerita dan meluah rasa. Kini, Cinderella pula yang mengambil tempatnya di hati Rizman.

Sarah mengambil bungkusan sampah yang telah siap diikat tadi. Dia berjalan menuju ke pintu pagar di belakang rumah. Baru saja dia letakan sampah di tempat pembuangan sampah, tiba-tiba anak matanya menangkap sesusuk tubuh sedang terbaring di tepi jalan.

“Astaghfirullah.. Allahhu Akbarr!! Abangg! Abang!”

Sarah berlari masuk ke dalam rumah sambil memanggil Rizman.

Gadis yang ditemui terbaring di hadapan pintu belakang Villa Mawar Putih itu akhirnya membuka mata. Dia memicit dahinya yang masih terasa berdenyut. Agaknya kesan ubat tidur yang diambil secara berlebihan. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

“Di mana saya? Siapa awak berdua?”

“Awak selamat di sini. Mak cik jumpa kamu pengsan di tepi jalan sana,” ujar Sarah.

“Anak ni nama apa? Di mana rumah anak? Biar pak cik hantarkan anak pulang ke rumah. Mesti ibu dan ayah anak risau, semalaman anak tak balik ke rumah,” ujar Rizman pula.

“Dah lama saya dah tak ingat siapa diri saya. Malam tadi, ada seorang lelaki bawa saya minum. Tiba-tiba saya rasa pening-pening. Lelaki tu sentuh-sentuh saya, macam nak buat tak senonoh pada saya. Tapi dengan khudrat yang masih ada, saya tumbuk dia dan larikan diri. Kemudian, saya dah tak ingat di mana saya pengsan,” ujar gadis itu.

Dia mula menangis. Sempat juga dia tenyehkan kulit bawang ke tubir matanya ketika dia ditinggalkan sendirian di dalam bilik itu tadi.

“Mak cik dan pak cik, terima kasih kerana menyelamatkan saya. Selama ini saya hidup merempat. Kadang-kadang saya tidur di bawah jambatan. Kadang-kadang saya tumpang tidur di hentian menunggu bas. Pernah juga saya tidur di tepi balai raya,” ujar gadis itu lagi.

Sengaja dia membuka kisah dusta itu, agar dapat meraih simpati Rizman dan Sarah.

“Allahhu Akbar. Kesiannya kat kamu. Abang, apa kata untuk sementara waktu ni, kita izinkan saja anak ini tinggal di rumah ni. Saya tak kisah bang. Kesian sungguh saya kat dia. Dah la perempuan, bahaya kalau merayau ke mana-mana. Kalau dibuatnya, jumpa lagi dengan lelaki malam tadi, tentu diapa-apakan lagi anak ni, bang,” ujar Sarah lagi.

“Baiklah, awak boleh tinggal di sini buat sementara waktu. Tapi nanti kita akan ke balai polis untuk buat report berkenaan kamu. Mungkin ada saudara mara kamu yang sedang mencari kamu. Pasti mereka dah membuat laporan polis,” ujar Rizman.

“Err… Tak perlu pak cik. Saya tak nak besar-besarkan hal ni. Biarlah saya hidup begini. Nanti kalau dah buat report polis, macam-macam hal pulak yang polis kena siasat. Sekarang saya hanya berharap, moga ingatan saya kembali pulih,” ujar gadis itu lagi.

“Betul jugak cakap dia bang. Tak payahlah kita buat laporan polis,” ujar Sarah lagi.

Rizman hairan. Kenapa bila dia mahu membuat laporan polis, muka anak gadis itu terus pucat lesi? Namun segala kemungkinan yang bermain di mindanya, ditepis jauh-jauh.

“Baiklah kalau itu yang anak mahu. Tapi, kami nak panggil anak dengan nama apa?” soal Rizman lagi.

“Oh, pak cik dan mak cik boleh panggil saya Dania. Mak cik, rumah besar ni sunyi aje. Mak cik dan pak cik hanya tinggal berdua aje ke?” soal Dania lagi.

“Kami tinggal berlima dalam rumah ni sebenarnya. Mak cik, pak cik, anak kami Faris dan dua pembantu rumah, Mak Siti dan Cinderella,” ujar Sarah lagi.

“Cinderella? Siapa tu?” soal Dania lagi.

“Oh, nama sebenarnya Irdina. Cuma kat sini, kami panggil dia Cinderella,” terang Sarah lagi.

“Oh, Cinderella, menarik nama tu,” ujar Dania lagi. Tersenyum meleret.

‘Oh, kat sini kau jadi Cinderella ya Dina. Tak sabarnya aku nak jumpa kau, Cinderella.’

“Dania rehatlah. Buat macam rumah sendiri,” ujar Sarah lagi.

Melihat Sarah dan Rizman berlalu keluar dari bilik itu, hatinya melonjak kegembiraan. Segala perancangannya menjadi. Tidak sia-sia dia menyeluk pekasam hingga ke pangkal lengan. Sebenarnya sudah lebih sebulan dia mengesan villa milik keluarga Indera Faris itu. Dua minggu lalu, Roy temannya telah meragut Irdina. Dari barangan peribadi Irdinalah, dia dapat mengesan alamat villa ini.

Setelah dia melarikan diri dari hospital, dia mencari Shahrul. Namun Shahrul sudahpun ditangkap polis kerana mengedar dadah. Namun dia bertemu pula dengan Roy. Roy membawanya tinggal bersama. Bukan hanya Roy seorang yang tinggal di rumah setinggan itu. Ada lagi Johan, Remy dan Gina. Mereka berempat pencuri terhormat pernah dia temui. Saban hari ada saja hasil curian yang dapat dibawa pulang. Bagi melindungi diri, dia memalsukan namanya. Dania nama barunya.

“Betul ke perempuan ni yang kau ragut, Roy? Kau tak salah tengok?” soal Dania berulangkali.

“Betul la perempuan tu. Boleh tahan kuat jugak perempua tu. Boleh pulak dia tikam tangan aku dengan kayu. Aku tak mengalah. Baru aje aku nak rampas beg dia, tiba-tiba ada perempuan tua datang bedal aku dengan batang penyapu. Teruslah aku cabut lari,” ujar Roy lagi.

“Haha..lawak pulak kau yang brutal ni boleh kalah dengan mak cik cleaner tu. Kenapa kau tak lawan mak cik tu,” celah Johan.

“Aku terus cabut lari bila mak cik tu mula terpekik terlolong. Kalau aku tunggu lagi, maunya aku kena cekup kena sumbat masuk jil la jawabnya,” ujar Roy lagi.

“Kenapa kau tanya, Dania, kau kenal ke perempuan ni?” soal Gina.

“Buatnya aku tak kenal. Musuh lama aku ni. Memang aku cari dia. Sebab dia hidup aku dan mama jadi macam pelarian. Dia mesti bayar apa yang aku dan mama aku tanggung. Sebab dialah aku terpisah dari mama aku. Hingga aku dah tak tahu kat mana mama aku sekarang ni,” ujar Dania penuh dendam.

Roy tersenyum-senyum sambil meneliti alamat pada satu kertas milik Irdina.

“Nampaknya, kita akan kaya raya,” kata-kata Roy menarik perhatian semua.

“Maksud kau?” Gina tak sabar nak tahu.

“Nah, ini alamat rumah budak perempuan tu. Ini kerja pertama kau Dania. Aku nak kau masuk dalam rumah tu. Buatlah macam mana pun, yang penting dapat duit. Aku tahu lokasi rumah tu. Rumah tu milik seorang doctor. Besar. Dah tentu ada banyak barang berharga,” ujar Roy dengan senyum sumbing.

“Apa maksud kau Roy?” soal Johan pula.

“Dania, kau nak balas dendam, itu hal kau. Tapi, dalam masa yang sama, aku mahu kau menyelam sambil minum air. Alang-alang kau dah masuk rumah tu, aku nak kau curi aje duit atau barang-barang berharga dalam rumah tu. Kaya kita lepas ni, dapat durian runtuh, yearghh,” ujar Roy, riang.

“Ooo…,” barulah Johan, Gina dan Remy tersenyum.

“Kalau Dania boleh duduk lama dalam rumah tu, kita pun boleh masuk mencuri dalam rumah tu kan? Apa kata?” celah Remy yang sejak tadi hanya diam.

“Wah, makin bergeliga otak kau Rem,” ujar Roy lagi.

“Kita kan pencuri alaf baru. Mesti kreatif dan strategi. Mencuri pakai otak beb! Baru boleh buat untung!” ujar Remy sambil mengangkat kening beberapa kali.

“Macam mana Dania? Bahagian kau, kau dapat balas dendam. Bahagian kami, kami dapat durian runtuh, hahaha…” ujar Roy lagi.

Perlahan Dania mengangkat wajah. Kelibat Roy, Johan, Gina dan Remy sirna dari lintasan mindanya.

‘Dina, tak sangka aku, kau menyorok di sini. Aku tak sabar-sabar nak jumpa kau, Cinderella.’

Dengan penuh dendam, Dania mengepal penumbuk buku limanya.


Note : Untuk makluman para pembaca yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu sudah terbit dan berada di pasaran. Dapatkan novel ini di toko-toko dan kedai-kedai buku berhampiran anda. Selamat membaca.. =) =)

~ Annur Iman ~

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.