Home Novel Umum Mawar Putih Buatmu (Adaptasi dari tajuk asal "Mawar Irdina")
Mawar Putih Buatmu (Bab 10)

Dari Langkawi, mereka menyeberangi laut untuk ke Jeti Kuala Kedah dengan menaiki feri. Dari Kuala Kedah, mereka akan menaiki teksi pula ke Jitra. Faris mengambil tiket feri bernombor 38 dan 39.

Irdina duduk di sebelah tingkap feri , manakala Faris di belakangnya. Dia kekok namun lebih merasa selamat kerana Faris duduk di belakangnya.

“Mawar, ambik ni. Makan dan minum kalau lapar,” ujar Faris.

Irdina menyambut plastik berisi dua bungkus roti dan sebotol air mineral itu.

“Terima kasih,” ucap Irdina tanpa menoleh ke belakang.

Irdina meluruskan badan, dia mahu menolak tempat duduk itu ke belakang sedikit untuk berbaring dan lelap sepanjang perjalanan yang akan memakan masa lebih kurang dua jam. Irdina bimbang akan muntah kerana mabuk laut. Namun entah kenapa tempat duduk itu memang tidak boleh diturunkan. Baru saja Faris ingin berkata sesuatu, tiba-tiba ada seorang lelaki yang duduk di tempat duduk sebaris dengan tempat duduk Irdina pula yang tampil membantu. Perkiraan Faris, lelaki itu memang sebaya dengan mereka berdua. Segak orangnya, ala-ala selebriti Amin Idris. Faris seperti pernah kenal lelaki itu. Cuma dia tak pasti di mana.

“Eh, kenapa cik? Boleh saya bantu?” Suara lelaki itu memang sopan sekali.

“Err…tempat duduk ni tak boleh baring pulak,” ucap Irdina spontan.

Lelaki itu tersenyum menampakkan lesung pipit di pipi kanannya.

“Cik tak pernah naik feri ke? Sit dalam feri ni memang tak boleh turun,” ujar lelaki itu.

Serta-merta wajah Irdina merona kemerahan. Nampak sangat yang dia budak kampung. Memang dia tak pernah naik feri.

“Err… Ya ke? Hm…saya memang tak pernah naik feri. Saya takut muntah-muntah dalam feri ni. Tu sebab nak turunkan sit ni. Ingat nak tidur kejap,” ujar Irdina berterus terang.

“Oh, saya ada buah limau. Awak ambillah dua biji,” ujar lelaki itu lagi.

Buah limau bertukar tangan.

“Hm… Cik nak ke Jitra, nak pergi mana? Cik masih belajar ke?” soal lelaki itu lagi.

“Err… Saya kerja kat sana,” jawab Irdina.

“Oo…kerja apa tu?” soal lelaki itu dengan dahi berkerut.

“Hm… Saya nak balik rumah majikan saya. Saya kerja orang gaji,” ujar Irdina berterus terang.

“Hmm… Dah lama kita berbual, terlupa pulak nak tanya, siapa nama awak? Saya Haziq,” ujar Haziq mula menyenangi tingkah sopan Irdina.

“Oh, saya Irdina,” ucap Irdina lagi.

Haziq masih nak berbual lagi, namun melihat Irdina sudah memicit kepalanya, dia kuburkan saja hasrat itu. Namun anak matanya memang tidak jemu-jemu memandang ke wajah putih bersih Irdina. Wajah itu manisnya seiras Preety Zinta, pelakon Hindi. Cuma Preety Zinta yang ini cantik memakai tudung dan baju kurung. Matanya yang hazel kehijauan begitu memikat hati sesiapa yang memandangnya.

Sejak tadi Faris hanya memerhatikan mereka berdua. Memang dia tidak senang hati cara lelaki bernama Haziq itu memandang Irdina. Dia sebenarnya risau kalau-kalau ada orang sekeliling yang berniat jahat terhadap Irdina.

‘Memang budak kampung betul la dia ni. Mudah sangat percaya orang. Ish…aku suami dia ni, dia tak nak minta tolong pulak! Hmm…’

Irdina memejamkan mata. Dia sedar dari tadi Faris tidak lepas memasang mata dan telinga melihat perbualan antara dia dan Haziq. Bukan kemahuannya mahu berbual dengan Haziq. Namun dia terpaksa juga melayan Haziq berbual. Buah limau itu diambil juga bila melihat kesungguhan Haziq mahu memberi. Namun dia tahu pasti hal itu tidak disenangi Faris.

‘Awak, sebab saya nak jaga hati awak la, saya dah tak nak berbual dengan Haziq. Tu la… Siapa suruh awak diam aje kat belakang tu. Kan dah ada orang ambik peluang berbual dengan saya. Apapun, terima kasih kat awak sebab dah banyak tolong saya.’

Segera hal malam tadi terbayang. Manis pula bila dikenangkannya. Serentak itu Irdina tersenyum sambil membelek jaket kulit Faris di tubuhnya itu. Senang juga dia memakai baju kurung hijau bertanah corak mawar putih itu. Juga kasut kulit ala-ala kasut Cinderella itu. Semua pilihan Faris memang disukainya.

Imbas kembali

Faris menongkat motor di tepi jalan.

“T-shirt awak tu dah lembap terkena hujan. Mesti awak sejuk nanti naik motor. Nah, awak pakai jaket ni,”ujar Faris sambil memakaikan jaketnya ke tubuh Irdina.

Irdina terharu. Pertama kali merasa dirinya diambil berat.

“Err… Terima kasih,” ucap Irdina senafas.

Mereka menaiki motor kapcai milik ustaz Firdaus. Tengok saja motor itu nampak macam dah uzur, tapi bunyi ekzosnya mengalahkan motorsikal berkuasa tinggi saja.

“Awak pernah naik motor tak?” soal Faris.

Irdina menggelengkan kepala. Faris terus menunjukkan cara untuk Irdina menaiki motor. Yang paling lawak, Irdina menggigil pula bila naik motor tu. Bukan sebab dia tak pernah naik motor. Tapi sebab dia memang tak pernah membonceng naik motor dengan lelaki.

Faris tergelak bila merasa tangan Irdina menggeletar bila memegang pinggangnya.

‘Awak ni, kita naik motor aje, bukannya naik helikopter. Itu pun nak takut.’

“Awak jangan risau, saya tak bawa motor laju macam mat rempit la. Awak pegang bahu saya aje,” ujar Faris tanpa mengalih muka.

Serta-merta Irdina melepaskan pegangan tangannya di pinggang Faris. Kedua tangannya di letakkan di bahu Faris pula. Sepanjang perjalanan mereka tidak berbual. Hanya bingit motor kapcai itu saja yang kedengaran.

Di pasar malam, Faris menyuruh Irdina memilih beberapa helai t-shirt, kain batik dan tudung. Kemudian, Faris sendiri memilih sepasang baju kurung hijau bertanah mawar putih untuk Irdina. Tak lupa juga sepasang kasut kulit berwarna putih telur.

“Awak, terima kasih banyak belanja untuk semua pakaian saya,” ujar Irdina.

Tanpa mengalih wajah Faris terus berjalan ke depan setelah selesai membayar. Dia ke kedai pula, membeli nasi bungkus dan air minuman. Dari kedai itu dia melihat Irdina ada membelek seutas rantai leher perak berloketkan hati. Rantai itu hanya diperhatikan Irdina, kemudian diletakkan kembali.

“Mawar, awak tolong bawa semua barang ni ke motor ya,” pinta Faris.

Plastik berisi pakaian dan makanan berpindah ke tangan Irdina. Irdina pantas bergerak ke motorsikal. Sementara itu tanpa pengetahuan Irdina, Faris kembali ke kedai rantai tadi. Selesai membayar harga rantai itu, dia pun bergegas ke motorsikal.

“Awak, awak pakailah kasut awak ni. Sampai bila awak nak berkaki ayam? Kan awak dah belikan saya sepasang kasut,” ujar Irdina lagi.

Sengaja dia mengingatkan hal itu, agar Faris tidak terus berkaki ayam. Agar kakinya juga tidak terus menyarung kasut Faris yang lebih besar dari saiz kakinya itu.

Melihatkan Irdina yang tidak cukup tangan memegang barang-barang, Faris mengambil kotak berisi kasut yang dibeli untuk Irdina tadi. Kasut itu dikeluarkan. Faris duduk mencangkung di hadapan Irdina membuatkan Irdina menunduk malu. Segan sungguh dia.

‘Alahai, apa pulak yang awak nak buat ni Faris?’

“Hulurkan kaki awak. Biar saya pakaikan kasut ni. Awak kan pegang banyak barang,” ujar Faris lagi.

Irdina menghulurkan kakinya. Cermat-cermat Faris menyarungkan kasut itu ke kaki Irdina. Irdina pelik sendiri.

‘Awak ni pelik, Faris. Orang lain sarungkan cincin ke jari, awak pulak sarungkan kasut ke kaki saya.’

Irdina mengulum senyuman di dalam hati. Lama pula Faris merenung kaki Irdina itu.

‘Cantik sekali kasut ini di kaki awak, Mawar. Hari ini saya sarungkan kasut ke kaki awak. Mudah-mudahan esok-esok saya akan sarungkan cincin pula ke jari awak. Maaf sayang, permulaan kisah kita tidak semanis kisah-kisah cinta orang bercinta. Kerana kisah kita tidak bermula dengan cinta. Namun, saya sudah cukup tenang hubungan kita bermula dengan ikatan halal, walaupun saya tak tahu bila hati awak akan ada untuk saya.’

Namun kata-kata itu hanya bergema di hati Faris.

“Kenapa awak pandang kaki saya macam tu?” soal Irdina.

Faris menggelengkan kepala. Sejurus itu Faris terus menghidupkan motor, dan mereka pun kembali ke rumah penginapan.

“Mawar, awak tidur di dalam. Saya tidur di luar ni aje,” ujar Faris.

Tanpa bertingkah, Irdina mengangguk. Cepat-cepat dia menapak masuk ke dalam rumah. Pintu segera ditutup rapat-rapat.

‘Faris, terima kasih. Terima kasih atas segala-galanya.’

Dengan detikan itu, Irdina memejamkan mata. Moga esok yang bakal datang membentangkan yang indah-indah untuk dia teruskan kehidupan baru ini. Itulah malam pertama dia lena dengan senyuman.

Note : Untuk makluman para pembaca yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.