Home Novel Umum Mawar Putih Buatmu (Adaptasi dari tajuk asal "Mawar Irdina")
Mawar Putih Buatmu (Bab 1)

“Mawar! Tunggulah kejap. Kenapa cepat sangat nak balik?” soal Faris sambil mengayuh basikal beriringan dengan basikal Irdina.

Mendengar panggilan ‘Mawar’ itu, Irdina menghentikan basikal. Serentak itu Faris menghadang basikal Irdina dengan basikalnya.

‘Alamak, dia ni lagii… Tak penat-penat nak kacau aku. Muka baik tapi perangai mengalahkan romeo, huhh… Kalau macam ni simpan aje la handsome muka tu kat dalam kocek baju. Tak lakulah.’

“Awak ni tak faham bahasa Melayu ke? Berapa kali saya nak cakap? Tolong jangan ganggu saya. Tepilah, saya nak balik!” pekik Irdina.

Hatinya gusar. Terbayang di minda rumah batu dua tingkat itu.

‘Kalau hari ni aku lewat lagi, habislah. Mama mesti dah tunggu aku balik. Budak laki muka ala-ala pelakon Rusdi Ramli ni tak sudah-sudah nak kacau aku, hish.’

“Tak boleh! Awak tak boleh balik selagi belum jawab soalan saya,” tegas nada suara Faris kali ini. Tangan Faris sudahpun memegang raga basikal Irdina. Irdina merentap kasar basikalnya dari pegangan Faris.

‘Elleh budak laki ni, kenapa nak halang aku? Jalan raya ni bukan mak bapak dia punya, huh…’

“Awak nak apa lagi ni? Cepatlah! Saya bagi awak dua minit aje,” ujar Irdina bercekak pinggang.

“Saya nak tanya aje, nama awak Mawar Irdina kan?” soal Faris.

“Ya. Kenapa?” Irdina tarik muka masam. Faris tersenyum lantas mengalihkan basikalnya.

‘Awak ni Mawar, kalau muka dah cun, buat muka masam pun nampak cute aje.’

“Mawar, awak suka tak mawar putih pemberian saya tu? Saya harap sepuluh batang mawar putih tu dapat menebus salah saya tumpahkan milo ais ke tudung dan baju awak tempoh hari. Maafkan saya,” ujar Faris lagi.

Serentak itu kedua mata mereka sama-sama memandang sebatang mawar putih yang elok terletak dalam raga basikal mini merah hati Irdina. Itu batang kesepuluh. Irdina terkedu.

‘La…rupanya budak laki ni yang letak batang mawar ni dalam raga basikal aku sepuluh hari ni. Macam mana dia tahu aku suka bunga mawar putih?’

Irdina memandang jam.

“Ok, times up. Sekarang saya dah boleh balik?” soal Irdina lagi.

Faris tersenyum bila Irdina tidak menjawab soalannya tadi.

‘Elleh, kalau awak dah suka mawar putih yang saya bagi awak tu, cakap aje la. Kenapa tak jawab soalan saya? Orang tua cakap, perempuan kalau diam tu tandanya ‘suka’. Hari ni awak suka bunga mawar tu. Esok-esok manalah tau kalau-kalau awak akan suka saya pulak. Hehe…’

“Terima ka.. Eh, Mawar… Mawarr…”

Belum sempat Faris mengucap terima kasih dan memperkenalkan diri, Irdina sudahpun jauh mengayuh basikalnya. Faris menggeleng dengan senyuman.

‘Mawar Irdina! Jika masih punya sedikit waktu lagi tadi, mahu saja saya cakap kat awak yang nama awak sangat sesuai dengan awak. Memang awak cantik. Cantik sangat!’

Dengan pengakuan itu, senyumannya berbunga lagi.

‘Terima kasih, Mawar Irdina!’

Irdina menyorong basikalnya masuk ikut pintu belakang rumah. Baru saja dia nak masuk ke bilik, ada suara berdehem. Dadanya berombak debar. Suara itu memang sangat dikenali.

“Ehmm…”

Irdina menikuskan diri dan tertunduk. Beg yang digalas segera dilurut ke lengan.

“Err…Assalamualaikum mama,” ucap Irdina.

Dia menghulur tangan mahu bersalam namun ditepis pula. Salamnya pun tidak dijawab.

‘Alamak. habislah aku. Ya ALLAH, lindungi hamba-Mu yang lemah ini.’

“Lambat Dina balik? Pergi mana?” soal Rosmah dengan wajah yang sinis.

“Err…Dinaa…”

Tiba-tiba terpacul pula Iryani di sebelah Rosmah.

“Oh, kakak kita dah balik rupanya. Ingatkan masih berdating lagi,” ujar Iryani dengan senyuman meleret.

Kata-kata itu serta-merta membuatkan Rosmah merenung tajam ke wajah Irdina.

“Berdating? Eh, kau berdating dengan jantan mana? Kan aku suruh kau cepat balik lepas sekolah? Kerja kat rumah ni berlambak tengah tunggu kau. Yang kau pergi berdating dengan jantan tu sapa suruh?” Wajah Rosmah sudah menyinga.

“Bukan setakat berdating. Yani tengok kakak dan jantan tu tak ubah macam belangkas. Nak balik pun naik basikal sama-sama. Harap muka aje lawa, tapi perangai miang!” bentak Iryani lagi.

Rosmah menarik tudung sekolah Irdina. Tudung itu terus dicampak ke lantai.

“Apa? Oh, kau nak miang sangat ya? Aku belikan basikal untuk kau pergi sekolah, belajar. Bukan untuk kau pergi melaram dengan jantan. Mana kau letak telinga ni? Lain yang aku suruh, lain pulak yang kau buat,” ujar Rosmah sudah mula naik angin.

Rosmah memulas cuping telinga Irdina. Rambut Irdina ditarik dan dicubit-cubit pipi Irdina hingga Irdina meraung kesakitan.

“Dina minta maaf, Dina tak buat lagi. Arghh…sakit mamaa… Sakitt…,” rayu Irdina dengan deraian air mata.

“Kau mari sini. Kau nak melaram sangat dengan jantan ya. Umur setahun jagung, ada hati nak miang dengan jantan. Kalau dah buncit, aku pun tak nak mengaku kau anak aku. Mari sini lekass…,” marah Rosmah lagi.

Dia menarik telinga Irdina mengekori langkahnya ke belakang rumah.

“Kau nak melaram dengan jantan sangat kan? Aku belikan basikal nak bagi senang kau pergi sekolah, tapi kau guna pergi melaram dengan jantan ya? Tengoklah padahnya,” bentak Rosmah lagi.

Rosmah menolak Irdina ke lantai. Dia melangkah ke arah basikal Irdina. Irdina sudah dapat meneka apa yang mahu dilakukan Rosmah, terus dia bangun menerkam ke lutut Rosmah.

“Mama, basikal ni satu-satunya kenderaan yang Dina guna untuk ke sekolah. Mama jangan rosakkan basikal Dina. Jangan ma…,” rayu Irdina dengan linangan air mata yang tak terbendung lagi.

Rosmah terus menghumbankan basikal itu ke dalam longkang. Dihinjak-hinjakkan basikal itu dengan kakinya sehingga lampu pada basikal itu pecah.

“Jangan maa… Jangan rosakkan basikal Dina… Dina janji tak buat lagi,” ujar Irdina lagi masih memeluk lutut Rosmah.

Melihat wajah Irdina, terbit pula rasa belasnya pada Irdina. Iryani yang melihat dari tadi hanya tersenyum sinis. Puas hatinya. Tahulah dia, Rosmah lebih sayangkan dirinya berbanding Irdina.

“Kau bernasib baik sebab hari ni angin aku baik. Kalau kau buat perangai miang kau tu lagi, aku bakar basikal kau ni. Silap-silap kau pun dah tak payah pergi sekolah,” ancam Rosmah lagi.

Irdina menganggukkan kepalanya.

“Terima kasih, mama. Dina tak buat lagi. Dina minta maaf,” ujar Irdina sambil mengesat air matanya dengan hujung baju sekolah yang sudah kotor kesan terseret di lantai tadi.

“Dahh… Cepatlah kau simpan basikal kau tu. Lepas tu kau masuk rumah, tukar baju dan buat semua kerja-kerja rumah tu. Kalau tak siap, kau jangan makan. Faham Dina?” ancam Rosmah lagi.

Cepat-cepat Irdina mengangguk. Rosmah terus masuk ke dalam rumah. Iryani pula masih bertenggek di tepi pintu memerhatikan Irdina yang terkulat-kulat mahu bangun. Air mata Irdina masih merembes. Dia menarik basikalnya keluar dari longkang itu. Air matanya makin laju bila melihat basikalnya habis kotor dengan air longkang yang busuk itu. Sayu lagi bila melihat lampu basikalnya yang sudah pecah. Segera dia mencapai getah paip. Pili air dipulas dan dia cepat-cepat membersihkan basikalnya.

“Ish Dina, cepat la sikit. Terhegeh-hegeh aje kau nih. Ni dalam rumah ni banyak lagi kerja rumah yang kau kena buat. Jangan lupa, siapkan kerja sekolah aku sekali. Semuanya aku letak kat atas meja kau. Kau jangan tidur malam ni kalau tak siapkan semuanya,” pesan Iryani lagi.

Irdina merenung basikal itu dengan rasa sedih. Basikal itu dibelikan Rosmah sebagai janji Rosmah padanya jika dia mahu melakukan kesemua kerja rumah.

‘Basikal, aku minta maaf. Mama dah rosakkan lampu kau. Hmm… Macam manalah aku nak jaga kau. Nak jaga diri sendiri pun aku tak mampu. Hanya pada ALLAH aku panjatkan doa, moga satu hari nanti akan terbit sedikit rasa kasih-sayang mama buatku.’

Irdina sendiri hairan. Kata Rosmah, dia dan Iryani adik-beradik kembar. Tapi peliknya, Rosmah dan Haron tidak pernah melayaninya sama seperti mereka melayani Iryani. Iryani dilimpahkan kasih-sayang, sedangkan dirinya diperlakukan seperti orang gaji. Kadangkala dia sendiri ragu-ragu dengan status dirinya dalam keluarga itu.

‘Benarkah aku ini anak mama dan papa? Kalau benar, mengapa teruk benar layanan mereka kepadaku? Sejak kecil lagi, aku tidak pernah merasai kasih-sayang mereka. Kata mama, memang mereka tak nak manjakan aku kerana mahu aku menjadi matang dengan kesusahan dan keperitan. Namun, adilkah jika Iryani hidup bersenang lenang? Sedangkan aku sentiasa dihamburkan dengan kata-kata cemuhan. Malah setiap hari aku ditimpakan dengan kerja rumah yang selayaknya hanya patut diberikan pada orang gaji aje. Ya ALLAH, pinjamkanlah kekuatan padaku untuk terus bersabar.’

Irdina masuk ke dalam bilik. Melihat Iryani tiada di bilik, cepat-cepat Irdina mengeluarkan sebatang mawar putih yang diterima hari ini. Dia mencium mawar itu biarpun mawar itu tidak berbau. Dia tidak dapat menipu diri yang sememangnya dia sangat menyukai mawar putih itu. Hatinya tenang tatkala merenung mawar putih itu walaupun seketika. Segera sekeping wajah itu terlakar di minda. Rasa hatinya berbaur. Rintihan sayu pun mula berlagu. Setitis lagi air matanya gugur.

‘Ini semua ‘tuan’ kaulah punya pasal, kan aku dah kena marah dengan mama. Kan lampu basikal mini kesayangan aku tu dah dirosakkan mama. Tapi aku tak salahkan ‘tuan’ kau. ‘Tuan’ kau bukannya berniat buruk. Sepatutnya aku berterima kasih pada ‘tuan’ kau sebab bagi kau pada aku tiap-tiap hari dalam sepuluh hari ni. Hanya bila aku pandang kau saja, membuat aku tersenyum walaupun saat aku menangis begini. Terima kasih, Indra Faris…’

Merenung mawar putih itu, rasa terpujuk pula dia untuk memberi maaf pada sekeping hati itu. Segera batang mawar itu disisipkan ke celah buku teks subjek Sejarahnya melengkapkan jumlah kesepuluh batang mawar putih yang diterima sejak sembilan hari yang lalu. Sengaja dia mahu batang-batang mawar itu dikeringkan agar ia tidak dikesan Iryani atau mamanya. Irdina terus ke dapur. Sambil membasuh pinggan mangkuk, dia terkenangkan batang-batang mawar putih yang diterimanya sejak sembilan hari lalu.

Imbas kembali

Hari itu selesai bersolat zuhur di surau, Irdina bergegas mahu pulang setelah mengambil bekas kuih mamanya di kantin sekolah. Irdina hairan bila melihat sebatang mawar putih elok terletak dalam raga basikalnya. Dia memandang kiri dan kanan. Tiada pula kelibat sesiapa di situ. Kerana sukakan bunga mawar putih itu, cepat-cepat dia memasukkan batang mawar itu ke dalam begnya. Sejak itulah setiap hari dia pasti akan menerima sebatang mawar putih.

Rupanya batang mawar putih itu pemberian Indra Faris, salah seorang pelajar cemerlang di sekolah. Faris juga antara pelajar yang ditarget mendapat cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti. Sejak kebelakangan ini Irdina tak tahu mengapa Faris asyik mengganggunya. Kononnya mahu berkawan. Namun sikit pun dia tak layan. Tak mahulah dia berkawan dengan budak lelaki. Takut terlajak jadi cinta monyet pula. Belum pandai panjat pokok, dah patah kaki.

Spontan dia tersenyum sambil menggelengkan kepala bila teringatkan pertemuan pertama mereka beberapa minggu lalu. Saat itu Irdina sedang membeli keropok lekor dan sebungkus milo ais di kantin. Dia memang gemarkan milo ais. Namun tiba-tiba dia terlanggar seorang budak laki yang turut membawa milo ais di tangannya. Habis tumpah milo ais budak laki itu di tudung dan bajunya dan milo aisnya juga habis tumpah ke baju dan seluar budak laki itu.

“Ya Allah… Eh, awak ni berjalan tak guna mata ke apa? Tengoklah apa yang awak dah buat pada tudung dan baju saya ni. Habis basah dengan milo ais awak,” rungut Irdina.

“Habis, awak tu guna mata sangat ke waktu berjalan? Ni, siapa yang nak bertanggungjawab pada baju dan seluar saya yang dah basah dengan milo ais awak ni?” kata Faris pula.

“Awak dulu yang langgar saya, kenapa nak salahkan saya pulak? Dah la, malas nak layan awak. Halal aje la milo ais tu. Dah bukan rezeki saya agaknya,” keluh Irdina lagi.

Belum sempat Faris berkata apa-apa, Irdina sudah berlari ke tandas. Faris memandang kiri dan kanan. Tanpa mereka sedari, insiden tadi diperhatikan pelajar yang lain juga. Faris tertunduk segan. Azlan dan Zarul menghampiri Faris sambil tergelak-gelak.

“Apalah kau ni Is, tak gentlemen la kau ni. Sepatutnya kaulah yang minta maaf kat dia, barulah gentlemen,” kata Azlan.

“Ya la. Bukan senang nak tumpahkan milo ais ke tudung dan baju dia tu. Bukan senang pelajar lelaki dapat bercakap dengan dia, tau tak. Kira kau bertuah la dapat bercakap dengan dia. Mawar tu pelajar perempuan paling top kat sekolah ni. Rezeki kaulah kalau insiden tadi dapat buat kau berkawan dengan dia. Siapa yang tak nak berkawan dengan Mawar Irdina yang cun tu. Baik kau jangan cari gaduh dengan dia, rugi kau nanti. Melepas! Hehe…” ujar Zarul lagi serentak menyambung ketawanya.

‘Mawar? Mawar Irdina?’

Mendengar usikan Azlan dan Zarul itu, barulah Faris perasan, gadis bernama Mawar Irdina itu memang memiliki seraut wajah yang sangat cantik. Tak hairanlah kalau Zarul melabelkan gadis itu dalam kategori ‘cun’. Hakikatnya Mawar Irdina baginya lebih cantik dari perkataan ‘cun’. Lebih tepat dengan perkataan ‘ayu’. Bukan ‘ayu’ yang dibuat-buat. Tapi ayu yang menyejukkan hati dan mata yang memandang. Begitulah Mawar Irdina di hati Indra Faris.

‘Apa salahnya kalau aku minta maaf kat dia kan?’

Faris mengukir senyuman. Hatinya segera menanam azam.

Irdina membersihkan tudung dan bajunya. Hatinya bergerutu mengenangkan insiden tadi. Geram betul dia dengan budak laki itu. Indra Faris!

“Mentang-mentanglah best student. Dah buat salah langgar orang tak nak mengaku pulak. Dah la ini aje sepasang baju sekolah yang aku ada. Habis kotor dengan kesan air milo ni, macam mana nak masuk kelas? Huhu...” Tak sudah-sudah Irdina merungut.

“Eh, Dina. Aku dengar kau accident kat kantin. Ya Rabbi… Teruk juga tudung dan baju kau basah kena air milo ni. Kesiannya. Meh, aku tolong bersihkan. Ni ada sabun wangi, boleh guna rasanya.” Hilda terus mencapai sebuku sabun Lux di sinki.

“Terima kasih tolong aku. Kau datang tepat pada waktunya. Geram betul aku kat budak laki tu. Dah la langgar aku dengan milo ais habis bersimbah ke tudung dan baju aku ni, lepas tu tak nak pulak mengaku salah. Ish… Geram pulak aku,” kata Irdina lagi.

“Hm... Entah-entah dia saja nak tackle kau aje kot. Sengaja buat-buat langgar sebab nak berkenalan dengan kau. Kau kan ramai peminat,” sempat lagi Hilda mengusik.

“Hm… Dia sengaja ke, tak sengaja ke, yang penting kau kena tolong aku bersihkan tudung dan baju aku ni. Macam mana aku nak masuk kelas dengan tudung dan baju kotor macam ni, huhu…” rungut Irdina lagi.

“Ya la… Aku tolong kaulah ni. Hm…Kalau betul la apa yang aku cakap tadi, mesti budak laki tu akan datang minta maaf kat kau nanti. Kau tengoklah kalau tak percaya. Err, siapa sebenarnya budak laki tu? Kau kenal dia tak?” soal Hilda lagi.

“Entah, tak kenal! Malaslah aku nak fikir. Ok. Dah bersih da ni. Jomlah masuk kelas. Kejap lagi loceng bunyi. Thank’s a lot tolong aku.” Sengaja Irdina cakap tak kenal.

It’s ok. Ingat tau apa aku cakap tadi. Kalau budak laki tu datang melutut minta maaf kat kau pun, kau jangan layan dia, Dina. Mesti dia buat alasan nak tackle kau aje tu,” kata Hilda lagi.

Benar kata Hilda. Sewaktu dia nak balik rumah, ‘budak laki’ itu memang menunggunya di luar pagar sekolah. Memang ‘budak laki’ itu mahu meminta maaf. Malah hari-hari selepas itu pun, ‘budak laki’ itu cuba juga mendekatinya, namun tidak pernah dilayan.

‘Budak laki’ itu Indra Faris! Selama ini Indra Faris yang memberinya sebatang mawar putih setiap hari selama sepuluh hari ini sebagai tanda dia meminta maaf. Namun dia teringat pula kata-kata Hilda.

“Ingat tau apa aku cakap tadi. Kalau budak laki tu datang melutut minta maaf kat kau pun, kau jangan layan dia, Dina. Mesti dia buat alasan nak tackle kau aje tu,”

Irdina mengangkat bahu. Tangannya kini lincah pula mengampaikan pakaian di ampaian.

‘Hmm.. Dia sengaja ke, tak sengaja ke, buat alasan ke, aku dah tak kisah. Yang penting, aku dah tak marahkan dia lagi. Yang penting, aku suka bunga mawar putih yang dia bagi pada aku. Terima kasih, Indra Faris! Terima kasih untuk sepuluh batang mawar putih ini.’


Note : Untuk makluman para pembaca yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.