Home Novel Umum Mawar Putih Buatmu (Adaptasi dari tajuk asal "Mawar Irdina")
Mawar Putih Buatmu (Bab 3)

“Mama, Yani nak minta sesuatu, agak-agak boleh tak?” soal Iryani sambil mengurut bahu Rosmah.

Rosmah tersenyum. “Hmm...ada apa ni sayang?” soal Rosmah merasa pelik.

“Mama, kat sekolah ramai kawan-kawan dan guru-guru sibuk tanya pasal Dina pada Yani. Yani malaslah nak jawab. Dah penat dah Yani bohong cakap Dina sakit. Hmm…apa kata mama benarkan Dina ke sekolah? Kerja-kerja kat rumah ni, nanti mama boleh suruh Dina bereskan bila Dina balik dari sekolah,” ujar Iryani.

Rosmah menarik nafas panjang.

“Hmm…sebenarnya guru besar dan guru kelas Yani pun ada callmama, tanyakan Dina. Mama pun dah malas nak berdalih lagi. Elok jugak biar Dina ke sekolah. Guru kelas Yani cakap Dina pelajar pandai, betul ke?” soal Rosmah.

“Hmm…Dina tu pandai lebih sikit aje dari Yani, mama. Sebab Dina tu kan suka membaca.” Dia akui Irdina memang suka membaca kerana ke mana-mana saja dia pergi, pasti ada buku pelajaran yang dikilik di tangan.

“Hmm…mama tahu sangat anak mama ni tak suka membaca. Kamu tu suka menonton drama Korea aje tiap-tiap hari. Kan lebih elok kamu banyak membaca? Biar lebih pandai dari Dina tu,” ujar Rosmah lagi.

Iryani mengurut bahu Rosmah lagi.

“Hmm…ya la mama. Nanti dah dekat SPM nanti Yani belajarlah. Sekarang Yani nak enjoy dulu. Hmm…mama, macam mana? Boleh tak Dina ke sekolah? Err…mama takkan berhentikan sekolah Dina kan?” soal Iryani lagi meminta kepastian.

“Hmm…Dina pelajar pandai, mama takkan berhentikan sekolah Dina hingga Dina SPM hujung tahun ni,” ujar Rosmah lagi.

Jauh di sudut hati Rosmah, masih terbit rasa amanahnya terhadap Irdina. Bahkan wang dan harta yang ditemui di sisi Irdina turut diambil dengan rasa amanah. Bohonglah dia jika tidak punya perasaan pada Irdina sepanjang dia membesarkan Irdina. Bahkan Irdina menjadi pengubat hatinya yang berduka selama lebih lima tahun tidak menimang cahaya mata. Irdina bagai satu rahmat dari ALLAH untuk dia dan suaminya. Tatkala menjaga Irdina, dua bulan kemudian dia disahkan mengandung. Namun setelah melahirkan Iryani, dia sudah tidak boleh mengandung lagi kerana mengidap kanser serviks. Rahimnya telah dibuang. Dengan sebab itu dia sudah tidak boleh mengandung. Lalu Haron menjadikan asbab itu untuk bernikah lagi.

Dengan wang yang ditemui itulah Rosmah membesarkan Irdina. Wang itu juga digunakan membiayai persekolahan Irdina dan rawatan sakitnya. Irdina sejak kecil mengidap sakit lelah. Namun setelah Irdina dan Iryani sama-sama membesar berusia tujuh tahun, kasih sayangnya pada Irdina sudah bertukar menjadi benci kononnya Irdina pernah melukakan jari Iryani sehingga berdarah. Pisau di tangan Irdina buktinya. Malah Irdina pernah jatuhkan Iryani dari basikal sewaktu pulang dari sekolah sehingga lutut Iryani pecah dan berdarah. Gara-gara kemalangan itu, Iryani ditahan selama seminggu di hospital dan menerima beberapa jahitan pada lukanya.

Iryani pula sering mengadu Irdina selalu memukulnya. Lebam-lebam di lengan dan pehanya sebagai bukti. Teruklah tangan dan kaki Irdina diketam dan dicubit Rosmah sehingga kaki dan tangan Irdina lebam-lebam. Bermula saat itu setiap malam Irdina seringkali lena bertemankan air mata. Namun Irdina tidak mengambil hati kerana dia sayangkan Rosmah. Walaupun segala kemalangan yang menimpa Iryani sewaktu kecil dulu semuanya angkara Iryani sendiri, Irdina tidak pernah membuka mulut memberitahu Rosmah. Ini kerana Irdina sayangkan Iryani lebih dari rasa benci walaupun sebenarnya mereka bukanlah adik-beradik kandung.

Mendengar kata-kata Rosmah pada Iryani itu membuatkan Irdina tersenyum mengucap syukur. Tiba-tiba saja ada air mata yang gugur bercucuran. Selama ini dia berdoa semoga ALLAH lembutkan hati Rosmah untuk benarkan dia kembali ke sekolah. Hanya ilmu saja harta yang tidak akan hilang selamanya. Bahkan ilmu itu yang akan menjaga dirinya di dunia dan di akhirat nanti.

Pintu dikuak kasar dari luar bilik. Terpacul Iryani memeluk tubuh.

“Aku rasa kau dah dengar semuanya yang mama cakap kan? Kau tunggu apa lagi? Cepatlah siapkan kerja sekolah aku yang bertimbun tu,”desak Iryani lagi.

Irdina mengesat air matanya.

“Terima kasih Yani. Kakak akan siapkan kerja sekolah Yani ni ya,” ujar Irdina gembira.

Sepanjang hari itu Irdina berhempas pulas menyiapkan kerja sekolah Iryani sehinggakan Rosmah dan Iryani dah selesai makan malam pun, Irdina masih di dalam biliknya.

“Mana pula Dina ni Yani? Dinaa… Dinaa…,” pekik Rosmah lagi.

Iryani mengangkat bahu sambil menjilat jari. Terkocoh-kacah Irdina ke dapur mendapatkan Rosmah.

“Ya mak cik. Maaf mak cik, Dina tertidur tadi,” ujar Dina berbohong.

Sejak distatuskan anak pungut, panggilan mama bertukar kepada mak cik. Mendengar alasan itu membuatkan Rosmah menyinga lagi. Jarinya ditujal kasar ke dahi Irdina.

“Ish, geramnya aku. Waktu maghrib macam ni pun kau boleh membuta. Dasar pemalas! Kau cuci semua pinggan mangkuk ni dan kemas dapur. Tak siap sebelum jam 10 malam ni, siaplah kau aku kerjakan,” ancam Rosmah lagi.

“Baik mak cik,” ujar Irdina seraya mengangkat pinggan mangkuk ke sinki.

Rosmah berlalu ke ruang tamu untuk berehat. Melihat mamanya berlalu, Iryani mendekati Irdina.

“Ingat tau Dina! Kau mesti siapkan kerja sekolah aku malam ni jugak! Jangan tidur selagi kau tak siapkan semuanya. Faham kan?” ujar Iryani mengingatkan dengan senyum sinis.

Irdina menganggukkan kepala. Cepat-cepat dia mencuci pinggan mangkuk itu. Sebentar lagi dia akan sambung siapkan kerja sekolah Iryani pula. Bila dah biasa dengan bermacam kerja berat begitu, penat dan lelah menjadi sebati dalam hidupnya. Dapat ke sekolah semula itulah menjadi motivasi pada dirinya untuk terus bertahan walaupun dia tidak tidur semalaman. Namun dalam kepayahan Irdina masih mampu tersenyum mengucap syukur. Dia mahu menjadi setegar air sungai. Tetap mengalir walaupun di celahan batu tajam.

‘Ya Allah, pinjamkan kekuatan padaku untuk terus sabar mengharungi segala ujian dan dugaan-MU. Andai kepayahan yang perlu kurintangi ini baik di sisi-MU, maka aku redha…’

Petang itu seusai kelas tuisyen subjek Matematik di sekolah, Irdina nak terus pulang ke rumah. Dia tahu banyak kerja rumah yang perlu dibereskan. Pasti banyak suruhannya bila kaki Irdina menjejak ke rumah batu dua tingkat itu nanti. Jadi, sebelum pulang, dia pastikan sebahagian besar kerja sekolahnya sudahpun siap. Tak campur lagi dengan kerja sekolah Iryani yang perlu dibereskannya malam nanti, sedangkan Iryani hanya bersenang-lenang menonton TV.

“Dinaa…psss… Sinilah kejap.”

Irdina mengalih pada empunya suara. Siapa lagi kalau bukan Iryani.

“Ada apa lagi ni Yani? Tak cukup lagi ke duit yang kakak dah bagi Yani tengahari tadi?” ujar Irdina lagi.

Setelah memastikan tiada sesiapa di sekitar kelas itu, Iryani terus menyerahkan buku-buku sekolahnya kepada Irdina. Irdina mencebik, sudah faham sangat dia. Pasti Iryani mahu keluar lagi. Kebelakangan ini kerap juga dia melihat Iryani membonceng motosikal Shahrul. Entah ke mana mereka pergi dia pun tidak tahu.

“Yani, petang semalam kan Yani dah keluar. Kenapa hari ni nak keluar lagi?” soal Irdina risau.

“Suka hati akulah nak keluar bila-bila pun. Kau tu jangan sibuk jaga tepi kain orang. Cepat-cepat balik rumah. Banyak kerja rumah yang kau kena bereskan. Pasal hal aku kau jangan sibuk. Ni buku-buku aku ni, kau bawa balik. Macam biasa kau siapkan semua kerja sekolah aku tu sebelum pagi esok. Kalau mama tanya, kau bagi alasan biasa, ok?” Iryani angkat kening gaya Ziana Zain.

“Yani keluar berdua aje dengan Shahrul, kakak risau la. Kita pun tak kenal Shahrul tu macam mana orangnya. Entah mamat motor mana tu. Entah-entah dia ambik dadah ke? Senang-senang aje Yani bonceng motorsikal dia ke mana-mana. Nanti kalau Shahrul tu buat apa-apa pada Yani, macam mana?” duga Irdina lagi.

“Haha… Sejak bila kau ambil berat pasal aku ni? Nak jadi kakak aku konon. Dah la… Simpan aje nasihat suci murni kau tu. Kau pergilah balik. Aku keluar berseronok aje. Dah Shahrul minat kat aku, aku tumpang la enjoy dengan dia. Lagipun bukan aku yang kena keluar duit belanja. Kami bukan buat apa-apa pun. Sesaja nak enjoy. Makan-makan, minum-minum. Jangan jeles! Ok, aku pergi dulu,” ujar Iryani sambil mengenyitkan mata seraya berlalu pergi.

Irdina mengerling beg plastik di tangan Iryani. Beg plastik itu mengandungi baju salin Iryani. Perlahan-lahan dia menggelengkan kepala. Rupa-rupanya dalam diam ada seseorang yang memerhatikan mereka.

“Ehm…”

Irdina mengalih ke belakang kelas. Terpacul Hilda dengan senyuman.

“Ida rupanya. Aku ingatkan siapa. Ida tak balik lagi?” soal Irdina terus berdiri mengemas buku-bukunya.

Hilda menggeleng. “Aku tunggu kau, Dina. Nak balik sama-sama. Papa aku dah belikan basikal untuk aku pergi dan balik sekolah. Jadi lepas ni dapatlah aku temankan kau Dina,” ujar Hilda riang.

“Betul ke? Alhamdulillah, dapatlah kau temankan aku pergi dan balik sekolah,” ujar Irdina dengan senang hati.

Irdina menggalas beg dan berjalan beriringan dengan Hilda.

“Dina, kau ok?” soal Hilda.

“Biasalah. Yani buat hal lagi,” ujar Irdina dengan satu keluhan.

“Dia keluar dengan Shahrul lagi ke?” soal Hilda pula.

“Ha’ah Ida. Aku dah tak tahu nak cakap macam mana lagi pada Yani. Kalau jadi apa-apa, biarlah dia tanggung sendiri. Bukan aku tak larang. Bila aku buka mulut dia kata aku sibuk jaga tepi kain baju dia. Mentang-mentanglah dia anak mak cik Rosmah. Last-last aku jugak yang kena menjawab untuk dia,” ujar Irdina.

“Aku tabik la kat kau Dina. Teruk-teruk kau selalu kena buat kerja rumah tapi masih boleh bersabar. Kalau aku, dah lama aku cabut lari,” ujar Hilda.

“Hmm…nak buat macam mana. Aku memang tak ada keluarga lain. Biarlah aku terus bersabar, namun sabar aku pun ada hadnya. Tunggulah sehingga aku habis SPM. Mungkin waktu tu aku boleh lari dari rumah kot, hehe...,” ujar Irdina bergurau.

“Hmm…ya la, Dina. Jomlah balik. Nanti kau lambat sampai rumah, kang mengamuk lagi mak cik Rosmah. Cepatlah kau pergi ambil bekas kuih kat kantin tu. Aku tunggu kat bangsal basikal ya,” ujar Hilda.

Hilda melangkah ke bangsal basikal manakala Irdina bergegas ke kantin sekolah. Ketika Irdina dan Hilda mengayuh basikal beriringan untuk pulang, tiba-tiba jalan mereka dipintas seseorang.

“Stopp… Stopp… Kejap… Kejap… Saya nak bagi ni je. Baca, jangan tak baca!”

Sepucuk surat dilayangkan masuk ke dalam raga basikal Irdina dan si pemberi surat mengayuh basikalnya laju ke hadapan sambil melambaikan tangan. Irdina dan Hilda saling memandang. Hilda sudah tersenyum-senyum.

“Wahh…ada peminat nampaknya. Siap bagi surat lagi. Faris tu budak pandai Kelas Tingkatan lima Cemerlang. Student top sekolah tu. Kau pulak budak pandai Kelas Tingkatan lima Gemilang. Padanlah kau dua orang ni,” ujar Hilda sengaja mengusik.

Irdina tidak selesa dengan kata-kata Hilda. Dia memandang kiri dan kanan jalan. Mujur tiada sesiapa di situ. Bimbang hal itu dirakam anak mata Iryani yang sudah seperti CCTV yang mengekori ke mana saja dia pergi.

“Apa kenalah si Faris ni nak bersurat-surat. Tak naklah aku layan. Waktu sekarang ni waktu belajar. Bukan waktu melayan perasaan. Apa orang kata, cinta monyet?” ujar Irdina sambil membelek-belek surat itu.

Walaupun Irdina pernah menerima mawar putih, lampu basikal dan kaset pemberian Faris, belum tentu lagi dia mahu mengikat sebarang perhubungan dengan lelaki itu.

“Alaa… Kau ni Dina. Kalau aku, aku suka tau dapat surat. Sekurang-kurangnya kau bacalah apa isi hati Faris tu. Mesti dia tulis dia minat kat kau tu,” ujar Hilda lagi.

“Hish, tak naklah aku surat tu. Aku nak fokus pelajaran. Aku tak nak diganggu. Lebih baik aku buang aje surat ni. Tak naklah aku bagi apa-apa harapan pada dia,” ujar Irdina lagi.

Terus surat itu dilayangkan ke dalam semak di tepi jalan. Hilda memandang hening surat itu mendarat ke dalam semak.

“Alaa… Tak payahlah pedulikan surat tu. Jomlah balik. Kalau mak cik Rosmah jumpa surat tu, habislah aku kena cili. Lebih baik aku tak buat salah,” ujar Irdina lagi lantas kembali mengayuh basikal.

Dia perlu ke warung Mak Leha dan Pak Diman pula. Sungguhpun begitu, Irdina tidak pernah pula menceritakan tentang sepuluh batang mawar putih yang diterima dari Faris sebelum ini. Sejak hari ke sepuluh itu dia sudah tidak lagi menerima batang mawar seperti hari-hari sebelum ini. Cuma kali ni Faris berikan surat pula.

‘Faris, saya tak nak beri harapan kosong pada awak. Saya mahu berjaya dalam pelajaran. Ilmu saja teman saya. Saya dah terima sepuluh batang mawar dulu. Jadi untuk apa saya perlu terima surat awak? Jika hari ini saya terima surat itu, saya takut saya tak mampu nak terima hati awak kemudian hari nanti. Lebih baik saya menolak sekarang, jadi tiada siapa yang akan terluka. Maafkan saya, Indra Faris. Bukan masanya lagi. Titik.’

Hilda yang masih terpaku di tepi jalan memandang lama surat itu. Melihat Irdina sudah jauh, cepat-cepat dia mengambil surat itu lalu disorokkan ke celah buku teks Matematiknya. Kemudian Hilda pun bergegas mengayuh basikal beriringan dengan Irdina. Dalam hati Hilda tak sabar-sabar nak baca surat itu.

‘Kalau Dina tak nak layan surat Faris, apa salahnya kalau aku yang layan? Dina tak minat Faris, tapi aku minat.’

Dengan detikan itu Hilda mengulum senyuman.

Belum lagi Irdina menyorong masuk basikal, pintu belakang rumah batu dua tingkat itu sudahpun terbuka. Tepat tekaannya. Rosmah sudah tercegat di situ. Irdina dapat meneka, pasti Rosmah sudah menyediakan bertimbun kerja rumah buat dirinya. Dia memberi salam, menyalami Rosmah dan bergegas ingin masuk ke dalam rumah. Namun cubitan di pinggang membuatkan Irdina mematungkan diri di hadapan Rosmah.

“Petang baru balik? Tak tahu ke banyak kerja kat rumah ni? Berapa kali aku nak ingatkan kau? Lepas sekolah terus balik. Tak payah pergi merewang ke mana-mana. Kira baguslah aku benarkan kau ke sekolah semula. Jangan hingga aku berhentikan sekolah kau dan jadikan kau orang gaji aku seumur hidup!” ujar Rosmah sambil mencubit-cubit tubuh Irdina.

“Aduhh… Mak cik, ampun mak cik. Sakitt.. Minta maaf mak cik. Hari ni ada kelas tuisyen sampai petang. Lepas habis kelas, Dina pergi ambil bekas-bekas kuih dan terus Dina pulang. Dina tak pergi ke mana-mana pun. Aduhhh… Ampun mak cik. Dina sakitt…,” ujar Irdina lagi meraung-raung.

“Ohh…pandai menjawab ya. Sini kau. Sinii… Lain kali habis kelas pagi terus balik. Tak payah pergi kelas tuisyen tu. Balik buat kerja rumah ni. Kau ingat kau boleh duduk makan, tidur free kat rumah aku ni? Banyak cantik muka kau. Dah la pak cik kau dah nikah lagi satu. Ditinggalnya aku macam ni. Mesti kau suka kan tengok aku susah macam ni kan? Lain kali, aku cakap, jangan nak menjawab. Kau dengar tak? Ishh…geramnya aku. Aku renyuk-renyuk kang budak nii…,” ujar Rosmah sambil menampar-nampar wajah Irdina dan memukul-mukul kaki dan lengannya.

“Ampun mak cik. Dina tak buat dah. Dina tak pergi tuisyen dah. Ampun mak cik. Sakit mak cikk. Sakitt…,” jerit Irdina sekuat hati.

“Tahu pun sakit. Puas hati akuu… Haa…dah, pergi masuk dapur! Bereskan semua kerja-kerja kat dapur tu. Jangan kau makan selagi belum siap semua kerja tu,” pesan Rosmah lagi lantas berlalu ke biliknya dengan hati yang berbahang.

Irdina menyandarkan tubuh ke dinding rumah. Dia mengusap lengan dan kakinya yang kebiruan akibat saban hari dicubit dan dipukul Rosmah. Air matanya menitis berjurai-jurai.

‘Ya ALLAH…kuatkan aku...’

Terhenjut-henjut Irdina masuk ke dalam bilik. Ditanggalkan tudung sekolahnya. Seketika dia merenung lebam-lebam di tubuhnya. Sengal-sengal semakin terasa berbisa. Saban hari dia hanya menyapu lebam-lebam itu dengan minyak gamat saja. Sehingga rakan-rakan di sekolah turut bertanyakan padanya apabila mereka tercium bau minyak gamat. Namun dihelahkan yang dia terjatuh dan lebam-lebam biasa saja.

Irdina menukar baju, lantas bergegas ke dapur. Seperti biasa, diangkat pinggan mangkuk ke sinki, baju-baju kotor pula dikumpulkan ke dalam mesin basuh. Petang nanti dia perlu ampaikan baju-baju itu. Menjelang malam, dia perlu memasak makan malam dan seterusnya membereskan kerja sekolah Iryani pula. Semuanya dilakukan dengan ketabahan dan kesabaran.

Dari dapur, Irdina mendengar raungan tangisan Rosmah. Dia tahu Rosmah masih bersedih kerana Haron menikah lagi. Sepanjang minggu ini Haron tiada di rumah kerana berada di rumah isteri barunya. Disebabkan hal itu Rosmah tertekan dan melepaskan segala kemarahannya pada Irdina. Namun keadaan itu lebih baik bagi Irdina kerana ketiadaan Haron itu akan lebih memberikan keselesaan kepada dirinya.

Setiap kali Haron di rumah, dia ketakutan. Takut tiba saatnya dia tidak mampu lagi menjaga dirinya dari nafsu gila bapa angkatnya itu. Bukan sekali dua Haron cuba menodainya ketika ketiadaan Rosmah dan Iryani. Namun setiapkali Haron memecah masuk ke biliknya, Irdina juga mengancam mahu memberitahu hal itu pada Rosmah. Kerana itulah Haron begitu bencikannya. Memang perkara itu Irdina rahsiakan dari pengetahuan sesiapa pun. Hanya doa pada ALLAH sebagai pelindung.

“Dina, kenapa Yani tak balik lagi?” soal Rosmah yang tiba-tiba saja muncul di muka pintu dapur.

Irdina mengurut dada terkejut dengan sapaan Rosmah.

“Err…Yani cakap dia ada studygroup di rumah kawannya, mak cik,” ujar Irdina terketar-ketar.

Masuk kali ini sudah lebih dari tiga kali dia terpaksa berbohong dengan Rosmah. Itulah yang dipinta Iryani kepadanya.

“Oh…tuisyen di rumah Amiza ya?” soal Rosmah lagi.

“Minta maaf mak cik. Dina tak tahu Yani ke rumah kawannya yang mana satu. Yani tak ada cakap. Dia hanya cakap ada studygroup di rumah kawannya saja,” ujar Irdina lagi.

Mendengar kata-kata Irdina, Rosmah pun berlalu. Irdina memejamkan mata kelegaan.

‘Nasib baik mak cik tak banyak tanya. Kalau tidak, jenuh jugak aku nak menjawabnya. Nasib kaulah Yani.’


Note : Untuk makluman para pembaca yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.