Home Novel Umum Mawar Putih Buatmu (Adaptasi dari tajuk asal "Mawar Irdina")
Mawar Putih Buatmu (Bab 5)

Irdina melangkah lemah sambil menuntun basikal menyelusuri taman perumahan di sekitar Padang Mat Sirat itu. Tayar basikalnya pancit.

‘Macam mana pun, aku mesti pergi ambil bekas kuih kat warung Mak Leha dan Pak Diman juga. Kalau tak, teruklah aku kena pukul dengan mak cik nanti.’

Tiba-tiba dadanya sesak. Tangannya sudah terlepas dari memegang basikal. Bekas-bekas kuih sudah bertaburan. Pandangannya menyilau bersatu dengan cahaya terang yang akhirnya malap dan kelam. Setelah itu dia tidak sedar lagi apa yang berlaku.

“Abang, berhenti. Ada budak pengsan tu,” ujar Sarah.

Rizman menekan brek. Sarah terus memangku gadis yang masih berbaju sekolah itu.

“Allahhu Akbar. Kesian budak ni. Dia pitam ni bang,” ujar Sarah.

Rizman terpaku saat menatap wajah Irdina. Wajah gadis itu mengingatkannya kepada seseorang. Ya. Wajahnya seiras Haryati. Tanpa berlengah, Rizman memeriksa gadis itu. Namun mereka sangat terkejut melihat ada kesan lebam di tangan gadis itu. Sarah menyelak lengan baju gadis itu sehingga ke siku. Air matanya menitis bila melihat keadaan tubuh gadis itu yang seperti didera saja.

“Astaghfirullah. Abang, lebih baik kita bawa dia ke hospital aje,” cadang Sarah.

Rizman segera mengangkat tubuh gadis itu ke dalam kereta mereka kemudian mereka membawanya ke hospital.

Di rumah batu dua tingkat itu, Rosmah sudah mundar-mandir. Sudah jam 4 petang namun Irdina masih belum pulang.

“Dina ni pergi ambil bekas kuih atau pergi buat kuih? Tak nampak lagi batang hidung. Siaplah dia bila balik nanti. Aku sebat-sebat dengan batang penyapu ni,” ujar Rosmah sambil menyinsing lengan baju ke paras siku.

“Hmm…agaknya dia takut kot, sebab tembelangnya dah pecah kat sekolah,” ujar Iryani sinis.

Sengaja dia mahu membakar kemarahan Rosmah terhadap Irdina, agar Irdina dimarahi mamanya.

“Tembelang apa yang dah pecah ni Yani? Dina buat apa kat sekolah?” soal Rosmah.

“Alaa…kan Dina sekarang ni dah pandai main-main cinta kat sekolah ma. Dah pandai bersurat-surat dengan jantan pulak. Hari tu ada sportcheck, habis semua surat tu dirampas. Heboh satu sekolah pasal hal tu. Memalukan aje. Menyampah Yani dengan Dina tu, huh,” ujar Iryani lagi.

“Betul ke Yani? Kurang ajar betul Dina ni. Siaplah bila dia balik nanti. Tak cukup kena ganyang dengan mama tiap-tiap hari pun, masih ada hati lagi nak bercinta dengan jantan. Ish, dasar anak pungut. Nak menconteng arang aje kat muka aku, hish,” ujar Rosmah geram.

“Hm…entah-entah dilencongnya duit kuih tu pergi lari dengan jantan,” ujar Iryani lagi.

Tidak sudah-sudah Iryani mahu menambah kemarahan mamanya.

“Berani dia larikan diri? Kalau dia lari, dia nak pergi ke mana? Dia memang tiada sesiapa selain kita,” ujar Rosmah lagi.

“Kalau dia buat laporan polis, macam mana?” duga Iryani lagi.

“Taklah. Bukannya Irdina tu reti nak ke bandar. Lebih-lebih lagi minggu depan kan dah mula SPM. Takkan dia tak nak ambil SPM?” ujar Rosmah lagi.

“Betul juga tu mama. Dina mesti tak pergi ke mana-mana tu. Petang nanti baliklah dia agaknya. Hm…mama, dah lama papa tak balik. Papa ke mana?” soal Iryani teragak-agak.

“Papa kamu dengan bini muda dialah. Papa kamu dah tak sayangkan mama.”

Nada marah Rosmah tadi sudah bertukar lirih. Sebening air matanya bertakung. Melihat wajah sedih mamanya, Iryani terdiam. Perhatiannya terarah ke luar rumah. Ada kereta Alza berwarna kelabu berhenti di hadapan rumah mereka.

“Siapa tu mama?” soal Iryani.

“Mama pun tak tahu. Eh, Dina ada dengan merekalah.” Tidak lepas-lepas Rosmah memerhatikan ke luar rumah. Sarah memimpin Irdina dan basikalnya.

“Assalamualaikum kak. Saya Sarah,” ujar Sarah menyua salam pada Rosmah.

Rosmah menyambut tangan Sarah acuh tak acuh.

“Maaf kak. Ini rumah Dina? Kami jumpa dia pengsan di tepi jalan sana. Jadi kami bawa dia ke hospital. Ada banyak lebam pada badannya. Dina kerap jatuh ke?” soal Sarah teragak-agak.

Entah kenapa Sarah merasa ada yang tidak kena dengan perempuan yang mengaku ibu Irdina itu. Perempuan itu seperti menyembunyikan sesuatu.

“Oh, ya ke? Patutlah saya tunggu Dina, tak balik-balik. Terima kasih. Susah-susah aje puan hantarkan Irdina. Dina ni memang nakal budaknya. Banyak main, sebab tu kerap jatuh,” ujar Rosmah lagi.

“Oo… Kak, ini ubatnya dan bekas-bekas kuih. Saya minta diri dulu ya.”

Sarah memandang Irdina.

“Dina jaga diri. Jangan lupa makan ubat. Biar cepat sembuh. Kalau sejuk pakai baju tebal. Takut kamu semput lagi,” pesan Sarah lagi.

“Oh, Dina memang mengidap lelah sejak kecil lagi,” celah Rosmah pula.

Irdina menyalami Sarah. Setelah itu Sarah pun masuk ke dalam kereta. Senang hatinya bila sudah menghantar Irdina pulang.

“Kasihannya budak Dina tu kan bang,” ujar Sarah.

“Awak ada tanya pasal lebam tu kat mak Dina?” soal Rizman.

“Ada bang. Mak Dina cakap Dina nakal, banyak main dan kerap terjatuh. Sebab itulah badannya banyak lebam. Mak Dina cakap Dina memang sakit lelah sejak kecil lagi,” ujar Sarah lagi.

“Betul ke? Awak rasa Dina yang ada penyakit semput tu memang jenis aktif bermain ke? Abang tengok lebam pada tangan Dina tu macam lebam dipukul benda keras aje. Abang pun perasan wajah Dina lain aje dengan wajah mak dia. Entah-entah perempuan tu bukan mak kandung Dina?” serkap Rizman pula.

“Kenapa abang macam ambil berat dengan budak Dina tu?” soal Sarah.

“Sarah, abang rasa pelik.. Budak Dina tu memang seiras Haryati,” ujar Rizman.

Sarah terdiam. Hatinya terusik. Suaminya masih tetap mencintai Haryati. Tidak hairanlah kenapa arwah ibu mertuanya menghalau Haryati agar kasih Rizman akan beralih kepadanya. Namun selama 17 tahun ini, cinta di hati suaminya tetap utuh buat Haryati. Namun Sarah bersyukur kerana Rizman tetap bertanggungjawab terhadapnya.

“Wajah, cara renungan, cara berjalan. Semuanya sama,” ujar Rizman lagi.

“Jadi, abang nak kata Dina tu anak Haryati?” soal Sarah pula.

“Kalau betul dia anak Haryati, dia juga kemungkinan anak abang. Astaghfirullah. Mungkin abang terlalu fikirkan Haryati dan anak abang. Abang memang nak jumpa Haryati dan anak abang sebelum menutup mata. Maafkan abang Sarah,” ujar Rizman lagi.

Sarah tersenyum tawar.

“Tak apa, Sarah faham. Insya-ALLAH kita cari kak Yati,” ujar Sarah lagi.

Melihat Alza kelabu WVH 6342 itu sudah meninggalkan rumah batu dua tingkat itu, Rosmah cepat-cepat mengheret lengan Irdina masuk ke dalam rumah. Penyapu lidi di belakang pintu dapur dicapai.

“Dina, jangan ingat nak rehat dan tidur. Mari sini kau. Aku suruh kau pergi ambil bekas kuih. Yang kau pergi pengsan kat tepi jalan tu kenapa?” soal Rosmah kasar.

Penyapu di tangan disebatkan ke kaki Irdina. Habis kaki Irdina berbirat dengan jalur merah.

“Ampun mak cik. Dina tak sedar pun Dina pengsan. Mak cik, Dina sakitt… Yani tolong kakak. Tolongg… Mak cik, jangan mak cik. Dina sakitt… Sakitt…”

“Oo, pandai menjawab ya. Apa yang kau bukak cerita kat orang kaya tu? Nak raih simpati mereka ya? Kat sekolah tak cukup lagi kau nak menggatal main surat cinta. Lepas tu kau nak bodek orang kaya tu pulak. Memang dasar anak pungut, nak ambik kesempatan aje. Geramnya aku. Kau nak cabar aku kan? Kau ingat tak apa aku cakap hari tu? Telinga ni kau letak kat kepala lutut ke? Tak dengar apa aku cakap! Meh sini kau… Aku nak bakar basikal kesayangan kau ni. Biar kau dah tak payah pergi sekolah! Biar jadi orang gaji aku seumur hidup!” tegas Rosmah, sambil menarik dan memulas telinga Irdina beberapa kali.

Rosmah melangkah ke bangsal basikal. Basikal Irdina dihempas ke lantai.

“Mak cik, jangan mak cikk… Jangan bakar basikal Dina. Tolonglah mak cikk..,” rayu Irdina sudah menangis teresak-esak.

Tiba-tiba guruh berdentum dan kilat sabung menyabung diikuti hujan lebat. Mancis di tangan Rosmah dicampak ke lantai. Entah kenapa Rosmah merasa gerun. Mungkin kerana dia tahu Irdina tidak bersalah. Sebaliknya dia yang terlalu mengikut nafsu dan amarah bencinya.

“Ish… Dah la, kau pergi basuh mangkuk pinggan kat dapur tu. Kemudian, kau cuci baju-baju tu semua. Sebelum pagi esok aku nak semuanya siap. Kau jangan makan selagi tak bereskan semua kerja ni,” ujar Rosmah lagi kemudian berlalu ke biliknya.

Irdina yang tidak berdaya hanya mengangguk lemah. Iryani sudahpun melayar mimpi. Tinggallah Irdina seorang diri di dapur menghabiskan kerja-kerja di dapur. Tangisannya melebat. Dia hanya mampu bersabar dengan semua keperitan itu. Hanya dipanjatkan doa agar Allah terus kentalkan hatinya dalam mengharungi segala ujian itu.

‘Ya ALLAH, jika semua ujian ini baik untuk dekatkan aku dengan-Mu, maka teruslah berikan padaku, agar dengan ujian ini aku terdidik untuk lebih bersabar dengan ujian-Mu. Ya ALLAH, Kau pinjamkanlah kekuatan padaku agar aku mampu mengharunginya. Janganlah berikan sesuatu yang tak mampu aku memikulnya. Ampunkanlah dosaku, dosa kedua ibu bapaku serta dosa mak cik Rosmah, pak cik Haron dan Iryani. Berilah petunjuk pada kami semua ya ALLAH. Amin.’

Beberapa bulan kemudian..

Keputusan SPM membariskan Irdina dan Faris antara pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 9A. Namun tiada pula Hilda dan Iryani. Setahu Irdina, Iryani ada beritahu Rosmah, dia keluar awal pagi tadi kerana mahu mengambil keputusan SPM tetapi sebenarnya itu hanyalah alasan untuk dia keluar dengan Shahrul. Irdina ada juga ke rumah Hilda pagi tadi, namun ibunya memberitahu yang Hilda juga sudah keluar.

‘Agaknya Hilda memang tak datang ambil keputusan peperiksaan hari ni kot.’

Sejak kes surat cinta Faris itu heboh satu sekolah tempoh hari, sikap Hilda berubah 360 darjah. Dia suka meminggir diri dan sudah tidak mahu berkawan dengan Irdina. Dari khabar angin yang didengari, Hilda sekarang selalu keluar dengan seorang lelaki bernama Razif. Mendengar khabar angin sebegitu, Irdina turut merasa risau. Hanya doa saja dipanjatkan agar tiada apa-apa yang buruk menimpa Hilda.

Irdina melihat rakan-rakannya yang lain, masing-masing mengucapkan tahniah sesama mereka. Namun hanya sugul menghiasi wajahnya. Entah kepada siapa kejayaan itu mahu dipersembahkan? Rosmah, sebelah mata pun tak ingin memandang segala kebaikan dirinya. Sudahnya, dia pasrah dan menerima hakikat yang dirinya takkan ke mana-mana setelah Rosmah menetapkan dia akan menjfadi orang gaji di rumah batu dua tingkat itu seumur hidupnya.

“Dina, awak dah fikir masak-masak? Awak tak sayangkan masa depan awak? Awak berpotensi untuk ke menara gading. Ini borang kemasukan ke IPTA/IPTS, awak isilah. Manalah tahu, ada rezeki untuk awak mengejar impian awak. Insya-ALLAH ilmu akan mengubah diri awak menjadi seseorang yang berguna pada agama dan negara,” pujuk ustazah Seri lagi sambil menghulurkan satu set borang kepada Irdina.

Irdina menyambut lemah borang itu. Digagahi juga jemarinya mengisi borang itu. Namun di hatinya dia langsung tidak berharap. Bimbang kecewa jika harapan yang disandarkan tidak menjadi. Selesai mengisi, borang itu diserahkan kembali pada ustazah Seri.

“Terima kasih, ustazah,” ujar Irdina lagi.

Selama ini memang ustazah Seri yang banyak memberikan dorongan semangat dan motivasi kepadanya hingga dia berjaya dalam SPM hari ini.

“Tahniah sekali lagi pada kamu. Ustazah tunggu berita baik ini dari kamu tau,” ujar ustazah Seri lagi sambil menggoyangkan borang Irdina.

“Insya-ALLAH ustazah.”

Irdina senyum hambar. Sungguhpun dia berjaya dalam SPM, dia sendiri tidak pasti ke mana halu tujunya selepas ini. Tiba-tiba ustazah Seri memeluk erat tubuh Irdina. Lalu dibisikkan kata-kata keramat yang menusuk ke jiwanya.

“Bila dirundung duka, ingat pesan ALLAH ‘la tahzan’ (jangan bersedih, Dia ada). Bila kembali ceria ingat kata-kata ini ‘la taghtar’ (jangan terbuai Dia masih menduga),”

Air matanya meluncur laju. Segera bahu ustazah Seri dipaut lagi.

“Jangan berhenti berharap, kerana ALLAH tak pernah berhenti mengingatkan, rahmat dan kasih sayang-Nya itu hanya untuk hamba-Nya yang bersabar tatkala diuji. Jangan merasa seorang diri, kerana ALLAH itu dekat dengan kita. ALLAH itu lebih dari cukup!” bisik ustazah Seri lagi.

“Terima kasih, ustazah. Doakan saya sentiasa dalam perlindungan ALLAH,” ujar Irdina.

“Insya-ALLAH, kita sentiasa dalam perlindungan ALLAH tatkala masih berada dalam dua nikmat-Nya terbesar, iaitu Iman dan Islam. Jaga Iman dan Islam kamu, Insya-ALLAH ALLAH jaga hidup kamu dunia dan akhirat,” tambah ustazah Seri lagi.

Tumpuan mereka berdua teralih pada pengumuman yang meminta kesemua para calon SPM dan pelajar berhimpun di dataran. Ada taklimat dari pengetua sekolah. Juga akan diumumkan keputusan peperiksaan SPM. Irdina merenung kembali wajah ustazah Seri.

“Ingat pesan ustazah tadi ya. Ini hadiah dari ustazah buat kamu. Jaga ia dalam hati kamu,” ujar Ustazah Seri lagi.

Irdina mengucup tangan ustazah Seri tatkala hadiah itu berpindah tangan.

“Insya-ALLAH. Terima kasih, ustazah,” ucap Irdina lagi.


Note : Untuk makluman para pembaca yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.