Home Novel Umum Mawar Putih Buatmu (Adaptasi dari tajuk asal "Mawar Irdina")
Mawar Putih Buatmu (Bab 14)

Irdina mengerling jam di tangan, lagi lima minit jam 10 malam. Suasana di perpustakaan kampus UUM itu sudah mula lengang kerana rata-rata pelajar sudahpun beredar pulang. Hanya Irdina yang masih berkejar dengan masa. Dia nak selesaikan kerja subjek tutorial esok, agar di rumah dia boleh ruangkan waktu untuk membantu Mak Siti di dapur.

Sejak dia mendaftar masuk ke kampus UUM sejak beberapa bulan lalu, itulah rutin masanya. Setiap hari kelas bermula seawal jam 8 pagi. Jadi pagi-pagi dia terpaksa keluar seawal jam 7.15pagi untuk elak lewat. Kalau terlewat keluar, memang dia terpaksa berebut-rebut dengan pelajar lain untuk menaiki bas. Setiap waktu kelas subjek akaun di DKG 2 (Dewan Kuliah Gugusan 2) memakan masa kira-kira dua jam. DKG 2 berhampiran COB (college of business).

“Hai Dina, tak balik lagi? Tak takut ke duduk sorang-sorang?”

Suara itu begitu dikenalinya. Serentak itu tangan milik suara itu menampar lembut ke bahu Irdina.

“Arie, ingatkan siapa tadi. Arie pun tak balik lagi?”

Ariyana mengangkat bahu. Rambut pendek paras leher diraut-raut bersama elusan lembut di leher. Sejak pagi tadi memang dia jugak ralit tercatuk di perpustakaan itu menelaah beberapa buku rujukan untuk dimuatkan ke dalam kertas kerja khusus. Perlahan Ariyana menggelengkan kepala. Kedua tangannya memeluk leher yang kelenguhan. Sekejap-sekejap tangan kanannya mengetuk-ngetuk bahu kanannya juga.

“Aku pun busy jugak. Kau bukannya tak tahu puan Mieza tu kalau lewat hantar kerja dia, siaplah satu kelas kena dengar ceramah free dia, huh. Lega aku bila dah siap. Boleh tidur sampai petang, hehe..” Seraya Ariyana mengenyitkan mata.

Memang hobinya membuta aje kalau dah siap semua kerja. Tapi bab skor dalam akademik, Ariyana memang the first student. Irdina hanya tersenyum. Anak matanya masih menghadap buku rujukannya. Melihat reaksi Irdina, Ariyana bingkas bangun. Jam di pergelangan tangan direnung sejenak.

“Eh, Dina aku balik dululah. Lambat-lambat kang aku kena panjat plak pagar hostel tu nanti. Dah dekat musim pilihanraya kampus ni, makin ketat la kawalan di hostel pada waktu malam. Aku balik dulu. Kau tu tinggal kat luar. Anak dara plak tu. Balik nanti hati-hati tau. Jangan balik lewat malam sangat,” pesan Ariyana lagi.

“Elleh… Macamlah dia tu bukan anak dara,” ujar Irdina tergelak.

“Haha… Memang la aku anak dara. Tapi aku tinggal kat hostel, dekat la sikit kat kachi tu. Kau tu tinggal kat rumah. Jauh tu nak balik. Apa-apa pun boleh jadi tau. Itulah, aku ajak tinggal dengan aku kat hostel, kau tak nak.”

“Insya-Allah, aku selamat aje. Pergilah kau balik. Karang dah jam 11, kau tak boleh masuk hostel nanti,” ujar Irdina lagi.

“Ok. Aku blah dulu.” Serentak itu Ariyana terus berlari ke kawasan parkir motorsikal.

Irdina menggeleng lembut. Ada senyuman terukir di bibir. Ariyana walaupun dia seorang gadis ala-ala tomboy, tapi dia baik hati dan mesra dengan orang lain. Tidak hairanlah ramai pelajar yang sejurusan dengan mereka menyenangi Ariyana. Tersenyum Irdina bila teringatkan saat perkenalan dia dan Ariyana dulu.

Imbas kembali

Minggu orentasi pelajar-pelajar baru di kampus UUM itu baru saja berakhir. Tengahari itu Irdina sudah bertekad mahu memborong segala jenis alatan tulis dan buku-buku di Varsity Mall. Oleh kerana tak cukup tangan, habis barang-barangnya jatuh bertaburan di hadapan Varsity Mall. Ketika dia memungut satu demi satu barang-barangnya, saat itulah dia dibantu seseorang. Seseorang itu disangka Irdina seorang lelaki kerana dia memakai jeans biru dengan t-shirt biru lengan pendek. Rambutnya yang hanya di paras leher mengesahkan lagi bahawa orang yang membantunya saat itu adalah lelaki. Terkejut dia bila lelaki itu menghulurkan tangan mahu bersalam dengannya.

“Err… Maaf, saya tak bersalam dengan lelaki.” Gugup Irdina menuturkan kata-kata itu.

Namun lelaki itu tidak pula menarik kembali tangannya. Sebaliknya lelaki itu tersenyum-senyum pula dengan pipi yang sudah merona kemerahan.

My name is Ariyana Asyraf. Biasa kengkawan panggil Arie aje,” ujar Ariyana sambil tersengeh-sengeh menahan malu.

Terus saja Irdina menekup mulutnya.

“Err… Saya minta maaf. Saya ingatkan awak ni…tadi…”

Tanpa meneruskan kata-kata, terus tangan Ariyana disambutnya.

“Awak boleh panggil saya, Dina. Maafkan saya ya,” ujar Irdina lagi.

“It’s ok. Meh la saya tolong awak bawa barang-barang awak ni. Banyaknya awak beli. Awak ni badan kecik tapi bawa banyak barang macam ni, memanglah bertabur sana-sini. Ish…, meh sini, biar saya tolong.”

Irdina tersenyum lagi. Lamunan itu pun sirna. Namun sehingga sekarang Ariyanalah rakan sejurusan yang selalu membantunya itu dan ini. Baginya walaupun Ariyana orangnya ala-ala tomboy, tapi hatinya baik. Irdina terus menyambung kerja menelaah buku rujukannya lagi. Hari ini kelas hari khamis bermula jam 8 dan berakhir jam 6 petang tadi. Memandangkan jumaat dan sabtu minggu itu tiada kelas, kesempatan itulah diambil Irdina untuk bersendirian di perpustakaan menyiapkan segala tugasan pada malam itu. Dia tidak mahu hujung minggu terganggu dengan urusan tugasan tutorial yang tidak selesai.

Lagipun hujung minggu itu Mak Siti ada memaklumkannya, anak angkat Sarah nak datang ke Villa Mawar Putih, menziarah Rizman dan Sarah. Menurut cerita Mak Siti, anak angkat Sarah itu baru pulang dari Turki dan bekerja sebagai doktor. Jadi Irdina merasa bertanggungjawab untuk menolong Mak Siti memasak di dapur.

Selesai mengemas barang-barang, Irdina membuka dompet. Mahu mengambil duit untuk dibuat tambang tiket teksi. Namun dia hampa sendiri. Duit yang ada tidak cukup untuk dibuat tambang bas balik ke rumah.

‘Macam mana pun, aku mesti singgah di Varsity Mall jugak malam ni. Duit dalam purse dah habis. Kredit handset pun dah habis. Kalau jadi apa-apa, tak kuasa aku nak tebal muka pinjam duit kat orang.’

Oleh kerana waktu dah menginjak ke tengah malam, dalam kampus memang jarang-jarang ada teksi, jadi Irdina memutuskan untuk berjalan kaki saja. Baru separuh perjalanan, entah kenapa dia mula merasa seram sejuk. Lebih-lebih lagi bila dia mula menyedari ada seorang lelaki sedang mengekorinya di belakang. Lelaki itu berbaju sejuk dan menutup kepalanya dengan penutup kepala. Semakin Irdina melajukan langkah, lelaki itu turut melajukan langkahnya. Menyedari lelaki itu sudah termengah-mengah, terus saja Irdina berhenti dan menoleh. Perlahan-lahan lelaki itu menanggalkan penutup kepalanya.

“ALLAH, lajunya awak lari. Penat saya nak mengejar awak!” keluh lelaki itu termengah-mengah.

Anak mata Irdina mencerlung ke wajah lelaki itu.

“La… Tuan Muda rupanya. Saya ingatkan orang jahat manalah nak meragut saya,” ujar Irdina.

Entah kenapa dia merasa gembira pula bila melihat Faris yang kepenatan. Anak matanya kemudian dipicingkan menangkap bunyi dentuman guruh di langit. Nampaknya kampus UUM itu akan disirami hujan lebat lagi malam itu.

“Ada apa Tuan Muda kejar saya ni?” soal Irdina.

“Mak Siti suruh saya datang sini, jemput awak balik. Awak buat apa sampai lewat malam macam ni?” soal Faris serius.

Irdina telan liur.

“Saya study kat libry sana. Kemudian saya nak ke Varsity Mall, situ ada mesin atm. Saya nak keluarkan duit, buat tambang balik rumah,” jawab.

“Awak, kalau nak study tu janganlah sampai lewat malam. Kalau jadi apa-apa pada awak, siapa yang nak selamatkan awak?” soal Faris, risau.

“Saya tak nak susahkan sesiapa. Tuan Rizman dah tanggung yuran pengajian saya di kampus ni pun saya dah bersyukur sangat. Insya-ALLAH saya jaga diri. Tuan Muda janganlah risaukan saya. Saya boleh balik sendiri nanti,” ujar Irdina lagi.

Tiba-tiba Faris menarik tangan Irdina. Jemari halus Irdina digenggam erat-erat. Hujan pula sudah renyai-renyai membasahi mereka. Pantas tangan Irdina ditarik ke laluan berbumbung.

“Tentulah saya risaukan awak. Awak isteri saya,” tuntas Faris lagi.

Belum sempat Irdina berkata-kata, muncul satu tangan menarik tangannya dari pegangan tangan Faris.

“Cepatt… Jom lari nakk..,” ujar satu suara yang asing bagi dirinya.

Rupanya mak cik cleaner. Irdina terpinga-pinga namun dia turut juga berlari.

‘Boleh tahan juga orang tua ni bawa aku lari.’

Setelah kedua-duanya menjejakkan kaki ke perkarangan stesen bas, kedua-duanya melepaskan hembus kelegaan. Irdina ketawa geli hati tiba-tiba. Cepat-cepat dia mengesat peluh di dahi dengan hujung tudung. Buku-buku yang terkena hujan dikesat-kesat dengan hujung tudungnya. Mujur hujan tidak lebat. Hanya renyai-renyai. Namun cukup memberikan nostalgia tatkala dia mengingati kata-kata Faris tadi.

“Tentulah saya risaukan awak. Awak isteri saya,”

Irdina menunggu mak cik itu selesai melepaskan lelahnya.

“Fuhh… Jauh jugak kan kita lari tadi, kan mak cik,”

“Ya, kan namanya langkah seribu, memang jauh pun. Nasiblah lelaki jahat tu tak ekori kita kan. Kuat agaknya mak cik pukul dia tadi,”

Irdina terlopong. Tubuhnya ditegakkan.

‘Pukul? Faris kena pukul ke tadi? Kesiannya.’

“Mak cik pukul lelaki tadi? Mak cik pukul dengan apa?” soal Irdina, sudah dihurungi kerisauan.

“Mak cik baru balik dari mengemas dewan sana. Mujur batang penyapu masih di tangan ni. Sekali mak cik pukul lengan dan dahinya dengan batang penyapu tu sekuat hati, teruslah mak cik tarik tangan anak lari sama-sama, “ ujar mak cik cleaner itu dengan penuh ‘excited’nya.

“Mak cik pukul lelaki tu sekuat hati? Err… Terima kasih mak cik. Mak cik memang bekerja di kampus ni ke?” soal Irdina sengaja menukar topik perbualan.

Irdina menjungkit tubuh. Beberapa dia melangoi ke arah tempat dia dan Faris berdiri tadi. Tiada pula kelibat Faris di situ. Hatinya berbaur rasa bersalah. Sekeping wajah itu membesar di wajahnya kini. Girang sudah bertukar bimbang.

‘Kesiannya dia. Kesian suamiku. Suami? Ahh… Gelaran itu hanya istilah. Hakikatnya antara aku dan dia memang tak ada apa-apa perasaan pun sejak dulu. Itu dulu, kini pula? Tapi kenapa hati ini bimbangkan dia pula? Tapi aku tetap isteri dia dan dia tetap suamiku.’

Segera kata-kata Faris tadi menerjah ke minda.

“Tentulah saya risaukan awak. Awak isteri saya,”

Akhirnya dia mengangkat bahu. Tiada jawapan pasti.

Selepas mengucapkan terima kasih pada mak cik cleaner itu, Irdina meminta diri untuk pulang.

“Anak nak balik rumah dengan apa? Bas dah tak ada malam-malam gini,” ujar mak cik cleaner prihatin.

“Tak apa mak cik, nanti saya ambik teksi aje kat luar kampus. Terima kasih mak cik. Oh ya, siapa nama mak cik?” soal Irdina lagi.

“Oh, panggil aje Mak Yati. Mak cik tinggal di kuaters pekerja, tak jauh dari sini. Ini nombor telefon bimbit mak cik. Anak ambillah. Kalau anak balik malam-malam atau perlukan bantuan, hubungilah mak cik. Insya-ALLAH mak cik tolong apa yang patut. Bukannya apa. Risau berlaku perkara yang tidak diingini. Dah banyak dah kes berlaku. Itu sebablah Mak Yati tak nak apa-apa berlaku pada anak,” ujar Mak Yati bersungguh-sungguh.

Irdina mengangguk faham.

“Insya-ALLAH Mak Yati. Nanti saya akan hubungi Mak Yati kalau perlukan bantuan. Terima kasih banyak ya Mak Yati Saya minta diri dulu,” ujar Irdina.

Tangan tua Mak Yati dicapai. Satu kucupan hinggap di jemari tua itu. Terharu dengan kesantunan Irdina, spontan Mak Yati menarik Irdina ke dalam dakapannya. Tangisannya segera berlagu. Irdina membalas pelukan Mak Yati. Entah apa perasaan yang mengalir ke hatinya saat itu. Perlahan-lahan bahu Mak Yati diusap. Dengan berat hati Mak Yati meleraikan pelukannya. Dia mengesat air jernih di tubir mata.

“Maafkan Mak Yati ye nak. Mak Yati hanya teringatkan arwah anak perempuan Mak Yati yang meninggal sejak kecil. Mak Yati minta diri dulu ya nak,”

Irdina menggangguk perlahan sambil tersenyum nipis. Dia tidak tahu nak cakap apa. Hanya menghantar pandangan sayu sehingga kelibat Mak Yati menghilang dari pandangan. Tidak ada sesiapa pernah memeluknya seperti yang dilakukan Mak Yati tadi. Hakikatnya dia tidak pernah merasa kasih sayang seorang ibu. Apatah lagi menatap wajah ibu yang melahirkannya.

Irdina memandang ke kiri dan kanan, namun tiada pula kelihatan kelibat bas atau teksi. Kampus UUM makin sunyi. Malam semakin kelam juga. Mujur juga ada cahaya dari lampu di tepi jalan. Irdina memandang jam.

‘ALLAH, patutlah sunyi. Rupanya dah dekat jam 11 malam. Macam mana aku nak balik ni. Handset pun tak ada kredit. Aduhh…’

Akhirnya Irdina nekad berjalan kaki saja. Manalah tau kalau-kalau ada teksi yang lalu. Boleh juga ditahan. Baru saja kakinya mahu melangkah, satu hon mengejutkannya. BMW hitam mendarat perlahan di tepinya. Cermin BMW perlahan diturunkan. Terpacul wajah Faris tanpa sebarang reaksi. Hanya dia mengisyaratkan agar Irdina masuk ke dalam BMW itu.

Irdina mengangguk. Segan-segan dia melangkah masuk ke dalam kereta mewah itu. Namun dalam hati dia lega sebenarnya. Buat seketika keduanya hanya berdiam diri melayan perasaan masing-masing.

“Sebenarnya awak nak ke mana tadi? Siapa mak cik yang larikan awak tadi?” soal Faris.

“Err… Saya dari libry, tadi ingat nak ke Varsity Mall. Nak keluarkan duit di atm di situ. Mak cik tu namanya Mak Yati, kerja cleaner kat sini. Dia hanya nak selamatkan saya. Apa yang berlaku tadi hanyalah salah faham. Saya minta maaf bagi pihak dia.,” ujar Irdina.

Tiba-tiba Faris tergelak.

“Mak cik tu nak selamatkan awak? Jadi dia ingat saya ni orang jahat ke? Kalau saya ni orang jahat, entah ke mana penjahat tu bawa lari awak,” sempat lagi Faris berleter.

Irdina terdiam. Menunggu Faris menyambung bicara.

“Habis tu kenapa dia tinggalkan awak sorang-sorang? Awak pun kenapa tak call saya? Nasib baik Mak Siti suruh saya jemput awak,” ujar Faris lagi.

Irdina mengangkat bahu. Diam seketika.

“Awak dah makan belum?”

Belumpun Irdina menjawab, Faris sudahpun membelok kereta di perkarangan DKG 5. BMW hitamnya mendarat betul-betul di hadapan Kafe Cengkih.

“Jom,” ucap Faris.

Tanpa berkata apa-apa, Irdina terus melangkah keluar. Faris memilih sebuah meja makan yang agak terpencil kedudukannya dengan meja-meja makan yang lain.

“Awak nak makan apa?”

“Err… Apa-apa aje la. Tak kisah,” ujar Irdina segan-segan.

Faris berlalu ke kaunter. Dia menulis beberapa pesanan makanan dan minuman.

Ralit Irdina memerhatikan Faris. Luka di dahi Faris yang masih punya darah itu membuat hatinya rasa tidak senang. Faris kembali dengan menatang dulang berisi makanan dan minuman. Mereka makan tanpa banyak bicara walaupun adakalanya Irdina kekok sungguh bila makan berhadapan dengan Faris begitu.

‘Indra Faris, apa maksud semua ini? Sebenarnya aku ini siapa di hatimu?’

Persoalan itu hanya bergendang di minda Irdina. Sesekali dia melirik pandang pada luka di dahi Faris, hatinya pula yang terasa pedihnya. Seakan perasan dengan lirikan mata Irdina pada luka di dahinya, Faris tersenyum.

‘Mawar Irdina, sengaja aku mahu berdua-duaan denganmu isteriku, takkan itu pun kau tak senang? Hadiahkanlah sedikit senyummu padaku.’

“Kenapa awak pandang saya macam tu? Awak risau tengok luka kat dahi saya ke?”

Irdina terkedu. Faris senyum lagi.

“Risau jugak awak kat saya. Ada orang kata risau tu tanda sayang, betul ke?”

Irdina jungkit bahu. Wajahnya sudah merona kemerahan. Dia tunduk memandang meja.

“Hm… Macam mana study awak, ok tak?” soal Faris setelah menghirup baki jus .

“Alhamdulillah, semuanya baik-baik,” ringkas jawapan Irdina membuatkan Faris kelu pula mahu bertanya lebih lanjut mengenai pembelajaran Irdina di kampus itu.

“Ada sesiapa tahu tak status awak?” soalan cepu mas dari Faris.

Kalut-kalut Irdina menggeleng. Spontan Faris tersenyum lagi bila anak matanya bertatapan dengan anak mata hazel Irdina. Comel pula Irdina beraksi begitu.

‘Mawar Irdina, kenapalah awak ni serius aje? Wajah awak sangat manis kalau awak tersenyum. Dapat pahala lagi tau. Bukan senang kita dapat berdua-duan begini..’

‘Ish, Faris ni kenapa asyik senyum aje? Luka kat dahi tu tak reti nak sakit ke? Atau ada apa-apa yang comot ke kat muka aku?’

Irdina menarik-narik tudung ke belakang. Segan juga kalau tudungnya senget kat mana-mana. Sesekali dia mengerling ke jarum jam di pergelangan tangan. Waktu sudahpun melewati jam 12 tengahmalam.

‘Faris ni dah berdating dengan aku kat sini. Takkan sampai tak ingat nak balik rumah? Apa pula kata Tuan dan Puan nanti. Apa pulak aku nak jawab pada Mak Siti. Aduyai...’

Mengerti dengan isyarat itu, Faris segera bangun ke kaunter. Selesai menjelaskan bayaran bil, dia mengisyaratkan Irdina agar mereka ke BMW hitam. Sepanjang perjalanan, mereka hanya berdiam diri saja. Namun yang menghairankan Irdina, Faris tiba-tiba menghentikan BMW di tepi jalan tidak jauh dari perkarangan Villa Mawar Putih. Faris menahan teksi yang kebetulan lalu di situ. Mereka berdiri berhadapan.

“Mawar, saya hantar awak di sini aje. Awak pulang sendiri dengan teksi ni ya. Pandai-pandailah awak jawab dengan papa, mama Sarah dan Mak Siti. Asalkan jangan cakap yang saya pernah jemput awak walaupun tadi Mak Siti yang suruh saya jemput awak. Ok, jaga diri awak baik-baik,” ujar Faris lagi.

“Err… Tuan Muda, tunggu kejap.”

Faris tidak jadi melangkah.

“Kenapa Mawar?”

Irdina mengeluarkan plaster dari beg sandangnya. Cepat-cepat dia melekatkan plaster itu ke dahi Faris. Kemudian tangan Faris terus disalam dan dicium. Faris tersenyum.

“Macam tu la isteri solehah abang, thank’s Mawar,” ucap Faris membuatkan Irdina terkedu lagi. Belum sempat Irdina mengucapkan terima kasih, Faris sudahpun menghidupkan enjin kereta.

‘Terima kasih, Indra Faris!’

Dengan detikan itu, barulah bibirnya menguntum senyuman.


Note : Untuk makluman para pembaca yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…

~ Annur Iman ~

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.