Home Novel Umum Mawar Putih Buatmu (Adaptasi dari tajuk asal "Mawar Irdina")
Mawar Putih Buatmu (Bab 11)

Teksi yang dinaiki akhirnya tiba di hadapan Villa Mawar Putih. Ketika kaki Irdina menjejak ke halaman villa itu, anak matanya tidak berkedip merenung taman mawar putih itu. Faris tersenyum. Serta-merta kenangan sepuluh batang mawar putih lalu terimbas di minda.

“Kalau awak nak tahu, sepuluh batang mawar putih yang saya bagi awak dulu, saya petik dari pasu papa. Tapi tu dulu sewaktu kami tinggal di Langkawi. Bila dah berpindah ke sini, papa tanam pokok-pokok mawar ni di tanah. Jadilah taman mawar putih macam ini. Sejak itu rumah ni diletakkan nama Villa Mawar Putih. Sebab papa sangat sukakan mawar putih. Juga lambang ingatan cinta papa pada Mama Haryati,” ujar Faris lagi.

“Malam tadi awak cakap kat rumah ni hanya ada papa awak, mama Sarah awak dan Mak Siti pembantu rumah. Siapa pula Mama Haryati?” soal Irdina teragak-agak.

“Mama Haryati, isteri pertama papa. Hilang tanpa dapat dikesan. Namun cinta papa pada mama Haryati tak pernah pudar. Mama Haryati sangat sukakan mawar putih. Sebab itulah papa tanam dan buatkan taman mawar putih ni sebagai ingatan, kasih dan cinta papa buat mama Haryati,” ujar Faris lagi.

Irdina kurang jelas, namun dianggukkan juga kepalanya. Faris melangkah ke pintu belakang rumah. Irdina membuntutinya. Teringat pula dia pada pintu belakang rumah batu dua tingkat keluarga angkatnya dulu. Memang dia selalu masuk rumah itu ikut pintu belakang saja.

“Kita masuk pintu belakang aje. Lagipun sekarang baru jam 9 pagi. Biasanya waktu sekarang papa dan Mama Sarah dah keluar pergi kerja. Mak Siti pula mesti dah keluar ke pasar. Jomlah masuk,” ujar Faris lagi.

Irdina mengangguk lagi. Terpegun dia melihat dapur villa itu yang sungguh kemas dan bersih itu. Memang keluarga itu begitu mementingkan kebersihan. Tong sampahnya pun bersih. Pasti sampahnya sudah dibuang awal-awal pagi lagi. Kalau di rumah batu dua tingkat keluarga angkatnya dulu, kerja buang sampah tu sudahpun menjadi rutin hariannya setiap malam.

Faris membuka pintu sebuah bilik tamu di sebelah bilik Mak Siti. Bilik itu memang sudah siap dikemas Mak Siti.

“Masuklah. Ini bilik awak. Bilik saya di tingkat atas sana. Bilik Mak Siti kat sebelah ni aje. Ketuk aje kalau awak nak apa-apa,” ujar Faris lagi.

Irdina mengangguk. Belum sempat dia melangkah masuk ke bilik itu, suara seseorang mengejutkan mereka. Saat itu spontan Irdina bersembunyi di belakang Faris.

“Tuan Muda rupanya. Bila sampai?” soal Mak Siti.

Di tangannya terjinjing raga penuh dengan sayur, barang dapur dan bahan-bahan mentah. Memang Mak Siti baru pulang dari pasar. Mak Siti mengalih pandang pada Irdina yang kelihatan takut-takut. Mak Siti tersenyum.

“Eh, siapa tu Tuan Muda?”

Faris segan-segan dengan Mak Siti.

“Err… Mak Siti, mulai hari ni, Cinderella akan jadi pembantu Mak Siti,” ujar Faris.

Irdina pelik. Cinderella? Serta-merta Irdina dan Mak Siti saling berpandangan. Irdina menghulur tangan bersalam dengan Mak Siti.

“Oh, jadi inilah Cindralela yang Tuan Muda selalu ceritakan tu ya. Cantik orangnya,” ujar Mak Siti lagi.

Kali ini sebutannya memang tidak dibaiki lagi. Tidak lepas-lepas Mak Siti memandang Irdina atas dan bawah. Sudah terpikat dia dengan kesantunan gadis itu. Anak mata Irdina pula mencerlung ke wajah Faris, penuh tanda tanya.

“Cindralela?” ucap Irdina perlahan.

“Ya Cinderella. Mak Siti, nanti Mak Siti tolong terangkan segala kerja rumah pada Cinderella ya,” ujar Faris lagi.

Mak Siti menggaru kepalanya. Hairan bin pelik dia.

“Macam mana Tuan Muda boleh bawa balik Cindralela ke sini. Siap jadikan dia pembantu Mak Siti lagi. Tuan Rizman dan Puan Sarah dah tahu ke?” soal Mak Siti lagi.

“Hm…tak ada apa-apa, cuma Cinderella ni ha…ditinggalkan kereta buah labunya gara-gara mencari kasutnya yang hilang di tepi pantai,” ujar Faris berseloroh sambil tersenyum-senyum memandang Irdina.

Irdina sedikit tergelak melihat muka Mak Siti yang begitu serius memikirkan kata-kata gurauan Faris itu.

‘Ish…nakal jugak Faris ni.’

Mak Siti sudah mula memicitkan kepalanya.

“Buah labu? Kasut hilang? Hm… Apa-apalah Tuan Muda ni, buat pening kepala Mak Siti aje la. Hishh..,” keluh Mak Siti lagi.

Faris ketawa.

“Mak Siti, nantilah saya beritahu papa dan mama. Mulai hari ini, Cinderella akan bekerja di sini dan dia akan duduk di bilik ini ya Mak Siti. Cinderella, apa-apa hal, bilik Mak Siti kat sebelah ni aje tau,” ujar Faris sekali lagi memandang wajah Irdina.

Irdina mengangguk. “Terima kasih.. Err..Tuan Muda,” ujar Irdina kekok menggunakan panggilan yang digunakan Mak Siti pada Faris.

“Tuan Muda jangan risau. Tahulah Mak Siti jaga cik Cindralela yang cantik manis ni. Cindralela masuk berkemas dulu apa yang patut ya. Lepas tu Cindralela datang ke dapur. Nanti Mak Siti terangkan kerja rumah di sini,” ujar Mak Siti lagi.

Irdina mengangguk faham. Segaris senyuman nipis dihadiahkan pada Mak Siti sebelum dia menutup pintu bilik itu. Sempat juga dia mengerling kelibat Faris yang sedang menaiki tangga ke tingkat atas. Dalam diam dia bersyukur dan merasa tenang. Rumah inilah kehidupan baru buat dirinya kini.

‘Terima kasih Faris.’

Rizman dan Sarah baru selesai menjamah makanan. Rizman yang paling banyak menambah nasi. Sudah lama dia tidak menjamah masakan itu. Ternyata lauk itu mengembalikan ingatannya pada Haryati. Haryati juga sangat pandai memasak lauk kegemarannya itu. Biasanya masakan Mak Siti tidaklah sesedap masakan yang ini.

“Mak Siti, lauk ayam masak merah ni sedap betul, terangkat selera saya. Ni yang buat saya tak jemu nak menambah nasi ni,” ujar Rizman sudah siap menyinsing lengan.

“Ya la Mak Siti. Pecah minyaknya lain dari yang lain. Sedap juga baunya. Resepi baru ke?” soal Sarah pula.

Tersipu-sipu Mak Siti tersenyum.

“Tuan, lauk hari ini bukan Mak Siti yang masak, tapi Cindralela dari Langkawi yang masakkan,” ujar Mak Siti lagi.

Rizman dan Sarah saling berpandangan.

“Cindralela dari Langkawi?” ucap Rizman.

“Siapa tu Mak Siti?” soal Sarah pula.

“Hm…yang itu Tuan dan Puan kena tanya dengan Tuan Muda. Tuan Muda yang bawa Cik Cindralela balik pagi tadi. Katanya Cik Cindrarela terlepas kereta labu kerana kasutnya hilang. Mak Siti pun tak faham apa maksudnya tu,” ucap Mak Siti lagi.

Sekali lagi Rizman dan Sarah saling memandang. Kedua-duanya mengangkat bahu.

“Faris dah pulang ke? La… Kenapa Mak Siti tak bagitahu awal-awal? Faris tak makan sama ke? Tak nampak pun batang hidungnya ni,” ujar Rizman lagi.

“Katanya dia makan lambat. Nak rehat. Letih agaknya dia Tuan,” ujar Mak Siti lagi.

“Hm… Mana budak Cindralela tu Mak Siti? Panggillah dia ke sini,” ujar Sarah pula.

Mak Siti menggangguk.

“Sekejap ya, saya panggil dia,” ujar Mak Siti segera berlalu ke dapur.

Belum sempat Mak Siti kembali, muncul Faris. Tangan mama dan papanya dikucup.

“Is, siapa Cindralela yang Mak Siti cakap tu?” soal Sarah.

Tersengeh Faris mendengar soalan Mama Sarahnya itu.

“Bukan Cindralela la mama, tapi Cinderella. Dia kawan Is waktu di sekolah dulu. Tapi sebab hidup susah, dia tak dapat melanjutkan pelajaran dan hanya duduk di rumah. Di rumah dia tinggal dengan keluarga angkat yang melayannya macam orang gaji. Dia kena halau, kebetulan berjumpa dengan Is waktu Is ke Langkawi. Jadi Is bawa dia balik rumah. Boleh kan dia bekerja kat sini? Mak Siti pun ada pembantu,” ujar Faris lagi.

“Ish Is nih. Kalau ye pun nak bawa dia balik rumah ni, bincanglah dengan mama dan papa dulu. Is boleh disabitkan kesalahan melarikan anak dara orang tau kalau suka hati aje nak bawa dia datang sini. Kalau keluarga angkatnya buat laporan polis, memang kita bersalah Is,” ujar Sarah risau.

“Tapi, dia ikut Is dengan kerelaan mama. Lagipun keluarga angkatnya tu memang tak ada pertalian darah langsung dengan dia. Dia pun dah berumur lebih dari 18 tahun, jadi dia sendiri memang ada hak untuk tentukan arah tuju hidupnya. Betul tak papa?” soal Faris lagi.

“Hm…kalau dah dia sendiri yang nak ikut Is balik dan kerja kat rumah ni, papa rasa tak ada masalah,” ujar Rizman pula.

Perbualan mereka terhenti bila Mak Siti dan Irdina keluar menemui Rizman dan Sarah.

“Inilah Cindralela kawan pada Tuan Muda,” kata Mak Siti.

Tanpa mengangkat wajah, Irdina terus bersalam dengan Sarah. Saat itu anak mata Rizman tidak berkalih ke tempat lain. Wajah Irdina ditatapnya dalam. Sarah mula tidak senang dengan tingkah Rizman itu. Memang sejak pertemuan mereka dan Irdina beberapa tahun lalu ketika Irdina pengsan di tepi jalan, Rizman tidak putus-putus bercakap tentang Irdina yang wajahnya mirip Haryati.

“Cinderella ni Irdina kan?” soal Rizman. Dia masih mengingati nama itu.

Serentak itu Irdina mengangkat wajah. Matanya bertatapan dengan mata Rizman. Entah kenapa ada detikan debar di dadanya saat itu. Memang lelaki bernama Rizman itu pernah ditemuinya. Lelaki itu dan isterinya yang menjumpainya pengsan, membawa dia ke hospital dan menghantarnya pulang ke rumah.

Irdina mengangguk dengan segaris senyuman. Entah kenapa dia merasa hatinya tenang tatkala menatap wajah lelaki yang dipanggil Mak Siti sebagai Tuan Rizman itu. Seakan ada perasaan kasih yang menjalar ke hatinya.

“Ya Tuan. Saya Irdina,” ujar Irdina.

Irdina masih ingat pada pak cik dan mak cik?” soal Rizman dengan senyuman.

Faris hanya mematungkan diri mendengar perbualan Rizman dan Irdina. Dia sendiri merasa teruja pertama kali melihat papanya tersenyum begitu. Tak tahu pula dia yang papa dan mamanya pernah bertemu Irdina sebelum ini.

“Mana boleh saya lupa pada tuan dan puan yang menolong saya waktu itu,” ujar Irdina membalas senyuman Rizman.

“Eh, macam mana kamu boleh dihalau keluarga angkat kamu pula? Ceritakanlah apa yang berlaku. Insya-ALLAH kami cuba membantu apa yang patut,” ujar Rizman lagi mahu tahu hal yang sebenar.

“Panjang ceritanya Tuan. Insya-ALLAH saya ceritakan,” ujar Irdina lagi.

Irdina menceritakan segala-galanya tentang keluarga angkatnya, tentang layanan mereka terhadapnya dan bagaimana dia boleh melarikan diri dari rumah itu kerana sikap nafsu binatang bapa angkatnya yang mahu mengambil kesempatan ke atas dirinya.

“Oh, jadi luka-luka di badan kamu tu sebenarnya bukan sebab kamu terjatuh, tapi sebab kamu sering dipukul ibu angkat kamu?” soal Sarah lagi.

Walaupun sudah diterangkan Irdina, namun hatinya merasa tidak senang. Bagaikan dia masih meragui kejujuran Irdina. Irdina mengangguk.

“Kalau macam itu kisahnya, kami sangat berbesar hati untuk kamu tinggal di sini dan bekerja di sini saja. Mak Siti pun tak kisah kan?” Sarah memandang Mak Siti.

“Memang saya suka dengan Cik Cindralela ni, cik puan. Bertemanlah saya di dapur lepas ni. Taklah saya bersendiri aje buat kerja dapur,” ujar Mak Siti lagi.

Serentak itu Mak Siti terus memeluk Irdina.

“Kenapalah mereka sanggup melayan buruk pada Cik Cindralela yang cantik manis ni. Alhamdulillah ALLAH jodohkan kamu dengan keluarga ini. Mulai hari ini, kamu anggaplah Mak Siti macam saudara kamu sendiri ya. Lagipun Mak Siti pun sebatang kara. Dapat juga mengubat rindu Mak Siti pada arwah anak Mak Siti yang sudah meninggal dunia lebih 20 tahun lalu. Kalau dia masih hidup, pasti dia sebaya Cik Cindralela dan Tuan Muda,” ujar Mak Siti sayu.

Mendengar kata-kata Mak Siti, Irdina segera membalas pelukan Mak Siti. Air matanya merembes.

“Terima kasih Mak Siti. Terima kasih pada Tuan Rizman, Puan Sarah dan Tuan Muda yang sanggup terima saya bekerja dalam rumah ini,” ujar Irdina lagi.

Segera wajah Rosmah, Haron dan Iryani terbayang di mindanya. Namun dia tersenyum sendiri tatkala wajah itu bersilih dengan wajah Mak Siti, Sarah, Rizman dan wajah Faris. Terdetik persoalan di hatinya, entah bagaimanalah rumah batu dua tingkat itu sekarang. Namun cepat-cepat dia memadamkan detikan itu tatkala Mak Siti sudah menarik tangannya ke meja makan, kerana kebiasaannya, Mak Siti lebih suka makan setelah Rizman dan Sarah selesai makan walaupun kedua majikannya itu sering saja mengajaknya makan bersama mereka.

Setiap hari Rosmah menanti namun tiada juga berita dari pihak hospital dan pihak polis berkenaan kehilangan Iryani dari wad. Tubuhnya tidak mempunyai khudrat lagi untuk melakukan segala kerja rumah.

“Mariah, mana Yani? Kenapa masih tak ada berita tentang Yani? Aku nak anak akuu... Nak anak akuu.. Yanii… Yanii…,” jerit Rosmah bagai terkena hysteria.

Kebetulan Haron tiada di rumah beberapa hari ini kerana ada kerja di luar, jadi itulah masa yang ditunggu-tunggu oleh Mariah untuk menjalankan misinya yang sudah sekian lama dirancang. Misi mengusir Rosmah dari rumah batu dua tingkat itu.

“Hey perempuan tua. Kenapa kau tanya aku? Manalah aku tahu ke mana anak kau menghilang? Entah-entah dia lari dari wad dan pergi ikut jantan. Kalau kau nak pergi cari dia, pergilah. Pergilah cari anak kesayangan kau tu. Dah tentu dia tengah berseronok dengan jantan sampai dah lupakan kau kat sini. Kau duduk kat sini pun buat menyemak rumah aje. Bukan boleh buat kerja rumah pun. Lebih baik kau berambus dari rumah nii…” ujar Mariah lagi.

Pintu rumah terus dikuak. Rosmah teresak-esak menangis. Namun tatkala melihat pintu rumah terbuka untuknya, dia cepat-cepat menapak keluar dari rumah sehelai sepinggang. Hanya bertemankan batang penyapu buruk yang dijadikan tongkat untuk menghayun langkah. Kakinya masih tidak sembuh-sembuh. Malah luka di kakinya semakin membengkak dan kebiru-biruan.

Sebaik saja dia melangkah keluar dari rumah itu, pintu pagar pun segera ditutup dan dikunci. Tahulah dia kini yang Mariah memang sengaja mahu dia keluar dari rumah itu. Dia menoleh seketika memandang rumah batu dua tingkat itu. Air matanya berlinang. Rumah itu rumah pusaka peninggalan arwah ayah untuknya memandangkan dia anak tunggal dalam keluarganya.

Namun setelah berkahwin dengan Haron, nama rumah itu telahpun dipindahkan atas nama Haron. Tak pernah terlintas di fikirannya Haron mengahwininya hanya kerana harta. Setelah berkahwin, barulah Rosmah tahu hati budi Haron. Malah dengan hasutan dan pengaruh Mariah, Haron berubah menjadi seperti lembu yang dicucuk hidungnya. Apa saja permintaan Mariah, semuanya dituruti. Malah dia sanggup membuang isteri dan anaknya.

Air matanya berlinang lagi tatkala terbayangkan kemesraan keluarganya suatu ketika dulu. Sewaktu Irdina juga ada bersama mereka. Hatinya dipagut sesalan bila terkenangkan Irdina. Dia akhirnya menerima segala yang menimpanya ini adalah pembalasan ALLAH terhadap apa yang telah dilakukan pada Irdina. Itulah padahnya berbuat zalim terhadap gadis yang tidak berdosa itu. Mujur juga dia sempat membawa sedikit wang bersama gelang emas milik Irdina. Wang itu untuk beli tiket teksi dan feri. Gelang emas itu pula mahu dipulangkan pada Irdina agar Irdina dapat mencari keluarganya nanti. Dari jauh dia memandang sayu rumah batu dua tingkat itu.

“Andai berada dalam rumah sendiri terasa berada di neraka, lebih baik aku tinggalkan saja rumah itu. Satu hari nanti aku akan kembali untuk menuntutnya,” bisiknya lagi.

Mariah yang sejak tadi mengintai di celahan tingkap tersenyum menang melihat Rosmah berjalan terencot-encot meninggalkan rumah itu. Malam ini Haron akan pulang ke rumah. Dia sudahpun merancang untuk memberitahu Haron bahawa Rosmah sendiri yang meninggalkan rumah itu kerana nak mencari Iryani. Kini rumah batu dua tingkat ini akan menjadi miliknya dan anak-anak. Sekali lagi Mariah tersenyum kegembiraan.

Note : Untuk makluman para pembaca yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.