#8

SESI merakam percakapan Zakiah mengambil masa sehingga tiga jam.  Itu merupakan prosedur biasa dalam proses mendapatkan maklumat dengan tepat.  Zakiah kelihatan penat dan sesekali meminta diri untuk mengambil angin.

Tajudin dan Putra amat berpuas hati dengan keterangan yang diberikan. Kerjasama dari Zakiah juga banyak membantu mereka dalam mengumpul maklumat yang dingini.

“Pada hemat Puan, apakah motif utama suami Puan dibunuh?”  tanya Tajudin sejurus membaca soalan yang seterusnya.

“Sejujurnya, tuan… saya tidak pasti.  Arwah merupakan seorang insan yang baik.  Dia tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa. Sepanjang kami berkongsi hidup hampir 32 tahun, saya tidak pernah lihat sesiapapun yang membencinya. Mungkin sudah tertulis cara kematian arwah begitu.”

Zakiah mengelap hujung pelupuk mata yang digenangi air.  Dia sudah reda dengan pemergian arwah. Ajal Borhan sudah tiba. Dan kini dia terpaksa menghabiskan sisa-sisa hidupnya tanpa arwah di sisi dan melakar kehidupan di usia senja bersama-sama.

“Soalan seterusnya, adakah arwah suami Puan ada berhutang dengan dengan sesiapa seperti Ah Long dan sebagainya?”

“Tidak… saya tak rasa suami saya menghadapi masalah kewangan. Malah, dia ada bercadang untuk membawa kami sekeluarga menunaikan umrah tidak lama lagi. Malangnya hajat arwah tidak kesampaian,” tegas Zakiah dengan yakin. Tajudin dan Putra mencatat semua keterangan yang dinyatakan.

Siapa yang tidak kenal dengan Borhan, usahawan produk yang berkonsepkan pemakanan halal lagi baik atau halalan toyyiban di negara ini.  Arwah juga merupakan seorang hartawan yang dermawan dan tidak lokek menghulurkan bantuan wang ringgit apabila diminta.

Telah beberapa kali arwah ditawarkan dengan pangkat yang boleh membawa gelaran Datuk dan Tan Sri.  Namun, dia menolak dengan baik dan semua itu tidak penting baginya. Dia lebih selesa hidup dalam kesederhanaan dan bergaul dengan semua peringkat manusia tanpa mengenal kaum dan latar belakang. Kata arwah, pengurniaan pingat dan pangkat pasti akan mencipta jurang untuknya merapatkan diri dengan masyarakat.

Ketika sesi merakam percakapan sudah tiba ke penghujungnya, deruman enjin kereta kedengaran memasuki perkarangan rumah Zakiah.  Beberapa minit kemudian, seorang pemuda berkemeja putih berfabrik Italian Cotton melangkah masuk dan memberi salam.

“Assalamualaikum….”

“Waalaikummusalam,” jawab mereka bertiga serentak, dan secara otomatik mata terus memaku pandangan ke arah pintu masuk.

Susuk tubuh pemuda yang berketinggian enam kaki tersebut terus saja mengatur langkah ke meja makan dan menghulurkan tangan untuk bersalaman.

“Ini Ezudin, anak bongsu saya.  Ez, kenalkan Tuan Tajudin dan Detektif Putra.  Mereka datang untuk merakam percakapan ibu.”

Ezudin mengangguk setelah diterangkan oleh Zakiah perkara duduk yang sebenar.  Sebenarnya dia sudah melihat kereta berlogo PDRM yang terparkir di luar rumah mereka.  Cuma kini barulah mereka bertiga dapat mengenali antara satu sama lain.

“Ini kad saya, kalau Encik Ezudin ada apa-apa maklumat tambahan jangan teragak-agak untuk menghubungi saya.”  Bussines Card milik Tajudin bertukar tangan.

Ezudin tersenyum lantas berkata, “In Shaa Allah.  Selagi penjahat tersebut masih bebas di luar sana, selagi itulah jiwa saya dan ibu takkan tenang. Tolong kami, tuan. Bantu kami untuk menangkap si tak guna tersebut.”

Jari-memari Ezudin digenggam kuat.  Urat-urat hijau timbul di permukaan kulit tangan kanannya.  Giginya juga diketap geram. Jelas sekali dia sedang menahan gelodak perasaan yang selama ini dipendam.  

“Pihak polis akan selalu cuba lakukan yang terbaik dan menegakkan keadilan kepada yang berhak.” Tajudin menepuk-nepuk perlahan bahu Ezudin bagi meredakan kemarahannya yang semakin memuncak.

“Kami beredar dulu, Puan, Encik Ezudin,” pinta mereka sopan.  Zakiah dan Ezudin mengiringi langkah mereka berdua sehingga ke pintu utama.

Gerimis turun membasahi bumi ketika Tajudin dan Putra berjalan ke tempat letak kereta.  Sebaik saja meloloskan diri ke dalam perut kenderaan, butiran hujan bertambah lebat. Tajudin menyandarkan tubuhnya yang letih di kerusi. Jari-jemari lelakinya memicit pelipis buat beberapa ketika untuk meredakan minda yang dikerah bekerja dengan kuat sejak akhir-akhir ini.

“Putra….” Panggilan Tajudin merencatkan tindakan Putra yang baru saja ingin  menekan pedal minyak selepas brek tangan dan gear diubah.

“Kenapa ni, tuan?  Tuan tak apa-apa?” Risau pula Putra melihat wajah Tajudin yang tidak bermaya.  Dia tidak jadi meneruskan perjalanan dan menanti bicara Tajudin yang selanjutnya.

“Awak awasi pergerakan Ezudin untuk beberapa hari ni.  Walaupun dia bukan suspek utama kita, dia tetap termasuk dalam senarai suspek,” arah Tajudin dengan tegas.

“Adakah ia bermotifkan harta atau insurans nyawa?” Putra cuba meminta kepastian.

“Kemungkinan kedua-duanya.  Tapi ini cuma andaian kita saja,” kata Tajudin.

“Selalunya yang mustahil itulah sebenarnya dalang di sebalik semua ini.  Kerana harta dan kedudukan, mereka sanggup melakukan apa saja hatta mengorbankan darah daging sendiri.”  Putra memberikan pendapatnya.

“Siapa yang tak nak hidup mewah, kaya-raya,  duit simpanan yang menimbun di dalam bank dan boleh beli apa saja.  Bila ada duit, maka ramailah gadis-gadis yang datang menyerah diri.”

Kenyataan Tajudin mengundang ketawa besar Putra yang tadinya kelihatan serius.  Tajudin menoleh dan keningnya terjongket sebelah.

“Kenapa awak ketawa?” tanya Tajudin.  Entah di mana lucunya kata-katanya tadi sehingga Putra tidak henti-henti ketawa.

“Saya dah faham sekarang, tuan. Patutlah sampai sekarang tak ada seorang gadis pun yang terpikat dengan saya ni.  Sudahlah rupa kurang, harta pun tak ada. Kalau begitu, untunglah lelaki-lelaki kaya di luar sana, gadis-gadis cantik keliling pinggang.”  

Tajudin tersengih dan mula faham dengan maksud Putra.  Sebenarnya, Putra boleh dikategorikan sebagai seorang pemuda yang agak kacak. Badannya tegap dan berotot. Alis matanya lebat dengan bola mata yang bersinar-sinar.  Soal wang pula, gaji dan elaun yang tinggi sebagai seorang Detektif bukanlah alasan dia tidak mampu untuk menyara seorang isteri.  

Mungkin penampilan luarnya yang agak serabut dan selekeh menjadi penyebab dia gagal memancing hati seorang gadis yang kini lebih menitikberatkan paras rupa daripada sikap dan budi bahasa.  Jauh di sudut hati Tajudin, dia berdoa agar Putra akan menemui cinta hatinya suatu hari nanti

“Entah-entah awak tu yang jual mahal.  Tak pun, memilih!” gurau Tajudin.

“Hahaha.  Tak mengapalah.  Kerja macam kita ni tak semua orang faham.  Tuan dikira bertuah dapat isteri yang baik dan memahami,” puji Putra melambung.

“Alhamdulillah.  Walaupun kadang-kadang dia pun suka merajuk sebab selalu terlepas tarikh-tarikh penting kami.  Tapi, bila dipujuk-pujuk dengan hadiah hati dia jadi cair balik.” Tajudin tersenyum sendiri tatkala teringat akan tingkah manja dan menggoda isterinya, Wafiy.

“Ehem… saya akan minta beberapa orang anggota lain untuk membantu nanti, tuan.  Errr… kita nak ke mana lepas ni?” soal Putra sekaligus mengalih topik perbualan yang berkisar tentang peribadi masing-masing.  

“Pejabat, lepas tu awak balik sajalah ke rumah berehat.  Saya tak nak awak jatuh sakit sebab saya perlukan awak bagi menyelesaikan kes ini.”

Putra menjeling permukaan jam tangannya.  'Masih awal lagi,’ desis hatinya.

Tanpa banyak soal Putra memandu kereta tersebut ke hala tuju yang dimaksudkan.  Hujan semakin mereda namun matahari sudahpun terbenam di kaki langit. Sejurus kereta memasuki perkarangan pejabat, mereka berdua membawa haluan masing-masing.

°•°•°•°

SAAT daun pintu ditolak, kedengaran siaran  berita sedang ditayangkan di kaca televisyen.  Sekujur tubuh lelaki iaitu rakan serumah Putra sedang terlentang di sofa dengan berkain pelekat.  Apabila terpandangkan kelibat Putra di pintu, dia membetulkan gaya duduk untuk memberi ruang kepada Putra yang menuju ke arahnya.

“Baru balik?” sapa rakan serumah Putra berbasa-basi.  Putra menanggalkan jaket denim miliknya lantas dicampakkan di atas sofa.

“Ya.  Bos paksa balik awal.  Hehehe.”

“Oh… untunglah ada bos yang prihatin.  Selalunya orang atasan ni suka kerah tenaga pekerja semaksimum boleh,” kata rakan serumahnya.

“Alhamdulillah.  Kebetulan kerja aku habis awal tadi.  Tu dia kalut suruh aku balik. Kata dia, kerja memang takkan habis setiap hari.  Jadi bila ada peluang boleh balik awal, baliklah.”

Putra memusatkan perhatian kepada siaran berita yang memaparkan kes pembunuhan yang disiasat oleh Tajudin.  Laras suara dinaikkan untuk mendengar butiran lanjut perkembangan yang dilaporkan oleh wartawan berita. Rakan serumah Putra turut sama memberi perhatian terhadap laporan berkenaan.

“Sehingga kini, punca kematian mangsa bunuh usahawan berjaya, Borhan bin Sulaiman masih belum diketahui.  Pihak polis juga seakan-akan menolak untuk memberi kenyataan kepada pihak media apabila kami cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenainya. Menurut sumber yang boleh dipercayai, pihak polis dikatakan gagal mencari suspek walaupun beberapa petunjuk sudah ditemui.

Mengapakah hal ini terjadi?  Adakah kredibiliti pihak polis kini semakin merosot?  Ataupun mereka sengaja melengah-lengahkan siasatan kerana ada agenda tertentu yang kita semua tidak tahu?  Saya Zarul, melaporkan untuk Mega Berita dan kita kembali semua bersama rakan setugas di studio Mega.”

Wartawan berita yang bernama Zarul tersebut membuat liputan berlatarbelakangkan balai polis di mana Tajudin dan Putra bertugas.

Bibir Putra diketap geram.  Wartawan yang bermulut lancang itu berani memperlekehkan kredibiliti pihak polis di khalayak ramai.  Dia seolah-olah sedang mencabar dan memancing perhatian pihak polis agar memberi respons terhadap apa yang diperkatakan.

Sedang Putra cuba meredakan perasaan marah, telefon pintarnya bergetar dan nama Tajudin terpapar di skrin.  Tanpa berlengah, panggilan tersebut dijawab dan Putra pamit ke kamar meninggalkan rakan serumah yang diasak dengan pelbagai soalan apabila melihat Putra yang dibasahi keringat dingin di dahi.

“Awak ada tengok berita tadi?” Suara Tajudin kedengaran tegang di sebelah sana.

“Ada, tuan.  Berani betul di Zarul tu mempertikaikan kerja kita,” kata Putra yang telah dikuasai amarah sejurus pintu biliknya dikunci rapat.

“Saya tahu.  Lagipun sekarang ni dia sedang rancak mencari berita untuk menaikkan rating penonton dengan berita-berita sensasi seperti ini.”

“Apa kita nak buat, tuan?” tanya Putra yang sedang bersandar di dinding.

“Kita tunggu arahan pihak atasan. Walau apapun awak kena ingat, orang awam tidak tahu proses siasatan yang sebenarnya.  Jadi mereka lebih suka membuat spekulasi sendiri.” Tajudin memberikan pendapatnya selaku orang lama dalam bidang kepolisan.

“Maaf, Putra.  Saya terpaksa tamatkan panggilan.  Bos besar sedang hubungi saya,” kata Tajudin lantas panggilan tersebut ditamatkan segera.

Putra duduk termenung di katil sambil menongkat dagu.  Kotak memorinya kembali berputar ke momen yang berlaku beberapa hari yang lalu.  Sebenarnya, dia ada mengesyaki seseorang yang terlibat dalam jenayah pembunuhan Borhan, tetapi dia tiada bukti.  Dia berjanji untuk mencari bukti penglibatan orang tersebut sehinggalah dia benar-benar mengaku salah.

°•°•°•°

Previous: #7
Next: #9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh