Bab 26

SEKUJUR tubuh kaku itu mula bergerak-gerak.  Serentak itu juga, dia bergelut melawan panahan cahaya lampu yang menyakitkan retina.  Mata dicelik sepenuhnya. Sedikit demi sedikit, pandangannya ditebar ke segenap penjuru bilik yang begitu asing baginya.


Bau yang sinonim dengan rumah sakit itu menjawab segala pertanyaan yang menyerbu di benak.  Topeng oksigen yang terserkup di muka ditanggalkan. Kemudian, tangannya dibawa ke bahagian kepala.  Balutan rapi itu diraba-raba perlahan. Pahanya yang berbalut dan berceracak dengan besi membuahkan resah di hati.  Terasa pegal seluruh anggota, dan kesakitan di pahanya menjalar hingga ke tapak kaki.

"Johan!  Alhamdulillah, anak kita dah sedar."

Maryam menghampiri Johan dengan linangan air mata.  Johari menadah tangan mengucap syukur pada yang Maha Esa.  Segera doktor dipanggil untuk memeriksa keadaan Johan. Setelah mendengar penerangan terperinci daripada doktor, Maryam dan Johari akhirnya dapat menarik nafas lega.

"Johan ingat tak apa yang terjadi?"  Maryam cuba menduga ingatan Johan. Berkerut-kerut dahi pemuda itu menggali semula segala sisa kejadian dalam kotak memorinya.

"I… ingat."

Ya, dia masih ingat.  Sewaktu hendak melintas jalan selepas keluar daripada klinik, dia dirempuh dengan kuat oleh sebuah jip yang sangat laju lalu pengsan dan tidak sedarkan diri.  Sewaktu dalam koma, dia mampu mendengar suara Maryam dan Johari serta suara seorang gadis yang memanggil-manggil namanya tanpa jemu.  

"Siang malam ibu doakan anak ibu ini dilindungi Allah.  Alhamdulillah, Allah kabulkan doa-doa ibu. Johan rehat, ya?  Sekejap lagi Hanna datang.

Hanna, satu nama yang berjaya memikat taman hatinya yang telah lama kontang oleh cinta.  Hanna setia menanti dirinya walau dalam apa jua keadaan. Tidak sabar rasanya untuk menatap wajah Hanna yang comel dan mendengar celoteh manja gadis itu.

Mael tergesa-gesa menghubungi Rafi apabila mendapat perkhabaran baik dari Johari.  Saat itu juga berita itu disampaikan kepada Tajudin. Pegawai polis itu meraup mukanya berkali-kali.  Dalam gembira, ada perkara yang perlu dibincangkan dengan Johan dengan segera.  

Tajudin dan Rafi berangkat ke hospital untuk menemui Johan.  Kedatangan mereka disambut ceria oleh Maryam dan Johari. Ibu bapa mana yang tidak gembira apabila anak mereka akhirnya sedarkan diri setelah koma dalam waktu yang agak panjang.

"Johan, kami ada perkara untuk dibincangkan dengan awak."  Tajudin menyatakan perkara pokok yang sebenar. Rafi yang berdiri di sisi Tajudin hanya memasang telinga.

"Apa dia, tuan?"  Lemah Johan bersuara.  Mungkin kerana kesan ubat yang tersisa di dalam badannya.

"Perihal keselamatan awak.  Maafkan saya kerana tergesa-gesa tentang hal ini.  Apa saja yang melibatkan nyawa, tiada apa yang boleh dikompromi." 

Johan menghela nafas panjang.  Kepala diangguk tanda faham. Celik saja mata dia diperdengarkan dengan berita yang menggoncang segala urat nadinya.

"Semasa awak koma, saspek ada datang ke sini dengan niat untuk membunuh awak.  Mujur ada jururawat yang bertindak pantas dan awak selamat. Tetapi…." Tajudin melempar pandangan kepada Rafi.  Sukar untuk dia meneruskan kata. "Saspek menganggap awak sudah mati."

"Itu petanda baik, bukan?  Maknanya saya selamat dan mereka takkan cari saya lagi."  Johan cuba senyum walaupun lemah.

"Buat masa sekarang memang ia petanda baik.  Bila mereka sedar itu semua adalah satu penipuan, kehidupan  awak kembali di ambang bahaya."

"Maksudnya?"

"Zarul, wartawan dari Mega Berita bersetuju untuk memalsukan kematian kau," sampuk Rafi.

"Lihat ni…," sambung Rafi lagi.  Skrin telefon pintarnya di hala kepada Johan.  Terpampang di laman web Mega Berita akan kematian saksi penting kes pembunuhan Borhan kerana khianat, iaitu dirinya sendiri.  

"Apa rancangan tuan?"  

Kepala Johan berdenyut-denyut dengan tiba-tiba.  Entah apalah rancangan Tajudin kali ini. Hendak dibantah, pasti tidak boleh.  Apatah lagi hal itu berkait dengan keselamatan dia dan orang-orang di sekelilingnya.  Jantungnya berdebar-debar menanti bicara Tajudin yang seterusnya.

"Kami telah berbincang dengan Unit Perlindungan Saksi di Putrajaya.  Mereka memutuskan untuk memasukkan awak ke dalam program perlindungan saksi.  Awak akan ditempatkan ke suatu lokasi rahsia untuk tempoh masa tertentu. Dan segala bentuk hubungan termasuk penggunaan telefon, surat, e-mel dan apa jua bentuk komunikasi dengan orang luar adalah ditegah sama sekali, hatta dengan keluarga awak sendiri."

Johan tersentak dengan ayat terakhir Tajudin dan jelas kelihatan dari air mukanya yang berubah riak dalam sekelip mata.  Rafi faham benar akan perkara yang berlegar-legar dalam kepala sahabatnya itu. Dia juga tumpang simpati dengan nasib Johan.  Program perlindungan saksi adalah langkah terakhir yang mereka rasakan wajar dilaksanakan sehinggalah pihak polis berjaya memberkas penjahat-penjahat itu.

Lama Johan termenung melayan perasaannya sendiri.  Bola mata dibawa ke dua sosok manusia yang berada di depannya.  "Saya tak boleh berhubung dengan sesiapa… walaupun… dengan Hanna?"  Tersangkut-sangkut Johan menyusun soalan.

Tajudin dan Putra berpandangan sesama sendiri.  Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.  Anggukan yang hampir serentak itu menerbitkan dengusan tidak puas hati dari bibir Johan.  

"Kami akan dapatkan rinci tahap kesihatan awak daripada doktor terlebih dahulu.  Jika segala-galanya baik, awak akan diberi penempatan dengan kadar segera," terang Tajudin lagi.  Sesukar manapun tugasnya dia terpaksa melakukannya demi menyelesaikan kes pembunuhan itu.

"Oh ya, kami sudah dapat menahan dalang di sebalik kes itu."

"Dalang?  Siapa?" Johan bertanya penuh minat.  Sejak terlibat dalam kes ini dia senantiasa bertanya kepada Rafi akan perjalanannya. 

"Maaf, kami tak dapat dedahkan informasinya dengan lebih lanjut."

Johan mengeluh hampa.  Rafi menepuk bahu Johan beberapa kali tanda sokongan.  Masakan mereka dapat memberitahu Johan bahawa dalang itu adalah orang yang paling dekat dengannya.  Setelah agak lama berbincang, Tajudin bergerak untuk kembali ke pejabat. Rafi meminta izin untuk meluangkan masa seketika bersama Johan.  Dia mahu berada di sisi Johan bagi meredakan emosi dan memberi kata-kata semangat buat Johan yang sedang rapuh jiwanya.

"Aku tak yakin dengan ini semua, Rafi," luah Johan dengan mata berkaca.  

Melihatkan keadaan dirinya yang serba kekurangan, ditambah pula dengan fizikalnya yang belum pulih sepenuhnya menjadikan asanya kian runtuh.

"Kau sudah sampai ke tahap ini, Johan.  Mahu atau tidak kau terpaksa teruskan juga."

"Aku sendiri tidak tahu berapa lama aku akan ke sana.  Mana mungkin aku aku dapat bertahan menjalani hari-hari mendatang keseorangan?" 

Johan mengeluh lagi.  Dibuang pandangannya ke jendela.  Dulu dia bebas melebarkan sayap seperti burung-burung yang berterbangan di langit.  Kini hidupnya bakal berubah, terkurung dan terkongkong kerana detik hitam itu.

Rafi melabuh punggung di kerusi.  Kedua-dua belah tangan dibawa ke dadanya sendiri.  Dibiarkan saja Johan meluah isi hatinya yang terbuku.  Rela dia mendengar jika itu dapat mengurangkan beban di pundak Johan.

"Dengan tertangkapnya dalang itu, pihak polis akan dapat mengumpul maklumat saspek-saspek tidak lama lagi.  Kau tahu, Tajudin adalah pegawai penyiasat yang terhebat. Apa saja kes jenayah berat yang jatuh ke tangannya pasti akan melakar kejayaan.  Buat masa sekarang kita semua perlu bersabar."

"Sabar… cakap senanglah.   Tak semudah aku yang akan melaluinya."  

Tersungging senyuman sinis di bibir Johan.  Sengaja dia beradu mata dengan Rafi untuk melihat reaksi pemuda itu.  Bukan niatnya untuk menyindir, tetapi dia berharap agar ada insan lain yang dapat memahami situasinya kini.

Detakan tapak kasut di lantai mematikan lamunan mereka berdua.  Haruman minyak wangi yang cukup dikenali Johan membuatkan denyut nadinya bertambah laju.  Beberapa detik kemudian wajah yang dirindu terpampang di ruang mata. Kolam mata Hanna bergenang dengan tangisan gembira.  Langkah diperlaju kerana tidak sabar lagi untuk berjumpa dengan tunang tercinta.

Rafi beredar bagi memberi peluang kepada mereka berdua untuk melepas rindu.  Beransur-ansur tapak diatur menghampiri katil besi yang menjadi teman setia Johan buat beberapa minggu ini.  Raut wajah Johan ditatap penuh kasih. Kalimat syukur berulang-ulang di dalam hati gadis itu. Bekas makanan diletakkan di sebuah meja berhampiran katil.

"Awak…."  

Serak suara Hanna memanggil Johan.  Pemuda itu tidak langsung berpaling.  Pandanganya dipaku pada batang-batang besi yang tercacak di pehanya.  

"Awak…," panggil Hanna lagi, cuba memancing tumpuan pemuda itu agar melihat kepadanya.

"Syukurlah awak dah sedar.  Saya takut sangat kehilangan awak." 

Hanna tidak dapat menahan rasa sayu yang singgah di hatinya.  Palang besi pada katil dipegang sejurus duduk di kerusi yang disediakan.  Reaksi Johan sama seperti tadi. Bisu dan kaku. Riak wajahnya juga beku. Seincipun tidak dipaling wajahnya kepada Hanna.

"Saya…."

"Pergi!" bentak Johan dengan tiba-tiba.  Terpinga-pinga Hanna dengan suara keras Johan.  Hanna memejam mata, cuba ditahan segala tanda-tanya yang menerjah kepala.

"Mulai detik ini, awak dan saya tidak punya apa-apa hubungan lagi."

Sebaris ayat itu bagaikan sebilah pedang yang membelah dada Hanna lalu merenggut nafasnya sekaligus.  Kenapa Johan berubah dengan tiba-tiba? Kenapa tiada sedikitpun rasa kasih lelaki itu kepadanya? Adakah ketumbuhan yang dibuang di kepalanya itu turut membuang memori mereka bersama?  Bertubi-tubi soalan memanah ke ruang minda Hanna.

"Tak… awak tak boleh buat begini, Johan."  

"Siapa kata?  Saya boleh buat apa saja yang saya suka.  Macam saya putuskan pertunangan kita."

Johan mengangkat mukanya, mencari-cari anak mata Hanna lalu menikam tepat ke dalamnya.  Hanna termengkelan. Tidak pernah dia melihat pandangan seperti itu sejak mengenali Johan.  Johan di hadapannya kini berlainan sekali dengan Johan yang dicintainya sepenuh hati.

"Saya tahu awak tertekan.  Tapi tolong jangan buat tindakan melulu.  Johan… fikir masak-masak sebelum buat keputusan," rayu Hanna dengan deraian air mata.  Jari-jemarinya pantas ditepis Johan tatkala ia cuba diraih. Hanna terkedu lagi. Betapa hina dirinya di mata Johan.  Bertambah sebak di dada.

"Kau yakin boleh hidup dengan manusia cacat macam aku?  Lihat kaki aku ni. Dengan kecederaan sebegini kau pasti aku dapat berjalan normal seperti dulu?"  Nada suara Johan berubah semakin keras. Tersedu-sedan Hanna menangis. Pipi mulus yang lencun oleh air mata itu ditatap dengan riak bersahaja.

"Doktor ada cakap, selepas kaki awak sembuh, awak boleh jalani fisio terapi dan peluang untuk awak pulih adalah tinggi.  Kalau awak tak cuba kita takkan tahu hasilnya bagaimana."

Semakin benci Johan dengan gadis itu.  Pandai menjawab dan mengajar dirinya itu ini.  Kencang nafasnya menahan geram di dada.

"Heh, tak usahlah berlagak pandai menasihati saya.  Ini tubuh badan saya, saya tahulah kemampuan saya sendiri!"

"Sudah ramai pesakit macam awak berjaya pulih.  Fikir yang baik-baik dan positif saja, Johan. Saya yakin dengan awak.  Dan kalau ditakdirkan awak begini selama-lamanya pun saya sanggup. Saya ikhlas terima awak seadanya.  Tolonglah jangan putuskan pertunangan kita."

Sehabis daya Hanna memujuk.  Memutuskan pertunangan mereka tidak akan menyelesaikan masalah, malah mengusutkan lagi keadaan yang sedia ada.  Johan memejam matanya seketika. Degil! Gadis itu memang degil! 

"Saya tak cintakan awak lagi, Hanna," tutur Johan mendatar tetapi keras.  

Kali ini Hanna tidak punya kata-kata lagi untuk membalas ucapan itu.

'Saya tidak cintakan awak lagi.'

Ayat itu berlegar-legar di tiap penjuru benak Hanna yang kebingungan.  Dia keliru dan sedih. Johan dilihat sungguh tekad dan benar-benar memaksudkannya.  Langkah kaki Hanna terundur lemah. Juraian air mata tidak putus-putus membasahi pipi.  Jika itu itulah yang terlafaz di bibir Johan, maka tiada guna lagi dia merayu dan menanti.

Maryam dan Johari baru masuk ke bilik Johan dan tergamam melihat babak tegang mereka berdua.  Walaupun tidak langsung mengetahui punca sebenar permasalahan mereka, mereka yakin ada sesuatu yang tidak kena.

Tanpa sepatah bicara, Hanna melurut cincin di jari manisnya lalu diletakkan di telapak tangan Johan yang sejuk.  Maryam menekup mulutnya kerana tidak percaya dengan apa yang dia saksikan. Dia cuba untuk campur tangan dalam pertelingkahan anak dan bakal menantunya namun ditegah Johari dengan gelengan kepala. Maryam erat menggenggam tangan suaminya dan mencipta tembok kesabaran yang semakin terhakis.

Hanna menoleh sekilas ke arah Maryam dan Johari.  Buat seketika, sepasang kakinya statik berdiri. Perlahan-lahan Hanna melangkah, membawa diri  yang dibalut rasa kecewa. Sangka Hanna bahawa Johan akan gembira melihat kehadirannya di situ setelah lama tidak sedarkan diri.  Ternyata jangkaan Hanna meleset. Johan tidak langsung merinduinya sepertimana dia merindui pemuda itu sepenuh hati. Dalam kekeliruan dia pergi meninggalkan Johan yang terbaring lesu di katil.  Pemergiannya diiringi air mata yang tidak terbendung lagi.

"Puas hati Johan?" tempelak Maryam setelah lama berdiam diri.

"Yam, sudahlah tu."  

Johari cuba menjadi pendamai.  Dia tidak mahu saat manis mereka musnah kerana pergaduhan anak-beranak.

"Apa alasan kamu untuk putuskan pertunangan?  Apa, tidak cukup baik lagi ke si Hanna tu? Siang malam jaga kamu dan berdoa semoga kamu cepat sembuh.  Tapi apa balasan Johan pada dia?"

"Ibu, ini hal antara Johan dengan Hanna.  Biarlah Johan saja yang putuskan apa yang terbaik buat kami.  Ibu tak perlu masuk campur."

Maryam terduduk.  Budak-budak zaman sekarang suka membuat keputusan membabi-buta.  Apabila pertunangan mereka diputuskan, impaknya tidak hanya terjadi kepada mereka berdua, malah hubungannya dengan bakal besan juga terjejas.  Apa yang harus dia katakan kepada keluarga Hanna nanti? Bagaimana pula tanggapan keluarga Hanna terhadap mereka? Ish! Sakit hatinya memikirkan angkara Johan yang berfikiran singkat.

"Dulu, kamu tergila-gilakan sangat si Hanna tu sampai tak sempat-sempat suruh kami masuk meminang."  Maryam mengesat air matanya dengan jari.

"Sekarang kamu buang dia macam tu aje.  Macam dia tak ada mak bapak. Eh, Johan.  Itu anak orang, tahu, bukan anak kucing! Geram betullah ibu dengan perangai kamu ni.  Kalau ibu tahulah macam ni sikap kamu, baik kamu koma aje sampai bila-bila!"

"Yam… apa cakap macam tu kat anak kita?  Budak tu baru aje sedarkan diri. Awak dah cakap macam-macam."  

Johari menggeleng, tidak faham dengan tingkah isterinya.  Semarah mana sekalipun Maryam kepada Johan, tidak sepatutnya Maryam berkata begitu.  Seharusnya dia menasihati Johan dengan berhemah, bukannya mendoakan musibah sebagai karma.

"Jadi, abang sokonglah perbuatan anak abang tu?"  Maryam merengus tidak puas hati.

"Saya tak cakap saya setuju.  Sepatutnya kita tanya dulu punca permasalahan mereka.  Perbuatan awak tu cuma buat Johan tertekan. Itu tak menyelesaikan masalah."

"Samalah juga tu.  Bapak dengan anak, dua-dua sama!"

"Eh, saya pula yang kena!  Cakap tu berlapik sikit, Cik Yam.  Bukan main redah je."

"Panaslah hati saya lama-lama kat sini.  Saya nak balik." Maryam mencapat tas tangan di kerusi lalu menyusun langkah ke pintu keluar.  

"Johan, ayah tahu kamu tak bermaksud buat begitu pada Hanna.  Ayah kenal anak ayah. Kalau ada masalah, berbincanglah empat mata.  Ingat, keputusan yang dibuat secara terburu-buru cuma memburukkan lagi keadaan.  Ayah pulang dulu. Jangan dirisaukan ibu kamu tu. Pandailah ayah pujuk ibu kamu nanti.  Rehatlah, ya." 

Dahi Johan dikucup penuh kasih-sayang.  Johan cuma mengangguk dengan senyuman pahit.  Langkah Johari dihantar dengan ekor mata sehingga hilang dari pandangannya.  Rafi kaku di tempatnya. Dia telah mendengar segala apa yang berlaku antara mereka.  Terusik jua emosi lelakinya. Lakonan Johan nampaknya telah berjaya.

Dia mengintai Johan yang menangis menyesali tiap patah kata yang diucap; baik kepada Hanna mahupun ibunya sendiri.  Biarlah dia yang menanggung semuanya. Orang lain tidak harus menerima kesannya. Jauh di sudut hati dia berdoa agar cinta Hanna tetap teguh kepadanya walau apa jua yang terjadi.  Cincin pertunangan Hanna digenggam kemas lalu dibawa ke bibir. Ulas bibir yang diselaputi keruping itu mengucup cincin yang pernah menghuni jari manis Hanna sebagai tanda cinta mereka.

"Aku dah buat benda bodoh."  Johan berkata tatkala kelibat Rafi memasuki biliknya.

"Kau buat semua tu sebab terpaksa.  Aku pun tahu, Johan." 

"Tapi dia orang tak tahu.  Aku berdosa. Aku berdosa pada mak aku, pada Hanna."  Kelopak mata Johan basah kembali.

Rafi mencapai bekas makanan yang dibawa Hanna lalu meletakkannya di atas over bed table.  Panjang leher Johan mengintai bekas makanan itu sejurus penutupnya dibuka. Pergerakannya yang terhad menyebabkan Rafi menolak meja itu berdekatan dengan Johan.  

'Creamy Raviolli.'

Hati Johan sebak.  Menu itu amat istimewa baginya dan Hanna.  Terlalu banyak kenangan antara mereka berdua.  Bayangan sosok Hanna bagaikan berada di dalam bilik itu.  Cuping telinganya bagai ditampar dengan suara lunak Hanna yang galak ketawa.  Dia tahu, itu hanyalah ilusinya semata-mata. Johan rasa seperti tidak berguna.  Dia lemah dan tidak punya pilihan lain. Air matanya jatuh semakin lebat sehingga mengaburi pandangan.


•°•°•°•

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh