Bab 23

HANNA mengongoi dan memanggil-manggil nama Johan berulang kali. Shakira bertindak menenangkan emosi Hanna setiapkali gadis itu hilang punca.  Siapa saja yang tidak risau bila buah hatinya telah tidak sedarkan diri akibat dilanggar lari.

Paramedik menolak masuk Johan ke dalam bilik kecemasan zon merah sebaik tiba di hospital.  Ibu bapa Johan juga telah dimaklumkan dan kini dalam perjalanan ke hospital dari kampung halaman.  Mael tidak duduk diam sejak tiba di hospital. Kepalanya pusing memikirkan kondisi Johan. Tidak henti-henti dia berdoa agar Johan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

"Nah!  Minum dulu."

Rafi muncul dengan beg plastik berisi air kotak di tangannya.  Hanna menggeleng lemah. Seleranya mati. Dia terlalu risaukan keadaan Johan di dalam sana.  

"Rafi," panggil Mael lalu menggamit pemuda itu ke arahnya.  

Shakira tidak pernah mengenali Rafi.  Dia hanya mendengar nama itu melalui Mael dan Johan.  Nama Rafi selalu juga disebut-sebut semasa perbualan mereka berdua.  Ini adalah kali pertama dia bertentang mata dengan rakan serumah Johan dan Mael.  

"Adakah penjahat tu suspek yang kau orang cari?"  Rendah nada suara Mael bertanya. Rafi menggeleng sebagai menjawab pertanyaan Mael.

"Habis tu, siapa?"

"Perompak biasa.  Dia tak pernah ada rekod jenayah.  Dia cakap, dia telah ekori Johan sejak mereka masuk ke dalam kedai emas lagi.  Jadi dia merancang untuk merompak Johan. Tak ada niat lain. Aku cuba beritahu Johan.  Malangnya Johan pula ditimpa kemalangan jalan raya."

Penerangan Rafi meresahkan Mael yang dirundung masalah demi masalah.  Pelipis dipicit bersama decitan di bibir. Ini bermakna keselamatan mereka masih lagi dalam bahaya dan memerlukan kawalan yang semakin ketat.

"Sabar, Mael.  Aku datang ke sini nak beritahu kau sesuatu."  

Anak mata Rafi melekat teguh ke tampang wajah Mael yang gelisah.  Sesekali, rakan serumahnya itu melirik ke arah Shakira dan Hanna.

"Aku harap, ia bukan berita buruk." 

Sungguh.  Mael tidak sanggup lagi mendengar berita yang lebih dahsyat dari kecelakaan yang menimpa Johan.  Cukuplah dengan apa yang telah terjadi hari ini.

"Malangnya, ya.

Mael terkelip-kelip menanti bicara Rafi yang seterusnya.  Bahu Mael disentuh, ulas bibir Rafi bergerak-gerak untuk menutur kata.

"Kemalangan Johan sudah dirancang oleh seseorang."

"Siapa?" 

"Suspek-suspek itu masih terlepas bebas.  Mereka yang rancang kemalangan tersebut."

Terlopong mulut Mael mendengarkan penjelasan Rafi. Langkahnya terundur beberapa tapak sehingga tubuhnya tersandar di dinding.  Shakira memerhati dari jauh. Entah apa yang mereka bicarakan hingga Mael menjadi lemah begitu.  

Hanna sudah terlelap dalam dakapan Shakira.  Mungkin kerana terlalu penat menangis sehingga matanya menjadi bengkak dan sembab.  Suasana bertukar sunyi dan hening. Masing-masing asyik melayan perasaan sendiri. 

Di dalam bilik kecemasan, doktor dan para petugas perubatan sedang sibuk memeriksa keadaan Johan yang terlantar di pengusung.  Doktor berbangsa India yang tertera nama Raymond mengarahkan agar imbasan otak dilakukan bagi melihat kecederaan pada kepala Johan yang tercedera.  Hasil imbasan otak Johan itu didapati ada darah beku di kepala pesakitnya yang menyebabkan Johan tidak sedarkan diri. Tulang peha Johan juga didapati patah setelah imbasan x dilakukan selepas itu.

Segera Doktor Raymond mendapatkan waris pesakit di ruang menunggu yang disediakan.

"Siapa waris Johan bin Johari?"

Buru-buru Rafi dan Mael meluru ke arah doktor itu dalam keadaan cemas.

"Kami rakan serumah Johan, doktor.  Bagaimana keadaan dia sekarang ni?" tanya Mael tidak sabar.

"Pesakit perlu dibedah untuk mengeluarkan darah beku di kepalanya.  Peha kanannya juga patah dan bahagian itu perlu dimasukkan besi. Saya perlukan tanda tangan waris pesakit untuk membuat pembedahan." 

"Allah!"  

Semakin kuat tangisan Hanna mendengar penjelasan itu. Kasihan sungguh nasib Johan.  Siapakah yang tergamak melanggar tunangnya lalu pergi begitu sahaja? Johan bukannya binatang yang boleh ditinggalkan di tepi jalan setelah dilanggar tanpa belas.

"Waris pesakit masih dalam perjalanan.  Kami tak boleh tanda tangan ke, doktor?"  Giliran Rafi pula bertanya.

"Saya Johari, bapa kepada Johan.  Biar saya yang tanda tangan surat kebenaran tu."  

Doktor Raymond mengangguk dan meminta jururawat menyediakan surat kebenaran sebagai persetujuan untuk pembedahan.  Rafi dan Mael sempat bersalaman dengan Johari yang baru tiba sebelum lelaki sebaya ayah mereka beredar ke kaunter.

"Hanna!"  

Hanna tercari-cari arah suara yang memanggilnya.  Wajah wanita tua bernama Maryam itu segera mendapatkan Hanna yang berada dalam dakapan Shakira sejak tadi.

"Ibu!"  

Hanna bangkit dari kerusi dan bersalaman dengan Maryam dan seterusnya mengucup pipi wanita tersebut penuh kasih.

"Johan, bu," rintih Hanna lemah.

"Mari, Hanna.  Ikut ibu. Kita ke surau, nak." 

Mereka berpimpinan tangan menuju ke surau hospital yang terletak di hujung bangunan.  Sesungguhnya, saat-saat getir begini tiada apa lagi ikhtiar yang paling mujarab, melainkan memohon pertolongan daripada Allah agar pembedahan Johan berjalan lancar.  Dan semoga Allah memelihara keselamatan Johan sebelum dan juga selepas pembedahan.

Seusai melakukan solat sunat hajat, Maryam dan Hanna membaca surah Yasin bersama-sama.  Air mata tidak henti-henti mengalir seiring dengan bacaan surah yang tiada hentinya. Berat sungguh dugaan yang Hanna rasakan.  Baru saja mereka mengintai bahagia, Johan pula ditimpa celaka. Namun Hanna tahu, dia harus akur pada takdir-Nya. Apa yang dia tidak tahu ialah siapa dan mengapa Johan dijadikan sasaran langgar lari.

"Ke bilik bedah, sekarang!" 

Persiapan untuk mengeluarkan darah beku melalui pembedahan telahpun dilakukan.  Sebelum itu, sebanyak 100 ml ubat phneytoin dimasukkan ke dalam salur darah Johan bagi memperlambatkan impuls di otak yang menyebabkan kekejangan atau epilepsi.  Bius juga disuntik sebelum pembedahan bermula.

Sementara itu, Hanna, Mael dan Rafi masih kekal di ruang menunggu.  Mael yang duduk menongkat dagu dengan siku ditongkat ke lutut memejam mata.  Masih terbayang-bayang di ruang matanya keadaan Johan sejurus dia dilanggar, menggelupur dan menggelitik seperti ayam yang disembelih.  Tidak tergambar akan kesakitan yang ditanggung Johan.

Rafi pula sedang sibuk membuat panggilan.  Setiap inci perkembangan Johan dilapor kepada Tajudin yang juga diuliti resah.  Saru-satunya saksi pembunuhan Borhan sedang bertarung nyawa di meja bedah pada waktu ini. Hampir lima minit berbicara talian itu ditamatkan.  Rafi menyertai mereka berdua yang duduk diam membeku. Tidak lama kemudian, Johari kembali ke ruang menunggu dengan mata yang basah.  

"Duduk dulu, pak cik," pelawa Rafi sopan.  

Johari tersenyum nipis dan duduk di sebelah Mael.  Rafi bangun menapak ke mesin air yang terletak tidak jauh dari situ.

"Saya ke surau tengokkan Hanna dan mak cik."  Shakira meminta diri. Tidak betah berada sendirian bersama para jejaka.  

"Baiklah," jawab Mael sepatah.  Langkah Shakira dihantar dengan pandangan matanya.

"Basahkan tekak dulu, pak cik.  Jauh perjalanan pak cik tadi." Sebotol air mineral dihulur kepada Johari yang membungkam.

"Terima kasih, nak.  Kamu kawan Johan, ya?  Maaflah. Pak cik tak pernah lihat kamu sebelum ni."  Johari berterus-terang.  

"Iya.  Nama saya Rafi. Saya kawan serumah Johan dan Mael."

"Baik, baik."  

Johari tidak tahu hendak berkata apa lagi.  Jiwanya kacau. Doanya kepada Allah tidak putus-putus dipanjatkan dalam hati.  Rafi membiarkan sahaja Johari melayan perasaannya sendiri. Rakaman CCTV dan juga keterangan saksi telah diperolehi.  Seperti dijangka, nombor pendaftaran kenderaan yang melanggar lari Johan adalah palsu. Sementelahan, kejadian itu berlaku terlalu pantas.  Dalam sekelip mata ia merubah segalanya.

Masa yang berlalu dirasakan terlalu lambat.  Sekejap-sekejap Johari melihat muka jam tangan yang melilit pergelangannya.  Keluhan kecil terlepas di bibir. Mael melihat Johari tidak senang duduk. Adakala Johari menyeka air matanya secara sembunyi-sembunyi.  Hati ayah mana yang tidak takut bila satu-satunya anak lelaki mereka ditimpa celaka.  

Shakira tercegat di muka pintu surau tatkala melihat Hanna dan Maryam menyangkut telekung di penyidai.  Secalit senyuman diukir tatkala pandangan mereka bertembung. Menyedari urusan mereka sudah selesai, mereka bertiga kembali ke ruang menunggu selepas menyarung kasut masing-masing.

Kini, mereka cuma mampu menanti pembedahan itu berlangsung dengan jayanya.  Suasana di ruang itu beku dan sunyi-sepi.

"Tuan, puan."  

Doktor Raymond yang baru keluar dari dewan pembedahan terus saja mendapatkan ahli keluarga dan kenalan Johan yang setia menunggu sejak beberapa jam yang lalu. Walaupun dia telah berkhidmat berbelas tahun lamanya, hal-hal yang melibatkan emosi pesakit tetap meruntun jiwanya.  Kerana dia juga adalah manusia biasa dan dia cuba sedaya-upaya untuk menyelamatkan nyawa pesakit dan selebihnya biarlah Tuhan saja yang menentukan.

Mereka berenam serentak berdiri dan sabar menanti buah bicara doktor itu dengan debaran di dada.  Hanna menggenggam kemas jari-jemari Maryam. Dan Maryam juga melakukan hal yang sama. Doktor Raymond menanggalkan topeng yang melekat separuh pada bahagian mukanya terlebih dahulu.  Segaris senyuman dilorek, memancing hati mereka yang gundah-gulana.

"Bagaimana keadaan sahabat saya, doktor?" tanya Rafi, orang pertama yang meluru ke arah doktor yang bertanggungjawab merawat Johan.

"Pembedahan berjalan dengan lancar.  Darah beku juga telah berjaya dibuang.  Kami akan letakkan pesakit di bawah Unit Jagaan Rapi (ICU) untuk memantau kestabilan kesihatan pesakit.  Apabila pesakit telah sedar dan stabil, dia akan dipindahkan ke wad biasa."

"Alhamdulillah!" 

Hanna dan Maryam saling berpelukan.  Mereka memanjatkan rasa syukur kerana doa-doa mereka telah dimakbulkan Allah S.W.T.  

"Boleh kami melawat dia sekarang, doktor?"  Maryam bertanya tidak sabar.

"Buat masa sekarang anak puan belum sedarkan diri kesan dari ubat bius. Puan boleh datang melawat selepas kami pindahkan anak puan ke wad ICU." 

Maryam mengangguk lemah.  Kendatipun begitu, dia gembira tindakan cepat rakan-rakan anaknya menghantar Johan ke hospital dengan segera wajar dipuji.  Mereka semua beredar ke wad ICU setelah mengucapkan terima kasih kepada Doktor Raymond.

"Johan, ibu datang ni, nak."  

Maryam memegang tangan Johan yang masih lagi tidak sedarkan diri.  Sejuk tangan itu dibawa ke bibirnya untuk dikucup. Pilu hati si ibu melihat penderitaan anak yang terbaring dengan bantuan tiub oksigen untuk menyokong pernafasannya.  Bau ubat tajam menyantak ke rongga nasal.  

"Abang, anak kita," rintih Maryam sedih.  Sedari tadi air mata tidak pernah kering di pipinya.

"Sabar, Yam.  Anak kita dah selamat.  Biar dia berehat dulu." Johari memujuk isterinya yang galau.  Maryam sekadar mengangguk, setuju dengan cadangan suaminya.

Maryam dan Johari keluar dari bilik ICU dan memberi giliran kepada Hanna dan Shakira pula untuk melawat Johan.  Seperti Maryam juga, Hanna direnjat sayu melihat keadaan Johan yang kaku terkedang di katil hospital.

"Awak… sedarlah cepat.  Saya rindu nak dengar suara awak lagi.  Saya janji, lepas ni saya takkan panggil awak Giant lagi.  Awak nyanyilah puas-puas, saya takkan komen apa-apa. To… tolong, ja… jangan tinggalkan saya," rayu Hanna di tepi telinga Johan.

Johan tidak memberikan apa-apa reaksi terhadap panggilan Hanna.  Shakira menyeka air matanya yang ditahan sejak tadi. Adegan di depan matanya merentap sanubarinya yang halus.  Tidak dapat dia bayangkan jika yang terbaring di katil itu adalah Mael. Ya Allah! Jangan pisahkan aku dan dia.

Setelah sepuluh minit di situ, Hanna dan Shakira memberi laluan kepada Mael dan Rafi.  Zahirnya saja Mael kelihatan tabah, sedangkan batinnya menjerit dan tidak sanggup kehilangan rakan sepermainannya sejak kecil.  Bahu Mael disentuh perlahan oleh Rafi yang berdiri di sebelahnya dan memerhatikan emosi dalaman Mael yang bergejolak.

'Johan, aku janji akan cari mereka sampai dapat.  Aku akan pastikan penderitaan kau tidak sia-sia. Kau tabah dulu, ya, kawan.  Selepas ni kau tak perlu hidup dalam ketakutan lagi.'

Berat langkah mereka untuk meninggalkan Johan keseorangan di wad tersebut.  Sebagai langkah berjaga-jaga, dua orang anggota polis diarahkan berjaga-jaga di wad itu.  Mereka tidak boleh lalai lagi kali ini.  

"Ibu… ibu dengan ayah tidur di rumah Hanna, ya?" pelawa Hanna sopan.  

Maryam mengusap ubun-ubun Hanna penuh kasih.  Johan pandai memilih gadis untuk dijadikan calon isteri.  Wajah polos Hanna ditatap lama seraya menyeka sisa-sisa air mata gadis itu dengan jari-jarinya yang berkedut.

"Ibu tak mahu susahkan Hanna."  

Maryam menolak secara halus.  Gadis itu kelihatan penat dan lesu.  Tidak wajar kiranya mereka menyusahkan Hanna lagi.

"Jangan cakap begitu.  Hanna ikhlas ajak ibu balik ke rumah Hanna.  Ayah, tidur kat rumah Hanna malam ni. Lagipun senang kita bergerak sama-sama ke hospital esok.  Boleh kan?"

Johari tidak sampai hati untuk menghampakan permintaan gadis yang bakal menjadi menantunya tidak berapa lama lagi.  Dia melirik kepada Maryam sekilas, kemudian mengangguk setuju. Hanna tersenyum manis lalu memimpin tangan Maryam ke ruang parkir hospital besar itu.

°•°•°•°


"RASA-RASA kaulah, Mus.  Budak tu dah mampus ke?" Epul menarik kerusi di hadapan Mus yang sedang meratah ayam goreng dengan lahap.

"Gila tak mampus?  Melambung tinggi macam tu sekali, setidak-tidaknya koma."  

Mus ketawa kuat sehingga terpercik isi ayam goreng ke pipi Epul.  Kurang asam betul sikap pengotor Mus itu.

"Kau tak nak periksa dulu?  Dibuatnya nyawa budak tu liat nak mati, kita juga yang kena menghadap Mukhlis sekali lagi."  

Entah mengapa firasat Epul cuba menyatakan sesuatu yang tidak enak.  Dia sendiri tidak pasti dengan gerak hatinya kali ini.

"Ah!  Tak payahlah! Aku yakin budak tu dah masuk lubang kubur, dah jadi bangkai.  Nak periksa apa lagi? Kau nak korek kubur dia pulak?"  

Mus menyambar ketulan ayam goreng yang kedua.  Berselera sungguh lelaki itu menjamu selera. Baju pagoda putih yang dipakainya dilipat sehingga ke pusat dan perutnya yang membuncit diusap-usap kerana kekenyangan.

Epul sugul menekur lantai.  Mus menyepak kaki Epul di bawah meja sehingga pemuda itu tersentak dan mencerlung tajam ke arah Mus yang beriak selamba.

"Sudah-sudahlah tu.  Kau dah cuci kereta ke belum?  Karang suwei kereta tu kena bangkai budak tak guna tu."  

Mus bangkit dari kerusi terus ke sinki.  Manakala Epul kekal di kerusinya tidak berganjak.  Separuh hatinya bertingkah dengan akalnya sendiri. Jika Mus tidak mahu bertindak, biar dia sahaja yang melakukannya.

"Hoi!  Aku tanya ni.  Kau mengelamun apa?"  Mus menggoyang-goyangkan tangannya di depan muka Epul berulang kali.  

"Hah!  Apa?"  

Nampaknya Epul sedang hanyut di dunianya sendiri.  Dia yang kaki dadah pun tidak seteruk itu.  

"Macam bercakap dengan tunggullah kau ni.  Aku tanya, kereta tu dah dicuci ke belum?" ulang Mus dengan nada marah.  Cawan kertas berisi air soda yang mencair aisnya disedut sehingga habis.  

"Sudah.  Kau mana tahu?  Asyik dengan 'batu' kau je."  

Epul memulangkan paku buah keras.  Mus berpura-pura tidak mendengar. Epul sudah pandai mengherdik dan menyindir.  Dia tidak lagi menjadi pemuda yang senang diatur dan menurut perintah. Tiba-tiba, Epul bingkas bangun dan menyambar kunci kereta di atas meja.

"Kau nak ke mana pula tu?  Amboi-amboi, sejak ada kereta baru ni merewang saja kerja kau, ya?" 

Epul menyungging senyum.  Mus hanya bijak mengatur helah, tetapi naif dalam hal-hal lain.  Soalan Mus dibiar tergantung. Tiada guna dia berbicara lanjut jika hatinya juga yang tersakiti.  Hatinya yang serabut perlu diubati dengan belaian manja gadis-gadis GRO yang tidak layak lagi digelar sebagai 'gadis.'  Penawar paling mujarab itu mudah saja didapati di kelab-kelab dan juga lorong-lorong gelap di kota raya.

Memandangkan dia berpoket tebal, maka seleranya juga semakin tinggi.  Gadis-gadis pemuas nafsu di lorong-lorong bukan menjadi pilihannya kali ini.  Dia memasuki kelab malam mewah yang bingit dengan muzik dan pancaran neon yang berubah warna setiap detik.  Seorang Amoi berkulit cerah dan berlekuk tubuh seksi cuba didampingi.

Belum sempat dia merapati gadis cantik itu lengannya ditarik lembut.  Sebaik saja berpaling, seorang lagi Amoi yang lebih berusia tetapi tidak kurang seksinya menyengih kepada Epul dengan kening terjongket sebelah.

"Itu bukan calang-calang ayam.  Itu ayam serama baka luar negara.  Liar, tapi mudah dijinakkan asalkan you ada… ini."  

Wanita itu membuat isyarat mengira wang.  Epul tersenyum bangga lantas mengeluarkan dompet dari kocek.  Beberapa keping not berwarna ungu dihulur kepada wanita yang menjengkelkan itu tadi. Bersinar-sinar iris matanya saat terpandangkan helaian wang kertas yang tebal itu bakal masuk ke dalam koceknya.

"Haiyaa… kenapa tak cakap awal-awal?  Amoi tu akan jadi milik you satu malam ni.  Jangan buas sangat lor. Ayam muda maa…," pesan Amoi tua tersebut malu-malu.

"Kiki!" 

Gadis bernama Kiki itu berpaling.  Dia bangun lalu berjalan dengan gaya yang paling menggoda ke arah mereka.  Meluncur laju air liur Epul yang berkumpul di kerongkong ke saluran esofagus.  Dahi Epul berkerut saat mereka berdua berkomunikasi dalam bahasa Mandarin. Kiki kelihatan patuh dengan arahan lantas memaut lengan Epul yang tidak ketentuan nafasnya.  Epul semakin tidak tentu arah saat dada gebu gadis itu menghimpit rapat ke lengannya yang sasa.

'Apa barang makan ayam goreng.  Makan ayam bersepatu lagi best!'  Epul ketawa dalam hati lalu membayangkan lentik tubuh Amoi yang bakal digauli.

°•°•°•°










Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh