Bab 29

BOSAN.  Apa yang dibuat serba tidak kena.  Hidupnya terkurung seperti penjara. Hamparan rumput yang menghijau bak permaidani ditenung tidak beriak.

"Orang tua-tua cakap tak baik mengeluh selalu."

"Saya bosan.  Nak keluar pun tak boleh.  Saya dah sihat ni. Boleh tak bagi saya keluar cuci mata sekali-sekala?"

"Kat sini tak boleh cuci mata?" 

"Asyik benda sama aje yang saya tengok hari-hari.  Tengok pak cik tanam pokok, semai pokok, baja pokok.  Bosanlah."

Topi celoreng ditanggalkan dan dijadikan kipas muka.  Fareed melepaskan lelah buat seketika setelah sehari suntuk berkebun.  Tanah seluas 3.2 hektar itu telah diusahakannya hampir lima tahun yang lalu, yakni sebaik sahaja dia bersara.

"Kamu kena ingat tujuan utama kamu ke sini bukan untuk suka-suka.  Fokus pada matlamat utama."

"Ayam dan itik pun dapat juga keluar dari reban.   Tak macam saya. Terkurung 24 jam dalam rumah." Johan seakan berjauh hati.

"Kamu tu ayam ke?"

Terkebil-kebil Johan mendengar pertanyaan Fareed.  

"Nasib saya lebih malang daripada ayam.  Dah dekat dua bulan saya kat sini. Macam penganggur terhormat pun ada.  Pak cik tak apalah, dah biasa."

"Cuba kamu tengok sekeliling.  Kat tempat kamu ada suasana macam ni?  Tenang, damai."

Susah betul bercakap dengan Fareed.  Ada-ada saja dalihnya. Johan garu kepala.  Hati jadi berbolak-balik. Sudahnya dia masuk ke bilik untuk tenangkan hati.

Sekeping gambar dikeluarkan dari laci.  Gambar dia dan Hanna memakai baju sedondon.  Juga gambar ibunya menyarung cincin ke jari manis Hanna.  Tangan ditolak lebih jauh ke dalam laci. Kotak baldu berwarna biru dibawa keluar.  Cincin tunang milik Hanna dipandang sayu.

"Teringatkan buah hati?"

Lekas-lekas gambar dan cincin diletak semula ke dalam laci.  Johan mengangguk tanpa suara. Ada mutiara jernih di hujung matanya.

Wanita bergelar Hasnah itu menyimpul senyum di muka pintu.  Dia tidak sengaja mencuri dengar perbualan antara Fareed dan Johan.  Ada betulnya juga kata-kata Johan. Dia sendiri pun bosan bila asyik terperuk di rumah.

"Kamu nak keluar?"

Soalan Hasnah buat senyuman Johan melebar.

"Boleh.  Tapi dengan satu syarat."

Johan akur jika itu saja cara untuk dia melihat dunia luar.  Dia duduk di tempat duduk belakang setelah Fareed berpuas hati dengan penampilannya.  Mereka bertolak sejurus menunaikan solat fardhu Subuh untuk ke Pasar Besar Kota Kinabalu.  

"Sudah-sudahlah mengintai saya, pak cik."

Fareed tersengih.  Dia mendesis kesakitan sejurus menerima cubitan ketam di peha dari Hasnah.  Padan muka Fareed.

Jalan yang dilalui berliku-liku.  Lereng demi lereng ditelusuri. Tidak dinafikan pemandangan di Kundasang itu cukup indah menjelang matahari terbit.  Udara sejuk menampar muka tatkala cermin tingkap diturunkan. 

Hampir dua jam perjalanan, mereka tiba di Pasar Besar KK.  Fareed dan Hasnah memunggah kotak-kotak sayur ke dalam pasar.  Alah bisa tegal biasa. Segala kotak-kotak yang berat itu nampak  mudah diangkat. Johan ditegah agar tidak menolong mereka dan membuat kerja-kerja berat kerana dia masih dalam proses pemulihan.

Johan membuntuti langkah mereka berdua ke pasar kering, iaitu bahagian pasar yang menjual sayur, buah-buahan dan juga barangan runcit yang lain.  Seawal pagi, para penjual mula sibuk menyusun-atur barang-barang untuk dijual. Johan sekadar menjadi pemerhati.  

"Lepas ni kita pergi sarapan pula, ya," kata Hasnah sejurus tugas mereka berdua selesai.

Perjalanan mereka diteruskan ke sebuah restoran yang terkenal di Kota Kinabalu.  Restoran Happy Muslim yang terletak di Sinsuran Kompleks agak lengang pada pagi itu.  Mereka memilih meja yang dikehendaki dan duduk di situ.

"Baru balik dari pasar, Hasnah?" tegur seorang wanita seusia Hasnah yang anggun berbaju kurung.

"Iyalah.  Orang pencen memang macam ni lah gayanya."

"Hasnah, itu siapa?  Tak pernah nampak pun sebelum ni?"  Banyak pula soalan tuan kedai merangkap kawan Hasnah itu.

"Oh!  Ini Johan, anak buah aku dari Melaka."  Kawan Hasnah terangguk-angguk dan berlalu setelah pesanan diambil.

Johan kelihatan gelisah.  Lehernya terasa merenyam semacam.  Rambut palsu seperti megi itu benar-benar tidak selesa, gatal dan berbau.

"Berapa lama pak cik tak basuh rambut ni?"

"Kenapa?"  Fareed tersengih serba-salah.

"Miang semacam aje ni.  Bila last pak cik basuh?"

"Errr… lima tahun lepas kut."

"Apa?  Pengotornya!  Patutlah bau hapak.  Kepala saya dah gatal-gatal ni, pak cik," adu Johan dengan muka merah padam.  Dia sudah tidak senang duduk. Tergaru-garu seperti beruk. Jaket yang dipakai juga merimaskan.

"Awak ni, kenapa bagi rambut megi tu kat Johan?" Hasnah memandang Johan dengan simpati.

"Lama dah saya tinggalkan kerja penyamaran saya.  Itu ajelah yang saya jumpa. Yang lain entah ke mana."  Fareed menikmati mihun sup dengan berselera sekali.

Sedang melayan perasaan dan kegatalan yang semakin menjadi-jadi, pandangan Johan melekat kepada sebuah kedai gajet dan menjual telefon.  Akalnya ligat memikirkan sesuatu.

"Pak cik, saya nak ke tandas sekejap.  Sakit perut, tak tahan."

Fareed bersetuju tanpa banyak soal.  Dia sambung menghirup kuah sup yang lazat itu.

Hasnah melihat kelibat Johan yang hilang di bahagian belakang dapur.  Selang sepuluh minit kemudian, hatinya diketuk sangsi.

"Lama sangat si Johan ni pergi.  Entah-entah…"

"Awak pergilah check," suruh Fareed.

"Huh, awak ni kalau dah kenyang memang macam ular sawa bunting."  

Malas-malas Hasnah bergerak ke bahagian belakang restoran.  Baru saja hendak mengetuk pintu tandas, pintunya dibuka oleh seseorang dari dalam.

"Mak cik nak guna tandas ke?  Saya dah selesai ni." Johan menayang sengih seraya menarik zip seluarnya yang terbuka.

"Haa…  ya, ya.  Duduklah dengan pak cik kamu tu.  Mak cik nak ke tandas dulu."

Tanpa banyak soal Johan menapak ke tempat duduk mereka tadi.  Teh tarik yang sudah sejuk diteguk sehingga habis. Dia mengusap-ngusap sesuatu di dalam jaketnya.  Hampir-hampir saja rancangannya gagal. Mujurlah dia bertindak lebih cepat daripada mereka berdua.

•°•°•°•


PERBUATAN Hanna yang sedang menyikat rambut terhenti apabila telefon pintar berdering di atas katil.  Dia tidak berani untuk menjawab panggilan dari nombor asing. Silap hari bulan, panggilan scammer pula yang disambut.

Hanna, tolong jawab panggilan. - 010xxxxxxx

Berkerut dahi Hanna membaca permintaan aneh itu.  Sedang berteka-teki, nombor itu sekali lagi muncul di skrin.

"Hello, Hanna."

"Johan!"  Hampir menitis air mata Hanna tatkala suara itu menyebut namanya.

"Maaf sebab tinggalkan awak tanpa pesan.  Saya terpaksa."

"Sampai hati awak buat saya macam ni.  Dah beberapa bulan awak menyepi. Tiba-tiba aje hari ni awak muncul."

"Susah saya nak terangkan situasi saya sekarang ni.  Segala-galanya terlalu rumit. Saya akan balik juga pada awak bila tiba masanya.  Tolong percayakan saya, Hanna."

Air mata yang mengalir laju diseka dengan hujung jari.  Dadanya diserbu rasa sedih dan pilu dalam masa yang sama.  

"Banyak yang berlaku bila awak tak ada, Johan."  Berat lidah Hanna untuk mengatakannya. Lambat-laun Johan pasti akan tahu juga.

"Jangan cakap awak dah tak ada perasaan pada saya."

"Bukan hal tu.  Ada perkara lebih penting yang perlu awak tahu sepanjang pemergian awak.  Apa-apapun saya harap awak bersabar. Setiap makhluk Allah yang bernyawa pasti akan mati juga akhirnya."

Ketika itu, dada Johan seperti hendak pecah.  Jantungnya berdegup kencang seiring hembusan nafas yang kian laju.  Berita apa pula yang hendak disampaikan Hanna kepadanya. Kenapa hatinya berasa tidak senang begini.

"Mael, dia… dia.  Dia dah meninggal dunia."  

Johan terduduk.  Air mata lelakinya mengalir turun dengan deras.   Muka diraup berkali-kali.

"Jangan main-main, Hanna."

"Ya Allah, takkanlah benda macam ni saya nak main-main!"  Sakit pula hati Hanna bila dituduh sedemikian.

"Macam mana dia…"

"Ada perompak pecah masuk rumah kau orang.  Lepas tak jumpa apa yang dia cari, Mael dibunuh.  Tapi saya musykil. Kenapa arwah Mael dibunuh dengan kejam sekali?"

"Maksud awak?"

"Mengikut laporan autopsi, lidahnya dipotong dan jarinya dikerat.  Orang gila mana yang sanggup buat semua tu?"

Minda Johan berkecamuk.  Tetapi hatinya kuat mengatakan ia ada hubung kait dengan penjenayah itu.  Sebab itulah dia didesak untuk menyertai program ini.

"Semuanya salah saya!"

"Kenapa awak cakap macam tu?"

"Tak selamat untuk saya terangkan dalam telefon."  

Sesekali mata Johan melirik keluar.  Kalaulah dia ditangkap menggunakan telefon, tentu dia tidak akan dapat berhubung dengan Hanna lagi.

"Then, kita jumpalah senang."

Johan menghela nafas panjang dan dilepaskan.  Kalau boleh, sekarang juga dia mahu berjumpa dengan kekasih hati.  Malangnya itu semua angan-angan yang dia sendiri tahu tidak akan dapat digapai.

"Johan, awak dengar tak ni?" dengus Hanna geram.

"Saya dengar.  Buat masa sekarang kita memang tak boleh bertemu."

"Awak ni kenapa, ya?  Banyak sangat alasan. Ingatkan bila awak dah contact saya balik awak dah berubah sepenuhnya."  Hanna mula meninggikan suara.

"Awak takkan faham, Hanna.  Saya tak akan meletakkan diri awak dalam risiko yang saya sendiri cipta."

"Apa yang bahaya sangat sampai awak menjauhkan diri sampai macam ni sekali?  Awak ada bunuh orang?" tebak Hanna seraya menggigit bibir. Harap-harapnya tekaan itu meleset.

"Lebih kurang."

Kedengaran suara Hanna beristighfar di hujung talian.

"Err… bukan saya!  Tapi saya yang nampak orang kena bunuh."  Johan membetulkan ayatnya.  

Hanna menekup mulut.  Tidak percaya dengan apa yang baru dia dengari.

"Maafkan saya sebab rahsiakan hal ni dari awak.  Saya terpaksa. Mak ayah saya pun tak tahu. Sebab itulah saya dicampak ke sini.  Saya disembunyikan di sini dan diberi identiti baru."

Rengkung Hanna seperti tersekat. Tidak tahu kata-kata apa yang harus diucap.  Kini, barulah dia mengerti akan perkara duduk yang sebenar. Walaupun terkejut pada mulanya, Hanna cuba menimbang kenyataan itu dengan akal yang waras.

"Jangan cakap kematian arwah Mael ada kena-mengena dengan kes awak."  Lemah saja suara Hanna bertanya.

Johan gelisah bak cacing kepanasan.  Posisi duduknya seringkali berubah-ubah.  Tidak betah untuk dia menjawab soalan itu.

"Jawablah, Johan.  Saya cuma nak tahu."  Hanna semakin mendesak.   Dadanya berdebar-debar menanti jawapan.

"Maafkan saya.  Semua ni salah saya."

Semakin lebat air mata yang mengalir di pipi Hanna.  Simpatinya semakin melimpah ruah terhadap Shakira.   

"Awak kat mana, Johan?  Saya nak jumpa awak."  

Suara Hanna seakan-akan merayu.  Dia rindukan Johan. Dia tidak sempat berlama-lama dengan Johan selepas pemuda itu sedar dari koma.  Sementelahan, sikap dingin Johan juga menjadi punca hubungan mereka bertambah renggang.

"Saya terpaksa tamatkan perbualan kita.  Nanti saya beritahu awak lokasi saya. Hanna, tolong rahsiakan perbualan kita.  Jangan beritahu sesiapa pasal ni terutamanya Rafi."

"Kalau awak nak saya call awak lagi, tolong dengar cakap saya," sambung Johan berharap apabila Hanna tidak memberi respons.

"Baiklah."

"Janji?"

"Saya janji."

Johan tersenyum lebar mendengar persetujuan Hanna.

Walaupun terlalu banyak persoalan yang menerjah minda Hanna, dia terpaksa bersetuju.  Lama gadis itu termenung di katilnya sendiri. Perbualan mereka tamat beberapa minit yang lalu dan Hanna masih jua termenung di situ.  Yang pasti, rindunya sedikit terubat setelah mendengar suara Johan.

•°•°•°•


"BUKAN main ceria nampak kamu hari ni?  Semalam muka tu macam cicak tertelan kapur.  Hari ni macam pengantin pulak, berseri-seri."  

Johan cuba menyembunyikan senyumnya di sebalik cawan.  Ketara sangatkah kelakuannya tadi sampai Fareed pun nampak perubahannya.

"Saya jatuh cinta kat tempat ni.  Betul cakap pak cik, kat sini best.  Tak macam kat bandar. Setiap pagi bersesak-sesak kat jalan raya.  Udara pun tak segar macam ni." 

Fareed meneguk teh 'O' yang dibekalkan oleh Hasnah.  Dia duduk bersandar di satu pondok kecil untuk mereka melepaskan lelah.  Pandangan ditebar ke segenap kebun yang diusahakan hampir lima tahun lamanya.  Bangga dia bila setiap titis keringat berjaya membuahkan hasil. Bukannya wang pencennya tidak mencukupi, tetapi dia berasa puas bila melihat segala usahanya menjadi.

"Itulah, sebab itu pak cik dengan isteri menetap di sini.  Daripada tanah pusaka ni terbiar macam tu aje, elok kami usahakan.  Orang tua-tua cakap, kalau berbudi pada tanah, kita akan dapat hasilnya."

Johan tersenyum mendengar celoteh dari Fareed.  Dia berangan-angan untuk memiliki sebuah restoran masakan Itali di tempat seperti ini juga suatu hari nanti.  Segala herba ditanam sendiri. Kalau hendak masak pun senang nanti. Petik saja dari kebun dan terus dibawa ke dapur.  Rasa masakan pasti berbeza kalau menggunakan herba-herba yang segar.

"Berangan lagilah tu.  Kamu nak belajar sesuatu tak?"

Berlapis dahi Johan bila ditanya.  "Belajar apa, pak cik?"

"Pak cik nak ajar kamu cara nak buat racun serangga organik."

"Kenapa tak guna racun serangga yang dijual kat kedai aje?  Lagi senang."

Fareed menggeleng dan tersenyum.

"Pak cik lebih suka buat racun sendiri.  Lagipun pak cik cuma guna bahan-bahan yang sedia ada.  Bukan susah sangat pun. Yang penting jimat duit dan lebih selamat.  Ingat tau, kesihatan tu tak ada dijual kat pasar." Fareed berjenaka.

Johan tertarik dengan kata-kata Fareed.  Apa salahnya dia belajar. Itu juga merupakan salah satu cabang ilmu juga.  Esok-esok, bolehlah dia praktikkan sendiri pada hasil tanaman yang bermasalah.

Fareed memulakan langkah dengan menyusun beberapa bahan di dalam sebuah bekas.  Johan memerhati dengan penuh minat.

"Resepinya tak banyak bahan sangat, kan?  Satu labu bawang putih ni dikisar dengan enam biji cili padi bersama 500 ml air.  Kalau malas nak sukat, kamu tuang aje sebotol air mineral botol kecil tu. Lepas kisar, kemudian ditapis, masukkan ke dalam botol dan peram sekurang-kurangnya satu hari.  Hampasnya jangan dibuang. Rugi. Simpan hampas tu buat baja."

"Wah… ini lagi mudah dari memasak!"  Johan ketawa besar sehingga matanya menjadi sepet.

"Haaa… tahu pun!"  

Tiba-tiba Fareed mengeluarkan satu bekas berisi cecair yang keruh warnanya.

"Ini racun serangga organik yang pak cik buat minggu lepas."  Penutup botol itu dibuka. Bau bawang putih bercampur cili merebak ke ruang udara.

"Dah boleh guna ke tu?" Johan tidak sabar untuk mengetahui keberkesanannya.

"Boleh, boleh.  Sebelum tu, tolong ambilkan penyembur tu dulu."

Johan mencapai bekas penyembur yang tergantung di belebas.  Fareed menuangkan sedikit cecair tersebut menggunakan corong dengan berhati-hati.  Naya kalau terkena kulit. Kesan pijarnya sukar dihilangkan. Kemudian, air kosong ditambah ke dalam bekas penyembur.

"Ini bahan-bahan terakhir. Macam memasak jugalah, ada bahan rahsia dia."  Mengekek Fareed ketawa dengan ayatnya sendiri.

"Bahan terakhirnya ialah minyak masak dengan sabun pencuci pinggan.  Kamu agak-agak sendirilah nak letak banyak mana. Jangan banyak sangat sampai berbuih.  Tukang masak kata apa selalu tu? Satu sudu teh? Macam tulah lebih kurang."

Johan cuba mengingati semua bahan dan langkah-langkah dalam pembuatan baja organik.  Terpaksa dia akui bahawa cara itu sememangnya mudah dan menjimatkan. Silap haribulan boleh mendatangkan untung besar jika dijual.  Antara rajin dengan tidak sahaja.

"Mari ikut pak cik.  Kita sembur kat tanaman sawi tu dulu.  Banyak pula serangga perosak menyerang akhir-akhir ni."

Johan membuntuti langkah Fareed setelah memakai penutup muka dan sarung tangan.  Racun perosak disembur pada tanaman yang diancam makhluk perosak seperti koya-koya dan ulat putih.

"Kalau racun ni tak sesuai dengan tanaman ni, kamu siram aje sayur-sayur ni semua dengan air sampai hilang kesan racun tu.  Tak semua tanaman kat sini sesuai dengan racun ni."

Habis saja kerja-kerja di kebun, kelihatan sosok Hasnah jalan berlenggang dengan satu mangkuk tingkat di tangan.  Tidak sedar waktu begitu pantas berlalu sehingga tiba waktu makan tengah hari.

"Dia datang dah.  Datang dengan senyum simpulnya," usik Fareed sambil tersengih.

"Marilah, Johan kita isi perut dulu.  Lepas solat Zohor kita sambung balik."  Johan mengangguk dan melangkah beriringan ke pondok tadi.  

•°•°•°•


DENGAN sekali deringan sahaja panggilan itu disambut.  Sejak tadi Hanna tertunggu-tunggu panggilan dari Johan.  Usai menjawab salam, Hanna terus bertanyakan khabar Johan.

"Semenjak saya duduk kat sini berat badan saya bertambah, tau.  Mak Cik Hasnah lah ni masak sedap sangat." 

Lega Hanna mendengar pengakuan Johan.  Setidak-tidaknya dia maklum akan tahap kesihatan Johan selepas apa yang terjadi.  Malam itu dia bernekad untuk mengatur pertemuan mereka berdua.

"Awak sedar tak awak berisiko tinggi menerima nasib seperti Mael?"  Suara Johan tegas kedengaran.

"Saya tak takut!  Kalau kita berhati-hati semua tu takkan terjadi.  Percayalah!"

"Saya tak yakin untuk buat semua ni.  Penjahat tu bukan sembarangan, Hanna. Dia bukan aje pembunuh, tapi si gila yang sanggup buat apa sahaja demi kepuasan."

"Habis tu, berapa tahun lagi saya harus menunggu?  Lima tahun? Sepuluh tahun?" Ada sendu di hujung suara Hanna.  Sedih bila permintaannya ditolak mentah-mentah.

"Saya tak ada jawapan untuk itu."  Satu keluhan terbit dari bibir pemuda itu.  

"Saya cuma minta untuk jumpa awak sekali ni saja.  Saya janji, lepas ni saya takkan ganggu awak lagi.   Kita berhubung melalui telefon ajelah. Itupun kalau awak sudi."  Hanna seperti sedang berjauh hati.

"Saya fikir dulu, Hanna.  Tolong jaga diri awak baik-baik.  Kalau line clear saya call awak lagi.  Assalamualaikum."

"Waalaikummusalam." 

Walaupun belum ada kata putus dari Johan, hatinya sudah berbunga-bunga.  Sedegil-degil Johan, hatinya akan lembut jua setelah dipujuk rayu.  














Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh