#2

"MACAM mana kamu semua buat kerja ni? Langsung tak boleh diharap!" Jerkahan keras bergema di ruang bilik yang terletak di hujung bandar.

Dua susuk lelaki bertubuh kekar tegak berdiri menekur lantai. Panahan mata bak busur tajam itu tidak berani ditatap lama-lama. Sepatutnya mereka lebih berhati-hati dan telus dalam memilih lokasi. Ternyata mereka tersilap percaturan.

Lelaki berkemeja putih itu memicit pelipisnya dengan kasar. Dia diserang sakit kepala dengan tiba-tiba memikirkan natijah yang bakal menimpa dek kecuaian orang upahannya.

"Sia-sia aku upah kamu semua buat kerja. Benda mudah macam ni pun kamu boleh terlepas pandang. Huh!"

Sebatang rokok ditarik keluar dari kotak berwarna merah dengan cetakan timbul berwarna emas. Dicucuh hujung rokok itu dengan pemetik api lalu asap yang mengandungi kimia berbahaya iaitu benzen, nikotin dan sebagainya memenuhi ruang bilik dengan serta-merta.

"Aku nak kamu semua cari budak tu sampai dapat!" sambungnya lagi.

"Tapi, bos. Bukan senang nak cari dia!" Mus membangkang. Muka saksi itu pun langsung tidak diketahuinya. Bagaimana pula hendak mencarinya sehingga dapat. Perbuatan itu ibarat mencari sebutir pasir di dalam timbunan tepung. Sia-sia.

"Itu bukan masalah aku. Kalau budak tu report pada polis kamu semua pun terheret sama. Bukan aku saja. Ada faham?" Asap nikotin dihembus ke muka Mus yang mencuka. Jari-jemari Mus digenggam erat membentuk satu buku lima.

"Bos, bayaran kami macam mana?" Epul bersuara setelah berdiam diri sejak tadi.

Lelaki yang dipanggil bos itu menyungging senyum lalu Mus dan Epul berpandangan sesama sendiri. Berkerut dahi mereka berdua menunggu jawapan yang masih samar-samar.

"Kamu semua bercakap tentang bayaran, sedangkan kerja kamu pun belum selesai lagi."

Epul meneguk liur yang pahit di kerongkong. Dalam masa yang sama menahan gelora di hati. Bersusah-payah mereka membuat perancangan rapi, menculik sehingga membunuh si mangsa, lelaki di depannya bermain tarik tali pula.

Beberapa minit berlalu, tiada lagi bicara antara mereka. Hanya putaran bilah-bilah kipas di siling menghasilkan irama memecah kesunyian. Mus menggaru kepala. Susah sungguh berurusan dengan si tangkai jering.

Buk!

Sedang asyik mengelamun, sepucuk sampul berwarna putih mendarat di meja. Terbeliak biji mata mereka melihat sampul yang membuncit berkenaan, lantas senyuman mula terukir di bibir lebam kedua-duanya. Laju saja Epul membuka sampul surat tersebut. Senyuman kegembiraannya tidak lama. Sebaik saja melihat isinya dan mengira jumlah wang itu, Epul memaku pandangan kepada Mukhlis, lelaki berkemeja putih bagi mengharapkan penjelasan darinya.

"Aku bagi separuh dulu sebab kerja kau separuh jalan," kata Mukhlis selamba.

Hatinya puas melihat mimik muka bengang orang upahannya. Sengaja dia berbuat demikian demi membalas tindak-tanduk mereka yang cuai.

"Mana boleh macam ni, bos. Bukan salah kami." Mus merengus geram. Lelaki berkepala botak dan berperut gendut itu juga sukar dibawa berbincang.

Mukhlis berlegar-legar di dalam bilik berbau kepam dan menyandarkan tubuhnya ke dinding konkrit yang dicat warna bata. Sepuntung lagi rokok dicucuh sehingga bara api terlihat di hujungnya. Tangan kiri diseluk ke dalam kocek seluar.

"Sekarang ni siapa bos? Aku atau kau?" Suara Mukhlis mendatar saja, namun terselit dengan ketegasan. Cerlungan tajam bak helang itu hampir meluruhkan jantung mereka.

"B... bos," jawab Mus dan Epul serentak.

"Tahu pun. Baki upah yang selebihnya aku akan lunaskan selepas tugas kedua kamu semua selesai. Mengerti?" Mukhlis mencapai kunci kereta dan pamit selepas pesanan terakhirnya. Pintu bilik itu dihempas kuat meninggalkan Mus dan Epul yang direjam sakit hati.

"Ish! Kalau aku tahu dia tu kedekut nak mampus, memang aku tak nak berurusan dengan dia!" Mus menyinga. Jika diikutkan hatinya yang panas, mahu saja dia menembak mati si Mukhlis dan menerima nasib yang sama dengan lelaki malang itu tadi.

"Semuanya kau punya pasal. Kenapa kau gatal mulut cakap ada saksi yang nampak kejadian tu. Kalau tak sekarang ni kita dah bersenang-lenang kat Phuket dikelilingi awek-awek cun."

Epul menyedut dalam-dalam bau wang kertas berwarna ungu di genggamannya. Dia khayal seketika dengan kepingan kertas berharga yang menjadi kegilaan semua manusia berkenaan.

Kata-kata Epul seperti curahan cecair asid di kulitnya. Bisanya merebak hingga ke lubuk hati yang paling dalam. Dia akui memang hal itu berpunca dari kesilapannya sendiri. Kesilapan yang tidak dapat diundur lagi dek kelancangan mulutnya yang tidak reti menyimpan rahsia.

"Diamlah, Epul! Dah... dah. Blah dari sini. Balik rumah kita bahagi-bahagikan duit tu."

Mus merampas kembali longgokan wang kertas di tangan Epul. Kepingan wang berkenaan disumbat ke dalam beg galas dengan marah dan sebal bila rancangan mereka musnah dan risiko lain pula yang menanti.

°•°•°•°

JOHAN menutup rapat pintu utama dan menguncinya dari dalam. Langsir tebal ditarik rakus. Ketika mahu melangkah ke bilik, barulah dia tersedar kasut sukan kesayangannya masih tersarung di kaki. Cepat-cepat kasutnya dicabut. Dalam kencungapan yang masih tersisa, Johan ke ruang dapur dan memeriksa pintu dapur dengan rapi. Setelah berpuas hati, dia memasuki kamarnya untuk bersembunyi.

'Apa aku nak buat ni?' Johan yang masih lengkap berbaju sukan itu berjalan ke sana ke sini seiring dengan fikiran yang berkecamuk. Bibir diketap geram dan jari-jemarinya diramas berulang kali mengharapkan rasa gementar beransur pergi.

'Nak report polis atau tidak?' Hatinya bertelingkah dengan akal warasnya.

Secara tidak sengaja dia telah menjadi saksi utama kepada kes jenayah itu. Dia langsung tidak kenal akan lelaki-lelaki terbabit. Dia cuma mendengar suara dan terdapat tanda lahir di kening salah seorang daripada mereka. Tidak lebih dari itu.

Johan bangun duduk di katil tanpa arah tuju. Keringat yang merenik di dahi dilap dengan tuala yang tersangkut di bahu. Detik-detik pembunuhan yang mengerikan itu tadi benar-benar merentap keluar jantungnya. Lebih malang lagi, dia gagal mengikis bayangan itu dari fikirannya yang semakin berserabut. Hidupnya kini dihantui rasa takut dan sesal silih berganti. Jika dia tidak keluar pagi tadi pastinya dia tidak perlu menyaksikan semua itu. Namun, nasi sudah menjadi bubur.

Dia bercadang untuk mandi bagi menyingkir bau peluh yang membasahi tubuh. Bajunya dicabut satu persatu dan dicampak ke dalam bakul kain kotor. Johan melilitkan tuala di pinggang dan mengatur langkah ke bilik air. Baru beberapa tapak melangkah Johan berhenti dengan tiba-tiba.

Dia kembali ke bakul kain yang terletak di sudut dinding dan memasukkannya ke dalam tong sampah. Plastik sampah berwarna hitam diikat kemas dan dibiarkan di situ. Dia telah berfikir habis-habisan dan mengambil keputusan untuk mengunci mulutnya rapat-rapat dan tidak akan mendedahkan hal itu kepada sesiapa pun. Curahan air hangat di tubuh sedikit sebanyak melegakan hatinya yang kusut dan bercelaru.

Rafi menekup mulutnya dengan belakang tapak tangan kerana menguap. Semalam dan hari-hari sebelumnya dia sering pulang lewat ke rumah. Hidupnya boleh diibaratkan seperti seekor kelawar; berjaga pada waktu malam dan hanya tidur apabila matahari menyinari bumi.

Jika tidak kerana perutnya berkeroncong minta diisi, pastinya dia masih lagi enak dibuai mimpi. Rafi bangun dan melangkah malas ke luar bilik.

'Gelapnya!' gumam Rafi apabila langsung tiada cahaya menerobos masuk ke dalam rumah.

Langsir pintu gelangsar ditarik seluasnya. Manakala pintu gelangsar juga dikuak lebar membenarkan hembusan angin sepoi-sepoi bahasa menyamankan suasana.

Rafi membuka pintu peti ais dan melihat-lihat stok makanan yang ada. Sejak menyewa di situ, boleh dikira dengan jari saja berapa kali dia membeli stok makanan untuk disimpan. Selebihnya, dia banyak mengisi perutnya di luar.

"Kosong. Heh!" Pintu ais tersebut ditutup kasar dengan rasa marah.

Dia menyelongkar kabinet dapur satu persatu dan menjumpai sepeket mi segera yang disorok jauh ke belakang.

'Kedekut. Makanan pun nak sorok,' bebel Rafi lagi. Bibir dicebik mengenangkan sikap berkira rakan-rakan serumahnya.

Tanpa berfikir panjang, Rafi mengoyak plastik mi segera tersebut lalu dimasukkan ke dalam periuk kecil berisi air. Sebiji telur ayam dipecahkan ke dalam kuah kari yang sedang mendidih. Sedang enak menikmati mi segera, telinganya menangkap bunyi bising dari bilik Johan yang pintunya bertutup rapat.


Previous: #1
Next: #3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh