Bab 22

"SORRY, sayang.  Jalan sesak tadi."

Johan memaniskan wajah sejurus Hanna melangkah masuk ke dalam kereta.  Hanna tidak dapat menyembunyikan rasa geram apabila Johan terlewat hampir satu jam dan keterujaannya untuk persiapan perkahwinan mereka hilang dalam sekelip mata.

Johan melirik ke sebelah tempat duduk penumpang.  Dia tahu Hanna sedang marah dengannya. Dia bukan sengaja tidak menepati waktu.  Terdapat perubahan masa pada syif anggota yang mengawasinya dengan tiba-tiba. Tambahan pula, dia dilarang untuk keluar tanpa pemantauan pihak polis.  Dia tiada pilihan lain melainkan menunggu pertukaran syif mereka demi keselamatan dirinya.

"Maaflah, saya tak sengaja.  Perut saya memulas-mulas sangat tadi.  Tak tahulah apa puncanya. Senyumlah sikit.  Awak tak rindukan saya ke?" Johan cuba memujuk walaupun dia tahu bidang pujuk-memujuk bukanlah kepakarannya.

Hanna memeluk tubuh, melemparkan pandangan keluar jendela.  Telah acapkali Johan berjanji, dan hari ini barulah janji itu ditepati.  Namun, kelewatan Johan mengundang pelbagai persepsi buruk dan salah sangka dalam hati Hanna.

Johan menguatkan laras suara pada radio tatkala lagu cinta mereka ke udara.  Dia turut menyanyi bersama-sama walaupun tidak berapa pasti akan lirik lagunya yang sebenar.  Tubuhnya digoyang-goyang mengikut irama lagu rancak yang dimainkan. Sedikit demi sedikit, bibir merah delima Hanna mengukir satu senyuman manis.  

"Eiii, teruk betul awak menyanyi!"  

Hanna menolak bahu Johan perlahan kerana suara Johan yang sumbang agak menyakitkan lohong pendengarannya.

"Ooo… awak kutuk tunang sendiri, eh?" Johan berpura-pura merajuk.

"Bukan kutuklah, tapi kenyataan.  Suara awak bila menyanyi mengalahkan Giant dalam cerita Doraemon." 

"Apa?  Awak samakan saya dengan Giant?  Saya merajuk dengan awak tiga minit." 

Roman wajah Johan bertukar masam.  Fokusnya ditala tepat ke depan tanpa menoleh lagi kepada Hanna.  Pedal minyak ditekan kuat dan kereta yang dipandunya meluncur laju ke jalan raya yang agak lengang itu.

"Johan, saya takut!" lirih Hanna sayu.  Tidak dia sangka sama sekali Johan mengambil serius akan gurauannya tadi.

"Saya tarik balik kata-kata saya!  Jangan memandu berbahaya begini."

Johan suka mendengar rayuan manja Hanna yang berbaur ketakutan.  Perlahan-lahan pedal minyak dilepaskan dan dia memandu mengikut kelajuan biasa.

"Ala… janganlah menangis.  Saya pun bergurau juga."  

Johan diserbu rasa bersalah tatkala esakan halus Hanna kedengaran di sebalik jari-jemarinya yang runcing.

"Okey… okey.  Saya minta maaf.  Saya bergurau je tadi.  Saya belum nak mati lagi ni."

Hanna menyeka manik-manik jernih yang betjuntaian di pipinya dengan sehelai tisu.  Wajah tampan Johan direnung tajam. Dia tidak suka mendengar perkataan 'mati' dari bibir lelaki itu.  Dia tidak sanggup kehilangan Johan. Cintanya terlalu utuh untuk lelaki yang berjaya mencuri hatinya dengan sepinggan pasta yang sedap.

"Jangan cakap pasal mati.  Saya tak suka!"

Mendalam suara Hanna memberi amaran.  Johan tersengih seraya menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

"Mati itu pasti, sayang.  Cuma kita tidak tahu bilakah ajal kita tiba.  Tak salah jika kita selalu mengingati mati."   

Hanna memandang keluar tingkap.  Sejak akhir-akhir ini, Johan sering saja bersikap ganjil.  Adakah itu tanda-tanda awal Johan akan meninggalkan dia buat selama-lamanya?  Tidak! Dia tidak mahu berfikir sejauh itu. Kepala Hanna digeleng laju-laju.  

"Argh!"  Hanna terjerit kecil saat bahunya disentuh lembut.

"Kita dah sampai."  

Johan tersentak dengan jeritan halus Hanna dan terdapat gigilan kecil pada badan gadis itu saat ini.

"Oh!"

Lama mereka bertatapan mata dan bahasa tubuh Hanna seolah-olah cuba menyatakan sesuatu kepada Johan.  Kening Johan bercantum apabila Hanna merenungnya dengan satu pandangan yang sukar dia mengertikan.

"Awak okey ke tak ni?" tanya Johan serba-salah.

"Kalau awak tak sihat kita pergi lain kali aje."  Cadangan Johan disambut dengan gelengan Hanna.

"Saya okey je.  Kalau kita selalu tangguh-tangguh, nanti awak tak ada masa pula."  Hanna meluahkan isi hatinya selama ini.

Johan mengeluh kecil.  Dia tahu, sejak akhir-akhir ini dia kurang memberi perhatian kepada Hanna.  Namun, itu tidak bermakna cintanya kepada Hanna berkurangan. Alangkah bagusnya jika dia tidak terjebak dengan kejadian itu tempoh hari.  Sudah tentu dia dapat menjalani kehidupan yang tenang dan bebas seperti orang lain juga.

"Hanna, saya minta maaf sebab terlalu sibuk kebelakangan ni.  Tapi, percayalah. Sayang saya pada awak tetap sama seperti dulu.  Saya janji, lepas ni saya takkan abaikan awak lagi." 

Johan mencipta janji yang dia sendiri tidak pasti dapat dikotakan atau tidak.  Dia terpaksa berbuat demikian demi menjaga hati insan tersayang. Hanna seakan terpujuk.  Senyuman paling manis dihadiahkan buat Johan yang bakal menjadi suaminya tidak lama lagi. Senyuman Hanna semakin lebar tatkala memasuki kedai emas untuk membeli sebentuk cincin nikah.

"Yang ni cantik tak?"  Hanna mengacu sebentuk cincin berbentuk riben di jari runcingnya.  Johan menilik cincin tersebut seraya menggeleng.

"Kurang menariklah, sayang," kata Johan jujur.  

Dia mahukan sebentuk cincin yang istimewa khas untuk insan yang teristimewa juga.  Johan menyedut air kotak yang disediakan jurujual itu kepada mereka.

"Yang ni?" tanya Hanna lagi dan mengunjukkan sebentuk lagi cincin bertakhtakan sebiji mutiara putih.

"Emmm… besar sangat.  Jari awak comel je, tak sesuai."  

Hanna menarik muncung sedepa. Semuanya tidak kena di mata Johan.  Itu tidak sesuai, ini kurang menarik. Entah cincin bagaimana yang pemuda itu suka.  Johan tersengih nakal lantas melirik pada petugas di kedai emas yang setia melayani mereka sejak setengah jam yang lalu.

"Miss nak cincin macam mana?"  

Gadis berbangsa cina yang sering tersenyum itu menyoal Hanna yang mencuka kerana pilihannya tidak dipersetujui Johan.

"Entah.  Tanyalah dia."  

Hanna menjeling tajam kepada Johan di sebelahnya.  Seakan mengerti, jurujual itu menarik keluar sebentuk cincin emas putih dari laci kaca bersebelahan lantas menutup semula lacinya dengan cepat.  Cincin tersebut disua kepada Hanna yang duduk memeluk tubuh. Dia menyambutnya tanpa melihat sedikitpun cincin tersebut lantas disarung ke jari manisnya.

"Cincin ini direka khas untuk bakal-bakal pengantin di kedai ini.  Setiap corak hanya dikeluarkan satu sahaja dan tidak akan diulang cipta."  Panjang lebar jurujual itu menerangkan.

Johan seakan-akan berminat dengan cincin yang diperkatakan tadi.  Cincin emas putih yang diukir mengikut corak mahkota kelihatan begitu eksklusif.  Batu-batu putih yang disusun mengikut corak mahkota tersebut menambahkan lagi elegan si pemakai.  Cincin begitulah yang dia cari-cari sebelum ini.

"Saya suka yang ni.  Nampak cantik sangat kat jari awak, sayang," ucap Johan dekat ke cuping telinga Hanna.  

Hanna malu-malu apabila dilayan begitu di depan jurujual itu.  Benar kata Johan. Cincin yang dia pilih tampak cantik dan muat-muat saja di jarinya.  Ulas bibir yang tadinya masam kini manis bak gula. Namun, Hanna meletakkan semula cincin tersebut di atas kaunter kaca sejurus melihat tag harga yang tertera.

"Kenapa ni?"  

Entah apa lagi masalah Hanna.  Johan semakin kurang mengerti dengan sikap gadis di sebelahnya itu.  Sekejap suka, dan dalam sekelip mata pula berubah hati. 

"Mahal," bisik Hanna sepatah.  

Johan ketawa besar sehingga para pelanggan yang lainnya menoleh ke arah mereka berdua.  "Aduh! Sakitnya…."

Perit terasa di lengan Johan apabila Hanna mencubit kuat di kawasan itu.  Mana tidaknya, ketawa Johan telah mengundang tanda-tanya orang-orang di sekeliling mereka.

"Cik, saya nak cincin ni.  Tunang saya sukakan cincin ni tapi dia malu-malu pula."  

Hanna menampar manja peha Johan seraya menggigit bibir.  Benci dengan sikap jujur Johan di depan jurujual tersebut.  Dalam masa yang sama, hatinya berbunga-bunga kerana Johan dapat menyelami isi hatinya dengan mudah.

"Baiklah.  Itu sahaja ke, Encik?"  Sopan sekali jurujual itu bertanya.

"Ya.  Itu sahaja." 

Jurujual tersebut berlalu ke kaunter hadapan untuk mencetak resit.  Dia menunjukkan beberapa jenis kotak cincin untuk dipilih oleh Hanna.  Setelah itu, resit, kotak berserta cincin berkenaan dimasukkan ke dalam satu uncang kecil yang tertera gah dengan nama kedai  yang dicetak dengan tulisan emas. Uncang berkenaan dimasukkan pula ke dalam beg kertas yang berlogo sama. Usai membuat pembayaran, mereka berdua mengorak langkah ke destinasi yang seterusnya pula.

"Eh, itu Shakira dan Mael, bukan?"  

Hanna terintai-intai ke dalam sebuah restoran tatkala melihat kelibat mereka berdua sedang menikmati makan tengah hari bersama-sama.

"Iyalah.  Dia orang kat sini juga, ya.  Jom, kita kacau daun." 

Hanna membuntuti belakang Johan yang menapak laju ke meja Mael dan Shakira. Kerusi bersebelahan mereka ditarik dan tanpa segan-silu Johan duduk di situ dan menayang sengihan.

"Hai, dating nampak!"

Mael dan Shakira mendongak serentak lantas tersenyum lebar.  Tidak mereka duga sama sekali akan bertembung di tempat yang sama.

"Boleh kami join sekali?" Johan mengenyit nakal kepada Mael.

"Eh, kau dah duduk pun baru nak minta izin.  Tak pernah dibuat orang," gurau Mael tersengih.

"Cik, bagi menu please," panggil Mael kepada pelayan berhampiran.

Setelah membuat pesanan, mereka menikmati santapan sambil berbual-bual.

"Kau nak pergi mana lepas ni?" Mael bertanya sambil melirik kepada beg-beg kertas yang diletakkan di bawah meja.  

Shakira dan Hanna masing-masing sibuk melihat-lihat isi di dalam beg-beg itu dan adakalanya ketawa bersama-sama.  Benarlah kata orang, wanita dan membeli-belah tidak dapat dipisahkan. Mael mencuit bahu Johan dan muncungnya terarah kepada gadis-gadis pujaan mereka.  Masing-masing tersenyum sendiri kerana geli hati.

"Ada nak tambah apa-apa lagi ke tu?"  Mael mencelah tatkala Shakira menunjukkan minat akan sepasang kasut bertumit tinggi berwarna merah milik Hanna.

Shakira menjeling manja lalu  mengulum senyum. Mata mereka bertatapan seketika sebelum Johan terbatuk-batuk kecil dan mengembalikan mereka ke dunia sebenar.

"Sekejap lagi kita pergi beli."

Shakira tersenyum lagi.  Ah! Sungguh indah senyuman si buah hati.  Jantung yang tadinya tenang berdegup semakin berubah rentaknya.  Tidak sabar rasanya menunggu masa untuk diijab kabul dan berkongsi kasih-sayang antara mereka.

"Sampai bersemut aku tengok kau orang berdua ni.  Sayang, kita balik dululah. Malas nak kacau daun."

Mael dan Shakira hanya mampu tersenyum tanpa kata.  Setelah bersalaman, Johan mengangkut semua beg-beg kertas di tangan kiri dan kanannya.  Hanna memeluk lengan Johan lalu berjalan beriringan.

"Ada apa-apa lagi tak yang tertinggal?"  Johan bertanya selepas memasukan semua barangan ke dalam but kereta.    

Hanna berfikir sejenak lalu menggeleng.  Senarai yang berada di tangannya diteliti sekali lagi.  Tidak salah rasanya jika dia bersikap teratur dan sistematik. Dia tidak suka membuat kerja yang sama berulang kali.

"Tak ada.  Semua dah dibeli.  Saya dah double-checked."

Johan memberi isyarat agar Hanna masuk ke dalam kereta.  Suasana di ruang parkir ketika itu agak sunyi dan gelap. Sewaktu pemegang kereta ditarik untuk masuk ke dalam perut kereta, tidak semena-mena tubuh Johan dipeluk kemas dari belakang dan satu objek logam yang berkilat diacu ke lehernya.  

Johan terpinga-pinga lalu cuba menjarakkan dirinya daripada penjahat itu.  Rontaan Johan hanya menyebabkan mata pisau semakin dekat dengan lehernya. Hanna keluar dari kereta selepas menyedari ada sesuatu yang tidak kena terjadi kepada Johan.  Dia panik lantas menjerit meminta tolong hingga suaranya menjadi serak.

"Tolong!  Tolong!"

Kerana terlalu kuat meronta, mata pisau itu terhiris pada bahu Johan sehingga terluka dan mengalirkan darah pekat.  Jeritan Hanna semakin lantang. Penjahat bertopeng itu menolak tubuh Johan ke tepi dinding. Sebuah kereta Proton Preve menghentikan kenderaannya tepat di tempat kejadian.  Dua orang lelaki keluar dari kereta lalu menangkap penjahat itu dengan mudah. Tangannya digari lalu diheret agar masuk ke dalam kereta yang siap-sedia terbuka pintunya. Johan memegang bahunya yang tercedera sambil diperiksa oleh Hanna yang pucat lesi tidak berdarah.

"Awak tak apa-apa, Johan?" tanya Hanna cemas.  Luka pada bahu Johan yang terdedah ditekup dengan tisu.  Ada titisan jernih mengalir keluar dari kelopak matanya.  

"Sikit je ni, sayang.  Jangan risau." Johan berkata begitu demi menyedapkan hati Hanna.

Luka yang terhiris, walaupun tidak terlalu dalam namun tetap terasa sakitnya.  Salah seorang lelaki yang berjaya menyelamatkan Johan menghampiri mereka berdua lalu menarik senyum seraya berkata, "kami dah tangkap penjahat tu.  Tunggu saja laporan daripada kami. Bawa dia ke klinik untuk pemeriksaan"

Johan mengangguk dan tersenyum nipis.  Hanna yang berdiri di situ terkesima dengan apa yang didengarinya tadi.

"Awak kenal ke dia orang tu?"  Jari telunjuk Hanna dituding kepada kereta yang sudahpun menyusur keluar meninggalkan kawasan parkir.

"Tak… tak kenal!" jawab Johan tergagap-gagap.  

Dua orang lelaki yang bertindak pantas itu merupakan anggota polis yang sentiasa mengawasi gerak-gerinya selama ini.  Saja dia berpura-pura tidak mengenali kerana tidak mahu mengusutkan fikiran Hanna lagi.

"Saya bawa awak ke klinik."  

"Tak payahlah.  Tak serius sangat pun.

Gusar sungguh hati Hanna melihat keadaan Johan.  Jantungnya tidak henti-henti bergendang kuat. Bukan mudah untuk mengusir rasa takut dan cemas yang menyerang serentak dalam satu masa.

"Kita tak tahu keadaan luka tu macam mana.  Kalau terkena jangkitan kuman, macam mana?" Hanna mengebam bibir.  Geram dengan kedegilan Johan yang tidak bertempat itu.

"Tolonglah, dengar cakap saya kali ni!"

Hanna menolak badan  Johan ke tempat duduk penumpang.  Terkebil-kebil Johan dengan tindakan tegas dan drastik oleh Hanna.  Dalam masa yang sama dia berasa terharu kerana Hanna begitu mengambil berat akan dirinya.

Deringan telefon mematikan lamunan Johan yang tidak lepas-lepas merenung Hanna yang kerisauan.

Sebaris nama Rafi terpampang di skrin.  Butang hijau dileret ke tepi lalu telefonnya ditekap ke cuping telinga.

"Hello, Johan!  Aku baru dapat tahu pasal kau.  Sekarang ni kami sedang menyoal siasat penjahat tu.  Kau kat mana ni?" Suara Rafi agak cemas di hujung talian.

"Aku dalam perjalanan ke klinik.  Nasib baik kawan-kawan kau tiba tepat pada masanya.  Kalau tak, jenazah aku yang akan diusung keluar." 

Johan ketawa kecil.  Hanna tidak senang dengan keceluparan Johan yang tidak kena dengan situasi mereka sekarang ini.

"Alhamdulillah.  Okeylah, jaga diri kau baik-baik.  Nanti kita jumpa di rumah." 

Darah yang mengalir di bahunya membasahi baju yang dipakai Johan.  Tisu yang dinodai darah digantikan dengan yang baru. Beberapa minit lagi mereka akan tiba di klinik berhampiran.

"Hanna, mana Johan?  Dia okey tak? Macam mana boleh jadi begini?" 

Bertubi-tubi soalan Mael dilontar kepada Hanna yang duduk di bangku dan sabar menanti Johan menerima rawatan.

"Hanna, jawablah!  Bagaimana keadaan Johan?"  Mael bertanya lagi apabila bebola mata Hanna bergilir-gilir mengalih pandang kepada Mael dan Shakira silih-berganti.

"Johan tak apa-apa.  Dia cuma mengalami kecederaan kecil di bahu.  Saya pun tak tahulah dari mana penjahat tu datang."

Mael tersentak dan dia mula terfikirkan kemungkinan penjahat yang ditangkap itu adalah suspek yang dicari-cari oleh pihak polis selama ini.  Agak lama dia membisu dan wajahnya bertukar pucat. Perubahan mendadak pada Mael disedari Shakira dan nama tunangnya itu diseru lembut.

"Mael, awak fikir apa tu?  Hanna dah beritahu keadaan Johan tadi.  Tak perlu risau lagi, okey?"  Anggukan Mael melapangkan hati Shakira yang dirusuh bimbang.

Dia dan Mael bergegas ke klinik setelah dimaklumkan keadaan Johan oleh Hanna sebentar tadi.  Tanpa berlengah sesaat, Mael memecut laju untuk segera tiba ke klinik. Sepanjang perjalanan dia berdoa agar keselamatan Johan dilindungi.

Apabila pintu bilik doktor dibuka dari dalam, semua mata terarah kepada sosok Johan yang berjalan gontai ke arah mereka.  Luka tadi telah dicuci dan dibalut rapi. Johan agak terkejut melihat Mael dan Shakira ada bersama-sama Hanna. Pastinya Hanna yang menghubungi mereka dan melaporkan kejadian buruk yang menimpanya.

Belum sempat dia bertanya apa-apa, nama Johan dipanggil oleh pembantu farmasi di klinik itu.  Dia bingkas bangun lalu mengatur tapak ke kaunter mengambil ubat-ubatan. Usai diberi penerangan serba-sedikit tentang ubat-ubatan, sejumlah wang diberi sebagai bayaran rawatan.  Johan kembali mendekati mereka bertiga dan bersedia untuk pulang.

"Rafi ada cakap apa-apa pasal penjahat tu?" bisik Mael rapat ke telinga Johan saat mereka mula meninggalkan premis tersebut.

"Dia cuma cakap akan soal-siasat penjahat tu.  Kenapa?"

"Aku takut, dia adalah suspek yang dikehendaki polis selama ini," luah Mael tanpa berselindung.

"Aku tak pasti.  Kita sama-sama tunggu keputusan dari Rafi.

Hanna dan Shakira telah sampai di parkir kereta yang terletak di seberang jalan klinik.  Baru saja Johan ingin melintas, telefon miliknya bergetar minta diangkat. Mael sudah berjaya melintasi jalan yang agak lengang tanpa menyedari Johan yang ketinggalan di belakang.

"Hello, Johan.  Penjahat tadi bukan suspek yang kita cari.  Anggota kami dalam perjalanan untuk melindungi engkau dan…."

Dum!

"HelloHello!"

Mael, Hanna dan Shakira menoleh serentak ke arah bunyi dentuman yang kuat itu.  Telefon pintar milik Johan hancur digilis tayar kereta di jalan bertar. Manakala tubuh Johan tercampak beberapa meter ke depan dalam keadaan berlumuran darah.  

Ketiga-tiga mereka berlari mendapatkan Johan yang tidak sedarkan diri.  Mael cuba mengingati nombor pendaftaran dan jenis kereta yang melanggar Johan tetapi gagal kerana ia bergerak terlalu laju. Dalam sekelip mata sahaja orang ramai mula berkerumun membentuk bulatan untuk melihat kejadian itu dari dekat.

Darah pekat mengalir dari celahan bibir dan rongga hidung Johan yang terbaring mengiring ke kiri.  Bunyi siren ambulans semakin dekat dan jasad Johan dibawa ke hospital berdekatan dengan segera.  

°•°•°•°














Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh