Bab 25

"ISH Zarul memang sengaja cari pasal!"

Pagi-pagi lagi  Tajudin naik angin.  Wafiy di sebelahnya terkejut tatkala nama Zarul disebut-sebut.  Telah agak lama nama itu tidak meniti di bibir mereka berdua. Tajuk utama akhbar dilirik.  Patutlah suami kesayangannya itu mengamuk semacam. Tajuk yang ditulis boleh mengancam nyawa seseorang.  Bahkan nyawa orang-orang di sekelilingnya juga.

"Minum dulu, bang."

Secawan kopi panas diletakkan di depan Tajudin.  Mata Wafiy tertancap pada hujung surat khabar yang direnyuk Tajudin bagi melepaskan geram.  Urat-urat di sekitar lehernya timbul menahan rasa.

"Sabarlah, bang.  Berita yang dia tulis tu umpama harta karun bagi dia.  Selagi apa yang melariskan jualan mereka, selagi itulah berita-berita sensasi akan dicari.

"Abang tahu.  Abang dah beri amaran terakhir pada dia.  Apa lagi yang dia tidak faham? Takkanlah sebab cerita lama dia sanggup balas dendam begini?" Tajudin mengeluh sembari rambutnya disikat kasar dengan jari.

"Kita semua dah dewasa, bang.  Peristiwa tu dah lama berlalu. Wafiy yakin Zarul bertindak atas kehendaknya sendiri, bukannya kerana hal lama."

Bicara Wafiy umpama air yang menyejukkan, menyiram api kemarahan yang semakin membara.  Cuma ada satu perkara yang Tajudin risaukan. Keselamatan Johan harus ditingkatkan lantaran khabar Johan atau saksi penting yang dilanggar lari masih lagi selamat kini terdedah di akhbar Mega Berita.

"Wafiy yakin abang dapat atasi semua permasalahan ini.  Cuma satu pesanan Wafiy, apapun keputusan abang nanti, tolong bertindak  rasional, bukannya kerana nafsu." Suara Wafiy seakan merayu. Riak wajahnya tampak risau.  Dia tidak mahu luka lama berdarah kembali.

"Fikiran abang tak sesempit itulah.  Wafiy janganlah risau. Abang tak akan buat sesuatu yang memudaratkan keluarga kita."

Lama mereka bertatapan mata.  Sepasang mata milik Wafiy masih tetap indah.  Sama seperti waktu mereka mula-mula bertemu dahulu.  Saat di mana cinta mereka berputik tanpa diduga. Kerana cinta mereka jugalah persahabatan mereka dengan Zarul terputus.

"Anak baba ni dah besar.  Jangan nakal-nakal, tau. Nanti umi marah."

Ubun-ubun Aidan dan Aireen dikucup penuh kasih.  Dibiarkan saja anak kecil itu duduk di ribanya. Sekali-sekala melayan keletah anak-anak seronok juga.  Aireen sudah petah berkata-kata. Aidan pula baru pandai merangkak. Sayangnya dia tidak berpeluang untuk melihat mereka membesar di depan mata.  Tugas menjaga dan mendidik anak-anak banyak diuruskan oleh Wafiy ekoran kesibukan tugasnya sebagai pegawai penyiasat.

"Baba pergi kerja dulu.  Petang nanti baba bawa Aireen dengan Aidan makan ais krim.  Nak tak?"

"Ais krim?  Kakak suka makan ais krim.  Adik nak makan ais krim jugak?" 

Aireen menerpa ke arah Aidan dengan wajah gembira.  Kanak-kanak berusia hampir setahun itu cuma tersengih menayang dua batang gigi yang baru tumbuh.  Aireen memicit pipi Aidan yang tembam kemerah-merahan dengan agak kuat sehingga Aidan menangis kesakitan.  Laju Aidan dipangku dan Wafiy mengelus pipi gebu itu untuk memujuk. Tidak sampai seminit Aidan berhenti menangis dan kembali ketawa mengekek bersama Aireen. 

Wafiy tersenyum melihat ulah mereka berdua yang tidak duduk diam.  Ruang permainan yang dihias khas sebagai tempat permainan anak-anak menjadi tumpuan mereka berdua 

"Abang tak masuk kerja lagi?  Dah lewat ni."

Jam di dinding menunjukkan ke angka 9 pagi.  Namun tiada tanda-tanda Tajudin untuk ke pejabat.  Selalunya, suaminya itu cukup patuh dengan ketepatan masa.

"Sekejap lagi abang pergi.  Ada sesuatu abang kena bereskan sebelum ke pejabat." 

Wafiy mengangguk faham.  Tak perlu lagi dia tanya perihal apa.  Tajudin tidak pernah berkongsi akan masalah tempat kerjanya waima kepada isterinya sendiri.

•°•°•°•


"AKU tahu kenapa kau datang ke sini.  Kau tak boleh macam ni selalu, Taj. Ini kerja aku."

"Kerja yang tak beretika itu ke yang kau maksudkan?"  

Zarul menyungging senyum.  Sesuka hati Tajudin saja untuk menilai usaha individu tertentu.

"Kau tak boleh salahkan orang lain kalau pasukan kau sendiri tidak cekap.  Kau tak boleh salahkan aku."

Zarul dan Tajudin bersetuju untuk mengadakan pertemuan empat mata di sebuah tempat lepak mereka beberapa tahun yang lalu.  Dahulu, tempat itu akan menjadi lokasi wajib mereka berdua untuk melepak selepas habis kuliah. Di situlah juga mereka berlatih menimbang bola dan berbincang tentang tugasan yang diterima dari pensyarah.

Tetapi itu semua telah berlalu bersama arus masa.  Walaupun tempat itu sudah banyak berubah, namun kenangan lama masih terpahat dalam ingatan.  Tajudin duduk di bangku kayu seperti kebiasaannya dahulu.

"Jangan bercakap macam orang gila, Zarul.  Orang macam kaulah yang memberi tanggapan negatif  orang awam terhadap kami. Sebagai wartawan, kau sepatutnya lebih peka dengan sensitiviti masyarakat.  Bukannya bersikap mementingkan diri sendiri."  

Berubah air muka Zarul apabila sindiran pedas itu dituju tepat ke batang hidungnya.  Cuping telinganya terasa panas. Mudah benar tuduhan melulu itu dilemparkan kepadanya tanpa usul-periksa.  Dari duduk Zarul mula berdiri menghadap pemandangan hijau dengan pokok-pokok renek yang mencecah anak sungai.  Airnya yang deras menjadi sebahagian irama alam yang menenangkan jiwa. Akan tetapi, jiwanya yang berkocak saat itu tidak mampu dibendung lagi.

"Kau cakap aku yang pentingkan diri sendiri?  Hei, Tajudin. Aku rasa kau yang patut muhasabah diri.  Siapa yang pentingkan diri sendiri sebenarnya, hah? Aku ataupun kau?"

Telunjuk Zarul lurus ke muka Tajudin. Akhirnya terbongkar jua apa yang bermain di minda Zarul selama ini.  Tajudin menghela nafas. Permainannya belum lagi tamat. Itu baru permulaan saja dan pendirian Zarul mula tergugat.

"Luahkan saja, Zarul.  Luahkan semuanya. Aku nak dengar!"

Tajudin sengaja merapatkan tubuhnya dengan Zarul yang menyinga.   Mata bersabung mata dan riak wajah Tajudin seakan-akan mencabar kesabaran Zarul yang selama ini dipertahan.

"Kau jangan cabar aku!"  

Mendatar suara Zarul menujah pendengaran Tajudin.  Ayuh, Zarul. Hari ini biarlah segala apa yang menjadi garis sempadan antara mereka selama bertahun-tahun terhapus.

"Kau lelaki pengecut.  Sejak dulu lagi kau memang seorang yang pengecut." 

Nampaknya Tajudin semakin melampau.  Tubuh Zarul menggigil menahan rasa marah yang meluap-luap dalam diri.  Timbul urat-urat hijau di permukaan tangannya kesan jari-jarinya yang digenggam kemas.

"Aku bukan pengecut!  Kau yang rampas Wafiy dari aku!  Kau yang tikam aku dari belakang sedangkan kau tahu yang aku sayangkan dia sepenuh hati aku.  Kau lihatlah aku sekarang." Ada air jernih yang bertakung di tubir mata Zarul yang merah.

"Hingga saat ini, aku belum dapat singkirkan bayang Wafiy dari hidup aku.  Dia cinta pertama aku. Gadis yang berjaya merubah diri aku menjadi manusia yang lebih bercita-cita tinggi.  Tapi semuanya hancur sebab kau!"

Buk!

Satu penumbuk dilepaskan ke muka Tajudin seperti yang diduganya.  Tajudin telah bersedia untuk menerima apa saja bentuk hukuman dari Zarul.  Dia tidak mahu hanya kerana masalah peribadi mereka itu menjadi asbab kemusnahan hidup orang lain seperti Johan.

Buk!

Buk!

Tajudin mengeraskan diri seperti sebuah guni beras.  Dia merelakan saja Zarul membelasah dirinya sepuas hati.  Darah mengalir dari hujung bibirnya dan mengotori baju kemeja hadiah dari Wafiy pada hari ulang tahun kelahirannya tahun lepas.

Setelah beberapa minit, Zarul kelelahan dan tubuhnya terjatuh ke hamparan rumput dan seterusnya terbaring.  Tajudin mengelap luka di bibir dengan telapak tangan. Boleh tahan juga tumbukan padu dari Zarul. Sakitnya usah dicerita lagi.  Dia juga kelelahan akibat dipukul bertubi-tubi tanpa melawan.

Tajudin turut terbaring di rumput itu dan terpaksa menahan kesakitan di sisi Zarul yang   melotot melihat langit biru yang luas terbentang dengan nafas kencang.

"Hahahaha."  Zarul tiba-tiba ketawa dengan kuat.  Sepertinya ada perkara lucu yang sedang mencuit hatinya.

"Kau memang gila, Taj.  Gila! Hahaha."

Ketawa Zarul bersambung-sambung dengan ketawa Tajudin.  Zarul terteleng ke sebelah kiri di tempat Tajudin berbaring.  Muka Tajudin yang terpalit dengan darah itu ditenung dengan senyuman manis.

"Anak kau berapa orang?"

"Dua.  Kami dapat sepasang.  Ni gambar dia orang."  

Tajudin menunjukkan gambar Aireen dan Aidan kepada Zarul.  

"Comel.  Nasib ikut muka Wafiy.  Kalau ikut muka kau tak adalah comel macam ni," seloroh Zarul bersahaja.  Aireen memiliki senyuman yang sama seperti Wafiy. Alis matanya juga sama.

Hati Zarul dipagut sayu tatkala menelusuri ke gambar seterusnya.  Gambar Wafiy dengan wajah ceria di samping anak-anak mereka menggetarkan hati Zarul.  Kecantikan Wafiy tetap utuh meskipun garis-garis halus mula kelihatan di sekitar matanya.  Lama wajah itu ditatap dan Tajudin tidak pula melarang. Dibiar Zarul hanyut dalam daerah memori mereka bertiga.  

"Terima kasih sebab berjaya bahagiakan dia.  Kalau kau buat dia sakit hati, aku takkan teragak-agak untuk rampas dia dari kau."  Ketawa Zarul bergema kembali.

Tajudin menumbuk lemah bahu Zarul sambil ketawa.

"Sakit?" 

Zarul membelek-belek luka di muka Tajudin.  Berkerut dahi Tajudin menahan sakit dan memedih terkena peluh yang mengalir dan memasuki kawasan luka.  Tajudin menekup lukanya dengan tisu bersih.

"Kuat juga tumbukan kau tadi."  

Zarul tersengih menampakkan giginya yang tersusun.  Sesekali otot-otot rahangnya diregang kerana urat-urat di sekitanya terasa tegang.

"Aku berhak terima semua tu dari kau.  Maafkan aku, Zarul. Maafkan aku. Aku mengaku kesilapan aku.  Aku tak nak persahabatan kita terputus disebabkan perempuan."

Senyuman Zarul melebar.  Mereka saling bersalaman dan berpelukan buat seketika.  Tajudin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah kerana persengketaan mereka berdua akhirnya menemui titik akhir.  Zarul menghantar Tajudin hingga ke keretanya.

•°•°•°•


"ARGH!"

Tempikan kuat kedengaran dari wad yang menempatkan Johan.  Jururawat yang bertag nama 'Kamisah' itu berlari keluar apabila melihat satu sosok yang mencurigakan sedang menekup muka Johan dengan sebiji bantal.  Ubat-ubatan di atas dulang jatuh berselerakan di lantai.

Beberapa orang anggota polis bergegas masuk ke dalam wad diiringi seorang doktor lelaki.  Malangnya sosok misteri itu hilang dalam sekelip mata. Sosok yang menyamar sebagai doktor itu menyelinap keluar ke ruang lobi dengan mudah.

"Pesakit stabil," ujar doktor berkenaan setelah beberapa pemeriksaan dilakukan ke atas Johan.

Mujurlah tiada kejadian buruk yang berlaku.  Nampaknya penyamar itu menyasarkan Johan dengan tujuan menamatkan riwayatnya.  Hanya satu perkara yang berlegar-legar dalam kepala Tajudin, suspek-suspek itu telah dapat mengesan keberadaan Johan.  Itu merupakan petanda buruk buat Johan dan orang-orang yang berdekatan dengannya. 

Rafi menceritakan hal itu kepada Mael dan seperti diduga, pemuda itu diserang ketakutan.

"Jadi apa jalan penyelesaiannya, Rafi?"

"Pihak polis akan cuba mengaburi mata mereka dengan maklumat palsu.  Buat masa sekarang ni, kami akan mengawasi keadaan Johan dengan lebih rapi."

Nyata sekali Mael tidak senang duduk dengan kenyataan itu.  Timbul rasa geram di hatinya kenapa polis begitu lambat bertindak padahal sudah ada banyak bukti untuk mencari suspek.  Sampai bilakah hal ini akan berlarutan. Pening kepala Mael memikirkannya.

"Tak ada cara lain ke, Rafi?"  Mael termenung jauh. Tidak dapat dibayangkan jika penjahat itu berjaya membunuh Johan.

"Buat masa sekarang ni kami cuma dapat mengawasi Johan di hospital sebab Johan masih belum sedar dan memerlukan alat bantuan pernafasan serta pemantauan doktor bertauliah.  Kami akan cuba cara lain sekiranya nyawa Johan diancam bahaya setelah dia sedar nanti."

Mael mengangguk faham.  Tidak lupa doanya kepada Allah agar keselamatan sahabatnya itu dipelihara dari sebarang bahaya.  Manakala Hanna, Maryam dan Johari tidak mengesyaki apa-apa kerana mereka langsung tidak diberitahu.  Setakat ini hanya pihak hospital dan kaki tangannya sudah mengambil maklum.

"Baik, aku faham.  Kau jangan risaulah," kata Zarul di hujung talian disusuli dengan bunyi ketawa.

"Terima kasih, Zarul.  Kau saja harapan kami kali ini."

"Hal kecil je, bro.  Nanti aku buat apa yang kau suruh tu."

Perbualan selama sepuluh minit itu ditamatkan.  Tajudin menggosok leher kerana terlalu lama tunduk membaca kertas siasatan Borhan.  Arahan terbaru dari Timbalan Pendakwa Raya harus diambil tindakan segera.

"Tuan…."  Wajah Hafez terjengul di balik pintu beserta tabik hormat.

"Ya, Hafez.  Ada apa?"

"Puan Zakiah datang nak jumpa tuan."

Semakin bertambah sakit kepala Tajudin.  Cubaan yang datang bertimpa-timpa dalam satu masa.  Walau bagaimanapun, dia harus bersikap profesional. Tetamu yang datang disambut dengan wajah ceria. Fail kes Borhan disimpan ke dalam laci.

"Assalamualaikum…."

"Waalaikummusalam.  Silakan duduk, Puan Zakiah."

Tajudin mengisyaratkan Hafez agar beredar.  Seperti dijangka, wajah Zakiah sugul dan tidak bersemangat.  Siapa saja yang tidak terkejut apabila dapat tahu satu-satunya saksi yang ada kini sedang berperang dengan maut.

"Sebelum Puan berkata apa-apa, terlebih dahulu saya nak beritahu bahawa saksi kita selamat."

Zakiah memejam mata.  Kedua-dua belah telapak tangan diraup ke mukanya.  Lafaz syukur diucap berkali-kali.

"Semalaman saya tak dapat tidur, tuan.  Saya risaukan keadaan saksi. Kalaulah dia tak nampak kejadian pembunuhan itu, tentu hidup dia tenang.  Tidak diganggu dengan pembunuh arwah suami saya."

"Jangan cakap begitu, puan.  Semua yang terjadi adalah ketentuan dari-Nya.  Sekarang ni kita cuma fokus untuk menangkap suspek.  Saya jamin, sedikit masa lagi mereka semua akan ditangkap."

"Kalau puan ada apa-apa maklumat yang dapat membantu kami, jangan teragak-agak untuk hubungi kami," sambung Tajudin lagi.

Zakiah kegelisahan.  Tujuan utamanya untuk berjumpa dengan Tajudin ada hubung kait dengan maklumat yang mungkin dapat membantu pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

"Puan, puan okey?"  Tajudin seperti dapat menangkap bahasa tubuh Zakiah yang luar biasa.

Zakiah mengangguk perlahan lalu meletakkan satu sampul surat bersaiz A4 di atas meja Tajudin.  Tanpa menunggu lebih lama, Tajudin segera menyelongkar isinya dan agak terkejut dengan apa yang dia lihat.  Surat pemindahan harta dikotori kesan darah kering itu dibaca satu per satu.

"Saya jumpa surat tu di bilik anak sulung saya, Emran Mukhlis."

Air mata yang bergenang meluncur turun di pipi tua Zakiah dengan laju.

"Saya tak tahu nak cakap apa.  Tapi saya tahu ini salah. Saya kecewa dan terkejut.  Adakah…," Zakiah terdiam sebentar. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum menyambung kata, "adakah ini darah arwah suami saya, tuan?" 

Terhinggut-hinggut tubuh Zakiah menahan tangis yang semakin mencurah. Betapa hancur dan luluh hatinya tatkala menjumpai surat itu di dalam bilik Emran.

"Kenapa puan baru beritahu kami bahawa puan ada seorang lagi anak?" luah Tajudin tanpa dapat membendung rasa kecewa yang bersarang di dada.

"Maafkan saya.  Emran jarang berada di rumah kami.  Dia duduk berasingan selepas perselisihan faham dengan arwah beberapa tahun yang lepas.   Sikap Emran tidak sama dengan Ezuddin. Dia lebih suka berdikari dan menyendiri. Selepas tamat belajar di Ohio, dia balik ke Malaysia dan mahu membuka perniagaannya sendiri.  Tapi, arwah Borhan melarang."

Tajudin mendengar butir bicara Zakiah dengan tekun.  Berat benar beban yang ditanggung oleh Zakiah.

"Kenapa arwah tidak bersetuju?"  

Bukan niat Tajudin untuk mencampuri urusan keluarga mereka.  Itu merupakan salah satu prosedur kerja yang perlu dia ikuti dalam menggali maklumat hingga ke akar umbi.

"Sebab Emran tak pernah serius.  Dia suka buat kerja separuh jalan.  Arwah bukannya kejam. Dalam marah, dia beri juga modal untuk Emran mulakan perniagaan.  Lama-kelamaan Emran menjadi tamak bila dapat tahu arwah mempunyai banyak harta dan perniagaan Emran juga mengalami kejatuhan."

"Teruskan, puan."

"Emran mendesak arwah agar membuat pembahagian harta demi menyelamatkan business dia.  Tapi arwah tak setuju sebab dia ada perancangan yang lain. Saya harap ini bukan perbuatan Emran."

Tanpa segan-silu Zakiah melepaskan tangisannya di hadapan Tajudin.  Beberapa helai tisu dihulur dan sedikit kata-kata perangsang diberi.

"Saya mohon kebenaran puan untuk menahan reman anak puan."  Emran berkata setelah tangisan Zakiah reda.

"Saya benarkan.  Saya dah tak sanggup nak hadapinya lagi."

Hafez dipanggil dan surat yang dikotori kesan darah itu perlu dibawa ke makmal forensik untuk dianalisis.  Emran akan ditahan secepat mungkin untuk membantu siasatan. Johan pula masih belum sedar dan ini agak membimbangkan Tajudin.

•°•°•°•



Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh