#7

TOK! TOK!

“Selamat pagi, Doktor,” ucap Tajudin di balik pintu.

“Selamat pagi.  Jemput duduk, tuan,” pelawa Doktor Wee dengan sopan.

Sejujurnya, dia cukup kagum dengan komitmen Tajudin yang bersungguh-sungguh dalam tugasannya.

Tanpa membuang masa, Tajudin melabuhkan punggung di kerusi yang bertentangan dengan Doktor Wee. Suasana bilik yang hampir keseluruhannya berwarna putih menimbulkan rasa tenang dalam lubuk sanubari sesiapa sahaja yang berada di situ.  Doktor Wee bangun dan bergerak ke kabinet di satu sudut bilik berkenaan. Satu sampul surat berwarna putih berlogo hospital diserahkan kepada Tajudin dengan senyuman.

Tajudin tidak sabar-sabar lagi untuk mengetahui laporan autopsi forensik ke atas mangsa yang bernama Borhan bin Sulaiman itu.  Laporan yang agak tebal berserta beberapa keping gambar arwah Borhan turut dikepilkan bersama.

“Menurut laporan livor mortis, mangsa telahpun meninggal dunia lebih daripada 24 jam selepas dia dibunuh.  Punca utama kematian adalah kegagalan fungsi jantung akibat tembusan peluru yang mengenai tepat ke organ berkenaan,” jelas Doktor Wee kepada Tajudin.

“Bagaimana kecederaan di kepala mangsa?”

“Memang ada satu kesan hentakan oleh objek keras di kepala mangsa, tetapi tidak terlalu serius.  Cuma ada luka kecil. Manakala, kecederaan yang berlaku di belakang kepala mangsa adalah disebabkan oleh hentakan kuat akibat terjatuh dari tempat yang tinggi,” sambung Doktor Wee lagi.

Tajudin menyelak ke helaian autopsi forensik yang seterusnya.  Keputusan ujian darah mangsa juga negatif. Tiada bahan terlarang ataupun racun dan juga virus yang terkandung di dalamnya.

“Ada satu perkara menarik yang ditemui pada badan mangsa,” ujar Doktor Wee mengulum senyum.

“Apa dia tu?” Tajudin mengangkat wajah yang sekian lama terpaku pada laporan autopsi forensik tersebut.

“Partikel halus yang melekat pada rambut mangsa.”

“Maksudnya?” soal Tajudin meminta kepastian.

“Kami menemui sejenis serbuk putih….”

“Dadah?” pintas Tajudin sebelum Doktor Wee sempat menghabiskan penerangannya.

“Iya.  Dadah jenis ganja,” kata Doktor Wee sambil mengangguk.

“Tetapi, mangsa tidak mengambil dadah, bukan?”  Tajudin bertanya lagi dengan dahi berlapis.

“Tidak, tuan.  Saya percaya suspek merupakan seorang penagih dadah juga.”  Doktor Wee memberikan pendapat.

Setelah hampir 45 minit berbincang, Tajudin meminta diri untuk pulang ke pejabat.  Dia perlu memasukkan informasi baru ke dalam kertas siasatan kes berkenaan.

“Baiklah.  Terima kasih, doktor.  Saya pulang dulu.” Tajudin meminta diri dan bersalaman.

“Sama-sama.”

Pintu kereta ditutup sebaik saja Tajudin menghenyak punggungnya di tempat duduk penumpang.  Putra yang terlelap di dalam kereta sementara menunggu kepulangan Tajudin hampir satu jam tadi terjaga dan terpinga-pinga.

“Teruk benar rupa awak ni, Putra,” tegur Tajudin sambil tersengih.  Susuk tubuh Putra sedikit susut setelah dia ditukarkan ke unit jenayah berat semenjak enam bulan yang lalu.  Mungkin beban tugas yang terlalu mendesak sehingga mereka terpaksa mengabaikan keperluan harian.

“Maaf, tuan.  Saya terlelap… tak cukup tidur.”  

Putra meraup wajahnya beberapa kali seraya merapikan rambutnya dengan jari.  Wajah yang tidak keruan itu ditilik seketika di cermin pandang belakang. Kemudian, dia bersiap-sedia untuk bergerak ke destinasi seterusnya.

“Kita pergi minum dulu kat warung biasa.  Kalau lesu macam ni macam mana nak buat kerja.”  

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, ajakan Tajudin sememangnya amat dinanti-nantikan.  Pegawai atasannya cukup memahami keadaannya ketika ini dan tidak bersikap mementingkan diri sendiri.  Sementelah, dia juga cuma sempat bersarapan dengan segelas air kosong pagi tadi.

Usai mengisi perut, mereka berdua kembali ke pejabat.  Laporan autopsi forensik diletakkan ke atas meja. Jaket yang tersarung di tubuhnya juga dilemparkan di atas kerusi.  Tajudin duduk menghadap komputer kerjanya. Dia mengetik tiap huruf di papan kekunci untuk memasukkan data-data laporan autopsi ke dalam kertas siasatan.  Segalanya ditaip dengan teliti agar tiada satupun yang tertinggal.

Sesekali, Tajudin meneliti gambar-gambar mangsa untuk dikaitkan dengan laporan autopsi tersebut.  Tajudin mencari telefon bimbit di atas meja yang bergelimpangan dengan kertas dan fail. Nombor telefon isteri mangsa didail sebaik saja dijumpai dalam senarai kenalan.

“Assalamualaikum, Puan Zakiah?”  Tajudin memberi salam.

“Waalaikummusalam,” jawab suara di hujung talian.

“Saya DSP Tajudin pegawai penyiasat bagi kes arwah suami puan, Borhan bin Sulaiman.”  

Tajudin memperkenalkan dirinya.  Mereka berdua pernah bertemu semasa di hospital dahulu.  Namun, Tajudin masih belum berpeluang menemu bual Zakiah lantaran memberi ruang untuk keluarga si mati menguruskan jenazah mangsa.

“Ada apa-apa saya boleh bantu?” tanya Zakiah berbasa-basi.

“Begini.  Saya perlu mengambil keterangan percakapan Puan untuk membantu siasatan.  Jadi, bila kita boleh berjumpa?” Tajudin meminta kepastian.

“Oh… saya hampir terlupa.  Esok, boleh? Di rumah saya.  Maklumlah, saya masih dalam tempoh edah lagi,” jelas Zakiah sopan.

“Boleh, puan.  Tak ada masalah.  Kalau begitu, kita berjumpa esok.  Ada beberapa soalan yang perlu saya ajukan kepada Puan.”

“Baiklah.  Saya akan beri kerjasama sebaik mungkin asalkan… asalkan pembunuh suami saya dapat ditangkap.”  

Suara Zakiah bergetar menahan sebak.  Apalah salah dan silap suaminya sehingga dibunuh dengan begitu kejam.

Perbualan ditamatkan seminit kemudian. Tajudin duduk bersandar di kerusinya dan matanya dipejam seketika.  Kanvas pemandangannya gelap dan kosong. Kepalanya terasa berat akibat tidak cukup rehat sejak beberapa hari yang lalu.  Adakalanya, dia bagaikan melayang-layang di udara.

“Maaf, tuan.  Ini senarai soalan yang tuan minta saya sediakan,” ujar Putra sejurus pintu bilik Tajudin dibuka.  Sebenarnya, dia telah mengetuk pintu itu beberapa kali namun tidak dijawab oleh Tajudin.

Tajudin memusingkan tubuh apabila mendengar namanya dipanggil.  Merah matanya menahan rasa kantuk yang bergayutan di mata. Kelopak mata dikerdip beberapa kali kerana rasa berpasir.

“Hah, Putra.  Letak je atas meja tu nanti saya tengok.  Terima kasih,” ucap Tajudin dengan suara garaunya.

Beberapa helai kertas yang dikepil bersama diletakkan di atas meja.  Soalan-soalan tersebut akan ditanya kepada Zakiah pada hari esok.

“Sama-sama, tuan.”  Putra beredar dan menutup pintu bilik itu serapatnya.  Dia kembali ke meja bagi meneruskan kerja-kerja yang lain pula.

°•°•°•°

RUMAH banglo yang baru diubah suai itu tersergam indah di lereng bukit. Pintu pagarnya terbuka secara otomatik apabila loceng rumah ditekan. Seorang wanita pertengahan usia yang berkulit sawo matang berdiri tegak di pintu utama.

“Tuan Tajudin?” tanya wanita tersebut dengn jari telunjuknya dituding ke arah Tajudin.

“Iya,” jawab Tajudin ringkas.

“Ini pembantu saya, Putra,” jelas Tajudin apabila lensa mata wanita itu memanah curiga kepada Putra.  Wanita itu mengangguk dan mengajak kedua-duanya masuk ke dalam rumah.

“Silakan duduk.  Puan Zakiah akan turun sebentar lagi,” beritahu wanita itu lagi dan terus saja pamit ke dapur.

Ruang tamu yang luas itu kelihatan kemas dan teratur.  Di bahagian kanannya, terdapat sebuah pintu gelangsar yang terbuka luas menampakkan sebuah landskap taman yang indah dengan pelbagai jenis bunga-bungaan.  Bukan itu sahaja, udara segar yang bertiup sepoi-sepoi bahasa juga menerobos masuk ke dalam rumah. Suasana itu menghadirkan rasa tenang dan damai di hati sesiapa saja yang gemarkan keindahan alam semula jadi.

“Pokok-pokok tu semua arwah suami saya yang tanam,” ujar satu suara di laluan tangga. Tajudin dan Putra menoleh serentak ke arah suara berkenaan.  

Susuk tubuh Zakiah sedang menuruni takah anak tangga dengan bersahaja.  Raut wajahnya masih lagi sugul dan sedih. Dia memakai jubah berwarna gelap dan tudung dalam rona sama.

“Mari, kita ke meja makan,” pelawa Zakiah dan dua orang lelaki tersebut mengekori langkah Zakiah yang gemalai.

“Jemput duduk.  Sambil bertanya, bolehlah kita minum petang sekali,” tutur Zakiah lagi sambil tersenyum.  Garis-garis halus di mata dan pinggir bibirnya jelas kelihatan dek kesan dimamah usia.

Tajudin dan Putra mengambil tempat masing-masing.  Beg bimbit dibuka oleh Tajudin dan satu fail berwarna putih diletakkan di atas meja.  Manakala, Putra sudah bersiap-sedia dengan buku catatan dan sebatang pen.

Orang gaji Zakiah menuangkan minuman di dalam cawan.  Sepiring kuih berupa kuih-kuih tradisional seperti kuih lapis, seri muka dan keria disusun cantik di dalam pinggan.

“Kami ada beberapa soalan berkenaan dengan arwah suami puan.  Kami harap, puan dapat menjawabnya dengan baik.” Tajudin menyatakan tujuan asalnya dia ke situ.

Zakiah mengukir senyum sambil mengangguk tanda faham.

“Saya sedia memberi kerjasama untuk memberkas si pembunuh dan memberi keadilan kepada arwah suami saya.”  Kolam mata Zakiah berkaca. Sebak saat dia menuturkan ayat itu.

°•°•°•°

Previous: #6
Next: #8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh