Bab 28

JAM menunjukkan tepat 12.00 tengah malam.  Telah masuk satu minggu Mus membuat tinjauan.  Boleh dikatakan waktu kerja Rafi tidak menentu.  Mael tinggal berseorangan di rumah sewa itu hampir setiap masa.  Malam itu, Mus nekad untuk melaksanakan misinya. Niatnya kini lebih kepada membalas dendam.  


Dia bencikan Johan.  Lelaki itu telah merosakkan segala rancangannya. Mukhlis dan Epul juga diberkas polis.  Dia kini terkapai-kapai tanpa hala tuju. 


Mus memilih  persalinan berwarna gelap agar pergerakannya tidak mudah terlihat oleh sesiapa. Topeng muka dipakai bagi mengelakkan wajahnya dikenali.  Pintu dapur rumah yang disasarkan untuk masuk dikopak dengan menggunakan alat penuil. Dengan sekali umpilan sahaja pintu itu berjaya dibuka.  Mus mengoyak senyum jahat.


Langkah kaki diatur dengan cermat tetapi tangkas.  Kedengaran bunyi televisyen terpasang di ruang tamu.  Mael sedang duduk di sofa sambil leka menonton TV. Sesekali, dia dilihat sedang berbalas mesej dengan seseorang.  Pencahayaan di ruang tamu agak malap, mencipta efek rileks kepada si penghuni. 


Agak lama dia memerhati gerak-geri pemuda yang sedang duduk bersorangan itu.  Mus menanti masa yang tepat untuk dia bertindak. Mael menutup siaran televisyen setelah menguap beberapa kali.  Kantuk mula bergayutan di kelopak mata. Ketika Mael bangun untuk ke bilik, satu hentakan kuat hinggap di belakang kepalanya.  Tubuhnya melayang-layang sebelum mencium lantai.   


Tubuhnya diheret kasar lalu diangkat dan diletakkan di atas kerusi secara duduk.  Seutas tali dikeluarkan dari beg galas bertujuan untuk kegiatan jahatnya. Kedua-dua belah kaki dan tangan Mael diikat kemas.  Tidak cukup dengan itu, tubuh Mael juga diikat agar Mael tidak dapat bergerak atau melarikan diri. 


Pita pelekat ditampal kemas ke bibir Mael walaupun dia masih tidak sedarkan diri.  Mus mengambil peluang untuk menggeledah keseluruhan isi rumah itu. Dia menyelongkar dan mencari apa jua bentuk maklumat berhubung lokasi terkini Johan.  Dia tidak menemui apa-apa maklumat setelah satu jam mencari dan kesabarannya memuncak.


“Argh!”


Mus mendengus setelah apa yang dicarinya tidak ditemui.  Kedua-dua belah tangan memegang kepalanya sendiri. Serentak dengan itu, erangan Mael yang baru tersedar dari pengsan menarik perhatiannya.  Mus berjalan perlahan-lahan lalu menarik sebuah lagi kerusi di hadapan Mael yang menjadi tawanannya kini.


Mael membuka-katup kelopak matanya beberapa kali.  Entah kenapa kelopak matanya begitu sukar dibuka. Rambut dan belakang badannya terasa melekit dan basah.  Mael kaget dengan kehadiran orang asing di dalam rumahnya sendiri sebaik sahaja dia tersedar sepenuhnya. Dahinya berkerut tatkala pergerakannya terbatas.  Dilihat kaki dan tangannya terikat kemas. Mael tersandar di kerusi dengan hampa.


"Hai!" sapa lelaki bertopeng itu.  


"Oh, lupa!  Kau mana boleh jawab.  Mulut kau kena tampal, ya?"


"Nak aku buka pelekat tu?"


Mael mengangguk laju.


"Boleh, tapi dengan satu syarat.  Kalau kau cuba bertindak bodoh ataupun menjerit, kau akan terima padanya."


Mael mengangguk lagi.  Mus bangun lalu menarik pita pelekat itu dengan kasar.  Mael menyeringai kesakitan.


"Kau siapa?" 


Mus menyungging senyum.  Wajah Mael yang cedera di kepalanya ditatap dalam-dalam.


"Johan tahu aku siapa."


"Bukankah kau sudah..."


"Mati?" sambung Mus tanpa sempat Mael meneruskan ayatnya.


"Tuhan panjangkan nyawa aku untuk aku hapuskan kawan bangsat kau tu.  Cakap! Di mana si keparat tu berada?"


“Aku tak tahu!”


Buk!


Mael ditumbuk di hidung.  Darah meleleh keluar dari rongga hidungnya.  Bingung Mael seketika dek tumbukan padu itu. Gegendang telinganya juga bergetar.


"Jangan loyar buruk dengan aku.  Kau kawan dia yang paling rapat. Mustahil kau tak tahu di mana dia berada?"


"Aku memang tak tahu!"  Mael menjawab lantang, tidak mahu tunduk hatta menunjukkan rasa takut kepada penjahat itu.  


Mus mengamuk dan segala barang-barang yang berada di dalam rumah itu dihempas ke lantai.  Keberanian Mael mengendur. Dia gerun melihat tindakan agresif Mus yang cuba menjahanamkan isi rumahnya.  Tidak semena-mena, satu lagi tumbukan padu hingga ke muka Mael. Darah tersembur dari celahan bibir Mael. Dia meludah keluar sebatang giginya yang patah akibat pukulan itu.


“Mana Johan?” soal Mus lagi.  Urat-urat di sekitar dahinya timbul tatkala rahangnya digertap.


Matanya merah menyala dengan renungan tajam menikam.  Rahang Mael dicengkam kuat sepenuh tenaganya. Mael tidak berdaya lagi.  Kesakitan yang diterimanya menjalar ke segenap urat saraf. Kepalanya sakit dan pandangan juga kabur.  Wajahnya diangkat. Pandangan mereka bersabung. Mael tidak akan sekali-kali mengkhianati Johan walaupun nyawanya yang menjadi taruhan.  Perlahan-lahan kepalanya digeleng.


Mus mengeluarkan sesuatu daripada kocek seluar kirinya.  Satu objek logam berkilat ditayang di depan mata Mael. Saat itu, Mael cuma mampu mengucap dan berdoa.  Bukannya dia tidak mahu melawan, tetapi dia tidak mampu. Pergerakannya terbatas. Kaki dan tangannya kemas terikat.  Mael memejam kelopak matanya rapat-rapat. Degupan jantungnya kencang berlari. Jika begitu suratan takdirnya yang tertulis, dia akur.


"Mungkin ini yang akan buat kau buka mulut."


"Argh!" 


Suara kesakitan Mael bergema namun ia bagaikan melodi indah di pendengaran Mus.  Jari telunjuk Mael dicampak ke lantai. Darah Mael mengalir deras.  


"Aku tanya kau sekali lagi untuk kali terakhir.  Kawan kau mana?" Di sebalik topeng muka itu, tersembunyi satu wajah bengis dan berhati binatang.


Mael yang dibelit kesakitan tetap teguh dengan pendiriannya.  Dia ketawa sekuat hati lantas ludahan bercampur darah mengena tepat ke muka Mus yang menyinga.  Tahu bahawa Mael tidak akan memberinya apa-apa maklumat, Mus mula bertindak gila. Hulu pisau digenggam kemas.  Tanpa ihsan, leher Mael dikelar sehingga darah pekat terpancut ke sana-sini. Lantai berjubin digenangi darah pekat.  Mael menghembuskan nafas terakhirnya di situ juga.


Kepala yang terkulai layu itu ditunjal-tunjal kasar.  


Mus tersenyum puas.  Ini bukanlah kali pertama dia membunuh.  Tetapi, sayang… dia tidak puas menyeksa Mael.  Dia kesuntukan masa. Keinginannya membuak-buak untuk bersemuka dengan Johan.   


Tangan yang bersarung hitam itu mengorek-ngorek mulut Mael lalu menarik keluar lidahnya yang terjulur.  Lidah Mael dipotong lalu disimpan ke dalam plastik bersama jari Mael yang dipotong dari awal tadi. Dia melangkah keluar lalu menghilang dalam kegelapan malam yang semakin larut.


•°•°•°•


TAJUDDIN dikejutkan dengan satu bungkusan yang bertulis namanya.  Tidak pula ditulis nama dan alamat si pengirim. Bungkusan yang tidak diketahui asal-usul itu direnung dengan rasa curiga.


“Rafi, masuk sekejap!” panggil Tajuddin di sebalik pintu pejabatnya.  


Agak kekok apabila terpaksa menukar nama panggilan Putra kepada Rafi.  Semuanya di atas permintaan Rafi sendiri. Dia tidak mahu ada sesiapa yang keliru dan tambahan pula dia lebih suka orang-orang di sekelilingnya memanggilnya Rafi.  Patuh akan arahan itu, laju sahaja Rafi membawa langkah ke dalam pejabat Tajuddin tanpa mengesyaki apa-apa.  


“Tutup pintu.”  Serius Tajuddin memberi arahan.


“Ada seseorang menghantar bungkusan ni kepada saya.”


Pandangan Tajuddin dan Rafi jatuh serentak kepada satu bungkusan mencurigakan berwarna coklat cair di atas meja kerja Tajuddin.  Dahi Rafi berkerut apabila melihat kepada satu penjuru bungkusan itu yang dibasahi satu cecair. Peka akan risiko yang bakal mereka hadapi, lantas Rafi menyarung kedua-dua belah tangannya dengan sarung tangan yang sentiasa ada di dalam poket bajunya.  Bungkusan itu dibelek-belek dengan teliti.


“Darah….”


Dengan berhati-hati, Rafi mengoyak bungkusan itu untuk memeriksa isinya.  Bau busuk memenuhi ruang bilik itu. Hampir terkeluar biji mata Rafi tatkala melihat sebatang jari dan juga potongan lidah manusia disumbat ke dalam bungkusan berkenaan.  Apa yang lebih mengejutkan Rafi apabila sebuah telefon bimbit yang amat dikenalinya juga diselit bersama.


“Tuan, saya kena balik sekarang.  Ini… ini semua milik Mael!”  


Tali rintangan polis dipasang di perkarangan rumah Rafi.  Para penghuni di kawasan taman perumahan itu berkerumun untuk melihat tempat kejadian jenayah.  Mereka mengambil peluang untuk merakam detik-detik hitam itu dengan telefon pintar masing-masing dan mensensasikan berita itu ke media sosial.


Rafi terduduk di sisi mayat Mael.  Mata Mael yang terbuntang cukup menggambarkan azab yang ditanggung saat nyawanya berada di hujung tanduk.  Setelah pemeriksaan dijalankan oleh pasukan CSI, mayat Mael yang berbungkus plastik hitam diusung keluar dengan strecer untuk tujuan bedah siasat.


Pandangan Tajudin dan Rafi bertukar  silih-berganti. Walau tiada sepatah bicara, mereka seakan-akan faham isi hati masing-masing.


"Dia masih hidup.  Kita terlalu pandang rendah pada dia."  Rafi berbisik kepada Tajudin.  


"Betul tu.  Mujurlah Johan tiada di sini.  keselamatannya terjamin selagi dia berada dengan Fareed."  


Fareed merupakan seorang pegawai polis pencen yang cukup digeruni penjahat-penjahat di luar sana.  Banyak sindiket jenayah berprofil tinggi berjaya ditumpas. Setelah bersara, Fareed lebih senang menghabiskan sisa-sisa hidupnya di kampung halamannya di Sabah.  Dia juga tidak banyak soal ketika diminta untuk menjadi penjaga Johan selama pemuda itu di sana.


Rafi menghubungi Hanna untuk memaklumkan hal yang menimpa Mael.  Hanna yang kacau-bilau jiwanya bertambah kusut dengan berita yang diterima. Air matanya diseka secara sembunyi-sembunyi.   


"Sha, ikut aku ke hospital sekarang."


"Kita nak melawat siapa?" Shakira bertanya kehairanan.


"Err… kita pergi dulu ke sana.  Nanti kau tahulah."


"Ish, malaslah.  Segan aku nak jumpa orang yang aku tak kenal."


"Sha, jangan degil.  Kau ikut ajelah aku."


"Bagi aku lima sebab kenapa aku kena ikut?"  


Shakira ketawa terkekeh-kekeh dengan jenakanya sendiri.  Sedangkan hati Hanna meraung kuat supaya Shakira segera bersiap dan mengikutinya ke hospital.


"Sebab Mael masuk hospital."


Setengah jam kemudian, kereta yang dipandu Hanna tiba di perkarangan hospital.  Setelah menjawab satu panggilan telefon, Hanna memaut lengan Shakira lalu berjalan beriringan ke bilik mayat.


"Kenapa kau bawa aku ke sini?  Ini… ini bilik mayat. Kau cakap Mael masuk wad.  Kau prank aku ke, Hanna?" Air muka Shakira berubah.  Entah mengapa getaran jantungnya berkocak hebat.


Hanna berdiri menghadap Shakira.  Lama dia merenung wajah sahabatnya itu. Pandangan sayu dari Hanna membuat Shakira tidak keruan.


"Kenapa kau pandang aku begitu?"  Mendatar Shakira bertanya.  


Dia mengamati sekeliling.  Beberapa orang wartawan dan pemberita mula mengerumuni bilik mayat itu.  Hal tersebut mencetuskan tanda-tanya yang dahsyat di sanubari Shakira.


"Sha…"  Kedua-dua belah bahu Shakira dipegang.  Matanya tidak berganjak memandang wajah Shakira.


"Mael dah tak ada.  Dia… dia mati dibunuh."  


Kaki Shakira terundur setapak.  Tidak percaya dengan apa yang baru dia dengari.  Baru semalam mereka bertemu janji, berbincang tentang persiapan majlis perkahwinan mereka.  Hari ini, Mael dikatakan mati.


"Ti… tidak.  Kau reka cerita aje, kan?  Ini… ini semua prank?" Bergetar suara Shakira menahan rasa.  Rafi berjalan menghampiri Hanna. Dari riak wajah Shakira, Rafi yakin bahawa Shakira sudah memakluminya.


"Kau, Rafi.  Kau pun terlibat sama dalam hal ni?  Kau orang berdua saja nak kenakan aku?  Itu… itu semua wartawan palsu!" Air mata merembes keluar dari kudup mata Shakira yang terpejam.  


"Tidak, Sha.  Ini semua betul.  Seorang penjahat telah memecah masuk ke dalam rumah kami semalam."


"Tapi kenapa?" Suara Shakira mula meninggi.  Sendi-sendi lututnya bergoyang, tidak kuat untuk menahan beban tubuhnya sekarang ini.


"Penjahat itu berniat untuk merompak rumah kami.  Kebetulan, Mael berada di rumah. Penjahat tu berbahaya, Sha.  Dia bersenjata. Mael gagal pertahankan diri."  


Usai berkata-kata, tubuh Shakira terhuyung-hayang dan tidak stabil. Tergopoh-gapah Hanna dan Rafi menyambut tubuh itu sebelum jatuh terjelepok ke tanah.  Hanna memangku tubuh sahabatnya itu tanpa mempedulikan pandangan mata-mata asing yang berpusat kepada mereka.


"Sha!  Bangun, Sha!"


Pipi Shakira ditepuk-tepuk lembut bertujuan menyedarkan gadis itu.  Hanna sebak menyaksikan keadaan Shakira. Dia dan Johan juga berpisah, namun mereka masih berpeluang untuk bertemu.  Shakira dan Mael pula sebaliknya; berpisah jasad dan nyawa. Hanya doa yang mampu dititip dari jauh.


Shakira bingkas bangun sejurus sedar dari pengsan.  Dia memeluk dan menangis semahunya di bahu Hanna. Akal warasnya mula menafsir perkara duduk yang sebenar.  Tiada siapa yang dapat menidakkan takdir Allah. Keluarga Mael juga baru tiba dari kampung. Suasana di perkarangan rumah mayat bertukar pilu dan hiba dalam sekelip mata.  


Urusan bedah siasat selesai setelah beberapa jam menunggu.  Jenazah Mael telah dituntut oleh keluarganya untuk pengurusan pengebumian setelah dimandi dan dikafankan.  Jenazah Mael akan dibawa pulang ke kampung halamannya. Itu adalah permintaan daripada ibu arwah Mael sendiri.  Shakira kelihatan letih dan lesu kerana terlalu sedih dan banyak menangis.


"Saya akan ikut Sha ke kampung Mael.  Awak tak ikut sekali?" Hanna menanti jawapan dari Rafi.


"Tentu sekali.  Biar saya yang drive.  Awak jaga Sha."


Hanna mengangguk setuju.  Jenazah Mael telah selamat dikebumikan dalam liang lahad.  Shakira tidak ubah seperti mayat hidup. Dia tidak langsung bersuara.  Makan apatah lagi. Segala-galanya berlaku terlalu pantas bagaikan sebuah mimpi ngeri.  


"Sha, aku bawakan makanan untuk kau.  Jamah sikit, ya?" Hanna cuba memujuk. Dari hospital hinggalah tiba di Alor Setar, sebutir nasi pun tidak masuk ke dalam perutnya.


Shakira menggeleng lemah.  Pandangannya dilempar jauh ke hadapan, pegun dan tidak berganjak.


"Nanti kau jatuh sakit, Sha.  Makanlah sikit. Jangan ikutkan sangat perasaan tu."


"Aku tak ada selera."


"Aku faham perasaan kau.  Mael pun sahabat aku juga.  Tapi kau tak boleh seksa diri kau macam ni."


Shakira tetap membisu.  Bukan mudah untuk menerima kenyataan bila insan tersayang pergi buat selama-lamanya.  Boleh jadi gila jadinya jika tidak kuat semangat. Masih terngiang-ngiang suara romantis Mael menyapa gegendang telinganya.  Cara Mael memandangnya dengan penuh rasa cinta. Juga gurau-senda Mael yang selalu membuatnya ketawa.


"Sha, makan eh?"


Tidak semena-mena pinggan nasi yang dipegang Hanna ditepis kasar oleh Shakira.   Nasi tersebut bertaburan di lantai. Hanna mengutip pinggan yang terlungkup di lantai dan sisa-sisa makanan yang jatuh.  Shakira bangun dan duduk bertinggung seperti Hanna. Tangan Hanna dipegang, menghentikan perbuatan Hanna tadi.


"Maafkan aku.  Aku tak sengaja.  Aku… aku terlalu sedih.  Aku terkejut dengan pemergian mengejut Mael.  Maafkan aku, Hanna."


Kedua-dua sahabat itu berpelukan sambil menangis.  Hati mereka disayat sedih yang bukan kepalang. Walaupun cara pemergian insan yang mereka sayangi berbeza, ia tetap meninggalkan satu ruang kosong di dalam ruang hati.


"Sha okey?" Rafi bertanya sejurus memberi salam kepada Hanna.


"Dia dah okey sikit.  Saya simpati dekat Sha.  Tergamak penjahat tu membunuh Mael.  Kalau nak merompak tu merompak ajelah.  Tak perlu nak bunuh-bunuh orang."


"Nama pun penjahat.  Apa yang dia kisah tentang semua tu.  Yang penting dia dapat apa yang dia nak.  Lagipun, sudah tertulis ajal Mael setakat itu.  Cara kematiannya hanyalah satu asbab. Moga roh Mael ditempatkan bersama-sama orang beriman."


"Rafi…," seru Hanna setelah berdiam diri buat seketika.


"Ada dapat khabar Johan?"


Rafi meraup mukanya lalu mengeluh.  Soalan itu terlalu sukar untuk dijawabnya.  Sebelum Johan menghilangkan diri entah ke mana, sempat Johan bertemu mata dengan Hanna.  Mereka tidak langsung berbicara, namun masih ada sisa cinta antara mereka.


"Tak ada."


"Mana dia pergi, Rafi?  Takkanlah dia tak beritahu awak langsung.  Sudahlah kawan baik dia meninggal pun dia tak tunjuk muka.  Dia tak hargai langsung persahabatan dia orang selama ni." Hanna meluahkan apa yang terpendam di hati.  Dia benar-benar kecewa dengan sikap Johan.


"Mungkin dia ada hal lain yang lebih penting."  Rafi cuba menyedapkan hati Hanna.


"Apa lagi hal yang lebih penting dari itu?  Atau dia memang sengaja nak putuskan hubungan dengan semua orang yang dia kenal?"


Rafi hilang kata-kata untuk membalas hujah Hanna.  Sementelah, soalan gadis itu berbaur emosi yang tidak terkawal.


"Eh, dah lewat malam ni.  Tidurlah. Lagipun esok nak kerja."


"Saya dah minta cuti untuk temankan Sha dua tiga hari lagi.  Terima kasih sebab tanya khabar Sha dan temankan kami sampai ke Alor Setar."


"Sama-sama.  Selamat malam, Hanna. Assalamualaikum."


"Waalaikummusalam."


Rafi merebahkan tubuhnya yang keletihan ke katil. Perjalanan jauh yang ditempuh membuatkan sendi-sendinya pegal.  Tangan kanannya mendarat di dahi. Lagaknya seperti sedang berfikir jauh. Bagaimanalah reaksi Johan nanti sekiranya berita kematian Mael sampai kepadanya.  Rafi terlena dalam resah hati yang tidak berpenghujung.


•°•°•°•



Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh