Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
109,560
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 8

Tanah Langkasuka

KERINDUAN Shafi terhadap kedua orang tuanya semakin menghambat jiwa. Selama ini dia terlalu banyak bersabar dan menahan hati. Kehadiran keris Perpisahan di sisinya ternyata mengundang duka. Nestapa yang sudah sekian lama terkubur telah mekar semula. Kenangan kisah silamnya seperti sengaja menyapa memori hidupnya.

Shafi, insan yang ditakdirkan dengan Qada dan Qadar yang sangat berliku, tetapi ia sedikit pun tidak menggugah ketabahannya. Hidupnya dan air mata ternyata tidak akan dapat dipisahkan. Seusai solat dan berzikir juga begitu – diakhiri dengan air mata kerinduan terhadap yang Maha Esa.

Kiai Jabar menyentuh dan mengusap belakang anak asuhannya. Dia seorang yang sangat prihatin dan penyayang. Insan yang memberikannya semangat dikala dia gundah.

“Usah berduka, anakku.” Kiai Jabar memujuk dengan nada suara yang lembut. Shafi lantas menoleh.

“Firasatku mengatakan yang kedua orang tuaku masih hidup, bapa.” Shafi akhirnya meluahkan apa yang dia rasakan selama ini.

“Andai demikian, pergilah cari orang tuamu, nak. Selagi mereka hidup, berbaktilah dengan setia di sisi mereka.” Kiai Jabar rasa bersalah dengan kejadian lampau. Namun, kejadian itulah yang mempertemukan dia dengan Shafi.

“Aku tidak akan meninggalkan bapa seorang diri di sini.” Shafi merenung wajah suci Kiai Jabar. Ternyata didikan dan kasih sayang yang diberikan oleh Kiai Jabar selama ini kepada Shafi membuatkan lelaki itu menganggap dia sebagai bapa kandungnya sendiri.

“Nak, bapa tidak apa-apa. Bapa akan betah tinggal di sini, apa yang bapa inginkan hanyalah doa kesejahteraan daripadamu. Fikirkanlah, nak. Mintalah petunjuk daripada ALLAH, dirikanlah solat Istiqarah.” Shafi hanya memeluk Kiai Jabar. Hatinya sangat tersentuh dengan kata-kata Kiai Jabar tadi. Dia sedih, namun hanya ditangisi di dalam hati sahaja.

“Insya-ALLAH, terima kasih bapa.” Shafi memeluk bapa asuhannya itu sambil tersenyum. Ternyata dakapan yang ikhlas daripada mereka menjalinkan hubungan yang erat.

SHAFI membuka kelopak matanya perlahan. Cahaya bulan yang memasuki ruang biliknya menerusi celah-celah lubang kecil mengikis sedikit kesuraman. Dia lantas bangun dan melihat ke langit dari jendela yang dikuaknya. Hatinya lantas mengagungkan Ilahi apabila melihat kerdipan bintang-bintang.

Maha suci ALLAH yang memberikan banyak kenikmatan kepada semua makhluk ciptaannya. Dia kemudiannya berjalan menuju ke perigi yang terletak di sebelah unjuran biliknya, dia bersugi lantas mengambil wuduk untuk mengerjakan solat malam ataupun Qiyam al-lail yang bermaksud bangun malam.

Shafi berteleku dan berdoa dalam sujud terakhirnya. Apa yang terbuku di dalam hatinya diluahkan kepada ALLAH secara batiniah. Minta belas dan diampuni segala dosanya yang terdahulu dan yang terkemudian. Hatinya sangat-sangat tenang kala ini. Bila hati bertemu dengan kekasihnya, segala kedukaan dan keletihan dunia dapat dilupakan. Shafi kemudiannya melakukan solat sunat istiqarah, dia minta petunjuk daripada ALLAH. Petunjuk jalan hidup yang lurus dan jitu, dan yang paling penting adalah dia ingin meminta petunjuk tentang firasat yang dirasainya siang tadi.

Setelah selesai solat sunat Istiqarah, Shafi menadah tangan dan berdoa dengan hati yang sarat dengan khusyuk. Dia menumpahkan segala harapannya di telapak tangan. Berharap malaikat akan membawa doanya sampai ke langit. Padahal dia mengetahui bahawa ALLAH sentiasa mendengar rintihan hamba-hambanya. Apatah lagi ketika sepertiga malam, ketika inilah manusia sangat dekat dengan ALLAH kerana ALLAH akan turun ke langit dunia melihat hamba-hambanya yang bangun untuk solat. ALLAH merentangkan pintu keampunan dan rahmat untuk hamba-hambanya yang sedang mengerjakan solat tahajjud. Terutamanya semasa sepertiga akhir malam. Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

“ ALLAH s.w.t turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata : Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk Kumakbulkan , ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk Kuberikan , ada sesiapa yang beristighfar memohon keampunan untuk Kuampunkan.” ( HR Bukhari dan Muslim )

Dalam kesayuan malam itu, Shafi didakap damai, tenteram yang payah diperoleh bagi mereka yang sedang nyenyak dibuai tidur. Dengan hati yang ikhlas, air matanya tumpah tanpa sendu lantas berdoa:

“Ya Tuhan kami, hanya kepada Engkaulah kami bertawakal, hanya kepada Engkaulah kami bertaubat, dan hanya kepada Engkaulah kami kembali. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah bagi orang-orang kafir. Ampunilah dosa-dosa kami. Sesungguhnya, hanya Engkaulah Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana..” doa yang Shafi petik dari Surah Al-Mumtahanah, ayat 4-5:

“Ya Rabbi, lapangkanlah dada kami, hiasilah diri kami dengan akhlak yang terpuji. Ya ALLAH, iman ini Engkau penguasanya, Nyawa ini Engkau yang berikannya, sekalian alam ini Engkau penciptanya, dan hati ini Engkau penakluknya. Berikanlah daku petunjuk, jika benar orang tuaku masih hidup maka pertemukanlah kami. Andai mereka telah pun pergi menemui-Mu, maka rahmatilah mereka, tempatkan mereka dalam kalangan orang-orang yang beriman di dalam syurga. Sesungguhnya, hanya Engkaulah Tuhan yang kami sembah, dan hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan.”

Setelah Shafi mengaminkan doanya, dia lantas tumbang dan rebah di atas lantai. Dia pengsan ketika khusyuk berpaut di hujung hatinya. Sesungguhnya, hati tanpa cinta, cinta tanpa kasih dan kasih tanpa rindu…hati akan mati biarpun jasad masih hidup.

PANGERAN ARING dan Bagaro tersentak apabila tersedar dan berada di puncak sebuah bukit. Dari jauh mereka dapat melihat Kerajaan Langkasuka. Mereka mengepal telapak tangan. Dendam dalam hati masih membara. Mereka berdua kemudiannya melakukan pusingan ,kepulan asap yang berwarna kelabu kelihatan membaluti tubuh badan mereka. Apabila berhenti tubuh badan mereka sudah berubah. Nampak berketerampilan sebagai pedagang. Di sisi mereka terdapat barangan berupa sutera dan pelbagai barang kemas wanita yang jarang ditemui.

“Mari kita mulakan perjalanan, Bagaro.” Pangeran Aring mula mengorak langkah, manakala Bagaro pula terpaksa membawa barang-barang itu. Dalam hatinya penuh dengan sumpah-seranah terhadap Pangerannya.

“Ingat Bagaro, namaku di sana kelak adalah Saudagar Asyar dan kau pula guna namamu yang dahulu. Asyar bermaksud ‘yang jahat’.

“Faham kau Bagas!.” Pangeran Aring menekan suaranya di halkum. ‘Bagas’ merupakan nama asal Bagaro sebelum terkena sumpahan manusia serigala.

“Ba... baik Pangeran.” Bagaro kecut. Dia memang tahu kebengisan Pangeran Aring sedari jadi pembesar dahulu.

Dalam beberapa waktu sahaja, mereka telah pun berada di hadapan pintu gerbang Kota Kerajaan Langkasuka. Mereka berdua berhenti apabila ditahan oleh empat orang pengawal. Pemeriksaan dilakukan, semua barang diperiksa.

“Untuk apa kamu ke sini?” salah seorang pengawal bertanya dengan sombong.

“Kami pedagang dari kesultanan Sulu, kami datang dengan niat untuk berdagang.” Balas Pangeran Aring dengan lembut dan penuh adab. Dalam hatinya berbisik “kaulah mangsa pertama yang aku bunuh nanti.” Mereka berdua kemudiannya dibenarkan masuk dengan syarat memberikan seuncang emas.

Pangeran Aring tersenyum lalu memberikan empat uncang emas. Pengawal-pengawal itu tergamam melihat emas tersebut. Mereka kemudiannya ketawa terbahak-bahak apabila Pangeran Aring dan Bagaro sudah hilang dari pandangan mata. Mereka tidak menyedari bahawa itu bukanlah emas, tetapi benda yang akan membunuh mereka kelak. Tamak adalah cara mempercepatkan mati, sama ada mati jasad ataupun mati hati.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.