Pinggir
Kota Langkasuka
PANGERAN
ARING meratib dengan mulutnya
yang terkumat-kamit membaca mantera. Dia sedang berhubung dengan suatu ‘kuasa’
yang bersifat gelap. Tangannya yang kekar dikepal. Nafasnya kedengaran
mendengus. Sejak tadi dia dalam keadaan begitu, menggapai kekuatan untuk
menambah ilmu jahat dalam dirinya.
Bagaro
pula duduk tidak menentu. Dia bosan kerana sedari tadi, dia menunggu Pangeran
Aring yang berlagak seperti ‘tuan’ siap meratib. Dahulu kala, dia pernah menjadi
tuan dalam hawa nafsunya. Membunuh merupakan rencah hidup yang lazim dilakukan.
Semua itu bermula apabila dia disumpah oleh Pangeran Aring menjadi serigala
jadian kerana tidak mahu membunuhnya, lalu dijadikan hamba suruhan.
Setelah
itu, mereka membuat banyak kerosakan. Termasuk membakar madrasah agung yang
menjadi pusat keagamaan di utara Langkasuka. Ini disebabkan oleh dendam lama.
Dan Shafi amat berduka dengan kejadian itu. tindakan Pangeran Aring dan Bagaro
membakar madrasah itu sengaja dilakukan agar perang antara mereka tercetus.
Walaupun perbalahan di langit sudah lama berlaku, ia diteruskan lagi di dunia.
Pangeran
Aring membuka mata. Dia melompat di udara dengan pantas. Setelah itu dia hilang
menjadi kepulan asap. Bagaro terkial-kial. Dia menapak ke depan tetapi terhenti
apabila sebilah belati diacu di lehernya.
“Bagaimana
dengan kuasa baharu ini, Bagaro?” Pangeran Aring mencebik.
“Dari
mana kau mendapatkan kuasa ini, Pangeran?” Bagaro iri hati.
“Dari
tuan kita, Bagaro. Ratib yang aku lakukan tadi ternyata tidak sia-sia.”
Pangeran Aring tampak sombong.
“Itu
hadiah istimewa daripadaku, Pangeran.” Satu suara garau bergema. Selepas itu
muncul satu kepulan asap tebal yang berpusar lalu membentuk jasad yang
menyerupai manusia. Manusia tua yang berselubung hitam.
“Kau
suka dengan kuasa itu?” Makhluk tua berselubung hitam itu bertanya.
“Terima
kasih, leluhurku.” Pangeran Aring dan Bagaro segera melutut tanda sembah.
Manusia berselubung hitam itu ketawa terbahak-bahak.
“Kau
jangan iri hati, Bagaro. Aku juga memberikan kau ‘sesuatu’. Bagaro mengangkat
muka. Masa inilah manusia berselubung hitam itu menyerang dengan kuku yang
tajam baka belati. Tangan Bagaro cedera parah. Darah hitam pekat membuak.
Bagaro mengerang kesakitan, tetapi dalam sekelip mata sahaja luka itu terkatup
semula. Bagaro jadi hairan. Pangeran Aring pula mencebik kerana ilmu itu sudah
pun dia miliki.
“Terima kasih leluhur.” Bagaro meraba-raba lengannya.
“Ingat
janji kita, Pangeran. Jangan sampai aku menarik semula kuasa yang aku berikan
itu.” Manusia berselubung hitam itu ketawa terbahak-bahak lalu hilang di
sebalik dinding gua tempat mereka meratib. Mereka berdua juga begitu, ketawa
terbahak-bahak. Dan sesungguhnya, ketawa terbahak-bahak itu adalah ketawa
syaitan yang direjam.
Pinggir
laut Jalan Mati
NEALOFA tersedar daripada pengsan dengan kakinya
terlunjur di depan. Nafasnya tercungap-cungap. Ibarat lemas di lautan dalam.
Berusaha untuk mencari nafas bagi menyambung nyawa dalam jasad. Pandangannya
berbinar. Dia terkejut apabila melihat kehadiran Suhail dan Puteri Qaisara di
sisinya.
“Aku
di mana, dan… kamu berdua siapa?” Nealofa tampak hairan.
“Jangan
risau, kami yang menyelamatkan mu daripada lemas bau garam di dalam kapal itu.”
Puteri Qaisara mengukir senyuman.
“Terima
kasih. Siapakah kalian berdua ini?” Nealofa memandang Puteri Qaisara dengan
penuh waspada.
“Nama
beta Puteri Qaisara, puteri Kota Amuriah, Mesir. Dan dia ialah Suhail, pengawal
peribadi beta.” Puteri Qaisara memandang ke arah Suhail.
“Namaku
Nealofa, anak bangsawan di Amsterdam, Belanda.” Ternyata Nealofa masih angkuh
dengan kedudukan yang dia kecapi di Belanda.
“Apa
yang berlaku sehingga samudera kamu terdampar, Nealofa.” Suhail bertanya
setelah sekian lama mengunci mulut. Dia juga agak kekok memanggil nama
‘Nealofa’ kerana kedengaran seperti nama orang yang sudah moden. Tetapi itulah
cara para ibu bapa menamakan anak-anak kecil di Belanda. Mengikut bahasa mereka
yang agak lain bunyinya.
“Samudera
kami diserang oleh kepulan awanan hitam yang tebal. Setelah itu, ombak melanda
dan samudera kami terhuyung ke tepian. Dan… arghhh!, aku tidak ingat apa yang
berlaku selepas itu.” Nealofa menepuk-nepuk kepala. Manakala Puteri Qaisara dan
Suhail berpandangan.
“Ternyata
makhluk berbadan besar itu terserempak dengan kamu.” Suhail memandang Nealofa.
“Makhluk
berbadan besar?” Nealofa hairan.
“Benar,
makhluk itu bertukar menjadi asap hitam tebal setelah aku tewaskan.” Suhail
melemparkan pandangannya ke lautan. Terbayang bagaimana samudera itu dirempuh.
Sungguh dahsyat.
“Kalian
hendak ke mana?” itulah persoalan yang sedari tadi bermain di fikiran Nealofa.
“Kami
ingin menjelajah di Asia ini, Nealofa.” Puteri Qaisara menjawab spontan. “ kamu
pula?” Giliran Puteri Qaisara pula yang bertanya.
“Aku
mencari Keano, bakal suamiku.” Nealofa tampak berduka. “Dia menjelajah sehingga
ke rantau Asia ini untuk meluaskan kuasa.” Sambungnya.
“Di
mana dia meluaskan kuasa?” Suhail tampak serius. Nealofa memandangnya seraya
menggelengkan kepala sebagai jawapannya.
“Kita
mempunyai haluan yang sama, ada baiknya kita bergerak bersama. Tetapi, err…
kapal ini berkemungkinan telah rosak.
“Aku
akan cuba periksa keadaan kapal ini. Kalian berdua ikut aku ke atas.” Suhail
bingkas berdiri.
“Tapi
samudera itu tinggi, bagaimana kita hendak menaikinya. Tangganya sudah rosak.”
Nealofa mencari akal.
“Kalau aku tidak dapat naik,
bagaimana kami dapat selamatkan kau, Nealofa.” Suhail tersenyum. Nealofa
tersenyum sendiri.
Suhail
memaut Puteri Qaisara dan Nealofa. Dia membuat lonjakan tinggi lalu mendarat
dengan kemas di lantai kapal. Nealofa terkejut kerana lelaki itu berupaya
membuat lonjakan tinggi seperti itu.
“Kau
sungguh hebat, Suhail.” Nealofa memuji ikhlas.
“Aku
tidak sehebat yang kau sangkakan.” Suhail tetap merendah diri.
“Baik,
kita kemas bahagian yang berselerak dan suhail cuba cari ikhtiar supaya kapal
ini dapat bergerak.” Puteri Qaisara memintas perbualan mereka. Suhail segera
beredar ke bahagian bawah kapal.
“Suhail.”
Nealofa memanggil namanya. Suhail menoleh ke belakang.
“Kapal
ini menggunakan bahan bakar untuk menghidupkan enjin, jika habis bekalan kapal
ini masih dapat digerakkan dengan menggunakan layar.” Nealofa memberikan
maklumat mengenai samudera itu.
SUHAIL berulang kali
menghidupkan enjin kapal itu tetapi gagal. Dia segera melihat tempat
bahan bakar itu terletak. Bahan bakar masih mencukupi. Kemudian, dia beralih ke
arah bahagian-bahagian enjin. Ada beberapa komponen yang tercabut. Mujurlah dia
mempunyai sedikit pengetahuan mengenai perkapalan kerana semasa di Mesir pun
dia pernah mengendalikan kapal juga.
Enjin
mengaum. Puteri Qaisara dan Nealofa terkejut dengan bunyi itu, namun
kegembiraan juga terpancar di wajah. Suhail menaikkan jangkar kapal.
Serta-merta kapal bergerak perlahan. permukaan pinggir lautan itu beriak.
Kemudi kapal bergerak membawa mereka ke laut dalam.
Kelajuan kian bertambah. Arus mereka yang mengikuti
arah angin memudahkan lagi perjalanan. Daratan Hutan Jalan Mati sudah ditinggalkan.
Kelihatan berbalam-balam lalu perlahan hilang dari pandangan mata. Mereka
menuju ke arah timur.
Di sana nanti, mereka akan berpisah. Membawa haluan
dan tujuan masing-masing. Nealofa sangat bersyukur kerana telah diselamatkan
oleh Suhail dan Puteri Qaisara. Manakala mereka berdua pula diselamatkan oleh
samudera Nealofa. Kalau tidak, mereka akan mati terkurung di Jalan Mati itu.
Jalan yang tidak ada penghujung. Berpatah balik amat melelahkan dan boleh
membawa maut. Dan destinasi yang pasti adalah – Mati.