Istana Kayangan, Kota Amuriah
RAJA
BAYTIZAN dikejutkan oleh satu pusaran
angin kecil yang bergerak di ruang kamarnya. Pedang yang disangkut kemas di
dinding dihunus. Langkahnya seperti orang yang akan memulakan pertarungan.
Tidak lama kemudian muncul seorang lelaki yang berselubung hitam. Gerak-gerinya
membuatkan Raja yang dianggap agung itu curiga.
“Siapa
kau?” Soalan spontan yang akan ditanya jika seseorang itu tidak dikenali.
“Nampaknya
usiamu semakin menghakis ingatanmu, Raja Baytizan.” Lelaki tadi hanya mencebik.
“Siapa
kau sebenarnya, beta tidak mengenali kau. Beta rasa kau juga bukan dari
kelompok rakyat jelata di sini.” Raja Baytizan bertambah curiga.
“Aku
makhluk bernyawa panjang, Raja Baytizan.”
“Beta
tidak pernah mendengar nama itu, orang tua!” Raja Baytizan mula marah kerana
lelaki itu seperti mempermainkannya. Lelaki berselubung hitam tadi membuat satu
putaran. Apabila putaran itu berhenti, dirinya sudah bertukar menjadi seorang
yang sangat gagah. Keterampilannya seperti seorang pahlawan terdahulu. Pakaian
serta senjatanya kelihatan berkilau. Mukanya tampak tegas. Tiada senyuman yang
bergayut di bibirnya. Raja Baytizan hanya terduduk di birai katil sambil
mulutnya terlopong.
“Ka…
kau!” suaranya tersekat di halkum.
“Aku
datang menagih janji, Baytizan.” Kali ini, tiada lagi gelaran “Raja” ketika
lelaki itu menyebut nama Raja Baytizan.
PANGERAN ARING dan Bagaro yang telah diterbangkan di
sebuah gua telah tersedar daripada tidur. Urat-urat otot seperti ditarik-tarik.
Badan mereka menjadi lesu kerana lama tidak digerakkan. Sudah tiga hari mereka
tertidur kerana keletihan. Kecederaan yang dialami tempoh hari tidak
meninggalkan bekas. Mereka bangun dan memerhatikan suasana persekitaran. Tempat
yang jarang dikunjungi manusia. Sunyi dan sepi, sesepi hati mereka berdua. Sepi
daripada sisa kebaikan.
“Kita
pergi ke mana sekarang, Pangeran?” Bagaro buntu.
“Akalmu sangat pendek, Bagaro. Kita adalah bekas
pembesar istana Kerajaan Langkasuka. Aku rasa, kita bijak mencari akal.”
Pangeran Aring seperti ada satu perancangan yang sangat rapi.
“Ya! Bekas pembesar Kerajaan Langkasuka yang membelot
dan menjadi orang kanan Kerajaan Siam sekarang. Bagaimana kalau kita menyusup
masuk ke sana?” Bagaro terkial-kial.
“Hahaha... ternyata kau semakin bijak Bagaro, kita
kembali ke sana dan serang kerajaan itu secara halus.” Biar jatuh empayar
pemerintah terkutuk itu, dendamku masih membara. Hanya darahnya sahaja yang
dapat memadamkannya. Pangeran Aring perih mengenang kisah silamnya, mereka
berdua dipecat daripada sistem pemerintahan kerajaan Langkasuka atas faktor
keselamatan. Amukan dendamnya semakin berkobar-kobar. Membuak bak lahar gunung
berapi, dan ia tinggal menunggu bilakah lahar itu akan meletus.
“Kerajaan Langkasuka amat jauh, kita akan keletihan
jika berjalan kaki.” Bagaro seperti tidak bersemangat.
“Bodoh! kita makhluk berkuasa Bagaro, kita minta
pertolongan lelaki itu.” Maksud Pangeran Aring ialah lelaki berselubung hitam
itu.
“Bagaimana caranya, Pangeran?” Bagaro terpinga-pinga.
“Kita seru, ia pasti akan datang. Gunakan darah.”
Pangeran Aring secara tiba-tiba menghunus pisau belati dan menoreh pergelangan
tangan Bagaro. Bagaro hanya meraung kesakitan. Darah mula tersembur daripada uratnya
yang terputus.
“Wahai tuan yang berkuasa, datanglah jika benar kau
berkuasa, muncullah jika benar kau gagah perkasa, demi darah yang aku
persembahkan!” Selesai melaungkan kata-kata itu, Pangeran Aring mula meratib.
Menyebut-nyebut perkataan yang sukar difahami. Yang pasti, itu adalah cara
memuja syaitan Laknatullah.
Angin mula bertiup kencang, debu dalam gua itu
berpusar. Kemudian kepulan asap hitam mula kelihatan berlegar-legar di dalam
gua itu. Sesekali kepulan asap itu membentuk kepala binatang, kemudian ia
berhenti di atas seketul batu besar lalu beransur menjelma menjadi jasad
menyerupai manusia. Lelaki berselubung hitam itu berdiri angkuh sambil
mencebik. Pangeran Aring dan Bagaro lantas menyembah. Lelaki itu ketawa
terbahak-bahak.
“Bangkitlah...Aku suka cara kau menyeruku, Pangeran.
Hahaha…” Lelaki itu ketawa terbahak-bahak. Keangkuhannya melangit.
“Terima kasih, lelaki hebat.” Pangeran Aring mengampu.
“Kau di mana sebelum ini, aku perlukan bantuanmu!” Pangeran
Aring membentak-bentak.
“Aku ada di mana-mana, Pangeran. Aku akan menerbangkan
kamu berdua ke kawasan jajahan Langkasuka.” Lelaki berselubung hitam itu
melayang lembut sebelum mendarat ke hadapan Pangeran Aring dan Bagaro.
“Bagaimana kau tahu yang kami ingin ke sana?” Bagaro
hairan.
“Hahaha... Aku makhluk yang paling hebat di alam
semesta, justeru aku tahu apa yang kamu inginkan. Bahkan masuk dalam hati
manusia pun aku dapat, hahaha…” Lelaki itu terus menyemai keangkuhannya. Dan
itulah yang menyebabkan kaumnya diusir dari syurga suatu masa dahulu. Ya,
kerana sifat sombong!
“Kalau begitu, bawalah kami ke sana.” Pangeran tidak
sabar.
“Sujudlah kalian berdua kepadaku, tutup mata dan
yakinlah yang aku adalah sesembahan kamu berdua.” Lelaki itu merentangkan
tangannya ke hadapan. Pangeran Aring dan Bagaro segera mengikuti arahannya.
Lantas lelaki itu membuat pusaran, kemudian bertukar menjadi kabus hitam.
Dalam sekelip mata sahaja mereka bertiga sudah ghaib.
Merentas ruang yang dicipta oleh lelaki terkutuk itu. Cara ini pernah digunakan
oleh jin dan ifrit ketika Nabi Sulaiman berkehendakkan Singgahsana Ratu Balqis
dibawa ke Istananya sebelum baginda bangkit dari tempat duduknya. Namun,
seorang alim yang arif mengenai kitab yang telah berjaya membawanya dalam
sekelip mata. Sesungguhnya, kuasa yang paling kuat dan jitu adalah kuasa yang
dipohon daripada ALLAH. Kuasa yang diperoleh melalui ‘doa’. Doa itu satu keajaiban. Melalui doa, kita
dapat berhubung dengan ALLAH tanpa sebarang perantaraan. Daripada Dia kita
datang, hanya kepada-Nya sahaja kita layak kembali.