Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
107,918
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 3

Perbukitan Talang Putih

BAGARO berlari pantas membelah malam yang kelam. Jalan tikus yang dipenuhi oleh duri-duri yang tajam sudah tidak diendahkan lagi olehnya. Selepas ditewaskan oleh Shafi sebentar tadi, dia langsung tidak berani menoleh ke belakang lagi. Malahan, hendak memperlahankan ayunan kakinya pun sudah tidak sanggup. Dia takut diekori dan dibunuh oleh lelaki sakti itu.

Kekalahannya terhadap lelaki itu membuatnya merengus-rengus kencang. Shafi telah meragut air mukanya. Kehebatan anak muda itu menyakitkan hati. Malah, Bagaro langsung tidak berjaya menyentuh Shafi sebentar tadi. Ilmu persilatan yang ditunjukkan oleh Shafi sungguh hebat dan penuh rahsia.

Pangeran Aring menampar muka Bagaro. Dia tersungkur. Baru sebentar tadi Bagaro gagal menjalankan tugasnya. Dia merengus kesakitan. Hendak melawan tetapi kudratnya terbatas. Kala inilah Pangeran Aring menghunus sebilah pisau belati. Dia ingin menamatkan riwayat Bagaro. Ketika hendak membenamkan bilah pisau belati, pergelangan tangan Bagaro disambar angin hitam. Pisau belati itu serta-merta terlepas dari genggamannya. Dia lantas menghunus sebilah pedang dan diayun-ayun ke sana-sini. Kedengaran suara parau ketawa terbahak-bahak. Suara itu tidak berjasad.

“Siapa kau?” Pangeran Aring bertempik.

“Kau sangat lemah seperti dia, Pangeran Aring.” Pemilik suara parau tersebut kembali ketawa terbahak-bahak.

“Keluar! Aku akan mencantas batang lehermu.” Darah Pangeran Aring semakin tersirap naik kebahagian kepala. Mukanya kemerahan menahan amarah.

“Duppphh!” Satu daya tolakan yang menyerupai angin menghempas batang tubuh Pangeran Aring. Dia terhumban ke belakang dan terhempas di tanah.

“Siapa kau? Kita tidak pernah bermusuhan.” herdik Pangeran Aring sambil mengusap dadanya yang terasa sakit.

“Kau terlalu sombong Pangeran. Tapi aku suka, hahahaha…” Seraya itu, satu lembaga berselubung hitam yang lesu muncul dari sudut malam. Dia-makhluk bernyawa panjang. Dia menapak ke arah Pangeran Aring. Pangeran Aring terundur-undur ke belakang. Manakala Bagaro hanya terlopong kerana terkejut, dan sesekali, mengurut batang lehernya. Tujahan Shafi tadi sungguh menyakitkan. Sesakit hatinya. Sakit yang sangat sukar disembuhkan.

“Si... siapa kau?” Kegagahan Pangeran Aring hilang. Seperti tertimbus di dalam tanah yang sangat dalam.

“Aku... aku makhluk bernyawa panjang Pangeran Aring.” Dia mencebik, bau busuk menyelubungi suasana.

“Ap…apa yang kau mahu makhluk, bernyawa panjang? Bagaimana kau tahu namaku?” Pangeran Aring terketar-ketar.

“Itu tidak penting! Aku mahu nyawamu untuk memanjangkan nyawaku, Pangeran.”

“Tolonglah jangan bunuh aku, ambillah nyawa orang suruhanku itu.” Pangeran Aring semakin takut. Kedinginan malam tidak menghalang keringatnya daripada mengalir membasahi badan. Dia di ambang maut.

“Hahaha… darahnya tidak dapat memanjangkan nyawaku Pangeran. Hanya darah orang yang terlalu banyak buat dosa yang dapat memanjangkan usiaku.” Dia menyeringai. Tangan dibentangkan ke hadapan. Masa inilah kuku-kuku tumbuh memanjang dengan cepat di hujung jari-jemarinya. Ketajamannya bak buluh belati. Sekali cantasan sahaja berupaya membunuh.

“Jangan bunuh ak.. aku. Aku akan menuruti segala perintahmu wahai makhluk bernyawa panjang.” Kematian sedang berlegar-legar di depan mata Pangeran Aring.

“Hahaha... kenapa tidak dari tadi kau berkata begini, Pangeran.” Dia bukan menyoal, melainkan seperti memberikan satu saranan yang lebih baik.

“Aku dihambat kejutan.” Jawab Pangeran Aring.

“Baiklah, tapi kau bersama orang suruhanmu itu akan aku ikat dengan satu sumpah, Pangeran.” Makhluk bernyawa panjang itu menyeringai.

“Ba... baik.” Pangeran Aring secara langsung telah pun terikat dengan satu janji. Bagaro hanya menyembunyikan rasa tidak puas hatinya kerana bimbang nyawanya akan melayang begitu sahaja.

“Kamu akan aku jadikan makhluk yang sangat gagah, Pangeran.” Dia lantas menyuruh Pangeran Aring dan Bagaro supaya melutut. Mulutnya berkumat-kamit menggumamkan sesuatu yang tidak difahami oleh mereka berdua.

Malam yang sunyi tadi bertukar suasana. Angin berpuput kencang. Manakala Pokok-pokok kayu bergeseran. Bulan yang dilindungi awan tadi terserlah. Burung hantu bersahutan, seperti sangat merindui sang bulan yang telah menampakkan bayangannya.

“Arghhh!” Pangeran Aring dan Bagaro menjerit kesakitan. Satu kuasa yang bersifat ghaib sedang menyelusur masuk melalui urat-urat darah. Darah merah kehitaman bertukar menjadi kehijauan. Pangeran Aring dan Bagaro hairan melihat perubahan diri mereka.

Saiz badan mereka membesar. Bulu-bulu kasar menyelaputi badan. Apabila mereka berdua saling berpandangan, mereka terkejut bukan kepalang. Bentuk badan Bagaro seperti seekor binatang buas yang sangat menakutkan, kepalanya berbentuk seperti kepala seekor serigala jantan, manakala badannya seperti badan seekor singa. Matanya merah, mulutnya bertaring tajam yang jauh lebih tajam seperti sebelumnya.

Sebenarnya, Bagaro ialah manusia sumpahan sebelum ini. Dia akan menjadi serigala ketika bulan mengambang. Manakala Pangeran Aring pula berubah menjadi makhluk bertanduk. Struktur badannya masih menyerupai manusia tetapi mempunyai dua tanduk di kepala. Kakinya seperti kaki binatang liar yang sukar diketahui jenisnya. Manakala tangannya seperti tangan orang hutan liar tetapi berkuku runcing. Seluruh badannya ditumbuhi bulu hitam.

“Ingat, kamu berdua terikat dengan janji sekarang.” Dia menoreh telapak tangannya lantas menyuruh Pangeran Aring dan Bagaro meminum darahnya yang berwarna hijau kehitaman. Mereka menghisap dengan rakus. Dia lantas tersenyum sumbing. Selepas siap meminum darah itu, mereka berdua menderam seperti binatang yang sedang kelaparan.

“Ingat, kamu berdua harus membunuh semua manusia yang taat kepada agama baharu iaitu Islam.” Dia lantas menghaibkan dirinya bersama satu pusaran angin kecil dalam kabus yang membaluti malam.

Pangeran Aring dan Bagaro hanya terkebil-kebil kerana tidak pernah mendengar nama agama itu. Mereka kemudiannya meraung dengan suara yang sangat menakutkan. Bunyi yang sangat menggerunkan, tidak menyerupai bunyi mana-mana binatang. Tetapi jika didengar dari jauh, bunyinya akan keden­garan seperti lolongan serigala jantan yang sedang merintih mencari pasangannya di perbukitan. Bunyi sayu yang tidak mampu menyentuh hati.
Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.